Jumaat, Jun 30, 2006

Aku mahu lari dari daerah ini

Aku mahu lari dari daerah ini
Kerana aku takut melihat insan disini
Sering mabuk mengejar duniawi
Sambil mulut tak putus mengeji dan mencaci
Akan mereka yang gagal dan enggan terus berlari

Insan disini agaknya kurang mengerti
Bahawa apa yang mereka dapat bukanlah apa yang mereka cari
Dan apa yang mereka kejar itu belum tentu pasti
Tetapi mereka berkata seolah-olah itu adalah realiti
Lantas tanpa melihat kanan dan kiri
terus sahaja mengatakan yang itu adalah asli

aku mahu lari dari daerah ini
kerana penat sudah berdepan dengan mereka ini
yang menjual seribu impian dan sejuta mimpi
nampak seperti nyata tapi pura-pura dalam hati
sendiri pun tak tahu apa yang akan terjadi
bahkan sekadar mengira detik dan menzikir hari

Aku mahu lari dari daerah ini!

Taman Melawati
29 Jun 2006

*Tapi saya perlu berada disini buat berapa waktu lagi. Saya mahu lihat manusia disini, dan mahu capai tangan mereka dari terus hanyut!

PUISI USAHA GIGIH - FAISAL TEHRANI

Saya suka puisi ini. Saya curi dari laman blog Faisal Tehrani untuk ingatan diri saya dan sesiapa yang rasa perlu. Baca dan hayati. Ada benda yang tersirat dari dalam!

PUISI USAHA GIGIH
Oleh Faisal Tehrani

Perlu ada usaha yang gigih kawan untuk menjadi seperti Ibrahim, dermawan menyembelih putera kesayangan; seperti Ismail yang taat dan setiakawan menyerah pasrah tanpa mempersoalkan; atau tidakkah terlihat pada Ayub sejenis kekentalan tak mengeluh oleh ujian; menjadi ibarat Zakaria yang berbicara dengan lambang-lambang, tiga hari dan berdoa dengan suara yang penuh kelembutan; seperti Yunus terbuang, di tengah kaumnya hidup dalam keterasingan; juga kembaranya Isa, satu-satu harta yang ada ikut dilepaskan; atau seperti Musa berpakaian dan kebesaran Muhammad, selain dari akhlak juga al Quran, dia hidup dalam kemelaratan; diberikan langit dan bumi menolak tetapi memohon kepada Tuhan sehari lapar sehari kenyang menghindari dunia penuh lapis kemewahan. Bukan senang kawan jalan yang ingin diterokai, bukan sekadar ada lapan liku tetapi juga harus menjadi seperti Adam dahulu, berkhalwat dan diberi akal fikiran memikir tentang satu demi satu kejadian-kejadian Tuhan setelah itu berbuat dosa – satu dosa kutukan ke atas iblis dan godaan-godaan celaka ke atas syaitan yang menyesatkan dan Adam dihumban; tiga ratus tahun penuh penyesalan diberi kenikmatan bertemu di puncak Arafah, bertaubat dan membersihkan bermula dari kekesalan dan perenungan baru dicapai lapan cabaran dan penuh usaha penuh kegigihan.

Nevsehir-Konya, 23 Zulhijjah 1424 Hijrah.

*Tersiar dalam Dewan Sastera Ogos 2004

Satu puisi buat teman

Puisi ini untukmu teman
Untukku menegur akan sesuatu
Selepas aku terkesan dengan peristiwa itu

Untuk menjadi baik perlu lebih dari wajah yang halus
Sifat dan lakumu turut dipandang diteliti
Ceria dengan hati yang tulus
Tanpa sebarang hasad atau dengki yang mengelus
Rendahkan suaramu senangkan dirimu
Ramahlah selalu permudahlah kerjamu
Jagalah hati-hati yang lain
Senangkan dirinya
Awaslah akan kata-kata yang kau hambur
Mereka akan rasa suka
Mereka akan sentiasa membantu

Jika kau bersikap seperti semalam
Semua akan mengeji dengan cepat
Ada yang terus meminggir
Lalu mengatakan kepadamu yang pelbagai
Kata-kata pula banyak mencaci
Mata memandang dengan ekor
Hati disulam rasa benci
Bibir pura-pura kuntum senyum
Mulut ada yang cuba bermanis
Wajah seakan berlaku suka
Dalam hati bergelora untuk menghukum
Kau akan jadi sesak
Terhimpit dan terpinggir

Kisah ini tak berakhir disini
Biarpun setelah kau tiada
Dan berlalu pergi

Taman Melawati
30 Jun 2006

Rehat lagi?

