Rabu, Mac 12, 2008

Buku : 1515

Sudah lama menyimpan hasrat, akhirnya berjaya juga memiliki 1515. saya harus merasa malu, kerana novel yang saya kira cukup besar kesannya ini lewat berada ditangan biarpun selalu juga mendengar nama Tun Nyemah Mulya dan Adi Fimiyun disebut orang.

Dua perkara besar yang saya mahu sebutkan. Pertama tentang kegemilangan Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka. Kedua, Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka memang tidak patut tumpas di tangan Portugis laknat. Inilah perkara yang cuba dibangkit oleh FT sehinggakan ada yang benar-benar percaya Tun Nyemah Mulya adalah satu tokoh yang telah dipadamkan dari sejarah kerana kelicikan orang barat memutar fakta.

Tentang perkara pertama - sejauh mana fahamnya kita akan kegemilangan Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka? Besar manakah jajahannya? Luas manakah pengaruhnya? Semua orang tahu Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka dahulu amat cemerlang, gemilang, terbilang, sejahtera, aman dan makmur. Namun, sumber maklumat kita terhad. Dari buku teks sejarah yang kita pelajari, tahulah kita kerajaan Melaka itu besar pengaruhnya, ramai pedagang menghampiri, banyak barang di dagangkan, pelbagai masyarakat wujud, ramah penduduknya, adil pemerintahnya, sejahtera kehidupan rakyatnya, sehingga mendorong rasa cemburu orang luar akan kehebatannya. Melaka memang sekeping tanah yang subur, maka sesuai sekali untuk dicampakkan apa-apa benih sahaja. Tetapi, sebesar mana gambaran kita akan kegemilangan itu? Cukupkah dengan apa yang ada pada buku teks?

FT dalam novel 1515 melukiskannya dengan jelas. Ariflah saya kini betapa Melaka itu memang amat maju. Tergambar dihadapan mata Melaka sebuah negeri (negara?) dagang yang cukup makmur. Islam menjadi paksi kepercayaan dan diamalkan dengan sungguh. Seluruh dunia berhimpun, berkenalan dan bertemu. Justeru, masyarakatnya juga maju kerana terdedah dengan dunia luar, bercampur gaul dengan orang pelbagai, mampu bertutur pelbagai bahasa dan lebih cergas mindanya kerana pergaulan yang meluas. Ini adalah satu gambaran yang tidak pernah saya bayangkan. Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka lalu mengundang rasa iri pihak yang berdagang. Bayangkan, Melayu menjadi tuan kepada semua bangsa di dunia. Hebat bukan? (Jangan lupa akan hal ini. Melayu pernah menjadi tuan).

Perkara kedua, oleh kerana ia negeri yang hebat, Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka memang tidak patut tumpas dan di jajah. Novel 1515 tidak lama ditangan sebaik saya habis membacanya, disambar oleh seorang rakan yang katanya “saya tak percaya Melaka boleh kalah.” Dia peguam muda, maka hujahnya panjang. “Melaka ketika itu tempat berhimpunnya semua manusia, dan lebih terbuka mindanya. Boleh dikatakan teknologi mereka lebih maju kerana ia menghimpunkan benda yang orang China, orang India dan Eropah tiada.”

Maksudnya, apa yang orang China ada, belum tentu orang India ada. Jadi, Melaka menjadi titik temu untuk mereka. Oleh itu, orang Melaka lebih maju kerana mereka dapat segala benda itu terlebih dahulu sebelm di dagangkan oleh orang lain. 1515 sendiri menunjukkan betapa Albuquerque begitu naif tentang jam bandul sehingga Nyemah Mulya merasa hairan. Begitu juga cermin, sehingga menimbulkan rasa kasihan di hati Nyemah bila membayangkan bagaimanalah agaknya puteri-puteri Portugis berdandan. Guna imbasan wajah di airkah?

