Sabtu, Ogos 21, 2021

Pembicara Buku

Alkisahnya aku diminta mengulas novel The Kite Runner dalam Clubhouse esok. Seminggu yang lalu, Megat menghubungi melalui Twitter untuk minta aku ulas novel ini. Semua ini bermuasal dari Tweet ku yang mengulas ringkas tentang Afghanistan yang kembali dikuasai Taliban dalam beberapa hari sebelum itu. Ketika itu hangat dengan kisah-kisah Taliban yang datang dengan fahaman yang fanatik dan radikal terhadap Islam dalam mentadbir Afghanistan dengan melihat kepada pengalaman Taliban sebelum datangnya US. Namun ada yang kata Taliban dahulu tidak sama dengan Taliban sekarang. Sukar untuk kita mempercayainya kecuali jika berjaya dibuktikan oleh penguasa baharu Taliban ini.

Bila bercakap tentang Afghanistan, pasti kita tak lepas dari cuba melihat Afghanistan sebelum Taliban. Ini banyak dirakam oleh Khaled Hosseini dalam novelnya. Ketika membaca The Kite Runner, aku terpesona bagaimana Khaled membawa pembaca masuk ke dalam kota Kabul yang aman damai dan membangun, masyarakat yang bahagia dan sentosa. Namun perang telah merosakkan Afghanistan hingga memusnahkan negara ini dan kebangkitan para mujahidin telah menyebabkan Soviet mengalah dan berundur dari Afghanistan. Kemudian para pelajar pondok-madrasah (Tullab-Talib) pula mengambil alih dan menguasai Afghanistan lalu menukar negara ini kepada sebuah negara yang sering mendapat kecaman, dipandang sinis dan dituduh mengamalkan Islam dengan kefahaman yang salah. 

Untuk bercakap tentang The Kite Runner, ada banyak aspek yang boleh disentuh. Tapi sebenarnya aku dah banyak lupa tentang ceritanya. Selepas baca pun tidak mengulas. Tapi insha Allah akan cuba baca beberapa ulasan sambil tengok beberapa trailer untuk mengimbas semula ingatan. Aku akan buat catatan ringkas dalam entri berikutnya.

Tapi satu perkara menarik bila membaca novel ini ialah aku membaca sambil mendengar audio di Youtube. Rasanya kalau sekadar baca, aku yakin takkan habis dibaca dalam masa sebulan.


Pautan iklan di sini: https://www.clubhouse.com/event/P04bWLLP




Jumaat, Mei 14, 2021

Tentang kesihatan - Bhg 2

 Baca: 

Bahagian 1


*****


Lama masa aku ambil untuk kisah kesihatan ini bersambung ke bahagian 2. Asalnya memang nak tulis panjang tentang pemeriksaan kesihatan yang aku buat di KPJ dahulu kerana ada kisah yang bersambung sleeps itu, kemudian bertangguh-tangguh hinggalah aku melalui pembedahan pada awal April 2021. Apabila ramai bertanya tentang keadaan kesihatanku dań bagaimana boleh terjadi, aku memutuskan untuk menulis lebih panjang dań terperinci. Tambahan pula aku dalam usaha membantu Hani menyiapkan bukunya tentang perjalanan sebagai pesakit kanser, secara tidak langsung aku juga perlu mencatat apa yang berlaku pada diri sendiri supaya mudai untuk disemak dan diingat apa yang telah aku lalui selama ini.

Jadi, ini bahagian kedua, sambungan dari pemeriksaan kesihatan yang aku buat pada tahun 2018.


****



Isnin, April 19, 2021

Penyunting dan pengarang

 Beberapa catatan penting dari Kedai Kopi Sasterawan: Seorang Novelis dan Penyeberang Sempadan


https://fb.watch/4YsLFsDCk8/


Proses kepengarangan

  • bukan penulis prolifik - tidaklah banyak menghasilkan novel khususnya. 
  • setiap kali Basilian novel, akan cari satu persoalan yang penting diangkat yang mnewakili dekad tersebut berdasarkan suasana sosial, budaya, sejarah dsb
  • Novel Hari-hari Terakhir Seorang Seniman (HHTSS) - ketika itu berlaku proses urbanisasi dan melihat KL dari sudut pandang tradisi dan SN mahu lari dari pandangan strereotype ini. Jadi belie melihat satu perkara penting iaitu terhapusnya tradisi penglipur lara/storyteller akibat dari urbanisasi.
  • Arus - peruanskan, integritet
  • Naratif Ogonshoto - masalah negara membangun - korupsi, nepotism, penghapusan hutan