Saya rasa ini adalah entri yang perlu. Sudah 15 hari saya cuti dari berblog. Bukan cuti sebenarnya. Line internet yang saya curi dari pejabat sebelah, entah kenapa meragam pula. Setiap hari saya cuba online, tiada respon langsung. Jawapannya sama 'connection unavailable'. Agaknya mereka sudah tahu ada insan yang tak beratuliah mencuri talian mereka.

Entri ini perlu kerana selepas ini saya tak pasti akan berblog buat beberapa ketika. Saya di arah bertukar angin ke negeri di bawah bayu, bertukar pejabat dan bertukar bos seketika. Bukan sekadar jalan-jalan biasa, tapi tetap kena bekerja - mengajar staff baru di sana. Saya tak tahu berapa lama, mungkin tiga hari, mungkin empat, lima, enam, seminggu, dua minggu, tiga minggu (yang minggu itu imaginasi saya. Hari itu yang betul. Tapi kalau bos disini baik hati, mungkin sampai berminggu-minggu!)

Sudah ada yang bertanya kenapa tiada entri baru. Semalam sudah ada yang menelefon. Selain talian yang on-off, kerja juga bertimbun, mengejar si penghutang yang sedap meminjam tapi lupa masa untuk memulang. Sudah dasr manusia!

Entri ini perlu bagi memaklumkan yang jauh bahawa saya masih lagi wujud, dan masih berkeinginan umtuk berblog. Saya tinggalkan beberapa pesanan untuk insan yang tertentu, yang takperlu saya sebutkan namanya, kerana ada beberapa perkara penting yang tak sempat saya sampaikan tika brbicara (lebih kurang macam wasiat la!)

Hmm.. tak sangka pula akan ke Sabah. Merasa juga menjejakkan kaki ke Malaysia Timur dalam jangka masa terdekat ini. Perancangan sendiri dalam beberapa tahun lagi.Untuk Ana, Gunung Ledang bukan di Sabah ya, di Melaka-Johor. Itu gunung yang kita pergi dulu. Di Sabah, ada Gunung Kinabalu, dik...gunung yang tertinggi di Asia Tenggara. Gunung Tahan pula di Pahang. Gunung Daik pula bercabang tiga...

Eh?

Khamis, Jun 15, 2006

Berehat

Blog ini akan berehat selama beberapa hari. Saya bercuti, mahu pulang ke kampung, meredakan fikiran, merehatkan fizikal. Perkara penting di kampung, perbincangan mengenai proses pertunangan - bukan untuk saya, tetapi untuk adik bujang saya.

Mak pesan semalam, atuk suruh buat pengantin empat. Dia suruh cepat-cepat, takut dipanggil pergi sebelum melihat cucunya berpunya. Maklumlah, cucu hampir 50 orang, bari satu yang naik pelamin. Namun saya sambut dengan gelak kecil. Dalam hati, saya gelak besar!Tapi saya tahu, ayat itu dari emak sebenarnya.

Nantilah mak, belum jumpa lagi. Doa sahajalah sekarang. Lagipun, ada benda lain yang saya kejar sekarang ini....

Gilir Hidup

Malam pergi
mengiringi bulan
bintang
gelap
duka
suram

Mentari datang
bawa ceria
sinar
harapan
masa depan

gilirnya tetap sama
rutinnya tidak berubah
aliran manusia pula serba tak kena
bukankah malam dan siang tetap berlaku
sebelum Jibril meniup serulingnya

010506

Selasa, Jun 13, 2006

Demam

Empat tahun sekali dia datang, menyebabkan dunia bersatu menggilai satu perkara ini. Semua benda di tinggalkan, diketepikan, malah sanggup berkorban itu dan ini supaya tidak ketinggalan. Piala Dunia empat tahun sekali ini ada kenangan yang tersendiri buat saya, kerana setiap kali ia berlangsung, ada sahaja perkara yang berlaku dalam hidup saya.

