Selasa, Mac 31, 2015

Deria yang tidak dilihat tetapi melihat

Bersambung dari kisah sebelum ini, tetapi kisah dari sisi lain.

Sebenarnya, perkara lain yang mahu aku kongsikan di sini ialah gerak hati. Aku tidak pernah berkongsikan hal ini kepada orang lain kecuali kepada dua orang - seorang yang berada di seberang tambak dan seorang lagi kenalan ku sendiri. Malah nak bercerita pun aku rasa takut - takutkan riak dan tidak ikhlas. Tetapi ketahuilah, ini bukanlah satu kelebihan atau kuasa ajaib yang ada pada ku. Tapi tak tahulah nak cakap. Aku berkongsi di sini pun kerana tidak ada orang yang akan baca blog ini kecuali yang telah aku maklumkan alamatnya yang baru. Oleh itu eloklah nanti aku ceritakan dalam entri berikutnya kerana ini pun dah panjang berjela.
 
Bila berjumpa seseorang, pasti kita akan dapat rasakan keserasian dengannya. Ada orang yang kita boleh masuk dengan cepat. Ada orang yang kita rasa panas dan tak boleh nak berbicara panjang. Ada orang yang pertama kali jumap kita tahu yang kita boleh get along dengannya. Tapi bagaimana kita boleh tahu? Ia lahir dari detikan dalam hati. Ia tidak terzahir secara luaran. Ia datang dengan sendirinya. Kita pun tak tahu mengapa boleh jadi begitu.

Tetapi pada ku, gerak hati atau ada yang kata firasat, lebih dari sekadar itu. Entah bagaimana aku nak memulakan pun aku tak tahu. Gerak hati. Ini aku rasakan bila ada perkara yang berlaku dapat aku hidu sebelum ia berlaku. Kadang-kadang ia datang dalam mimpi. Tapi selalunya dari rasa hati. Selalunya bila bermimpi dengan kawan-kawan, aku akan segera menghubunginya dan bertanya khabar. Setakat ini belum lagi yang aku dapat maklumbalas negatif. Syukurlah, mainan tidur sahaja mungkin.

Tapi gerak hati itu datang dalam bentuk lain. Kadang kala bila buat keputusan, kita boleh jangka apa yang akan kita dapat. Bila berbual-bual dengan seseorang, kita dan boleh nampak ke mana arah perbualan. Jadi, jika aku rasa perbualan tidak ke mana, aku larikan diri awal-awal. Banyak lagi perkara yang berlaku, tapi sukar aku nak ceritakan di sini. Tapi situasi di atas sudah cukup memberikan gambaran tentang firasat.

Nak kata aku ada mengamalkan apa-apa ayat, tidak juga. Amal ibadah pun wajib, sunat tu adalah juga. Insan terpilih? Aku tidak mahu mendabik dada. Aku sedari perkara ini sejak sekolah bila aku seperti pernah berada dalam peristiwa yang sedang berlaku. Macam pernah nampak adengan ini. Tapi aku tak pernah ambil endah. Bila dah berusia begini barulah memikirkannya dengan serius. Lalu aku rasa ini adalah sixth sense. Tapi bukan sixth sense dalam erti kata yang betul. Firasat sahaja lebih tepat.

Aku pernah ceritakan pada kawan ku di seberang tambak itu. Namanya J. Kami menggunakan WA, saling mengantar teks tetapi rupanya dia pun ada ilmu firasat yang sama. Dia menerangkan kepada ku apa yang dalami dan rupanya kami berada dalam situasi yang sama. Malah apa yang dia alami lebih tinggi. Dia menasihatkan aku agar menyimpan 'kelebihan ini baik-baik', tidak menggunakan pada jalan yang salah dan jangan dicakapkan pada orang. Secara jujurnya aku sudah pun menceritakan hal ini pada kenalan lain. A namanya. Gara-gara terlepas cakap. Tetapi aku percaya J. Kami jarang-jarang berinteraksi tetapi kami selalu dapat rasa situasi masing-masing. Seolah-olah kami sedang ber-telepati.

Dengan A, aku menggunakan firasat ku pada tahap maksimum. Ketika itu dia di KK bercuti bersama H. Dia sedang berusaha menasihati H hingga mengikut H bercuti ke KK. A meminta nasihat dariku untuk menasihati H. Aku menyuruh dia berbuat sesuatu dan kata ku, dia pasti akan berkata begini dan begini. A pun menikut dan memang H menjawab seperti apa yang aku jangka. Kemudian aku berkata kepada A - kalau dia kata begini, buatlah begitu. Pasti dia jawab lain, maka buatlah begini. A menurut dan setiap apa yang aku katakan memang benar-benar berlaku. Benar-benar berlaku. A terkejut kerana tak sangka. Aku apatah lagi, tak pernah menggunakan gerak hati untuk perkara seperti ini. Ketika J menasihatkan aku tentang firasat dan gerak hati, aku teringatkan tentang pengalaman A dan H. Sungguh aku takut ketika itu. Sesuatu yang kita jangka rupanya benar-benar berlaku.

Tetapi yang baiknya, aku mengajar diriku memikirkan perkara yang baik dan menggembirakan. Aku megelak dari berfikir negatif. Tidak berbuat jahat dengan orang lain dan cuba menjadi yang terbaik buat yang lain. Aku tidak menggunakan gerak hati untuk menundukkan orang atau menguasai orang lain walau pun aku boleh berbuat demikian demi mendapatkan perhatian, kepentiangan dan wang. Ia boleh sampai pada tahap begitu tetapi kalau itu berlaku percayalah, itu bukan aku. Hakikatnya aku selalu cuba berpura-pura tidak tahu apa-apa sedangkan aku sudah dapat merasakan sesuatu bila berjumpa orang. Aku tidak mahu firasat itu menguasai diriku sehingga aku mengusai manusia yang lain. Biarlah aku berlagak biasa dan natural.


