Rabu, November 28, 2007

Perbuatan adalah dakwah tanpa kata-kata

1)
Saya tidak ingat sama ada kata-kata ini saya ambil dari mana-mana bahan bacaan atau terlintas keluar dari kepala saat ditekan dengan pelbagai perkara yang mendesak sejak minggu lalu.

2)
Berdakwah, bukan kerja yang mudah, dan bukan juga senang. (Mungkin). Kita (orang Islam) telah jelas dinyatakan bahawa kita ini adalah khalifah di muka bumi. Wakil-Nya. Maka dalam setiap perbuatan dan kata-kata itu, setidak-tidaknya haruslah mempunyai 'sesuatu' untuk disampaikan sama ada secara zahir atau lisan.

Namun ada juga yang tidak melihatnya sebagai sesuatu yang penting. Pada mereka, hidup ini sekali, maka kecapilah segala nikmat yang terhidang berkali-kali. Tanpa sebarang ragu. Halal dan haram sekadar mainan. Dosa dan pahala langsung tidak diendahkan.

3)
Biar apa pun persepsi anda yang baca terhadap entri kali ini, bukan niat saya mahu menunjukkan yang diri ini bagus.

Ada orang menzahirkan dakwah melalui kata-kata, bibirnya sentiasa basah dengan zikir dan mulutnya sentiasa mengajak kepada kebaikan. Ada pula disebaliknya. Menggunakan diri sebagai contoh, menjadikan perbuatannya sebagai ikutan. Apa yang baik dan apa yang buruk ditunjukkan melalui sikap.

Memang saya seorang yang berat mulut. Saya bukan sebagus orang pertama yang menggunakan mulut. Tetapi saya berusaha menjadi seperti yang kedua. Sekurang-kurangnya saya menggalas amanah-Nya dan tanggungjawab yang telah di serahkan kepada saya sebaiknya.

Tetapi ada juga yang berusaha menjadi baik tetapi tidak mampu memberi contoh yang baik. Percakapan tidak sama dengan perbuatan. Apa yang dinasihatkan sepatutnya memberi insaf, tetapi telah mengundang cakap-cakap yang tidak enak.

Adakalanya, saya menjadi kusut memikirkannya. Apatah lagi sejak kebelakangan ini, saya menjadi mangsa menyiapkan kerja bagi pihak orang lain. Sehingga semalam, saya terpaksa angkat kedua belah tangan.

"Maaf, mengantuk. Aku mahu rehat." Jam baru menunjukkan pukul 10 bila saya sudah belayar jauh ke alam mimpi.

4)
Ya, bukan diri mahu menunjukkan sesuatu yang boleh mengundang persepsi yang lain terhadap orang. Saya juga tahu apa yang Allah janjikan kepada hamba-Nya yang berusaha mengajak kearah kebaikan. Saya mahu mendapatkan janjinya itu, walaupun tidaklah sebagus mana pun. Saya juga tahu dugaan yang ada dikiri dan kanan saya, yang sentiasa datang dalam bentuk wang dan kesenangan. Seboleh-bolehnya, biarlah saya mendakwahi diri dahulu sebelum menjurus kepada orang lain. Tetapi andai apa yang kita lakukan itu membawa kebaikan kepada yang lain, syukur sahaja saya panjatkan kepada Allah.

Tiada siapa yang mahu menolak syurga-Nya. Tiada siapa yang mahu menafikan hak mendapat keredhaan-Nya di dalam kehidupan yang sementara ini. Setiap apa yang kita lakukan adalah kerana-Nya, kerana kita sedar hidup ini sementara cuma. Jadi, tujuan hidup kita sebenarnya alam lain disana. Alam dimana Allah telah janjikan pelbagai perkara yang menggembirakan bagi yang benar-benar sabar terhadap ujian dunia.

5)
Satu panggilan masuk.

"Mari kita pergi karaoke malam ni. Bilik dah tempah. Besar. Boleh bawa ramai kawan. Tunggu pukul 8. KIta pergi sama-sama. Jangan tak datang."

Dia terus merayu sehingga saya terpaksa mematikan talian kerana sedang memandu - atas alasan polis. Malah, pelbagai alasan menolak juga saya telah beri.

Tetapi dia terus merayu.

6)
Perbuatan adalah dakwah tanpa kata-kata.

Fikiran saya kusut sekarang.


.