Kali pertama saya dengar perkataan Piala Dunia ini, pada tahun 1990, masa tu berlangsung di Itali. Saya darjah 6. Seorang pemain sahaja yang melekat dalam kepala saya masa tu, Careca, pemain dari Brazil. Itu pun sebab kawan saya, Azhar yang minat pada pemain ini. Itu sahaja yang dapat saya ingat tentang Italia '90.

Piala Dunia 1994 saya tingkatan 4. USA jadi tuanrumah, negara yang lebih bagus main 'Football' berbanding 'Soccer'. Masa ni mula belajar demam bola. Brazil jadi juara. Saya minta emak kejutkan bangun pukul 5 pagi untuk tengok tv, sebab emak bangun awal untuk buat kuih. Perlawanan berlanjutan hingga ke masa tambahan dan penalti. Oleh kerana itu, pukul 7 pun belum habis lagi. Dalam terkocoh-kocoh nak pergi sekolah, dapatlah saya tengok bagaimana Roberto Baggio menyepak penalti penentuan tinggi melepasi gol. Itali gigit jari lagi. Brazil jadi juara. Masa ni, nama Ronaldo mula di sebut-sebut sebagai pemain yang patut dilihat, tetapi seingat saya dia langsung tidak diturunkan oleh jurulatihnya. Gandingan Romario-bebeto adalah yang paling berbisa, jadi untuk menurunkan pemain baru seperti Ronaldo amat mustahil.

Kemudian, saya ingat lagi pada 1996 (selingan). Masa ni Euro '96. Saya memang ikuti sebab kebetulan baru habis SPM, dan menunggu masuk ke universiti. Alangkah hampanya bila hari final saya mendaftar masuk ke matric. Maka termangu-mangu saya mencari siapa pemenangnya. Mujurlah saya dapat berita dari para committee Ta'aruf, yang Czech adalah juara.

Situasi yang sama berlaku semasa Piala Dunia 1998 di Perancis. Waktu tu cuti semester, menunggu panggilan ke main campus. Saya terlepas beberapa perlawanan separuh akhir dan juga akhir kerana Minggu Ta'aaruf. Sekali lagi saya tercari-cari siapa pemenangnya. Tetapi kerana sudah agak 'besar' sedikit, dapatlah saya beberapa kali mencuri peluang menonton siarannya, walaupun sekadar ulasan perlawanan. Committee juga sporting, memberitahu keputusan di setiap senggang waktu. Perancis jadi juara dan Ronaldo tidak main kerana di syaki di serang sawan. Satu dunia juga di serang sawan kerana Ronaldo tidak diturunkan. Tetapi nama Zidane lebih di sebut, kerana dia punya keturunan 'Arab' dari Algeria dan ada 'darah' Muslim. Apatah lagi semasa Euro 2000, Zidane juga salah seorang peneraju kemenangan Perancis. Hmmm.... macam-macam.

Piala Dunia 2002, saya di rumah, sudah tamat belajar, menanti kerja dan sibuk menghantar surat permohonan ke sana kemari. Jadi saya punya banyak masa untuk menonton, tambahan pula waktu Jepun-Korea Selatan selaku penganjur bersama tidak jauh bezanya dengan Malaysia. Maka buat pertama kalinya, rakyat Malaysia tidak perlu bermerah mata di siang hari. Brazil jadi juara dan Jerman gigit jadi.

Euro 2004 saya tidak ambil kisah. Mungkin tengah sibuk dengan kerja hingga saya tidak memperuntukkan waktu untuk bola. Saya cuma dengar kisah di internet mahu pun di akhbar. Itu sahaja. Tapi saya curi-curi tonton juga. Masa ni Greece, pasukan yang di pandang sebelah mata jadi juara. Satu duni terkejut Greece boleh jadi juara Eropah. Tapi ini bola, siapa boleh duga. Cuma Piala Dunia ini, Greece pula tidak layak. Aagaknya sudah berpuas hati jadi juara Eropah agaknya.

Germany 2006, saya celik kembali. Biarpun kesibukan waktu, tapi saya akan pastikan punya masa untuk bola. Puncanya? Kerana ia empat tahun sekali dan satu dunia memahaminya.