Dua perkara ini sudah cukup menunjukkan Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka mempunyai struktur ekonomi dan teknologi yang jelas. Mereka sudah ada meriam, dan bukan bertempur menggunakan keris dan tombak. Mereka tahu menggunakan bom, bukan sekadar menyerang secara melulu. Lalu, apakah penyebab ketewasan Melaka di tangan Portugis? Jawapannya mudah sekali. Sehebat manapun sesebuah negara itu, andai ia membelakangkan agama dan Tuhan, maka akan tiba pembalasan maha dahsyat dari langit. Akan ada satu hukuman yang tidak disangka-sangka. Sesuatu yang menyebabkan kita tidak sempat mengucapkan apa-apa, atau mengambil apa-apa, kerana ia datang tanpa isyarat. Maka kita harus bersedia pada bila-bila masa tanpa mempersoalkan, samalah keadaanya bila kita harus sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi mati. Ditambah lagi dengan pengkhianatan orang luar yang datang mengaut hasil sahaja dan tidak langsung ada perasaan belas dan kasihan. Tiada keinginan untuk membantu apatah lagi menumpahkan taat setia. Akhirnya Melaka menjadi mangsa, Melayu menjadi korban.

Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka memang tidak patut tumpas. Tidak patut di jajah. Tidak patut Kristian bertapak di Tanah Melayu. Betapa dahsyatnya pertempuran mereka, betapa taktikalnya strategi yang di lakukan, ia tidak mampu membendung hasrat ulung Feringgi yang keji untuk menanam salib di setiap inci tanah Melaka. Itulah satu-satunya impian mereka, disamping membawa hasil Melaka pulang ke Portugal. Hingga kini, kita melawat A Farmosa, menziarai Gereja St Paul tanpa kita sedar ia adalah hasil dari tumpahan darah dan airmata datuk nenek moyang kita dahulu.

Sesungguhnya membaca 1515 cukup menginsafkan.

.

Selasa, Mac 11, 2008

Kasih berubah

Buah hati lama, Hyundai M-Life sudah berpatah arang berkerat rotan untuk meneruskan hidup. Dua bulan saya kesunyian. Dua bulan juga berlegar-legar tanpa tujuan. Akhirnya saya mengambil keputusan muktamad. Hidup perlu diteruskan juga biar apa pun terjadi. Yang pergi biarlah pergi. Kita yang masih bernyawa mesti terus hidup.

Saya memutuskan mencari kekasih baru. Compact Presario V3000. Kekasih lama meninggalkan jantungnya yang masih baik berfungsi - hard disk. Hyundai M-Life masuk muzium. Nak trade-in pun tak laku. Tetapi besar jasanya. Balik modal pula.

Kekasih baru, semangat baru. Ayuh!!

Isnin, Mac 10, 2008

Pada hari pengundian

Ini kali kedua saya mengundi selepas PRU11 pada 2004 yang lalu. Perasaan kali ini, seperi yang pernah saya katakan dahulu, cukup mendebarkan. Saya menunaikan solat hajat sebaik selesai solat subuh pada hari pengundian, memohon agar kebenaran terserlah, keadilan ditegakkan dan kebatilan dinyahkan. Kemungkinan yang tidak dapat dijangkakan.

Saya dan emak keluar jam 9.30 pagi dengan menaiki motorsikal. Sekolah rendah tempat memangkah - sekolah dimana saya mengenal abc, 123 - mesra menambut kedatangan. Tidaklah jauh jaraknya dari rumah. Berjalan kaki memadai. Tetapi kemudahan ada, apa salahnya digunakan, sambil mahu mengelak naik kenderaan berlambangkan parti (dacing, apalagi) yang sibuk kehulu kehilir mahu mengambil pengundi.

Menurut abah - yang menjadi tulang belakang berkempen kesana kemari - disini suasananya tidak semeriah dibandar. Masyarakat Felda, luar bandar, tidak terlalu memikirkan hal-hal yang besar seperti mana yang selalu di bicarakan oleh orang-orang yang diluar sana. Harga minyak, harga barang, korupsi, kelemahan pentadbiran, kebobrokan kepimpinan bukanlah agenda perbincangan utama. Mereka lebih sibuk akan turun naik harga getah, perubahan cuaca yang tidak menentu sekejap panas sekejap hujan, menanti bilakah getah di tebang dan ditanami semula, atau mendengar-dengar bilakah agaknya kerajaan mahu mengambil alih tanah untuk dimajukan. Yang sedar cuma beberapa kerat, dan yang bbeapa kerat itu berpecah pula kepada parti pemerintah dan parti yang menentang. Abah memilih untk menentang, kerana orang masjid sepertinya memang mempunyai lebel untuk menentang yang tertulis di dahinya.
Sentimen disini cukup kuat. menetang dikatakan tidak sedar diuntung. Sudah masuk Felda mahu menentang pula. Bak kata kepala pemimpin, tidak ada rasa bersyukur, dan mengulangi kata-kata yang diucapkan oleh kepala pemimpin yang sesekali singgah di situ. Pedulikan sahaja mereka, yang mahu terus disuap mulutnya dan di tutup matanya, kerana jika memikirkan masa depan negara dan anak-anak bangsa, perjuangan harus meminggirkan itu semua. Ada perkara ang lebih besar perlu dikejar. Mungkin itulah yang berman dalam kepala abah.