Jumaat, November 23, 2007

Pelawat tetap

Sejak Isnin, saya menjadi pelawat tetap Hospital Kajang selepas waktu kerja. Kadangkala, tanpa ada apa-apa keperluan pun selain melawat dan melihat keadaannya. Dia salah seorang staff yang saya hormati kerana sangat gentleman. Di pejabat, banyak yang saya pelajari darinya. Dia mempunyai PR yang baik, interpersonal skill yang bagus, communication skill yang mantap, decision maker dan problem solver yang rasional serta kemahiran membuat presentation sehingga selalunya berjaya mempengaruhi para pelanggan dan syarikat lain.

Saya selalu berbincang dengannya jika ada apa masalah yang tidak dapat saya selesaikan dengan baik, atau kadangkala saja mencuri masa berbual dengannya kerana dia sentiasa mempunyai sesuatu untuk disampaikan kepada saya, baik berkenaan syarikat atau kehidupan.

Kehidupannya peribadinya disisi lain sangat gelap dan hitam. Apa-apa sahaja mahu dihalalkan, biarpun dia tahu apa itu halal dan haram, dosa dan pahala. Namun, selalu saya berdoa agar dia menerima petunjuk atas setiap langkah yang dilakukannya kerana seorang yang bagus seperti ini sebenarnya sukar untuk di temui dimana-mana.

Rabu lalu, saya bersendirian melawatnya di hospital. Biarpun ada isteri dan ibunya di sisi, dia tahu ada sesuatu yang berlaku di pejabat berdasarkan kepada wajah saya yang kusut (dan datang pula seorang diri.) Sememangnya bukan niat saya datang untuk menyampaikan berita yang mengejutkan itu, memandangkan kesihatannya tidak begitu baik. Tetapi suasana pejabat yang sudah tidak memberangsangkan menyebabkan saya perlu memberitahunya berita ini, walaupun saya beberapa kali menahan diri dari membuka mulut.

Semalam, di sebalik segala kekalutan di pejabat, saya menerima SMS darinya. Agak sedih juga:

"Btw i got my test result on ct scan, not a gudnews, i tak bgtau sesapa pun lagi, it might be related to cancer but the doctors will discuss dulu among them b4 seeing me again tmrw. There's a large area of blood cloth in my lung based on the ct scan. I need to be on special medication called 'warfarin' yg byk pantang, the disease are very uncommon known as 'pulmonary embolisme'... i'm so sad now, tak tahu nak buat apa, huhuhu..."

Saya mencari di internet tentang warfarin dan Pulmonary Embolism, print dan membawanya ke hospital. Dia begitu gembira dengan informasi seperti ini yang menjelaskan kedudukan blood cloth di paru-parunya dan menyarankan saya mencari lagi apa-apa maklumat yang berkaitan. Dia akan menghantar mesej kepada saya dari semasa ke semasa andai ada apa-apa yang diperlukannya lagi.

Jauh di dalam hati, saya berharap dia cepat sembuh. Syarikat memang memerlukannya. Semoga dugaan ini memberinya keinsafan atas kehidupan gelap yang dilaluinya dan juga menyedarkan semua yang berada di pejabat. Setidak-tidaknya.

Ajal itu boleh datang bila-bila masa. Malaikat tidak akan bertangguh walau sesaat bila tiba masa yang ditetapkan untuk kita.


.

Kiamat, Oh kiamat kecil

Saya gelarnya..kiamat kecil. Kalau pun boleh dipanggil kiamat. Dua tiga hari ini di pejabat, entah macam-macam hal. Semalam, kami menjangkakan yang buruk-buruk, atau kiamat kecil, tetapi gelak ketawa pula yang hadir. Keliru, memang keliru.

Tetapi bagi yang lain, kiamat ini bukan tak jadi. Postpone. Kiamat postpone. Ini bermakna ia akan berlaku pada bila-bila masa.

Tunggu sahajalah.

Rabu, November 21, 2007

Berita-berita

1)
Isnin. Saya menerima panggilan dari PTS. Manuskrip yang telah setahun saya hantar diberitakan akan dikembalikan kepada saya untuk proses proofreading. Alhamdulillah, penantian selama setahun berakhir juga. Ia berkenaan MLM, dunia perniagaan yang saya ceburi di awal pekerjaan. Pengalaman pahit maung, penat lelah dan air mata para usahawan MLM ada di situ.

Malam saya berjaga hingga ke pagi. Semangat yang hilang dan pasang surut akhirnya datang kembali. Semangat kembali untuk menulis, dan idea datang mencurah-curah.