Jauh di sudut hati, aku bersyukur kepada Allah akan kurnia ini. Aku dapat rasakan hidup sebagai orang bujang yang sentiasa bersendirian memang perlu bergantung seratus peratus kepada-Nya dan pergantungan itulah sering menyebabkan aku reda atas apa yang berlaku - tidak merungut atau mengeluh. Aku tahu inilah cara yang Tuhan sampaikan bagi membantu ku keluar dari kesusahan, kesunyian, kesempitan, kepayahan hidup bersendirian. Semakin aku memikirkannya, semakin aku insaf akan keadaan diri dan keagungan Allah.

Aku tahu dengan menceritakan di sini sudah membuka sesuatu yang patut aku simpan. Bukanlah niatku untuk membangga diri. Tetapi ada sesuatu yang mendesak ku untuk menulis - sesuatu yang datang dari hati. Kepada J, aku minta maaf. Aku akan padamkan entri ini selepas seminggu. Bagi yang tahu, harap dapatlah kamu simpan dan percayalah aku tidak sama sekali menggunakan ilmu firasat ini untuk menundukkan manusia. Tetapi aku lah yang patut tunduk - tunduk kepada-Nya atas kurnia ini.

Allah Maha Mengetahui.

Isnin, Mac 30, 2015

Menolak sebelum terbabas

Agak sukar aku melelapkan mata Ahad malam selepas siangnya aku membalas tidur. Ini berawalan dari teater Kena Main yang ku tonton Sabtu malam (atau malam Ahad) bersama Syed dan Afiqah. Sebenarnya bukan salah teater. Teater itu habis awal dari jangkaan. Selepas begambar dan berlegar-legar, aku pun segera pulang. Belum jam 11 pun ketika itu. Namun celakanya, jalan Cheras-Kajang ditutup dan lencongannya memaksa pemanduan mendaki Bukit Mewah Cheras, masuk ke Bandar Tun Hussien Onn dan akhirnya keluar di Jusco Balakong. Satu jam setengah perjalanan. Panas hati dalam kereta bertambah-tambah, apatah lagi lampu minyak sudah berkelip-kelip. Lalu tempat yang tidak biasa, tak tahu berapa jauh, sesak dengan kenderaan yang tersekat (kerana melalui celah-celah taman perumahan) menjadikan aku menahan sabar pada tahap maksimum.

Akibatnya, bila sampai lewat aku pun lewat tidur. Pagi Ahad kelas jam 9.30, aku cuba melelapkan diri selepas Subuh tapi aku memang spesis tak boleh tidur selepas Subuh. Walau dipaksa-paksa mata, memang sukar nak lena. Akhirnya aku bangun dan segera ke kelas. Memang mengantuk tapi ku tahan-tahan. Kelas umum Iqtisad petang itu aku memutuskan untuk tidak pergi. Setibanya di rumah aku segera masak, makan dan tidur. Itulah yang menyebabkan mata aku masih tak mampu tutup walau pun sudah mencecah satu pagi. Kemudian dua pagi. Dan terjaga-jaga lagi selepas itu.

Namun sekitar jam dua lebih, aku terdengar notofokasi BBM ku berbunyi. Eh, pelik. Sudah lama BBM tidak berfungsi - sejak-sejak rakan-rakan tidak menggunakan BB. Aku melihat nama, ada request untuk menambah kenalan dari seorang yang aku kenali bernama T. Aku amat pasti tu dari dia. Aku cuba menyambung tidur tetapi hatiku terdetik sesuatu. Aku memerhatikan lagi nama itu. Accept or decline or ignore? Hatiku berkata-kata. Dalam mata yang kelat dan samar cahaya, aku menekan butang ignore, membuang gambar profil, menukar nama dan membuang caption. Semua friend yang ada dalam senarai pun aku buang. Mereka semua sudah tidak ber-BBM, malah tidak gunakan BB jadi tak perlukan aku simpan lagi senarai mereka.

Jadi kenapa T?

T memang aku kenali. Tetapi sudah aku buang dari senarai FB kerana tidak pernah pun berinteraksi. Malah statusnya selalu marah-marah. Dia mempunyai perniagaan sendiri yang dibangunkan bersama suami yang dikahwini tahun lalu. Suaminya pun aku kenali. Tapi bukanlah itu yang mahu aku cerita.

Aku tahu T mempunyai kecenderungan terhadap ajaran syiah. Dia sendiri yang mengatakannya. Ada usrah yang mereka suami isteri hadiri. Siapa yang mengajar pun aku tahu. Tetapi aku tak ambil pusing. Pada aku, usia muda adalah masa untuk mencari. Walau pun ada juga rasa risau dalam hatiku. Manalah tahu dia benar-benar mendalami? Tapi sekadar mendalami syiah tanpa menyebarkan bukan satu kesalahan di Malaysia. Ia akan menjadi salah jika disebarkan.

Minggu lepas aku ternampak T meninggalkan komen dalam satu status rakan ku yang mengeluarkan ulasan singkat tentang buku Aisyah yang di bacanya. Katanya, Fatimah lebih tinggi darjatnya berbanding Aisyah kerana Aisyah tidak mempunyai anak. Kawan ku membalas tetapi dia juga membalas dengan balasan yang memedihkan.Buat beberapa hari aku termenung juga memikirkan itu. Apakah jawapan yang akan aku balas jika aku juga diberikan komen seperti itu?

Beberapa hari yang lalu dia meninggalkan komen di FB rakan ku yang lain. Katanya 'dah lama tak jumpa'. Gerak hati ku mengatakan yang dia cuba memancing untuk berjumpa dan mencuba-cuba kedalaman ilmunya. Dan awal pagi ini dia mahu berinteraksi dengan ku di BBM sedangkan sebelum ini kami selalu menyapa di WA. Persoalan mengapa dan mengapa berterusan datang. Gerak hati ku cuba menafsirkan sesuatu yang tersurat. Aku mencantum-cantumkan fragmen antara komen tentang Aisyah, 'jumpa' dan BBM.

