Jumaat, September 26, 2008

Perjalanan mencari cahaya yang bukan mudah

Tidak semua dari kita dikurniakan kesempatan untuk mengecapi segala nikmat yang terhidang di muka bumi ini ketika hayat masih wujud. Ada yang merentasi waktu dengan amat payah. Tidak kurang pula merasakan dia seolah-olah di pinggirkan dari kehidupan. Malah, ada yang memilih untuk menggelapkan diri dalam kehidupan juga membiarkan dirinya ditentukan oleh masa yang tidak pasti.

Nikmat yang dikurniakan-Nya pelbagai. Ada orang lahir dengan segala kemewahan. Segala apa yang diminta boleh wujud dalam sekelip mata. Apa yang dinginkan hadir dengan mudah. Yang lain pula perlu berusaha, kadang kala bukan sekali tetapi berkali-kali sehingga terbit perasaan berputus asa.

Begitu juga hidup. Tidak semua orang dikurniakan kesempatan untuk menerima segala apa yang diwahyukan kepada Muhammad. Tidak semua orang berpeluang menerima hidayah dengan mudah. Tidak ramai yang hidup di tengah cahaya nan terang, di suluhkan perjalanannya di dunia dan melihat kehidupan dengan mata hati yang ikhlas.

Ada diantara kita benar-benar di uji. Ada yang lahir tanpa sekelumit suasana yang menggalakkannya untuk mengenali Islam dengan sempurna. Ibu bapanya begini, masyarakatnya begitu, sekolah pula entah macamana. Lalu, mereka jadi keliru. Tidak tahu mana Islam yang syumul, dan mana yang palsu. Mereka tidak pasti apa yang dicari, siapa yang harus di ikuti, apakah yang harus dilakukan. Akhirnya, tenggelamlah ia bersama keluarga dan masyarakat yang tidak begitu membantu mencorakkannya dengan sempurna.

Saya kesal kadang-kadang dengan orang yang serba sempurna ini. Mereka tutup mata dengan kejahilan sesetengah kawan dan jiran. Buat-buat tidak tahu dengan apa yang berlaku. Tidak berusaha mencegah atau menyedarkan. Seolah-olah syurga telah tertulis untuk dirinya, bukan untuk orang-orang yang di tengah kejahilan itu. Dia sahaja yang layak, orang lain tidak.

Saya sering menasihatkan diri untuk berada di tengah-tengah sebagai usaha menyedar dan menginsafi kejadian diri. Meletakkan kaki sebelah pada bahagian putih, dan sebelah pada bahagian hitam-kelabu. Maksudnya, saya berkawan dengan semua, kerana saya asalnya bukanlah dari golongan yang serba putih tetapi bukan pula hitam. Kemujuran hanyalah kerana saya ditengah keluarga dan masyarakat yang tidak terlalu ekstrem dan tidak terlalu sesat.

Dengan yang putih, saya bergaul dengan orang yang mengaku hebat dalam Jemaah, melaksanakan syariat dengan sempurna, cukup amal ibadahnya, tutur katanya adalah yang berunsur peringatan, sering menunjukkan hal kebaikan dan meluncurkan ingatan terhadap matlamat kehidupan.

Pada bahagian hitam-kelabu, suasana masyarakat sebenar terdedah dan jelas terpapar kehidupan yang serba merimaskan. Keluarga porak poranda, hidup kucar kacir, sekolah tak habis, kawan-kawan yang rosak akhlak, menjadi mat dan minah rempit kemudian jadi bohsia, bergaduh sesama adik beradik, terlibat dalam jenayah, tinggal serumah dengan yang bukan muhrim sehingga bersekedudukan melahirkan anak luar nikah, sumbang mahram dan pelbagai lagi perkara yang cukup membimbangkan.

Saya kadang kala rasa senang berkawan dengan kelompok hitam-kelabu. Kalau sesetengah orang [perempuan terutamanya], dalam mencari rumah sewa kriteria utamnya ialah menyelidik bakal teman serumah. Baik atau buruk, kawan atau lawan. Tetapi tidak bagi saya. Apalah sangat dengan itu, kerana mereka adalah sebahagian kehidupan yang penuh warna warni. Saya pernah serumah dengan macam-macam orang. Orang di hadapan baik tetapi di belakang bawa tunang masuk bilik, pergi kerja pakai tudung sebagai syarat, minah-minah kilang, kaki merokok dalam diam dan macam-macam lagi. Dalam banyak hal, adalah mereka yang bawa lelaki balik rumah waktu saya tiada dan akhirnya mereka terkantoi kerana saya suka menyinggah atau balik rumah mengejut ketika waktu kerja [biasanya insiden tertinggal barang].