2)
Selasa. Usai subuh, semangat masih menyala-nyala. Ada idea datang ketika melihat awan pagi sewaktu masih duduk di sejadah. Masih sempat melakar idea sebelum bersiap ke pejabat. Mujurlah dekat sahaja dengan rumah.

Di pejabat, saya menanti manuskrip yang di hantar melalui courier. Sehingga petang, belum ada apa-apa. Mungkin esok. Tetapi di pejabat, lain pula halnya. Ada berita yang mengocak ketenangan bekerja. Buat sementara ini, ia masih menjadi rahsia kepada beberapa orang. Andai berita ini terlepas, pasti ada yang menjadi mangsa. Resah kepada kami dari petang membawa ke malam. Berbincang memikirkan penyelesaian, tetapi keputusan bukan ditangan kami. Dan ia tentang hidup mati syarikat.

Sempat singgah di Hospital Kajang selepas kerja melawat seorang staff yang terlantar kerana PHD (pressure, hypertension & diabetis). Masih dalam keadaan yang tidak mengizinkannya bercakap lama. Terlintas niat untuk berkongsi cerita, tetapi biarkanlah dahulu.

Sebelum tidur pula, ada mesej mohon bantuan. Saya menelefon dan memberi nasihat sekadar panduan. Biarpun kepala berat memikirkan perihal syarikat, silaturrahim tidak patut diketepikan saat ini.

3)
Rabu. Alhamdulillah, manuskrip tiba dengan selamat. Setidak-tidaknya ia mengundang senyum buat seketika dan mendatangkan ceria kepada hari yang muram.

Kepala masih belum stabil dengan masalah syarikat. Masing-masing tidak lena tidur. Beberap orang telah mengadu akan erasaan yang macam-macam -sakit dada, berdebar-debar dan macam-macam. (Sememangnya tekanan kerja disini cukup tinggi. Beberapa orang asyik tumbang kerana tekanan). Pelbagai cara cuba di lakukan, tetapi belum temui titik penyudah. Bukti telah diterima, panggilan telefon dengan peguam, setiausaha syarikat, carian di internet, bantuan dari orang pserseorangan belum cukup membantu. Sememangnya ini masalah terbesar perbah berlaku, dan penyelesaian yang diberikan setakat ini pasti menyebabkan ada yang menjadi 'mangsa.' Setidak-tidaknya.

"Ya Allah, kau berikanlah ketenangan kepadaku dalam menghadapi dugaan yang maha hebat ini"

Khamis, November 15, 2007

Nobel oh! Novel


Ini bukan angan kosong tau!
Kalau nak dapat anugerah Nobel, setidak-tidaknya kena tulis novel. Apalagi?


* Lokasi: Pusat Sains Negara

Ahad, November 11, 2007

Lawatan sambil belajar ke Kuala Lumpur

Awal pagi – selepas mengalas perut, terus memandu ke Pusat Sains Negara. Hari Ahad, jalan cukup lengang, pemanduan menjadi mudah, cuaca juga bagai mengalu-alukan kedatangan. Adik sudah menampakkan riang. Bukannya apa, dibawa ke tempat yang di inginkan, sudah pasti memberi ceria kepada percutiannya yang baru sahaja bermula. Arah pertama ialah Pusat Sains Negara (PSN).

* Di pintu masuk

Melewati Istana Negara, saya teringat peristiwa semalam. Laluan gelombang kuning yang penuh semangat dan FRU yang hampa menanti mangsa. Apa sahaj erita yang keluar hari ini tidak saya endahkan. Sudah pasti tidak memihak kepada mereka yang berhimpun.* Wajah pemenang anugerah Nobel terpapar di dinding

Adik terlalu teruja dengan angkasawan, ISS, Sheikh Muszaphar dan Dr Faiz. Tetapi silap haluan, mungkin. Kerana PSN tidak memberikan apa-apa tentang itu. Sekadar gah sebagai lambakan bahan berunsur sains tetapi banyak alat yang tidak boleh digunakan. Tekan sahaja butang, yang keluar ialah kehampaan. Peralatan bagai tidak diselenggara, maklumat ketinggalan zaman. Design dan susun atur bagai melepaskan batuk ditangga. Semuanya tidak berwajah baru. Hasil kerjatangan lewat 90-an.

* Ada gambar, guna asap je..