Ahad, Februari 07, 2021

Kisah Pembunuh Ekonomi

Aku pernah baca ulasan buku ini dalam blog Jiwarasa lama dahulu, ketika buku ini baru diterbitkan. Ketika membacanya, aku rasa tak percaya rupanya ada satu pekerjaan yang tugasnya menghancurkan ekonomi sesebuah negara. Rupanya ada orang yang dihantar bagi mengkucar-kacirkan masyarakat dan memecahbelahkan perpaduan negara. Bukan dengan senjata, bukan dengan peperangan. Memadailah dengan wang. Kefahaman ini terjadi sebelum teori konspirasi berkembang dan menjadi wadah pertikaian sesama warganet yang menggunakan Yahudi, Rothschild, Freemason, sebagai penyebab kemiskinan negara-negara di dunia.

Buku ini tentang bagaimana seorang lelaki - si pembunuh, Economic Hit man (EH) - yang dihantar ke sebuah negara sasaran, membuat jangkaan keadaan ekonomi berdasarkan keperluan semasa dan menawarkan kaedah membangunkan negara tersebut dengan janji bahawa negara ini akan maju dengan sumber-sumber yang ada di negaranya. Sejumlah pinjaman ditawarkan dari Bank Dunia atau IMF dan sebagai timbal balik, kontrak pembangunan di negara itu hendaklah diserahkan kepada syarikat tertentu. Tidak langsung diketahui yang pinjaman yang diberi itu ialah sejumlah wang yang tidak akan menyebabkan bayarna balik dapat diselesaikan dalam tempohnya kerana kadar bunga yang tinggi dan kerana...kerana pinjaman itu dibuat bagi membolehkan negara itu tidak mampu membayar balik. Memang sengaja dilakukan. Jadi banyak negara yang tidakperasan akan perjanjian merapu ni akhirnya terperangkap dan jatuh miskin kerana perlu membayar balik pinjaman leboh daripada 50% GDP manakala peruntukan pembangunan terpaksa dikurangkan bagi melunaskan pinjaman. Akhirnya apa yang dapat dilakukan mereka? Menandatangan perjanjian baharu bagi membawa sejumlah wang untuk membangunkan infrastruktur tetapi akhirnya terbeban dan terikat dengan hutang lagi dan lagi. Kontrak dan pembinaan diserahkan kepada syarikat luar (baca: US) dan anak tempatan tidak dapat memberi khidmat kepada negara kerana tidak dapat pelajaran yang sempurna, kesihatan yang merosot dan keadaan kehidupan yang kian mendesak. Negara ini semakin miskin, dilanda kekacauan rakyat dan berlakunya pertumpahan darah. keadaan ini boleh dilihat berlaku di Ecuador, Mexico, Panama, Afghanistan, Iraq dan beberapa lagi Di beberapa negara lain, seperti Arab Saudi, pemimpin mereka dilimpahi kekayaan dan kemewahan yang berterus dari para pembunuh ini dengan kontrak-kontrak pembinaan diberi kepada syarikat Amerika. Bagi pemimpin yang menyedari permainan ini dan berkeras tidak mahu menerima pinjaman, mereka tiba-tiba akan mati terbunuh (dibunuh) dan digantikan dengan pemimpin baharu yang lemah dan tunduk kepada desakan EH. Negara itu kemudian jatuh seperti segara-negara lain yang didesak mengambil pinjaman. Ini berlaku kepada Presiden Ecuador, Jaime Roldos dan Presiden Panama, Omar Torrijos. Banyak lagi kisah-kisah di negara lain yang menjadi mangsa seperti Indonesia (menerusi Jakarta), Venezuela, Colombia, Iran dan beberapa lagi.

Justeru buku ini tentang apa? Ia tentang penyesalan seorang EH yang menyesali perbuatannya memiskin dan memporakporanda negara hingga hilang kedaulatannya. Namun penyesalannya berlaku berpuluh tahun selepas dia membunuh ekonomi negara itu, dan dia membalasnya dengan menjadi pencetus kesedaran kepada ekosistem hutan, kelestarian alam, dan kesedaran masyarakat orang asli terhadap kehidupan mereka yang cuba dimusnahkan. EH masih ada, masih hidup dan sedang bergerak setiap masa di seluruh dunia. Modus operandi mereka mungkin sama, mungkin berubah. Mereka menjaah negara-negara ini tanpa perlu melepaskan sebutir peluru. Mereka dijajah dan dimiskinkan dengan cara yang licik hingga terikat dan tidak dapat membebaskan dirinya lagi.