Bila bersama dengan mereka, semakin saya sedar bahawa ramai yang mahu menjadi baik tetapi tidak tahu bagaimana mencari jalan pulang ke pangkal. Tiada siapa yang sudi menunjukkan jalan yang sepatutnya mereka lalui, sebaliknya dibiarkan mereka sesat tanpa ada usaha memberitahu atau mengingatkan. Lalu mereka terpinga-pinga, keliru kerana tidak tahu siapa yang harus di dekati. Bukan mudah sebenarnya mengaku diri sendiri jahil jika ia bukan atas dasar benar-benar mahu berubah. Mereka seperti ombak – datang ke pantai kemudian kembali ke laut. Ada masanya mereka mahu berubah, tetapi pada masa yang sama tidak mahu meninggalkan kehidupan yang telah mereka lalui. Ia boleh di betulkan dengan masa dan saya tahu jauh di sudut hati mereka, matlamat menjadi insan putih sebenarnya ada pada setiap diri insan hitam-kelabu ini.

Bukan mudah mencari orang yang boleh bersahabat dengan insan hitam-kelabu. Bukan mudah juga bagi insan hitam-kelabu ini berusaha mendekati orang putih yang selalu memandang jelik terhadap mereka. Jadi, siapakah yang harus dipersalahkan jika mereka terus bergelumang dengan dosa dan ada yang berterusan mencari pahala untuk diri sendiri? Berapa ramai yang sanggup keluar berdakwah di jalanan, bergaul bersama kelompok yang sering merambu keluar malam santak ke pagi? Bukannya meminta mereka berubah sekelip mata, tetapi menunjukkan dan mengigatkan sudah memadai.

Ada juga sesetengah kes, golongan hitam-kelabu terasa insaf tiba-tiba, lalu apa yang harus mereka lakukan? Bertaubat? Tetapi bagaimana bertaubat? Apakah sekadar solat dan doa? Bagaimana jika mereka tidak tahu solat, tidak mengerti bacaan dalam solat, tidak tahu membaca Qur’an, lidah tidak pernah berzikir, bertahmid atau bertasbih? Siapa yang harus di rujuk? Apakah ia semudah pergi ke surau atau masjid dengan sekadar memakai jeans dan t-shirt lengan pendek yang akhirnya dihalau oleh pak guard dengan pandangan penuh sindiran? Apakah boleh mereka menyertai kelas fardu ain, kelas mengaji yang di hadiri oleh mak Datin-Puan Sri yang tidak senang kehadiran orang yang tidak sedarjat mereka? Inilah selalu berlaku.

Hidayah bukan mudah. Untuk berubah juga bukan mudah. Jika golongan putih terus meminggirkan golongan hitam-kelabu, maka masalah tidak akan selesai. Seorang mencari kebaikan, yang lain terperangkap dalam kesesatan. Kita bukannya mahu angkut kutu lepak terus ke masjid atau menyuruh minah rempit pakai tudung, tetapi segala-galanya melibatkan proses. Dan proses bukanlah mengambil masa yang sekejap.

Saya paling benci orang hiporit yang dihadapan memuji tetapi dibelakang mengeji. Mereka yang hitam-kelabu itu lebih ramai yang ikhlas dan setia biarpun mereka terjerat dengan kekeliruan hidup. Benar kata orang, mencari cahaya didalam terang amat sukar sekali berbanding melihat cahaya didalam gelap. Islam di negara kita dipisahkan oleh kekeliruan antara agama dan adat. Satu garis pemisah yang amat kelabu dan tidak jelas. Mana satu yang baik, mana yang benar. Maka kekeliruan itu semakin membesar dan bertebar.