Sebenarnya, perkara lain yang mahu aku kongsikan di sini ialah gerak hati. Aku tidak pernah berkongsikan hal ini kepada orang lain kecuali kepada dua orang - seorang yang berada di seberang tambak dan seorang lagi kenalan ku sendiri. Malah nak bercerita pun aku rasa takut - takutkan riak dan tidak ikhlas. Tetapi ketahuilah, ini bukanlah satu kelebihan atau kuasa ajaib yang ada pada ku. Tapi tak tahulah nak cakap. Aku berkongsi di sini pun kerana tidak ada orang yang akan baca blog ini kecuali yang telah aku maklumkan alamatnya yang baru. Oleh itu eloklah nanti aku ceritakan dalam entri berikutnya kerana ini pun dah panjang berjela.

Berbalik kepada T, aku dapat merasakan dia mahu mencuba ilmu yang sudah dipelajari. Cuba mengusik pengetahuan kami tentang sunni dan syiah. Cuba meninggalkan keraguan pada jawapan kami terhadap pandangannya yang cenderung kepada syiah.

Aku bukanlah seorang yang pandai berdebat. Aku tidak pandai menuturkan kata secara spontan. Aku selalu kalah meski pun berbual biasa dengan kawan-kawan. Kehebatan ku cuma pada menulis. Oleh itu, demi terbau perkara yang boleh membawa masalah di lain hari, eloklah aku mengambil langkah awal dengan melarikan diri dari masalah. Ada cara bagaimana nak berhadapan dengan mereka. Dalam masa yang sama aku berdoa agar Allah menunjukkan mereka jalan yang betul dan membantuku mengeluarkan mereka dalam kesilapan, dan memberi ku kekuatan dalam mengharungi cabaran hidup akhir zaman ini.



Rabu, Mac 25, 2015

Teman dari seberang

Dalam kumpulan seramai sembilan orang pelajar yang sama masuk mendaftar semester lepas, ada seorang yang selalu aku perhatikan ketika kuliah. Sebenarnya aku perhatikan semua - dah memang itulah cara aku menilai dan menapis maklumat. Namun dia berbeza pada pandanganku. Dia pelajar dari seberang dan pelajar sepenuh masa. Aku pula berstatus separuh masa tetapi kelas pada hari bekerja pun aku ambil dan sering berlari-lari dari pejabat ke kuliah, dari assignment dan mesyuarat pejabat.

Pada minggu-minggu awal, aku perhatikan dia menulis di belakang manual pelajar yang dibekalkan kepada setiap pelajar. Dia tulis menggunakan pensil. Aku mula bersikap sinis, hendak belajar tak ada alat tulis yang lengkapkah? Dalam kelas aku perhatikan tak pernah dia terlelap mahu pun menguap, bukan seperti kami yang lain. Dia tunduk dan tekun menghadam bait kata pensyarah. Sesekali mengemukakan soalan. Tak pernah di amemegang henfon atau gajet seperti yang lain. Atau mungkin juga dia tidak mempunyai henfon. Orangnya kecil sahaja tetapi suaranya kuat. Matanya bulat menampakkan dia seorang bercita-cita tinggi. Kulitnya hitam sawo matang dan dialek Jawa kuat melekat pada bicaranya.

Selepas beberapa minggu dapat aku perhatikan dia menulis di atas buku yang tidaklah setebal yang aku miliki. Ya, sudah miliki buku nota yang berupa buku latihan sekolah. Namun dia masih menulis menggunakan pensil. Buku itu dipakai pada semua kelas yang dia hadiri. Dia tidak menyalin nota yang panjang, kadang-kadang sempat aku jeling tak sampai pun satu muka. Tulisannya halus bagi menjimatkan ruang. Kalau dia mencetak nota atau bacaan yang diminta oleh pensyarah, dia memaksimumkan penggunaan kertas. Kalau kawan yang lain mencetak satu halaman artikel pada sehelai A4, atau yang biasa aku lakukan dua halaman dalam satu helai, dia pula aku lihat mencetak enam halaman dalam satu helai. Six in one. Kecil, memang nampak kecil. Apatah lagi sehelai cetakan berharga tiga puluh sen yang pada aku mahal bagi pelajar jauh sepertinya.
 
Aku kian memasang pandangan kepadanya pada kesempatan kelas yang kami bersama - sebenarnya sama paa semua kelas. Barulah aku perasan dia memakai baju yang sama setiap kali kelas. Mungkin kerana kami bertemu empat kami seminggu pada semester lepas, maka aku dapat kesan kemeja itulah yang tersarung ke badan. Cuma sekali dua sahaja tersarung kemeja lain. Aku pernah cuba berbual, bertanyakan soalan-soalan ringkas tentang asal dirinya tetapi dia juga sepertiku, berat mulut. Sepatah ditanya sepatah dijawab. Tetapi dia bukanlah pendiam, aku lihat dia ramah sahaja dengan rakan yang lain. Mungkin aku belum temui topik perbualan yang boleh masuk dengan dirinya.