Destinasi berikut ialah ke Planetarium. Melewati Masjid Negara, ternampak tanda arah ke Muzium Kesenian Islam Malaysia. Saya mengajak singgah, dan saya yang lebih teruja. Sampai sahaja di dewan pameran, replika Masjidil Haram menanti di pintu lif. Subhanallah. Bayangan Kaabah terpapar dihadapan mata. Saya seolah-olah berdiri betul-betul dihadapan Kaabah! Banyak lagi replika menarik – Masjid Nabawi, Masjid Suleyman, Taj Mahal, Kubbatus Sahra dan pelbagai lagi replika menyerupai asal yang di pamerkan di Galeri Senibina.

* Simple tapi menarik

Pada saya, inilah tarikan utamanya. Siapa yang tidak teruja melihat senibina indah hasil kerjatangan umat Islam yang berdiri megah sehingga kini. Binaan tersebut (kebanyakannya masjid) bukanlah kecil atau mudah. Ia kelihaan cukup gah dan gagah, dihiasi lagi dengan ukiran ayat al-Qur’an, hiasan batu dan kerjatangan yang cukup kompleks.

Saya selalu tertanya teknologi apakah yang mereka gunakan sehingga terhasil binaan yang cukup hebat seperti itu. Dengan kubah yang besar, tiang yang kukuh, menara yang tinggi, tembok yang teguh berdiri, semuanya menggunakan tenaga empat kerat manusia (semestinya!). Ruang pameran yang lain tidak begitu memikat. Galeri al-Qur’an dan manuskrip, barang kemas, senjata dan perisai, seramik, kerja logam, matawang, kerja kayu dan tekstil biarpun memukau tetapi kaki yang sudah lenguh berjalan sejak semalam menyebakan kepenatan seluruh badan.

Beralih destinasi ke Planetarium, menyebabkan kami perlu memanjat hingga ke atasnya. Bangunan indah di atas bukit (entah apa namanya) menghidangkan pemandangan menarik dari atas. Masuk sahaja ke dalam, saya menjadi hairan. Apakah ini Planetarium yang sering digembar-gemburkan. Tiada apa-apa yang menarik. Ruang pameran satu aras dengan bahan pameran yang sedikit. Ruang angkasawan yang ada cuma poster dua angkasawan dan sedikit info sebesar papan kenyataan sekolah. Yang lain – replika ISS tanpa sebarang keterangan dan dua roket peluncur NASA yang entah tahun bila punya. Tiada maklumat terkini tentang angkasawan. Seoalah-olah projek angkasawan itu telah berlaku tahun lalu. Seolah-olah kakitangan disini tinggal didalam ruang pameran ini dan tidak keluar-keluar selama Sheikh Mus terapung tanpa graviti. Hampa dan hambar. Mungkin mereka masih lagi mabuk ketupat dan rendang. Maklum sahajalah hari ini Syawal terakhir.

Naik ke menara tinjau – ah, apalah yang boleh ditinjau dari atas kecuali bangunan yang berceracak di KL. Cuma yang menarik ialah dapat melihat KL dari atas, biarpun penglihatan terbatas oleh bangunan lain yang lebih tinggi binaannya. Berlegar-legar diruang atas yang tidak berapa luas, kemudian kami turun menanti tayangan di ruang teater. Masuk sahaja ada empat orang – seorang Arab dengan anaknya. Tayangannya ialah tentang ‘Space Development’ yang boleh mengundang lelap.

* KL dari atas

Apa yang ada tentang Space Development pun saya tak pasti. Yang banyak diceritakan ialah tentang bintang dan buruj (masa tayangan tiga hingga empat minit), angkasawan Jepun terapung-apung (saya pasti selepas ini tukar dengan Sheikh Mus), tentang bima sakti (penerangan tak sampai satu minit) dan harapan tentang masa depan. Masa depan apa yang mahu di katakan, andainya 15 minit tayangan itu tidak memberi info yang banyak. Sekadar lagu kosong dan bintang-bintang bertaburan di angkasa raya.

Keseluruhan lawatan hari ini – indah khabar dari rupa. Sebelum apa-apa, jangan tertipu. Promosi memang nampak hebat tetapi kita yang membayar tiket mesti rasa tak puas hati dengan tahap pameran seperti budak sekolah buat kerja. Tukarlah konsep pameran. Ini zaman S&T. Komputer sudah meluas digunakan. Budak sekolah rendah pun tahu guna komputer. Janganlah buat sesuatu seperti mahu memperbodohkan pengunjung.