Persoalannya kini, siapa yang sanggup berakwah di jalanan? Siapa yang nak berkawan dengan mat dan minah rempit? Siapa yang mahu melepak dan bergebang di kedai kopi hingga ke pagi? Siapa yang sudi menegur teruna dan dara yang berbual bertepuk tampar? Ada siapa yang berani memeriksa sama ada jirannya itu sudah kahwin atau belum? Ada siapa yakin untuk menebarkan dakwah dengan cara yang terbalik ini?

Ada siapa yang mahu jawab?

Marilah kita sama-sama duduk dalam realiti masyarakat sebenar. Janganlah di ketepikan mereka yang benar-benar memerlukan pecerahan. Syurga bukan untuk masuk seorang diri, tetapi beramai-ramai.


"Sesungguhnya Allah akan bertanya setiap orang yang diberi tanggungjawab akan tanggungjawabnya, apakah dia sudah memeliharanya atau mensia-siakannya." (Riwayat Ibnu Hibban).


BBBangi

0431, Jumaat 26 Ramadan


.

Isnin, September 22, 2008

Nota Ramadan 11

Saya bersendirian saya ke sini. Tidak berteman, malah tidak pula berusaha mencari teman. Rasa ingin bersendiri dan mahu lebih rapat dengan Tuhan di rumahnya yang besar nan indah. Tetapi apa dihairankan. Majoriti di sini datang kerana bersendirian di rumah. Bila makan, duduklah dengan sesiapa sahaja. Dari sinilah dapat kenalan baru. Seperti kata seorang makcik, dia memang setiap hari bertukar masjid kerana keseorangan di rumah. Tiada siapa. Jadi setiap hari pergi ke tempat baru dan jumpa kawan baru. Menarik, bukan?


Namun suasana lebih tenang di sini. Berbuka sekadar tamar dan sejenis kuih dalam piring kecil. Solat Maghrib, kemudian barulah dijamu dengan nasi. Janganlah bayangkan nasi beriyani, nasi ayam, nasi kerabu mahupun nasi dagang. Sepinggan nasi dengan lauk yang sederhana nampak seperti sedikit tetapi sesudah makan rasa cukup-cukup pula. Tidak terlalu kenyang, perut pula terisi. Nak solat terasa mudah kerana badan terasa ringan dan segar tanpa rasa mengantuk. Bayangkan jika berbuka di rumah. Air tak cukup segelas, nasi tak cukup sepinggan, kuih tak cukup sejenis. Segala-galanya mahu di sumbatkan ke dalam perut hinggakan tersandar selepas berbuka bak ular sawa kekenyangan selepas membaham seekor anak kambing.


Rupa-rupanya kita boleh bersederhana ketika berbuka dan berbelanja. Hanya nafsu yang kuat melonjakkan keinginan membeli apa yang di lihat dengan mata, menuruti selera tekak dan perut yang lapar. Itulah sebab mengapa saya tidak gemar ke bazaar. Kita boleh bersederhana!



Masjid Putra

8 September 2008


.

Pencerahan leluhur dan menjejak kembali Melaka

Sejauh manakah kesedaran kita tentang kegemilangan empayar kesultanan Melayu Melaka yang pernah berdiri sebagai sebuah kerajaan yang kukuh dan hebat? Sejauh manakah kita memahami yang pelabuhan Melaka dahulu adalah sebuah labuhan dagang yang benar-benar sibuk, melampaui kesibukan pelabuhan Klang, Tanjung Pelepas mahupun Singapura yang selalu di sebut-sebut orang? Apakah kita sedar di pelabuhan Melaka itu sahaja, 84 bahasa di pertuturkan dan menjadi bualan para pedagang. Apakah tidak cukup menggambarkan Melaka sangat gagah ketika itu?

Oh, saya pernah mempersoalkan perkara ini selepas membaca 1515. Tetapi ia datang lagi sejak beberapa hari lalu. Membaca beberapa buah buku sejarah dalam agenda memahamkan lagi leluhur, terawang-awang lagi perkara yang sudah terperam sekian lama. Jika kita masih tidak jelas akan kegemilangannya, sejauh manakah kita tahu apa yang berlaku selepas Melaka jatuh ke tangan Portugis dan kemudian Belanda? Berapa banyak serangan di lakukan oleh anak tempatan juga orang luar yang berusaha mengembalikan ketuanan kesultanan Melaka? Apakah pengetahuan kita tentang Portugis di Melaka terhad kepada A Famosa dan gereja St Paul atau tinggalan Belanda sekadar kota Stadthuys juga gereja St Peter?