Semester ini dia terlewat sebulan kerana urusan visanya tidak selesai-selesai di sana. Dia menyertai kami selepas tiga minggu kelas bermula. Dia tetap menjadi perhatianku. Tidak ada perubahan pada dirinya. Masih menulis menggunakan pensil. Bukunya aku lihat pun masih buku latihan yang nipis. Notanya masih pendek dan tulisan tetap halus. Kemejanya juga sama seperti semester lepas, malah sudah tiga minggu aku lihat kemeja itulah juga yang disarungnya dalam kelas. Semester ini barulah aku dapat tahu maklumat tentang dirinya selepas sesi perkenalan dibuat di kelas. Dia rupanya sudah menyelesaikan sarjana di UM beberapa tahun yang lalu dan kini sedang dalam perjalanan Ijazah Doktor Falsafah. Dia menyewa bersama seorang rakan sekelas yang sering aku lihat datang dan pulang bersama. Aku tidak tahu pula apa yang dimakan, bagaimana bilik sewanya atau perjalanannya ke kuliah. Aku pasti dia menanggung bebanan kewangan yang sungguh mencengkam tetapi aku dapat melihat dia selalu meninggalkan kesukaran itu di bilik sewanya. Ketika di kelas, dia adalah seorang pelajar yang sangat dahagakan ilmu walau pun aku tahu dia diselubungi kekurangan dalam perjalanan kesarjaannya ini.

Aku pasti dia akan menjadi seorang yang berjaya suatu hari nanti. Hanya jika dia masih kekal menjadi dirinya seperti hari ini. Aku doakan agar kau berjaya menjadi manusia, sahabat.


Isnin, Mac 23, 2015

Sebuah Apokalips dari M.Nasir


Apokalips - M.Nasir (live at Istana Budaya: Konsert Alam Muzik)  





Kupasan lirik ini aku salin dari Youtube. Apokalips, dengar banyak klai pun tak jemu. Banyak tersurat, yang tersirat apatah lagi. Begitulah genius Loloq dalam menulis lirik. M Nasir tak pernah temui penggantinya, sehingga sekarang pun dia tidak menghasilkan album baru. Hanya kerana tiada lirik yang benar-benar berkesan. Tunggu, nanti kan aku siapkan lirik seperti Loloq.  

---

1 2 3 Do Re Mi
(Kupasan) Kita manusia selalu berfikir tentang duit & hiburan

Apa nak jadi
Alif Bata A B C
(Kupasan) Kita meminggirkan al-Quran dan juga ilmu yang bermanfaat

Apa nak jadi
Akan terjadi
(Kupasan) Qada & qada

Hujan pasti berhenti
(Kupasan) Alam mengikut peredaran yang telah ditentukan
(Kupasan) Hujan sebagai lambang rahmat yang pasti ada penamatnya

Ada masanya aku suka berteman
(Kupasan) Solat berjemaah & segala aktiviti bermasyarakat

Ada masanya aku suka bersendiri
(Kupasan) Solat tahajud, solat taubat, muhasabah diri

Ada masanya aku suka berjalan
(Kupasan) Menziarahi & bergerak mencari ilmu / rezeki / sahabat / hiburan

Ada masanya aku suka berehat
(Kupasan) Rehat dan tidur – itulah had kita sebagai makhluk yang pasti penat

Ada masanya engkau suka berteman
Ada masanya engkau suka bersendiri
Ada masanya engkau suka berjalan
Ada masanya engkau suka apa yang ku suka
(Kupasan) Kita semua sama, “bebas” melakukan apa yang kita suka dengan izin Allah.

Hidup dan nasib roler koster
(Kupasan) Roler koster – permainan yang mengujakan, kadang kita rasa takut, terkadang kita rasa seronok. Begitu juga aras kebahagian dan rezeki kita, kadang ada, kadang tiada. Jika mahu thrill yg lebih menguja silakan pilih roler koster yg lebih mencabar, jika tidak pilih saja yg layaknya untuk kanak-kanak.

Susah dan senang bersilih ganti
(Kupasan) Alif Laam Miim,[1]. Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan:”Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi?[2]. Surah Al-’Ankabut, ayat 1 & 2

Bila-bila boleh naik dan turun
(Kupasan) Kita tidak tau apa nasib kita maka ingatlah 5 perkara sebelum 5 perkara.

Apokalips x 4
1 2 3 Do Re Mi
Apa nak jadi
Alif Bata A B C
Apa nak jadi
Akan terjadi
Hujan pasti berhenti
Ada masanya kita suka berteman
Ada masanya kita suka bersendiri
Ada masanya kita suka berjalan
Ada masanya kita suka

Lirik: Allahyarham Rosli Khamis atau lebih dikenali sebagai Loloq.
Kupasan: Fairuz_Hafeez



Ahad, Mac 22, 2015

Mencari mustajab




Prof Muhd Kamil Ibrahim dalam bukunya yang berjudul Bersyukur Saat Diuji bercerita tentang hakikat dan kuasa doa. Ketika berpeluang mengajar di Makkah, beliau berkesempatan mengerjakan umrah beberapa kali. Kemudian beliau menerima doa-doa yang dikirimkan oleh kenalan menerusi FB dan blog yang menurutnya 'kalau dikumpulkan, agak saya berpuluh-puluh lembaran kertas kajang yang meminta saya berdoa di Madinah terutamanya secara spesifik di Raudah, Masjid Nabawi terutamanya dalam konteks memohon Allah memberikan kejayaan kepada anak-anak mereka'

Saya teringat seorang rakan yang baru pulang dari umrahnya beberapa minggu yang lalu. Ketika kawan-kawan mengirimkan mesej peribadi berupa doa-doa yang minta dilafazkan di tempat yang mustajab di Tanah Suci, dia tanpa segan silu berkata 'aku nak doakan kau semua dapat pergi umrah supaya boleh berdoa sendiri depan Kaabah, bukannya kirim doa pada aku'. Kedengarannya memang lucu tetapi dia serius. Saya yang membaca mesejnya mula bersangka buruk. Ada nada angkuh, berlagak dan mementingkan diri sendiri di situ. Ini umrah pertamanya meski pun sudah banyak negara dia jelajahi. Tambahan pula suasana Makkah yang masih sibuk dengan pembinaan, banyak perkara yang merunsingkan. Kadang kala sempat saya berbual sendirian dengannnya, memang itulah perkara yang dirisaukan. Tetapi dia seorang positif dan mempunyai tahap keyakinan yang sangat-sangat tinggi. Dia yakin Allah membantunya di sana, lalu dia pun berdoa sejak di tanah air agar dipermudahkan urusan.