Sentimen maksud saya disini ialah - mahu mengibarkan bendera parti pun dalam keadaan takut-takut. Takut kerana di label. Mahu mengibarkan bendera pembangkang nanti di ejek pembangkang yang tidak tahu besyukur. Mahu di kibar bendera pemerintah nanti di label tidak sedar diri, menyokong tanpa memikir, malah boleh mengundang jelingan tajam. Takut-takut nanti berlarutan hingga ke majlis kenduri kendara pula. Hubungan kejiranan juga perlu dijaga. Lantas, mereka diam-diam sahaja. Menunjukkan tidak, menyokong pula tidak. Bercakap dan berbual sekadar perlu sahaja. Kalau menyokong pun, tidak terlalu keras. Membangkang pun tidak terlalu mengeji. Biasa-biasa sahaja. Ini mentaliti orang kampung, orang luar bandar. memang tidak boleh di ubah. Bisa menjadi pengundi atas pagar juga. Sekali jentik, boleh jatuh ke lubuk lawan. Sekali tiup, boleh tumbang ke gelanggang kawan.

Saya terlintas menawarkan kereta untuk membawa pengundi. Pesan kepada adik, letaklah bendera dan lambang pari. Gunalah untuk kebaikan. Adik saya yang seorang ini, bersama kawan-kawan bujang yang melepak tiada kerja berfungsi sebagai orang kuat. Memanjat pokok, memasang bendera, memacak lambang parti, sepanduk dan wajah-wajah calon DUN dan Parlimen di merata tempat. Hebat juga mereka, kerana saya lihat bendera di pacakkan di tempat yang tinggi-tinggi. Puncak pokok, tiang elektrik, pagar-paar sekolah, tepi-tepi jalan, malah dengan selamba memacak di tingkat atas bangunan di mana terletaknya markaz pemerintah di tingkat bawah. Anak muda yang cukup bersemangat. Setiap malam keluar berhimpun di markaz menanti kerja yang boleh dibuat santak ke pagi. Pada kempen dan ceramah juga mereka sibuk mendirikan khemah, mengatur kerusi, memasang sistem suara, menjual bahan kempen, mengedar risalah dan sebagainya. Kedua-duanya, abah dan adik saya beperanan besar kali ini. Cumanya, dia tidak mendaftar. Samalah seperti anak-anak muda yang lain. Bila tiba hari pengundian baru menyesal kerana lalai mendaftar. Maka hilanglah beberapa undi berharga dari mereka.

Keadaannya sama juga. Kereta abah dipasang bendera kerana dia berani. Peduli apa kata orang. Tetapi disini, mereka takut-takut naik kereta yang dipasangkan bendera. Masih lagi atas sentimen yang sama. Takut-takut. Mereka selesa berkenderaan sendiri. lalu kereta saya diam sahaja di rumah. Apa yang mereka pangkah, itu antara mereka dengan Tuhan. Janganlah ada orang tahu. Bukankah undi rahsia?

Orang kampung gemar keluar awal. Panjang juga saya beratur memeriksa nama, kemudian beratur lagi ke saluran lima, saluran akhir. Apa yang saya perasan, ini saluran 'budak-budak' (masih boleh masuk kategori budak-budak rupanya, ehem!). Saluran satu hingga empat ialah dimana emak-emak dan abah-abah beratur. Sauran lima, mlihat kepada senarai nama yang di atur berdasarkan tarikh kelahiran ialah untuk merka yang berumur 32 tahun kebawah. Apa yang saya tidak tahu, sebenarnya ia diatur mengikut nombor pendaftara. Tak mengapalah. Saluran budak-budak tidak panjang. Sekejap sahaja saya sudah selesai memangkah. Dan oleh kerana ia saluran orang muda, dapat juga saya bertemu dengan beberapa rakan yang telah terpisah sejak SPM berakhir. Sudah 12 tahun! Semuanya memangkah di kampung, dan terpisah dari suami. Dan semua juga mahu menukar alamat selepas ini. (Saya mahu ikut suami jugakah? ehem!)