Banyak lagi kita tak tahu, banyak lagi yang terpendam dan tersimpan hingga saya tertanya-tanya apakah segala-gala yang berlaku selepas 1511 itu mahu dipadamkan dari sejarah kerana ia terlalu pahit, atau sememangnya tiada catatan khusus tentang itu atau memang kita tidak mahu ianya di rekodkan sementelahan Portugis yang berkuasa hanya memikirkan untung nasib sendiri.

Selepas robohnya kota Melaka, banyak airmata yang mengalir dan darah yang tumpah. Melaka jatuh dilaknat Tuhan dengan sumpahan besar di jajah oleh Portugis yang bercita-cita mahu mengkristiankan jajahan timurnya ini.

Semua ingatan ini - persoalan yang berlegar-legar, hasrat yang terpendam, semangat yang membara - lalu bercantum-cantum dan bersatu menimbulkan satu keinginan. Dan pada Ramadhan yang penuh barakah ini, semoga pencerahan tentang leluhur dan penjejakan kembali kegemilangan Melaka mampu membuka mata kita menangani kegawatan politik yang semakin membusukkan sejak akhir-akhir ini.

.

Ahad, September 21, 2008

Kita yang masih di dalam dilema dan mudah lupa, kemudian berhajat mencari al-Ghazali juga Shafie

Sudah menjadi suatu tradisi agaknya, kita gemar meminggir dan melupakan jasa dan kebaikan seseorang. Acapkali malah selalu kita mendengar luahan hati dari orang yang terpinggir, yang suatu masa dahulu disanjung dan di puja tetapi kini menjadi mangsa kebencian. Dan kita juga gemar membeza-beza dan menyoal siasat kepentingan seseorang hingga mengabaikan segala kebaikan dan keberhasilan dari usahanya yang tiada tara.

Dewasa ini kita nampaknya semakin melupakan satu adat tradisi yang di sanjungi oleh para leluhur - iaitu hormat menghormati. Orang berilmu itu, ah tinggi martabatnya dalam adat dan akhlak. Semakin mudah kita meminggirkan sesuatu jasa yang telah terpahat dalam sejarah, yang sukar diulangi oleh anak bangsanya dihari muka. Semakin mudah kita diperbodohkan oleh pemerintah yang buta dalam celik dan pekak dalam dengar, yang gemar tidur sebantal dengan mimpinya yang berbeza-beza.

Lalu dengan bahasa retorik dan niat mahu memaju dan memodenkan bangsa, kita membiarkan lidah kita bertutur bahasa dari bangsa yang pernah menjajah, bangsa yang menjilat darah anak bangsa, bangsa yang menyebabkan Hj Abdul Rahman Limbung terbuang ke Mekah, Tuk Janggut di gantung di khalayak, Sultan Abdullah terbuang ke pulau terpencil dan Laksamana Mohd Amin terkubur di tanah terbuang. Tidak cukupkah kita mahu mengembalikan sejarah yang amat memedihkan itu?

Kisah sebuah bangsa yang cacamerba, dahulu di dalam dilema, kini mudah lupa. Ada juga yang sibuk mencari-cari al Ghazali juga Shafie, tetapi entahkan ketemu atau tidak. Anak-anak bangsanya menjadi mangsa ekperimentasi yang tidak kesudahan bagi membuktikan ia boleh berdiri juga duduk separas Mat Salleh. Lidah yang makan sambal belacan mana boleh di samakan dengan yang makan keju!

Kisah survival seorang jagoan di medan ilmu. Dia terpinggir, tidak di dengari, mahu di hapuskan, semakin di ketepikan malah cuba di buang begitu sahaja. Usaha melupuskannya dari dunia akademik berjalan senyap-senyap dan dia tetap dengan pendirian bahawa bahasa Melayu ada nilainya tersendiri dalam lapangan ilmu. Namun, sejauh mana kita sedar dan insaf akan untung nasibnya berjuang menentang pemerintah yang kolot dan pentadbir universiti yang kotor dan jijik?