Tetapi selepas dia mengeluarkan kata-kata pedasnya itu, tak putus-putus juga kawan mengirimkan doa. Mungkin mereka tak faham atau buat-buat tak faham. Saya yang bersangka buruk awalnya cuba menjernihkan fikiran, tidak membalas kata-katanya, mendiamkan diri beberapa hari dan mencari kebenaran disebalik kata-katanya. Saya melihat diri. Ketika mengerjakan umrah dahulu seingat saya beberapa orang sahaja yang mengirimkan doa. Itu pun sebab saya tidak menghebahkan pemergian. Kalaulah - ya, kalaulah - saya menerima banyak kiriman, jenuh juga nak membaca semua doa mereka. Sedangkan yang penting ialah urusan kita dengan Tuhan. Amal ibadat yang perlu ditambah-tambahkan. Berhadapan dengan dugaan-dugaan yang tidak terjangkaukan oleh akal fikiran. Dugaan jemaah lain dan cuaca yang sering menjadi kerisauan. Inikan pula berusaha menyampaikan doa mereka. Memang saya berniat buruk pada sahabat saya ini ketika itu. 

Dia mengulang lagi pesanannya dengan lebih halus. Katanya, 'kalau kamu semua berdoa dengan betul, doa sendirilah yang lebih mustajab. Tuhan kan Maha Mendengar. Dia tak akan membiarkan kita dalam kesusahan. Kalau kita berdoa, pasti kita dapat'. Bila mendengar ayatnya yang berikut ini, barulah saya faham tujuan dia berkata demikian. Bukanlah bermaksud dia tidak mahu menyampaikan doa-doa yang dia terima, tetapi sebagai nasihat kepada kita agar meminta sendiri kepada Tuhan. Kita tahu keadaan diri kita bagaimana. Kalau kita susah dan minta kesenangan, kitalah tahu tahap susah senangnya diri kita. Apabila berdoa, kita akan meminta dengan sesungguhnya. Ini berbeza jika disampaikan kepada orang lain. Meski pun di tempat yang mustajab. 

Prof Kamil berkata lagi, 'doa ibu bapa paling mustajab. Anak kita, harapan kita, hati kita, biarlah kita yang berdoa bersungguh-sungguh buat mereka'. Jadi betullah kata sahabat itu, doa sendirilah yang paling hebat kerana kita sendiri yang meminta, bukan menerusi perantara. Malah yang paling hebat ialah ujian yang akan kita lalui untuk menjadi anak soleh. Selepas ibu bapa meninggal, ujian kehidupan berpindah kepada anak-anak untuk menentukan ibu bapa mendapat hubungan dari anaknya iaitu doa anak yang soleh. Berapa ramai dari kita yang berusaha menjadi anak yang soleh lalu berdoa untuk kesejahteraan ibu bapanya yang telah tiada di dunia? Adakah kita anak yang soleh? Adakah kita selalu mendoakan mereka?

Begitulah kuatnya kuasa doa. Apatah lagi ketika diuji, kekuatan kita untuk terus berdiri adalah dengan doa. Berhubung terus dengan Tuhan dan bergantung sepenuh kepadanya dengan seikhlas hati tanpa bersangka buruk dengan Allah. Jadi kepada para sahabat yang berkongsi cerita tentang cabaran hidup mereka kala ini, berdoalah. Semoga terbuka keizinan dari ibu bapa untuk melanjutkan pelajaranmu keluar negeri, semoga selesai masalah rumahtangga, semoga pengajian berjaya ditamatkan dengan berjaya, semoga dimudahkan urusan menulis tesis dan semoga perniagaan berjaya mengharungi cabaran yang tidak menentu. Berdoalah, berdoalah. 


Jumaat, Mac 20, 2015

Membetulkan prasangka terhadap ilmuan Melayu

Sedang membaca mengenai Sheikh Ahmad al-Fatani dalam buku yag ditulis oleh Hj Wan Mohd Shaghir Abdullah berjudul Wawasan Pemikiran Islam Ulama Asia Tenggara Jilid 2 (2000, Khazanah Fathaniyah. Kuala Lumpur). Terasa insaf sungguh dengan peranannya dalam persuratan, penerbitan, percetakan dan penulisan selain ilmunya yang besar dalam menguasai 45 cabang ilmu. Itu belum lagi lantikannya dalam kerajaan Uthmaniyah yang boleh 'berurusan langsung kepada Sulan Abdul Hamid Khan al-Thani dan Syarif / Raja Makkah' (hal 107). Selain itu, dinyatakan juga bahawa Sheikh Ahmad al-Fatani merupakan 'Penasihat Sultan-sultan melayu walau pun tidak rasmi seperti kerajaan Turki-Uthmaniah' (hal 108) menerusi surat-menyurat timbal balik anaara beliau dengan beberapa orang Sultan di dunia Melayu, antaranya Raja Kelantan, Raja Muda Jambu dan Sultan Zainal Abidin III.


Banyak lagi sumbangan Sheikh Ahmad al-Fatani yang sedang cuba ku catatkan sedikit demi sedikit bagi membuang label 'ulama yang bercakap hal agama sahaja', satu gelaran yang telah lama ditempelkan pada mereka sehingga kita pun berfikiran yang ulama sekadar bercakap hal agama, soal furu' dan khilafiah yang tak berkembang dan tak menyumbang apa-apa pada pemikiran dan peradaban Melayu. Buangkan stigma dan prasangka ini kawan! Sumbangan mereka lebih besar dari itu!