Sabtu, November 10, 2007

Gelombang Kuning

Agenda utama saya hari ini ialah masuk pejabat dan keluar tepat pukul 1 petang. Ambil adik di Pudu yang baru turun dari Sg Petani. Dia dijangka tiba lebih kurang pukul 5. Kemudian terus ke majlis jamuan syarikat di Taman Botani Putrajaya yang berlangsung dari jam 6 petang hingga 8 malam. Penutupnya ialah rumah terbuka sebuah persatuan penduduk yang berlangsung dari Isyak hingga pukul 10 malam.

Saya tahu hari ini ada satu perhimpunan di Dataran Merdeka hingga ke Masjid Negara. Perhimpunan yang memanggil 100,000 rakyat ini pastinya - pada fikiran saya – menyebabkan tidak berbaloi untuk saya memandu ke KL. Jalan sudah pasti jam. Jadi saya saya merancang menggunakan kemudahan awam. Komuter, Putra LRT dan Star LRT. Lebih mudah. Dengan Touch n Go, saya boleh touch dan go kemana-mana destinasi yang saya suka dan boleh menukar fikiran sekelip mata di atas tren.

Menuju ke stesen UKM Bangi, sudah ada polis buat road-block. Wah! Gawat! Getus hati. Mencari parkir, saya tidak menunggu lama. Komuter tiba kurang dari lima minit menanti. Satu petanda baik. Masuk sahaja ke dalam, ada sekumpulan lelaki (boleh agaknya dipanggil pakcik) memakai kopiah duduk memenuhi koc.Wajah-wajah segar dan bersih mereka membayangkan kemungkinan yang tidak pasti. Lagak mereka bukan orang KL , bukan orang Selangor. Saya mencari chemistry antara tarikh hari ini dan destinasi komuter. Hm...apa ya?

Entah kenapa perjalanan yang lancar pada awalnya tersekat-sekat. Menghampiri Bangsar, komuter bergerak perlahan. (Ini perkara biasa. Bagi yang selalu menggunakan komuter, tentu faham betapa lembabnya koc-koc ini bergerak) Menghampiri KL Sentral, berhenti lagi. Di luar, hujan mula mencurah. Pergerakan kereta dari Bangsar menuju ke ibu kota tersekat. Penumpang komuter gelisah. Hampir 15 minit tidak bergerak. Entah apa yang berlaku diluar tidak dapat di duga.

Salah seorang pakcik menjawab panggilan telefon. Menjawab dalam keadaan semua orang boleh mendengar (mungkin juga mahu menegur tiga orang anak muda yang bergurau bertepuk tampar pada tahap melampau dihadapannya), dia mengkhabarkan bahawa ‘dah ada yang kena siram di Masjid Jamek.’ Oh, telahan saya tentang destinasi mereka benar sekali. Kemudian, mereka mula membuka cerita tentang politik, tentang pilihanraya, tentang pemimpin.

Bila komuter bergerak, semua menjadi lega. Entah disengajakan atau memang benar berlaku atau mungkin sengaja perjalanan di lambatkan (agaknya), ia sekaligus memberi jawapan seolah-olah keadaan sedang gawat di tengah bandaraya. Ini telahan saya sahaja, sedangkan saya sendiri tidak mendapat gambaran jelas keadaan di luar. Sementara itu, saya bertanya kepada diri – ke mana arah saya sebenarnya? Masih awal untuk ke Pudu. Jangkaan adik saya tiba pukul 5. Masih ada tiga jam lagi. Pandangan saya silih berganti dengan kereta yang berderet diluar, hujan gerimis yang menyejukkan serta kumpulan pakcik yang bersemangat di dalam koc.

Akhirnya saya memutuskan untuk mengikut kumpulan pakcik ini. Saya bertanya kepada diri beberapa kali – betulkah keputusan yang saya ambil ini? Saya berdoa dalam diam sambil mengingatkan diri bahawa saya berniat baik sekarang ini- niat asal mahu ke Pudu tetapi melencong ke arah lain. Teringat kamera di dalam beg. Ah, fungsinya boleh digunakan tepat pada masanya.

Tiba di KL Sentral, kumpulan pakcik ini awalnya tidak mahu turun. Saya bersandar pada tiang. Mungkin mereka mahu turun di stesen berikutnya iaitu Kuala Lumpur yang terletak berhadapan dengan Masjid Negara. Hot spot. Tiba-tiba salah seorang dari mereka yang saya kira ketua memanggil yang lain untuk keluar. Saya mengekori mereka tanpa teragak-agak. Di luar komuter, mereka berbincang. Mungkin mencari arah. Mahu sahaja saya menunjukkan mereka arah ke Dataran Merdeka dengan menggunakan Putra LRT (dengan turun di Pasar Seni), namun kaki laju sahaja melangkah ke pengimbas touch n go.