Pautan berikut moga lebih mencerahkan kita akan perjuangan yang tidak pernah selesai ini. Ayuh!
  1. Jawapan kepada Dr Mahathir
  2. Aqil Fithri - Shaharir & Abu Osman juga ini
  3. UmmahOnline - Ateis juga satu nilai
  4. UmmahOnline - Ahli akademik mesti artikulasikan ilmu dengan massa
  5. Kesturi - Siapakah Melayu?
  6. Himah Isyraqi - Fajar Keilmuan: Suatu Pengalaman Semasa Penyemakan
  7. Pendidik - Kedaulatan bahasa bakal menjadi isu pilihanraya
  8. Malaysiakini - UKM semakin primitif
Atau mungkin kita perlu baca kembali puisi Usman Awang ini?


.

Sabtu, September 20, 2008

Ralit

Sejak memasang talian internet braodband Maxis di rumah, saya menjadi ralit-ralit-ralit-ralit-ralit. Habis satu kerja pun tak siap. Tak cukup lagi dengan yang di pejabat, di rumah pun sibuk nak menjelajah dunia. Aduh!

Ampun!!

.

Selasa, September 16, 2008

Kawan baik, kawan rapat

Saya pernah menulis entri tentang kawan di sini hampir dua tahun yang lalu bila persoalan yang sama menerjah kembali ruang ingatan bila ber-ym dengan seorang kenalan.

Best friend (Kawan baik) vs close friend ( kawan rapat). Apa bezanya?

Saya tak suka memperkenalkan atau melabelkan sesetengah kawan di sekeliling sebagai kawan baik atau best friend. Saya kawan dengan semua orang. Semua orang. Tetapi tidak ada yang saya namakan dia kawan baik saya, biarpun dia memang benar-benar baik. Saya ada kawan rapat sahaja, bukan kawan baik. Tiada istilah kawan baik dalam kamus diri saya. Ya, ada beza antara keduanya.

Bila kita menyatakan seseorang itu kawan baik kita, apakah bermakna yang lain itu bukan kawan baik, maka jadilah kawan yang jahat, yang tak baik, atau tak bertuah kerana menjadi kawan baik kita? Mengapa harus dilabel dan wujud diskriminasi antara persahabatan sekaligus boleh mewujudkan jurang antara mereka?

Janganlah dilabelkan mereka. Kawanlah dengan semua.

I have a lot of good, close friend but not best friend. I hate that title.



*Saya dah hilang idea sebenarnya, walhal tadi idea meluncur laju. Mungkin sebab dah terlalu lewat.

Isnin, September 15, 2008

Tikus-tikus yang membaiki labu

Politik negara mutakhir ini sudah menjadi sesuatu yang melelahkan. Lagi banyak dibaca, lagi pening di buatnya. Lebih teliti kita tengok apa yang berlaku, semakin teruk keputusan yang terhasil. Semakin di analisa setiap gerak laku, semakin terserlah konspirasi yang mendalangi tindakan. Rakyat semakin keliru, politikus semakin galak memalu gendang rancu. Rakyat juga yang akhirnya terjerat, politikus tetap mewah dengan elaun bulanan hasil perdebatan entah-apa-apa di Dewan Parlimen dan provokasi di media yang semakin meloyakan.

Pilihanraya umum yang lalu cukup mengajar parti pemerintah yang terlalu ego dengan kuasa. Pambangkang telah diberi peluang menguasai lima negeri. Buktikanlah dahulu dengan hasil yang menakjubkan di lima negeri ini dalam tempoh empat tahun, bukannya melulu mahu kekuasaan mutlak menguasai negara secara drastik. Perubahan harus dilakukan secara berperingkat dan penuh perancangan yang teratur. Usahlah berdegar-degar mahukan kuasa sedangkan rumah sendiri bergoyang-goyang, tiang tak kukuh, anak-anak terbiar tidak dengar kata dan makanan pula tidak cukup. (Kalau dapat uasa mutlakpun, dapatkah di betulkan negara yang sudah kucar kacir dengan propaganda parti pemerintah yang amat kuat mencengkam?)