Khamis, Mac 19, 2015

Bual orang lama

Suatu hari, saya menghubungi penyair Rosli K. Matari. Beliau penyair yang sudah lama dalam dunia kepenyairan, karyanya sesekali tembus di media utama tetapi merendah diri nun di Kelantan. Ketika itu saya mencari karya penyair lama untuk mengukuhkah penguasaan bahasa dalam bidang kepenyairan. Nama Rosli K Matari muncul dalam senarai. Dalam masa yang sama, saya ternampak namanya disebut oleh Roslan Jomel dalam blognya. Google menemukan saya dengan blognya dan berjaya mendapatkan alamat emel beliau. Berminat sungguh nak mendapatkan kumpulan puisi Nun Bulan yang diterbitkan sendiri, itu pun yang pertama selepas berpuluh tahun berpuisi. *Tapi ornag sekarang tak keluar puisi apa pun sudah ada buku puisi sendiri*

Emelku dibalas sambil dia meminta alamat kerana Nun Bulan telah habis dipasaran (cetak pun tak banyak). Dia menghadiahkan ku koleksi yang tersisa dalam simpanannya. Nun Bulan ku baca selalu, sangat terkesan dan berbeza dari pemuisi lain. Ayatnya ringkas dan makan dalam. Cukup merendah diri dan bahasanya tidak terpekik-pekik . Begitulah gaya orang lama berbicara.

Ketika mengambil hadiah kemenangan dalam HSKU 2011 bagi puisi Tidak Seorang Pun Wartawan Datang Bertanya, beliau juga berada di podium kemenangan dan kami saling bertukar khabar (dan berkenalan). Beliau tetap begitu, merendah dan diam. Satu pengajaran untukku juga - menunduk dan merendah.

Awal minggu ini Berita Harian membuat liputan tentang Rosli K Matari. Tidak sempat aku baca akhbar tersebut di tengah kelas yang bersambung-sambung. Tetapi sempat saya membuat komen di alam FB Nazmi Yaakub yang menyiarkan liputan tersebut. Rupanya saya ornag pertama memberi komen. Ringkas sahaja, berbunyi:
Saya menggemari puisi Rosli K Matari. Semoga terus dapat menghasilkan lebih banyak puisi yang bermanfaat..

Ringkas dan semoga padat kerana merasakan itulah yang baik untuk penulis lama sepertinya. Selang sehari, saya menerima emel daripadanya, meminta alamat untuk mebgirimkan buku puis terbarunya. Ya, memang terharu. Dia membalas lagi, kali ini ku salinkan di bawah sebagai tanda ingatan buat diri sendiri.


Emel yang dibalas kepada saya. Lihatlah gaya orang lama menulis, sama seperti menulis surat, siap dengan tarikh :)

----

19.03.2015

Norziati, wassalam.

Sebenarnya, saya tak memandai apapun tentang FB, wassap (salah kok ejaan ini). sehabis-habis pandai hanya menaip dan save, dan e-mel sahaja. e-mel pun baru lebih kurang 2 tahun sahaja, baru pandai, diajar bebudak. dulu-dulu,undo pun tak pernah tau. entah berapa banyak esei dan puisi saya ditelannya, sebelum tahu dan pandai undo. ha ha ha. kelmarin, kebetulan rahimidin zahari pulang. kami sarapan. adalah rahimidin tunjukkan beberapa respon, tetapi tak tau itu wassap atau FB siapa. ada terbaca juga yang ditulis oleh norziati. tetapi bukan kerana itu. saya belum mengirim kepada sesiapa,kecuali teman-teman yang dekat memang sudah sempat by hand sahaja. saya sedang mengumpul dan menaip alamat sejumlah sahabat dan kenalan untuk dikirimkan. dan memang norziati termasuk dalam niat saya juga kerana dulu pernah kirimkan Nun Bulan. Terima kasih atas alamat dan insya-Allah, saya kirimkan. Teruslah menulis. Terima kasih. Moga-moga dapat jumpa lagi. ALLAH MAHA PENYANTUN.

---
Ini pula balasan ku kepadanya:
---

Assalamualaikum,

Saya memahami dilema ini :)

Teknologi terlalu pantas buat anak muda tetapi mereka lekas lupa dengan banyak perkara bila cuba berlari terlalu cepat.
Saya beruntung berada dalam generasi sebelum teknologi dan berada di zaman perantaraan antara sebelum dan selepas kedatangan internet.
Maklumat terlalu pantas dan cepat datang, sehingga kita tak tahu apa yang patut dibaca.
Cabaran zaman sangat berbeza :)

Insha-Allah, semoga berkesempatan bertemu lagi.
Saya menanti kedatangan buku yang dimaksudkan dengan rasa teruja.

Wassalam

Selasa, Mac 17, 2015

Membina masyarakat

Saya pernah bertanyakan satu soalan mengenai tindakan memboikot produk-produk yang diusahakan oleh sesetengah pihak. Semalam pula ada satu soalan lain yang bertanya bagaimana untuk memulakan satu usaha yang berbeza dari keadaan semasa masyarakat.

Kedua-dua jawapannya sama. Kita hendaklah bermula dengan diri sendiri, kemudian dengan orang terdekat disekitar kita dan berdikit-dikit masuk ke dalam masyarakat.

Tidak semena-mena saya teringat kepada usaha dakwah Nabi. Baginda tidak terus meluaskan dakwahnya ke masyarakat jahiliah di Mekah sebaliknya memulakan dalam lingkungan yang kecil. Dimulakan dengan isteri, kemudian oleh sahabat dan barulah kepada jiran-jiran dan masyarakat sekitar.

Begitu juga selepas Nabi berhijrah ke Mekah, baginda memulakan pembinaan masjid dan membangunkan komuniti masyarakat dahulu yang membolehkan mereka melakukan urusan jual beli sesama mereka. Dengan itu mereka boleh mengelak dari membeli barang-barang yang diragui atau terhindar dari agenda pemboikotan oleh puak musyrikin di Madinah.