Sepanjang membaca buku ini kita akan sentiasa menginsafi keadaan negara kita yang tidak jatuh dalam strategi licik sambil mengenag negara-negara yang menjadi mangsa. Kita akan dibawa jauh ke dalam hutan kemudian ke kota-kota besar, dihinggapi rasa marah dan geram membuak-buak dan diakhiri dengan sumpah seranah kepada John Perkins kerana terlalu mengambil masa untuk bertaubat meskipun dia sudha menyedari perkara pelik sejak dari awal dia dihantar ke Jakarta bagi merancang 'pembangunan pulau Jawa.' Keinsafan John Perkins pada kita tidak boleh dimaafkan, tangannya sudah dipenuhi darah anak bangsa yang mengalir meskipun dia cuba mencuci dosa-dosanya dengan kerja kebajikan kepada insan yang hidupnya di dalma hutan sana. Ini kerana kita tahu beratus mungkin beribu John Perkins sudah dilahirkan dari seorang John Perkins sebelum itu.


Sabtu, Januari 23, 2021

Orang perempuan dalam kegiatan ilmiah

"Sebelum orang lain buat, kita kena buat. Nanti mereka masukkan idea yang tak sepatutnya dalam kajian tersebut"

Begitulah saranan yang sampai kepadaku tatkala bercadang membuat kajian tentang penglibatan orang perempuan dalam kegiatan ilmiah. Tujuannya ialah membuktikan bahawa perempuan mempunyai peranan dalam kegiatan ilmiah seperti penulisan kitab, mensharahkan kitab, menjadi guru, menjadi perujuk bagi perkara berkaitan agama, dan menyumbang kepada masharakat. Namun begitu, tidak banyak rekod atau catatan yang membahaskan peranan perempuan ini, atau mungkin aku sendiri belum perasan akan usaha yang mereka lakukan.

Jadi itulah niat asalku, mahu membuktikan secara bertulis bahawa telah terdapat orang perempuan yang pandai dan hebat belaka dalam kegiatan keilmuan. Salah satu tujuan ini juga mahu menjawab tuduhan yang dilemparkan kepada perempuan yang tidak menonjol ketokohannya dalam bidang ilmu serta peranan mereka ini tersorok/disorok kerana ada lelaki yang lebih hebat - seolah-olah peranan perempuan ini telah dilenyakan dari sejarah. Perlu ada pihak menjawab persoalan ini dan perlu ada kajian khusus dan menyeluruh bagi membuktikan dari segi sejarah bahawa mereka tidaklah seperti yang didakwa.

Sekarang masih lagi di peringkat awal - mencari bahan dan memperhalusi ruang lingkup persoalan. Namun begitu, ada beberapa dapatan menarik yang aku dapat dalam pencarian itu. Nanti aku akan kongsikan dalam entri berikutnya.

Rabu, Januari 13, 2021

Dikurung lagi

 Bismillah.

Hari ini hari pertama PKP 2.0. Bermakna sekali lagi PKP dikuatkuasakan. Tapi kali ini secara berperingkat dan tidak menyeluruh. Maksudnya, PKP bagi 6 negeri yang degil dan merak, 6 negeri lagi yang hijau dilaksanaklan PKPB, dan dua lagi Perlis dan Sarawak di bawah PKPP.

Pengumuman dibuat oleh PM TSMY pada 11 Jan (Isnin) dan Rabu tepat jam 12.01, PKP berkuatkuasa dan SJR dibuat dibanyak tempat seperti selalu, khususnya sempadan.

Semalam emak dan abah datang rumah, tengok anak-anaknya yang tak akan dijumpai selama dua minggu - katanya - dan entalah, dijangka berlarutan beberapa minggu atau bulan. Ditinggalkannya kerepek pisang dan stok ikan dalam peti sejuk. Bila ada masa sesuai nanti bolehlah masak.

Dari sudut perniagaan, semalam sudah buat mesyuarat dan setakat ini ambil pendekatan tunggu dan lihat. Semua staff setuju bekerja seperti biasa tetapi dalam keadaan tertutup. Sekiranya kerja selesai cepat, bolehlah balik.

Semoga keadaan akan bertambah baik dan bisnes tidak terjejas. Pengalaman dalam PKP 1.0 sudah memberi gambaran apa yang patut dibuat, insha Allah kita boleh menang dengan bergaya - kecuali kita disailang oleh ahli politik yang gila kuasa dan parti! 

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...