Keluar sahaja dari ruangan komuter, saya dapati mereka masih berkumpul dan berbincang. Saya memutuskan menaiki Putra LRT dan bertukar Star LRT di Masjid Jamek menuju Plaza Rakyat (Pudu). Tatkala ini, hati berbelah bagi. Pergi atau tidak? Masih lagi dengan niat ke Pudu biarpun tadi telah memutuskan mengikuti kumpulan pakcik. Tanpa mereka, saya seperti putus asa. Saya pasti kumpulan pakcik itu sekarang memikirkan cara untuk ke Dataran. Dengan niat yang baik, saya berpatah balik untuk membantu. Malangkah, mereka tiada. Mungkin sudah berpatah balik dengan komuter. Atau mungkin juga mahu melarikan diri dari pandangan polis yang ramai berpusing-pusing di ruang legar.

Hujan masih gerimis tatkala Putra LRT meluncur keluar dari KL Sentral. Dari jauh kelihatan ramai orang serba kuning berjalan ramai-ramai ke satu arah. Jalan banyak yang kosong ditutup. Saya semakin gelisah didalam tren. Ada juga penumpang yang bising-bising. Mungkin juga mahu turut serta. Sebaik berhenti di Pasar Seni, saya membuat keputusan penting dalam hidup. Saya mahu turut serta. Beberapa orang berlari-lari keluar, saya mengekori. Mengeluarkan kamera, saya snap beberapa gambar dari stesen. Sebelum keluar dari stesen, beberapa orang polis memerhati dengan mata yang tajam. Rupanya laluan keluar stesen ditutup. Pintu yang kecil sahaja dibuka dengan polis berdiri dikiri kanan memerhati. Saya tenangkan hati. Debaran tak henti-henti. Saya berdoa supaya ini keputusan yang betul. Keputusan penting dalam hidup.

*Berlari-lari dibawah gerimis

Di bawah laluan LRT, ramai berlari-lari mengekori kumpulan yang berjalan kaki. Hujan tetap gerimis. Saya bagaikan wartawan dengan bebas snap gambar sesuka hati. Wajah-wajah mereka cukup ceria, biarpun masing-masing tidak pasti apa yang akan berlaku selepas ini. Baik atau buruk. Tenang atau kacau.

* Suasana di bawah LRT Pasar Seni

Helikopter berlegar-legar dan terbang rendah. Dari Pasar Seni, kumpulan membelok melalui bangunan KWSG menuju ke Istana Negara. Ada laluan yang ditutup. Kereta yang degil mahu lalu terperangkap dengan kesesakan. Yang berbaju merah menjadi raja di jalan. Mereka mengawal lalu lintas. Yang berbaju kuning berbangga dengan perhimpunan. Hati saya tetap dengan debaran. Sememangnya ini keputusan paling penting pernah saya buat dalam hidup. Dan buat pertama kali dalam hidup, saya bangga dengan diri sendiri. Biarpun sepuluh tahun dahulu saya pernah turun sekali di Jalan TAR, namun kali ini saya lebih berani kerana seorang diri.

* Agak-agak cukup tak 100,000.00

Sambil berjalan saya ambil gambar. Jam ditangan menunjukkan pukul 2.30 petang. Lagak seorang wartawan, dengan sesuka hati menghalakan lensa kamera ke sana ke mari. Hampir tiba di Istana Negara, laluan tersekat. FRU sudah menanti dengan trak berderet-deret. Mereka sudah berbaris dihadapan trak menghalang laluan. Yang berbaju merah pula membuat rantai manusia menghalang yang berbaju kuning dari meneruskan perjalanan menghampiri Istana, atau setidak-tidaknnya menghampiri FRU. Satu tindakan yang bijak dari mengelak di provokasi.

* Mata memerhati, melihat, mengecam

Dengan kamera saya mara kehadapan. Mereka yang dikiri kanan menjerit mengulangi kata-kata pemimpin yang berucap silih berganti. Mat Sabu, Hadi Awang dan Anwar Ibrahim - tokoh yang dirindui, kemudian keluar juga kata keramatnya – reformasi. Saya mara setapak ke setapak kehadapan. Wajah FRU yang bengis, pemuda berbaju merah dan kuning, wartawan yang memanjat, helikopter yang terbang rendah, polis diatas trak, dan mereka yang berhimpun – katakanlah apa sahaja – semua menjadi mangsa kamera. Gerimis sebelum berhenti. Mereka yang datang berhimpun semakin ramai. Tetapi tiada apa yang boleh dirisaukan. Semuanya aman sahaja. Cuma suara yang kedengaran keras.