Rakyat sudah memberi peluang untuk pembangkang membuktikan segala apa yang mereka perjuangkan selama ini. Buktikanlah dengan tindakan yang wajar, bukan dengan perasaan. Betulkan rumah sendiri, kasi-itu-anak-bini makan dengan cukup, duduk diam-diam buat kerja. Empat tahun lagi rakyat akan menilai segala kerja rumah yang di beri. Kalau bagus dan cemerlang, dapatlah tambahan kerusi atau negeri. Tapi kalau sibuk terpengaruh dengan agenda orang lain yang asyik membetulkan rumah sendiri dan cuba meruntuhkan rumah orang lain, hasilnya dua-dua hancur. Rumah sendiri bersepai, rumah orang lain pun terbarai sama. Macam tikus membaiki labu. Dua-dua masuk angin keluar asap.

Tidak hairanlah mengapa SN Shahnon Ahmad menulis Shit di tengah gelora reformasi sepuluh tahun yang lalu. Saya harus baca shit kembali. Di mana Shit saya?


.

Jumaat, September 12, 2008

Nota Ramadan 10

Tadarus diadakan selepas tarawikh selama satu jam atau sehingga jam sebelas. Sesiapa yang berminat, sangat-sangat dialukan. Saya bersandar pada tiang yang besar yang turut menempati penghawa dingin bersaiz besar sambil membelek beg yang berisi telekung, air mineral dan Qur’an. Handphone ditinggalkan sahaja di kereta. Tak kuasa membawa dunia bersama-sama ke masjid. Cukuplah melayan pada waktu yang lain.


Moreh berupa semangkuk bubur dihidangkan di ruang legar bersebelahan dewan solat dan banyak belum terusik. Yang tinggal bertadarus hanya beberapa orang sahaja. Entah ke mana agaknya makanan ini akan di hantar kemudian nanti. Di buang atau di sedekahkan?


Saya mendengar mereka mengaji sambil bersandar - bukan oleh kepenatan berterawikh atau kekenyangan - tetapi memudahkan saya menuliskan catatan ini. Tidak berhajat pula menyertai mereka kerana dalam kepala terawang-awang pelbagai perkara yang harus saya catatkan segera. Hmm..mengejar dunia nampaknya.


Mendengarkan mereka merangka-rangkak mengaji di usia tua, saya merasa amat insaf. Insaf pada diri sebagai tanda ingatan untuk segera mengejar ilmu sebagai bekalan disana, juga insaf kerana mereka masih punya kecekalan belajar dan tidak mahu ketinggalan biarpun telah berada di penghujung usia. Hilang segala perasaan malu demi mencari ilmu. Ah, betapa kita ini sentiasa dalam kerugian.


Pergunakanlah masa mudamu wahai teman-teman dengan segala perkara kebajikan dan kebaikan. Ssungguhnya masa itu amat singkat bagi kita. Entah bila dipanggil pergi, entah sampai atau tidak pada Ramadan akan datang. Malah esok bernafas atau tidak hanya Allah yang jua mengerti.



Masjid Putra

8 September 2008


.

Krisis!

Krisis ekonomi yang melanda negara pada tahun 1997-98 berbeza dengan apa yang berlaku sekarang (kalau pun ada yang sedar sekarang sudah berhadapan dengan krisis). Dahulu, orang-orang bisnes sahaja terkena pukulan maut. Kawan-kawan saya yang ibu bapanya ada bisnes, terpaksa jual harta satu persatu. Rumah mewah, kereta mewah, motor mewah. Bisnes pun ada yang lingkup. Mereka mula kemaskan hidup dan lebih bersederhana. Mula ketatkan perbelanjaan. Tak berani nak melabur sebelum berusaha mendapatkan khidmat nasihat yang terbaik. Itupun tak semua berani melabur. Jadi kita orang biasa yang tidak terlibat secara langsung dalam bisnes, tidak terasa sangat dengan apa yang berlaku. Tak nampak kenapa kerajaan kecoh-kecoh pasal capital control, undervalue of money, ringgit peg at RM 3.80, IMF, Goerge Soros, Danamodal, Danaharta, bank merger, bailoit, blablabla...


Kita cuma dengar, tapi tidak merasa.

Oleh kerana masih belajar ketika itu, saya lebih banayk merujuk buku, membaca laporan, akhbar dan majalah bagi mengenalpasti apa yang berlaku. Masalahnya ialah - buku kata begini, polisi kerajaan kata begitu, ekonomi pula cakap macam ni . Ah! Kita yang belajar pening kepala. Siapa yang betul pun tak tahu. Kalau ikut teori, ikut buku, bukulah yang betul. Tapi kenapa kerajaan tak ikut apa yang buku cakap?

