Isnin, Januari 05, 2015

Yang pedas pedas

Membaca blog Pak Affandi Hassan pada hujung dan awal tahun, dia menyentuh - seperti biasa - perkara berkenaan dunia kepengarangan dan lebih-lebih lagi penganugerahan Sasterawan Negara yang bertitik tolak dari panel pemilihan Anugerah Sastera. Bila panel pemilihan salah, maka terpalit jugalah pada SN.

Apa yang dapat aku fahami, kritikan keras beliau ialah pentakrifan Sasterawan Negara adalah berdasarkan kepada kerangka barat. Oleh itu, segala yang dimaksudkan sebagai seorang SN itu menepati ciri sekularis, liberalis dan modernis. Jadi, di mana kita nak letakkan tokoh persuratan lama seperti Raniri, Hamzah Fansuri, Sheikh Daud al-Fatani dan ramai lagi dalam kesusteraan Melayu? Apakah nanti wujud dualisme dalam dunia sastera?

Kita lihat beberapa petikan menarik dari blog beliau dalam entri ini

Semua seminar tentang sasterawan negara diberi judul, “Seminar Pemikiran Sasterawan Negara”.  Mungkin tajuk itu terlalu besar untuk menampung kemiskinan pemikiran dalam karya sasterawan negara, dengan itu memaksa para sarjana mencari-cari helah untuk membuktikan wujud “pemikiran” dalam karya sasterawan negara. Tetapi dari sejumlah lebih dari 200 kertas kerja, tidak satu pun berjaya membuktikan mana-mana sasterawan negara adalah seorang pemikir. Yang kelihatan dengan jelas ialah mereka adalah pencatat peristiwa yang rajin, terutama kisah-kisah perjalanan di luar negara sebagai pelancong atau tourist yang kehairanan melihat sesuatu yang tidak ditemuinya di negara sendiri.  Saya sudah lama menunggu penafian para sarjana terhadap kesimpulan ini, kerana saya sendiri ingin mengetahui bagaimana mereka memberi takrif “pemikiran” itu dan bagaimana pemikiran itu diserlahkan dalam karya para sasterawan negara ini. Siapakah di antara mereka “pemikir” paling ulung? Tentu saja, secara logik, apabila seseorang sasterawan negara sebagai seorang pemikir ulung, maka karyanya akan menyerlahkan keulungan pemikirannya itu.  Inilah yang kita masih tunggu-tunggu dengan sabar untuk diperlihatkan dalam kertas atau makalah yang membicarakan tentang aspek “pemikiran” ini. Saya tidak bertemu apa-apa yang boleh dikategori sebagai “pemikiran” dalam tesis Ph.D. yang menulis tentang sasterawan  negara. Yang jelas, penulisnya menurunkan kembali cerita-cerita para sasterawan negara, sehingga jadilah kritikan mereka itu kritikan cerita, hanya sekadar menceritakan kembali bacaan mereka. Saya juga menunggu seseorang boleh memberikan sanggahan konkrit tentang kesimpulan ini.  Untuk memudahkan mereka memahami maksud saya, saya pernah memberi contoh Iqbal, yang pemikirannya berlegar di sekitar pembinaan peribadi Muslim yang kuat, berasaskan Cinta Ilahi. Kata para sarjana, contoh itu tidak tepat dan tidak adil, kerana tidak seorang pun sasterawan negara yang boleh dibandingkan dengan Iqbal. Mengapa terlalu merendah diri?

Kalau semuanya dilihat dalam konteks Malaysia saja, maka sudah jelas Pak Pandir yang universal “pemikirannya” itu jauh lebih berhak digelar pemikir daripada para sasterawan negara sendiri. Tidakkah ini sangat pelik?  Pak Pandir sekurang-kurangnya dapat melontarkan konsep pandirisme dalam kebudayaan Melayu, yang juga terdapat di kalangan para sasterawan. 

Bagi saya, Naratif Ogonshoto adalah sebuah penglipur lara moden, yang tidak menampilkan apa-apa “pemikiran” besar yang boleh dikira asli yang lahir daripada sang sasterawan sebagai seorang pemikir.  Novel ini penuh sensasi, dengan pretensi intelektual yang terlalu naif, oleh itu amatlah menghairankan apabila Panel Anugerah Sastera Negara begitu terpesona dengan novel yang dari segi “pemikiran” lebih dekat kepada sebuah karya picisan intelektual.

Novel ini penuh sensasi, dengan pretensi intelektual yang terlalu naif, oleh itu amatlah menghairankan apabila Panel Anugerah Sastera Negara begitu terpesona dengan novel yang dari segi “pemikiran” lebih dekat kepada sebuah karya picisan intelektual. (Aspek ini telah saya sentuh di sana sini dalam blog ini.)  Walau bagaimana pun, untuk memuaskan para sarjana sastera, saya fikir novel terbaik Malaysia ini wajar dibaca bersama novel terburuk Malaysia, Aligupit (1973) dan karya terbaru Mohd. Affandi Hassan, Balai Maqamat (tertulis 2004, terbit 2014), mengenai segala aspek korupsi di Malaysia, termasuk dalam kesusasteraan dan kritikan sastera,  dalam penilaian sastera, dalam pendidikan, dalam politik, dalam penerbitan, dalam kepemimpinan, dan sebagainya.

Penutupnya, AH berkata:
Sekarang sudah jelas kepada anda mengapa saya menentang kewujudan sasterawan negara ini sejak awal, sejak 1981, dan menulis cerita pendek “Orang Yang Berdiri”, dan seterusnya menulis rencana menolak kehadiran sasterawan negara dalam kebudayaan Melayu yang sejak mula bergelar kebudayaan Melayu adalah berasaskan konsep ilmu yang benar yang diajarkan oleh Islam, yang melahirkan para ulama dan tokoh-tokoh persuratan yang handalan dan bijaksana. Sebaik saja Asas 50 mengambil alih kegiatan kreatif yang tidak berasaskan ilmu, maka terjadilah huru-hara dalam perkembangan ilmu dalam negara kita, apabila para sarjana tidak lagi peka kepada konsep ilmu yang benar dan mempersetankan begitu saja peranan Islam dalam pembinaan tamadun negara kita. Kita tidak perlukan sasterawan negara untuk menjadi cerdik dan untuk menjadi bijaksana. Kita harus kembali menjadi manusia beragama yang berilmu dan menjadikan konsep ilmu yang benar sebagai asas penulisan kita, jika kita benar-benar mahu menjadi manusia seperti yang kita semua saksikan sebelum kita dicipta dan dilahirkan ke dunia. 

Semakin aku baca Pak Affandi dan PB-nya, semakin aku faham apa yang dimaksudkan dengan PERSURATAN BARU dan ilmu.



Tiada ulasan:

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...