* Trak merah beratur menghalang laluan

Selepas satu jam berhimpun, seorang polis diatas trak mengeluarkan amaran: “Saya ketua Polis daerah Brickfields. Saya mengarahkan anda semua beredar dalam masa lima minit.” Dia mengulangi dua kali.

*Lima minit sahaja!

Apa tindakan oleh mereka yang berhimpun? Cukup gentlemen. Mereka terus sahaja berundur. “Marilah kita pulang, undur-undur,” kata mereka. Untuk beredar (tidak tahu ke mana) tidak mengambil masa yang lama. Saya mahu menjadi orang terakhir menanti apa sahaja yang akan berlaku selepas itu. Kalau disiram pun, pasti saya orang yang pertama basah. Tetapi saya tidak dibenarkan menunggu. Pemuda berbaju merah mengarahkan saya beredar. “Jangan duduk sini kak. Kena pergi,” nasihatnya. Saya akur. Tetapi yang saya kagumi, diatas jalan, tidak ada (langsung) sampah. Katakan apa sahaja – botol, plastik, suratkhabar – tiada. Bersih. Memang ini perhimpunan yang bersih.

* Perhimpunan bersih. Lihat sahaja jalannya yang bersih

Sebaik mereka beredar, ada lagi satu kumpulan yang baru tiba. Mungkin mahu buat perhimpunan kedua. Tetapi segera diminta beredar oleh para pemuda berbaju merah yang begitu sopan menegur. Sejuk sedikit hati mendengar arahan lembut mereka. Mereka semua – yang berbaju kuning ini – beredar, mungkin juga pulang. Saya mengandaikan semuanya sudah berakhir. Ada yang singgah di Masjid Negara untuk solat. Ada juga menyambung di perkarangan masjid. Tetapi dimana-mana, polis dan FRU menanti.

* Di hadapan stesen keretapi lama

Di Dataran Merdeka, FRU berbaris panjang. Lagak mereka mahu menghambat dan menangkap sesiapa sahaja yang lalu dan menghumban mereka kedalam trak. Tenang sahaja kami beredar. Dari situ, mereka bersepahan. Ada yang terus pulang menaiki Putra dan Star LRT di Masjid Jamek. Ada yang singgah solat di Masjid Jamek. Yang lain-lain mungkin menunggu sahaja apa sahaja yang akan berlaku selepas ini.

* Menuju Dataran Merdeka

Ahamdulillah, segalanya berakhir dengan baik. Tiba sahaja di Masjid Jamek, adik memberitahu dia sudah tiba. Sangka saya di Pudu, rupanya di Hentian Duta. Oh, dengan dia yang buta tentang Kuala Lumpur, saya jadi kalut seketika. Jauh juga mahu kesana. Kalau nak pergi pun, teksi sahaja yang ada. Saya menelefon Angah, memintanya kesana melihat-lihat adiknya. Dia menggunakan motor dari pejabatnya di Mid Valley, jadi tidaklah sukar. Mujurlah panjang akal. Kemudian saya minta adik naik teksi dan turun di Pasar Seni. “Teksi tak masuk Pasar Seni. Turun di KL Sentral,” katanya. Lalu kami bertemu disana. Dari KL Sentral, saya naik komuter turun di UKM Bangi. Saya terbayang suasana tadi. Hanya kamera menjadi saksi. Dengan kaki yang lenguh kerana jauh berjalan (tapi seronok!), komuter pula merangkak tersengguk-sengguk, saya terlepas menghadiri majlis jamuan syarikat apabila tiba di stesen tepat jam 8 malam.

Begitulah perjalanan saya hari ini. Satu perjalanan yang panjang. Satu pengalaman yang membanggakan. Saya ulangi sekai lagi, buat pertama kali dalam hidup, saya bangga dengan diri sendiri. Apa sahaja orang lain kata selepas ini, atau persepsi masyarakat mahu pun kutukan dari mana-mana pemimpin, mata saya adalah saksi atas segala kebenaran yang berlaku. Tiada apa-apa. Cuma berhimpun dengan aman dan pulang selepas diarahkan. Jadi, apa bising-bising?