Tapi semua itu berlandaskan akhlak. Untuk bermula, kita perlu menjadi insan yang dipercayai supaya kata-kata kita bukan dilihat satu retorik atau omongan kosong. Sebelum Nabi memulakan dakwah, baginda sudah terkenal mempunyai akhlak terpuji dan sangat dipecayai oleh masyarakat jahiliah Mekah. Oleh itu, tatkala menyampaikan seruan Islam yang asing pada masyarakat Mekah, Abu Bakar tidak menunggu lama untuk menerima Islam kerana dia tahu Nabi tidak akan sama-sekali menipu.
Dia sangat mempercayai Muhammad.

Jadi untuk bermula, mulakanlah dengan diri sendiri.

Rabu, Mac 11, 2015

Menyambung sebuah peradaban


Prof Dr Selim al-Hassani memulakan syarahan dengan berkata, "if you build friendship because of Allah, there is no business in between. No ego, no..." Banyak ilmu yang beliau kongsikan, bukan sekadar usahanya membangunkan muslimheritage.com dan 1001inventions dalam mengisi 'the missing gap' tapi membawa kita mengingat kembali siapa kita dan membetulkan salah pandang kita terhadap diri, kerjaya dan kehidupan. Paling tidak, untuk syarikat kecil kami di Klasika Media yang berusaha untuk 'connecting the past to the future'.

Nota yang saya salin ketika syarahannya dalam ayat yang pendek-pendek, nampak sangat sesuai dengan diri. Antara lain beliau menyatakan bahawa:
  1. Ketika berkelana dari satu negara ke satu negara bagi menyertai pameran 1001 Inventions, pasukannya menyediakan buku tetamu untuk ditandatangani oleh pengunjung. Katanya, "in general, there is inferiority complex in this books'. Ramai yang menangis selepas melihat pameran.
  2. Secara tidak langsung, pameran ini berjaya canging the mindset of people. Kandungan guest book ini, bila dikumpulkan boleh menyiapkan sebuah tesis PhD tentang inferiority complex sebuah penganut agama yang besar - Islam.
  3. People who respect each other will respect each other.
  4. How did the Muslim civilization go up is the right question we need to ask, not why did we fell down.
  5. Bercerita tentang al-Biruni yang sudah terlantar tua ketika di datangi sesorang bagi menyelesaikan satu soalan matematik. Saya tak ingat apa soalannya dan apa yang berlaku ketika itu kerana sibuk menyalin, tetapi kemudiannya al-Biruni menjawab, "what I will answer to Allah if i have opportunity to learn but I did not learn?"
  6. Amal salih is do good deed, not only amal. Iman is input, amal saleh is output. Human being must have input and output.
  7. Lita'arafu means to appreciate each other, not only to know each other. How do you get people appreciate to each other? Praise the contribution -  best way is to know the best side of them and praise them.
  8. Not leave the past but to connect the past to the future.
  9. Sejarah merupakan subjek yang beliau tak gemar ketika belajar. History is about killing each other, katanya. Rupanya sejarah ada banyak sisi. Apa yang ditunjukkan kepadanya tentang sejarah ialah history of politics, history of religous argument and history of the state. Oleh itu sejarah padanya penuh darah, tidak membawa kepada kemajuan ketamadunan.
  10. Sustainable history, itulah yang beliau dan networknya cuba lakukan. Kami bekerja secara ...jika saya mati, ada yang lain akan meneruskannya.
  11. Perlu ada ketua dalam satu kumpulan. Jika berjalan berdua pun, salah seorang perlu menjadi ketua. Dia akan memimpin dan menunjukkan jalan
  12. Soalan tentang feminisme yang pesimis tentang Islam juga dijawab dengan baik. Apabila kita tak tahu sejarah, memang kita akan sefahaman dengan puak barat bahawa Islam meminggirkan perempuan sedangkan yang banyak meminggirkan perempuan ialah Kristian. Perempuan tak boleh jadi paderi dalam Kristian, tetapi kita masih mengekori mereka.
  13. Health and safety officer during the time of khalifah Umar is a woman name al-Shifa
  14. There are 5 million Islam manuscript around the globe in which only 50,000 has been edited. To add to his point, there are 30,000 Malay manuscript found so far and only 3,000 manuscript already being studied.
  15. What is vs what will be *I miss his point
  16. Dont give up on Allah's mercy. Positive money movement - wealth is a part of health (al-ghina' min al-'afiyah
Soalan yang penting patut kita tanya kepada diri sendiri ialah bagaimana dahulu kita boleh berjaya, bukannya bertanya kenapa kita jatuh. Malah, selalu juga kita dengar orang berkata 'history repeat itself if we dont learn' tapi hari ini saya mendengar pula kata-kata 'unknown about history make us inferior'.

Bagaimana beliau membangunkan muslimheritage juga satu cerita menarik. Dia mempunyai kerjaya yang bagus sebagai 'explosive controller'. Tetapi satu hari dia dikejutkan oleh teguran Professor Donald Cardwell (1919-1998). Do you know that there is 1000 years missiong gap in the history of science and civilisation? Dia tidak percaya kerana tidak menyukai sejarah. Tetapi bila suatu hari dia membaca sebuah buku sains dan teknologi yang menyenaraikan tokoh sains dunia, barulah dia perasan akan 1000 tahun yang hilang itu. 1000 tahun yang ditutup oeh Dark Ages barat. Yang dark ialah mereka. Sedangkan ketika itu peradaban Islam sedang mekar dan berkembang di Baghdad, Andalus, Cordoba, Bukhara, Parsi dan lain-lain yang bersempadanan dengan negara tersebut. Apa yang berlaku selepas itu kepadanya menjadi sejarah yang sangat menyedarkan.