Saya mengambil masa juga mahu memangkah. Di dalam kotak yang bersaksikan Tuhan dan malaikat di kiri dan kanan, saya berdoa. Mohon kemenangan di pihak yang benar. Dan semoga ada pembaharuan kali ini. Lama disitu, sambil di jeling-jeling oleh pegawai SPR yang memerhati. Peduli apa!

Malam, saya memegang alat kawalan jauh. Malam ini, tv menjadi milik saya. Dua orang adik yang selalu menonton siaran yang entah apa-apa di Astro kehampaan. Dari satu siaran kesatu siaran, semuanya mendebarkan. Tangan kanan memegang alat kawalan, tangan kiri memegang telefon. SMS masuk bertalu-talu melaporkan perkembangan terkini yang biasanya bila parti pemerintah kalah, lewat sahaja keputusannya di umumkan. Kawan-kawan yang online melaporkan beberapa perkembangan yang menggembirakan. Pertama, saya mendengar Dr Lo' Lo' meang di Titiwangsa. Alhamdulillah, saya senyum. Berita yang cukup bai. Kedua, Nurul Izzah menang di Lembah Pantai. Saya berdebar. Malapetaka apakah ini (buat pemerintahlah!).
Shahrizat kalah? Ketiga, SMS memberitahu Samy Vellu ketinggalan. Saya tidak menang tangan menekan channel dan membalas SMS. Kemudian Zainuddin Maidin tewas di Sunagi Petani. Wan Azizah pula menang besar di Permatang Pauh. Memang Malapetaka. Dan berita buruk buat pemerintah bertalu-talu kemudiannya. Seakan mahu melompat depan tv bila saya mengira satu persatu kemenangan kepada pihak opposisi. Dan satu persatu juga negeri jatuh dalam tawanan.

Pak Lah mengumumkan pembentukan kerajaan dengan majoriti mudah (bermakna 50% dari kerusi Parlimen) bila mata saya sudah kelat menatap skrin. Hah! Bukan dengan dua pertiga ya. Muka Pak Lah kelat tanpa senyum mengumumkan pembentukan keraaan. Suhaimi Sulaiman di Astro Awani juga sama, mahal memberi senyum, malah asyik memotong cakap para pengulas yang asyik meggelengkan kepala bila mendengar satu persatu calon parti pemerintah tumbang.
SMS mengatakan Selangor juga di tawan, namun tiada sebarang laporan keluar. Seperti biasa, mereka mahu umumkan kemenangan sahaja, bukan kekalahan. Saya tewas jam 2.30 pagi sambil tertanya-tanya samada kerajaan pimpinan Khir Toyo benar-benar tewas atau tidak. Namun SMS telah mengesahkan.

Dan saya tidur malam itu dengan senyuman, kerana nyata rakyat telah sedar akan peranan mereka. Satu undi itu adalah kuasa bagi menumbangkan kebatilan, mengalahkan kepincangan, menewaskan kepimpinan yang korup. Alhamdulillah, ada perubahan, dan ia cukup besar. Ada kesatuan naluri rakyat dalam menumpangkan parti pemerintah dan ia lebih besar berbandaing arus reformasi dahul.

Inilah dia suara rakyat, suara keramat. Saya menggelarnya gelombang kesedaran rakyat, kerana rakyat sedar peranan mereka. Parti pemerintah kena pukulan maut kali ini. Dan pastinya mereka sudar bernafas lega di DUN mahu pun Parlimen.

Ayuh para pemimpin yang telah di pilih, inilah masa mengotakan kata. Janji yang di taburi harus di tepati . Empat tahun lagi, anda pula akan dinilai rakyat.

Alhadulillah.

.

Ahad, Mac 09, 2008

Bukan dua pertiga?

Takbirrr!!

Alhamdulillah, kebenaran terserlah akhirnya. Nyata rakyat kini sedar akan kelemahan kepimpinan lalu. Mereka menggunakan sesungguhnya kuasa memangkah di tangan. Syukur tidak dapat di ucap dengan kata-kata.

Sekarang ialah masa mengotakan kata-kata. Semoga Allah meredhai usaha yang bakal dilaksanakan para pemimpin dan dirahmati perjalanan mereka memakmurkan bumi Allah, selagi mereka tetap berpaksikan kepada Qur'an dan Sunnah. Semoga kebenaran terus terserlah.