Nota: Berita yang keluar selepas itu memang tidak memihak kepada perhimpunan ini. Memang ada yang disiram di Masjid Jamek, memang ada yang ditangkap, memang ada yang di provok, tetapi pada sisi lainnya, gelombang kuning ini diharap mampu memberi kesedaran tentang pilihanraya yang adil dan bersih. Undi adalah rahsia, dan ia adalah hak kita sebagai warganegara.

Jumaat, November 02, 2007

Rumah jauh, rumah dekat

Ada lagi satu kisah menarik sempena Hari Raya ini (masih lagi dalam mood raya, jadi kisah raya jugalah yang keluar). Selalu kita dengar mengenai pasangan suami isteri yang mengeluh bila tiba Hari Raya. Maksudnya, yang kahwin dengan orang jauh. Peru fikir nak balik rumah siapa dahulu atau giliran siapa tahun ini atau bajet perbelanjaan yang melambung atau merancang perjalanan pulang supaya terselamat dari kesesakan (walaupun nampak mustahil).

Staff saya yang seorang ini berkahwin dengan seorang jejaka yang tinggal tidak jauh dari rumah ibu bapanya. Dengan erti kata lain, kampung mereka berdekatan. Bila balik kampung, perjalanannya sehala, tak perlu pening kepala fikir lain-lain perkara.

Tetapi yang ini lain pula halnya. Beberapa kali dia merungut, kerana katanya 'belum puas raya rumah mak sendiri, mak dia dah telefon nak ajak berjalan ke rumah saudara-mara.' Kalau tidak pun dia akan cerita yang 'raya pertama belum sampai zohor, tetapi emaknya dah ajak makan tengahari di rumah.' Atau pun versi lainnya 'mentang-mentang rumah dekat, kalau rasa nak makan tengahari rumah mak dia, start sahaja kereta dah sampai.' Atau 'asyik pergi rumah mak dia sahaja. Kalau rumah mak kita ni, panas sangat punggungnya. Asyik ajak balik sahaja!'

Isk, macam-macam hal. Kahwin yang dekat salah, yang jauh pun salah. Tetapi, ada juga kawan-kawan yang gatal menyebut mahu berkahwin dengan anak yatim piatu. Alasannya mudah - tak perlu balik rumah mak mertua ketika raya. Tetapi, saya pasti alasan lain pula keluar nanti - tak ada peluanglah nampaknya beraya rumah mak mertua atau bersalam-salaman dengan mak mertua.

Macam-macam hal!

Satu bantal, dua 'mazhab'

Minggu lalu, saya beraya di rumah seorang teman yang dahulunya berkahwin di tahun akhir pengajian. Waktu itu tepat waktu makan tengahari. Dia yang baru pulang dari kenduri terkocoh-kocoh masak untuk kami yang datang tanpa memberitahu. Sambil membebel dia memasak, walaupun kami menghalang.

Sambil makan, pelbagai cerita keluar. Si isteri sibuk bercerita tentang rumah, gaji, kerja, CTOS, business, bayaran balik pinjaman pelajaran, harga barang, dan topik yang paling menarik - Hari Raya. Suaminya pula kadang-kadang menambah. Tetapi saya kira dialog dibawah ini - antara suami dan isteri tersebut - paling menarik. Untuk makluman, si suami lulusan Business Administration. Isterinya pula Economics.

Suami: Cerita pasal ni sampai tahun depan pun tak hilang di ulang-ulang (Ketika itu si isteri sibuk menceritakan duit-duit yang berterbangan hasil sikap suami yang terlalu berlembut dengan orang lain)
Isteri: Isk..memanglah. Kita ni orang Ekonomi (Economics), mestilah tahu berapa nak bajet, berapa nak belanja. Duit tu banyak, bukannya sikit.
Suami: Eh, kita ni orang Business (Business Administration). Hilang sikit tak apa, adalah gantinya nanti. Kalau hilang satu dapat sepuluh. Hilang sepuluh, dapat seratus.

Saya yang mendengar tersenyum sahaja. Beginilah agaknya ragam suami isteri lain-lain 'mazhab'. Mencari titik pertemuan itu bukan mudah. Masanya juga bukanlah sekejap. Orang kata kena ada give and take.

Perjalanan pulang kerumah, saya terfikirkan dialog pasangan tersebut. Sebab itu kadangkala, isteri di gelar Finance Minister supaya si suami tidak boros berbelanja atau berbelanja sesuka hati. Tetapi, itupun jika dapat isteri yang pandai merancang belanja. Jika tidak, jawatan bertukar jantinalah.

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...