Sebab political interest
, jawab seorang lecturer. Entah kenapa hari itu saya teringin nak tanya. Ketika itu dalam kelas Public Finance. Kami senyum. Tak mahu tanya lebih, nanti masuk bab politik pula. Waktu itu sedang panas dengan reformasi, dan darah muda kami membuak-mudak memprotes itu ini. Dan keadaan u pula tidak stabil kerana tempias reformasi. Kami sering diperhatikan. Tapi tak pula takut nak keluar berdemonstrasi ke Jalan TAR setiap Sabtu. Semangat!

Akhirnya saya sedar, apapun yang betul dalam buku, yang benar dikata oleh pakar ekonomi dan yang terbaik disarankan oleh orang-orang tertentu belum pasti itulah yang patut dilaksanakan oleh kerajaan. Political interest dan kehendak rakyat selalunya bertentangan. Walhal kerajaan sepatutnya serve the nation. Waduh!

Sepuluh tahun kemudian, keadaan berpusing kembali. 2008 dikatakan berlaku kembali krisis. Tetapi kali ini semua rakyat merasa. Semua kena tempias, semua kena pukulan. Bahang kenaikan harga minyak merebak kepada harga barang, termasuklah barang keperluan dan makanan. Masalah yang wujud ialah bila harga minyak naik, harga baranag naik. Bila harga minyak turun, harga barang tak pula turun. Tetapi itu teori. Hakikatnya, harga barang tidak akan sekali-kali turun walau apa paun yang terjadi. Itulah yang dimaksudkan dengan inflasi. Bila rakyat terasa kesan kenaikan harga, masing-masing berusaha cut spending. Kurangkan perbelanjaan, potong apa yang tak patut, kurangkan pembaziran, kurangkan merayap tak tentu hala, semakin rajin duduk rumah, semakin ramai pandai memasak untuk elak makan luar, berhati-hati memandu untuk elak disaman atau kemalangan, semakin berkira dalam berbelanja dan berusaha menyimpan. Kalau dulu sepuluh sen tak pandang, sekarang sepuluh sen masuk tabung!

Bagi yang bekerja di sektor swasta yang rata-rata terlibat dalam perniagan, kesannya malah terasa. Saya teringat dialog dengan seorang staff, yang merupakan ceti syarikat. Heh, dia credit controller, kutip duit dari invois yang keluar. Selalulah bertekak dengan client yang tak mahu bayar atau sengaja melambatkan bayaran.

Dia : XX Resort tu bayar kita RM 5,000.oo sahaja. (Dia datang ke meja saya dengan wajah yang tak berapa best)
Saya : Kenapa? Ada credit note ke? (Terkejut, sebab invois mereka agak besar juga. Kalau bayar RM 5,000.00, macam banyak je kena potong))
Dia : Tak ada. Tapi dia punya outstanding dengan kita dah banyak, sejak Mac.
Saya: Hmm...lama juga (Mencongak dalam kepala). Kenapa ek?
Dia : Orang akaun dia dah tak malu nak cerita masalah. Katanya bisnes sekarang teruk. Orang dah kurang tidur di resort. Banyak yang batalkan tempahan. Yang main golf pun kurang.
Saya : Oh, betullah. Kan sekarang bisnes dah teruk. Kesian juga dia orang. Tapi kenapa bayar sikit sangat? Dah teruk sangat ke bisnes dia orang?
Dia : Agaknya dia orang malu akak telefon akaun hari-hari minta payment (ketawa). Agaknya tak tahan akak call, tu yang dia orang bayar walaupun sikit.
Saya : Betullah. Kalau kita tak call, kita yang teruk. Tapi bagus juga ya, dia orang bayar walaupun sikit.
Dia: Hmm...
Saya : Nampaknya kita kena agresif kejar client, tak boleh ada outstanding sangat. Nanti client bayar lambat-lambat, makin lama makin susah nak bayar. Kita juga sangkut nak bayar gaji.
Dia: Hah, hari-harilah akak kena bertekak dengan client!

Kan betul, kita berhadapan krisis sekarang! Jadi apa tindakan kita?


Krisis - Mari klik Pakdi untuk lebih memahami.


.

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...