Saya juga, hampir menitiskan airmata melihat Tuan Guru dalam kesedihan bermunajat memohon pertolongan. Ya, tiada siapa yang dapat membantu ketika itu. Hanyalah Allah

Alhamdulillah

Sabtu, Mac 08, 2008

Anak Malaysia

Kita sudah berada dilandasan yang betul.
Sama-samalah kita terus maju.
Undilah untuk (rakyat) Malaysia.

Ingat, kuasa kini ditangan kita.
Majoriti satu undi sudah cukup memberi kerusi.

Takbir!


:-)

.

Top 30?



Apa? Top 30?

- "Macamana dengan buku? Jualan ok tak?"

+ "Tak tahulah. Pihak syarikat yang pasarkan. Nak ambil tahu pun tak sempat. Sibuk sangat."

- "Jadi, bila boleh dapat satu?"

+ "Nantilah, saya tak sempat nak buat pesanan. Pada tangan ada satu sahaja."

Saya memang cuai!

Jumaat, Mac 07, 2008

Sepatah dua kata buat teman-temanku yang mahu mengundi

Dewasa ini, tiada apa yang menarik untuk di bualkan kecuali pilihanraya. Bagi yang pertama kali melalui suasana mengundi (mungkin empat tahun yang lalu belum sedar atau masih kecil budak), mungkin merasakan pilihanraya adalah satu suasana yang penuh propaganda dan prejudis. Memang ya. Itulah yang boleh saya simpulkan sesudah melalui tiga kali pilihanraya (apabila sudah merentasi alam boleh berfikir dangan waras).

Perang poster, ceramah umum, bahan kempen, bendera, sepanduk dan manifesto bersepahan dijalanan bagaikan memberi warna yang baru terhadap suasana muram rakyat kebelakangan ini yang asyik di sentap dengan berita kenaikan harga barang, kenaikan kadar tol malah kenaikan petrol. Persoalannya, apakah kita masih belum sedar.

Perkara pertama yang sering ditanyakan ialah - mahu mengundi dimana. Kemudian masing-masing melihat pada calon dikawasan mengundi. Ada yang ambil keputusan tidak mahu mengundi.

"Macamana saya nak mengundi? Dua-dua calon saya Cina," soal seorang teman. Memang dahulu saya pernah katakan kepadanya, jika mahu mengundi jangan lihat parti, tetapi lihatlah calon. Pada saya, hanya orang Islam yang boleh menolong orang Islam. Ini pesanan cikgu ketika sekolah dahulu juga. Nanti akan ada orang doakan kita bila meninggal. Tetapi mungkin terkecuali pada kes-kes tertentu.
Dia sudah bertekad tidak mahu memangkah. "Pembangkang yang ada pula DAP. Saya tak minat nak undi DAP. Lagipun dua-dua Cina. Tak ada apa yang saya dapat. ," keluhnya separa merungut. Memang dia tidak mahu memangkah parti dacing kerana sudah jelek. Pada saya ia satu tindakan yang maha bodoh. Kenapa selama ini - kita yang sering mengeluh tentang kenaikan harga barang dan macam-macam kenaikan - tidak mahu melakukan apa-apa sebagai balasan terhadap mereka yang menyebabkan kita hidup tersiksa. Sanggupkah kita rasa tidak tenteram lagi empat tahun ? Berikanlah hukuman kepada mereka saat ini. Ya, hukuman. Supaya mereka sedar dan insaf yang rakyat tidak boleh diperlakukan sesuka hati.

Pada saya, bukanlah kemenangan diharapkan sangat-sangat untuk pihak pembangkang tetapi mengurangkan majoriti pihak yang memerintah sekarang ini memadai untuk mengajar. Jika dapat kemenangan pun sudah dikira satu bonus yang baik. Sekurang-kurangnya mereka sedar yang rakyat ini semakin bijak memilih dan bukannya seperti kerbau yang di cucuk hidung atau mudah terpedaya dengan mereka yang suka menanam tebu di pinggir bibir suntuk 13 hari ini sahaja.

Sedarlah teman-teman, yang kuasa sekarang ini ditangan kita. Walaupun satu undi sahaja, kuasanya sangat besar untuk merubah. Bukalah mata, lihatlah dengan hati. Semoga kebenaran terserlah, kebatilan dinyahkan, keadilan ditegakkan.

Kita sudah berada dilandasan yang betul. Sama-samalah kita terus maju. Undilah untuk Malaysia.