Sepanjang syarahannya, sepanjang perjalanan pulang, hatta sebelum tiba di dewan syarahan pun, dalam kepala ku terbayang-bayangkan sesuatu. jawiherigate.com. Why not? Kita ada missing gap juga kan?


Mencari cahaya

Semester kedua sudah bermula, sudah masuk minggu kedua. Perasaan sangat teruja dan bersemangat. Sebulan tanpa kelas tanpa kuliah rasa lost dan keciciran, walau pun membaca, kita rasa ada sesuatu yang hilang.mtiada inout masuk, tiada pengetahuan baharu yang sampai. 

Aku anggap itu adalah proses pembelajaran. Bila dah nampak lampu yang terang, kita akan rimas duduk dalam bilik yang gelap atau samar-samar. 

Selasa, Mac 10, 2015

Yang jelas dan terang

Kalau tidak tahu, kita perlu tahu dengan siapa kita merujuk. Doa adalah senjata kita, yang Dia tidak pernah meninggalkan kita. Tetapi kita selalu lupa dan buat-buat lupa. Bila mendengar ceramah Prof Muhd Kamil Ibrahim di Youtube, dia memulakan ceramahnya dengan doa. Panjang sekali doanya, menusuk ke kalbu, tepat, jelas dan terang. Tidak berselindung, tidak beralas kata. Dia minta, maka Tuhan tidak pernah tak memakbulkan. Paling tidak, terlewat. Kita selalu tidak sabar dalam meminta lalu bersangka buruk pada Tuhan. Na'uzubillah.

Tatkala mendengar ceramahnya, saya akan mendengar dengan teliti, memahami dan mengambil butir-butir yang penting. Kemudian saya mula amalkan, berdoa tidak kira masa. Ketika sedang buat kerja, di atas motor, ketika meliht awan, sedang makan, ketika mahu melelapkan mata, membaca buku, dalam kelas hatta sedang bermesyuarat. Doa yang sangat-sangat saya minta ialah dimudahkan perjalanan sarjana, diberikan ilmu yang betul, diberi kefahaman ketika membaca buku bagi menulis tesis, mendapat skop yang betul untuk tesis, dipermudahkan urusan menulis tesis sehingga siap, ditemukan bacaan yang betul untuk tesis, diberikan kefahaman ketika belajar dan dihilangkan perasaan mengantuk dalam kelas. Sejak-sejak itu, terasa perubahan besar dalam diri. Halangan menulis tesis bagaikan tercabut dan ditemukan dengan buku-buku patut baca. bantuan luar jangkaan pun datang tiba-tiba.

Berdoalah, Dia akan makbulkan. Subhanallah.



Isnin, Mac 09, 2015

Yang tidak nampak di pandangan

Teringat-ingat pengalaman berkayak dari Pulau Singa Besar (Langkawi) ke Kuala Perlis selama enam jam. Kenangan 1999 itu adalah detik yang paling tidak dilupakan sepanjang hidup.

Berkayak antara cara membina keyakinan terhadap apa yang ada di hadapan. Bayangkanlah di lautan yang luas, kita hanya nampak satu titik kabur nun jauh di hadapan yang menjadi panduan berkayak. Kita tahu itulah destinasi berdasarkan kepada peta dan arah. Menuju ke destinasi itulah yang mendatangkan cabaran. Atas keyakinan itulah kita memulakan perjalanan. Andai kata kita tidak yakin dengan destinasi, pastinya arah dan matlamat kita menjadi huru hara. Itu belum lagi dengan hujan atau gelombang ombak di tengah-tengah lautan...

Jadi, nilailah dengan usaha kita terhadap ilmu. Kita tak tahu, tapi perlu belajar untuk menjadi tahu. Kita takut dengan apa yang kita pelajari kerana semua itu perkara baru. Kita takut tersilap, kita takut tersalah. Kita tidak pasti siapa guru kita. Adakah dia guru yang betul? Adakah dia menyampaikan ilmu yang betul? Adakah kita di jalan yang benar? Seperti berkayak, kita perlu merancang dan memastikan arah agar betul dan tepat. Kalau tidak, penat berkayak tapi tak sampai atau sesat. Begitu juga belajar. Harus merancang, perlu menyelidik. Perlu menyendiri, perlu memahami. Semua itu kita tidak nampak tapi kita akan diajar menerusi pengalaman.

Seperti berkayak, kita merasa puas bila tiba ke destinasi. Seperti ilmu, kita akan merasai nikmat bila mencicip ilmu yang betul. Sepanjang perjalanan itu kita akan temui pelbagai perkara. Tapi putus asa usah ada dalam hidup kita. Belajarlah, terus belajar. Belajarlah dengan guru yang betul.





Ahad, Mac 08, 2015

Air yang mengalir

Ketika berada di ruangan wuduk, saya terpandang kepada seorang perempuan di sudut sana. Air yang mengalir dari paip yang dibuka sangat kecil. Lintasan pertama muncul di kepala - masjid ini sudah masuk ke dalam zon catuan bekalan air. Sedangkan ketika maghrib tadi air masih lagi besar. Saya pun memulas kepala paip sesungguh hati. Tetapi air yang keluar melimpah-limpah hingga terpercik menghampiri perempuan tadi. Lintasan kedua pula muncul di kepala tentang hadis Nabi yang mene...gur pembaziran meski pun ketika berwuduk.


Insaf T___T


-----
Hadis penuh ialah:
Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah melewati Saad yang sedang berwuduk, lalu Baginda SAW bertanya, "Mengapa engkau berlebih-lebihan seperti ini wahai Saad?" Saad bertanya: "Apakah di dalam wuduk juga ada istilah berlebih-lebihan?" Baginda SAW menjawab, "Benar, sekalipun engkau berada di sungai yang mengalir". (Riwayat Ahmad).

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...