Semua gambar adalah koleksi peribadi. Tidak ada kena mengena yang hidup atau pun mati. Kabur pula kerana tangkap gambar sambil memandiu - tak mengapalah menjelang pilihanraya ini kerana polis penat memantau ceramah, bukan pantau jenayah.

Khamis, Mac 06, 2008

Menjelang proses memangkah

Masih lagi tentang pilihanraya.

Saya tidak berkesempatan menyertai sebarang kempen, ceramah, rapat umum apa-apa tentang pilihanraya walaupun sebelum ini pernah bertekad mahu menjadi orang 'markaz.' Saya cuma sempat berbual-bual dengan teman terdekat dan juga terbang dari satu laman web ke laman blog yang lain. Semuanya kerana mahu mendapatkan berita yang benar.

Mungkin kerana kadar kesedaran sudah meninggi, maka saya dapat rasakan betapa panasnya pilihanraya kali ini. Malah saat ini, saya merasa berdebar-debar tiba-tiba. Apa akan berlaku jika dua-dua pihak tidak mendapat majoriti dua pertiga? Bagaimana jika Kelantan dapat di tawan? Apakah ada kemungkinan Terengganu, Kedah, dan Perlis di rebut dari parti kerajaan? Bolehkah pembangkang membentuk kerajaan? Apakah benar pengundi hantu sudah berkampung di Kelantan dan mengulangi 'kejayaan' 2004 di Terengganu? Seribu satu gambaran, yang pastinya buruk-buruk sahaja tergambar dalam kepala. Malah, saya merasa kecut juga memikirkan ada sesuatu yang telah dirancangkan pada 9 Mac nanti. Menyertainya mungkin mustahil. tetapi saya doakan yang baik-baik sahaja terhasil malam 8 Mac nanti.

Perang poster, perang propaganda, perang manifesto, perang mulut, perang kata-kata. Suasana amat panas kini. Dan sebarang kemungkinan tidak dapat di ramal biarpun sekecil kuman, kerana kita tidak mampu menjangkakan apa-apa yang baik.

Sepatah kata seorang kawan, yang saya tidak sangka dek perwatakannya yang gila-gila - banyakkan solat hajat dan doa sahaja sekarang. Itu sahaja senjata kita.

Allah bersama pihak yang benar. Dan pastinya kebenaran akan terserlah jua akhirnya. Yakinlah, dan pangkahlah dengan betul.

Semua jawapannya pada lapan haribulan nanti.

Selasa, Mac 04, 2008

Tiga puluh dua - enam puluh lapan

Saya, oleh kerana geram tidak dapat menembusi ruang kedai buku DBP dua minggu lalu akhirnya dengan penuh tekad mengharungi jalanraya yang tidak lancar dari Gombak menuju ke DBP Ahad lalu. Walaupun tiba setengah jam sebelum tutup, berpusing-pusing mencari jalan dan parkir, akhirnya berjaya juga tiba.

Sebaik tiba, mata saya tertancap kepada himpunan buku yang disusun untuk di lelong. Mungkin perkataan lelong tidak sesuai, jual murah mungkin lebih elok. Kerana semuanya dijual pada harga RM 1, RM 2 dan RM 3. Bayangkan, novel Sudara karya SN Arena Wati pun dijual pada harga begini!
Saya memang menggemari adengan jualan murah, maksud saya disini ialah buku-buku. Tambahan pula, cikgu menyarankan kami membanyakkan bacaan terhadap novel remaja DBP terbitan 80-an yang dahulu ketika di sekolah menengah menjadi buruan saya di perpustakaan. Sayang sekali, buku-buku yang indah dan menarik itu kebanyakannya sudah tidak menjadi tarikan kini. Malah, buku yang ada dipasaran tidak dapat memenuhi selera remaja.
Saya tidak berfikir panjang malah mengambil satu persatu buku hingga tangan tidak daya menampung berat. Hampir 'gila' melihat buku yang banyak di lelong. Kemudian, beberapa buah novel remaja, karya terjemahan, buku klasik dan novel sejarah menjadi milik saya. Tidak rugi dan tidak sia-sia. 32 buah buku bertukar tangan pada harga RM 68. Siapa yang tidak geram?

Wahai teman-teman AKRAB, cepatlah berkunjung ke DBP sebelum di tanya cikgu tentang assignment kita nanti.

.

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...