Maaf, entri tentang bola. Saya pun tak boleh lari dari demam empat tahun sekali ini. Tambahan pula dulu pernah berangan mahu duduk di tempat Hasbullah Awang, Rahim Razali mahupun Sharkawi Jirim. Nampaknya tinggal angan-angan sahaja D

Sabtu, Jun 10, 2006

Aku dan saya

Dengan rakan sebaya, saya membahasakan diri aku. Dengan yang muda, saya membahasakan diri akak. Dengan yang lebih berusia, saya membahasakan diri saya. Dengan adik-adik, saya di sapa Along. Saya menggunakan aku kerana saya orang Johor, asalnya Johor, surat beranak Johor, no ic 01 - kod negeri Johor biarpun sudah 22 tahun menetap di Negeri Sembilan.
Dalam blog ini, awalnya saya menggunakan aku. Apabila saya baca entri lalu, sapaan aku nampaknya kelihatan kasar. Mungkin kerana terlalu selesa dengan sapaan begitu, saya menjadi tidak kisah. Tapi saya merasa tidak selesa, kerana tidak semua orang boleh menerima sapaan aku. Saya tahu, yang membaca blog ini juga merasa tidak selesa.
Untuk entri seterusnya, saya berusaha menukar aku kepada saya supaya nampak lebih mesra. Untuk keselesaan semua, supaya nampak lebih mesra :-)

Jumaat, Jun 09, 2006

Hantu buku

Seminggu dua ini saya rasa macam mati kutu. Saya mencari punca, tetapi tak tahu kenapa. Agaknya mungkin kerana terlalu memikir akan perancangan masa depan hinggakan saya merasa 'tak berapa betul'. Saya ini senang sahaja, kalau rasa bosan, pergilah ke kedai buku. Lihat buku sahaja dah boleh menenangkan fikiran. Kalau orang lain pergi shopping, atau gila shopping, kaki saya akan pantas menuju ke kedai buku. Biasanya, perancangan mahu melihat buku sahaja, tetapi kalau dah hantu buku, pantang jumpa pasti nak beli.

Mungkin 'mati kutu' saya ini ada kaitannya dengan buku. Selepas Tunggu Teduh Dulu oleh Faisal Tehrani yang habis saya baca minggu lalu, saya tiada 'stok' buku untuk di baca, melainkan majalah sastera yang ada. Jadi saya rasa, saya perlu cari stok baru.

Semalam, saya ke MPH Wangsa Maju, berhajat melihat-lihat buku. Belek-belek buku terjumpa dua buku menarik. Benih Semalu oleh A Samad Said dan Siri Biografi A Samad Said. Saya beli kerana dua perkara - pertama kerana harga yang murah, kedua kerana oleh A Samad Said dan tentang A Samad Said. Pada mulanya saya terkejut kerana harganya murah, buku A Samad Said di jual pada harga murah? Terkejut kerana ia buku seorang sasterawan. Tidak hairanlah Pak Samad pernah 'merajuk' satu ketika dahulu.

Saya sedang berusaha mengkhatamkannya. Pada rak sudah ada beberapa hasil karya Pak Samad. Sekarang ini, saya berusaha mengumpulkan hasil karya mereka dalam usaha memantapkan bahasa dan mencambahkan idea. Supaya bahasa menjadi cantik dan nahunya betul dan tidak ganjil.

Bodyguard

Dulu masa sekolah, kawan-kawan gelar saya 'King Kong' (buruk sungguh gelaran ni). Bukannya apa, sebab saiz badan saya yang tinggi dan tegap, maka di gelar saya sebegitu. Memang setiap orang ada gelaran mereka sendiri. Ada yang ayahnya Tamby Chik dipanggil Tamby, datuknya bernama Rabu di panggil Rabu, yang agak-agak tomboy di panggil Atan (dari perkataan jantan), yang bersuara halus di panggil Doraemon, ayahnya bernama Mokhtar di panggil Mortar dan macam-macam lagilah. Kami semua tak peduli dan tak marah pun, sebab rasa macam satu keseronokan pula.
Bila dah dipanggil King Kong, ada pula yang gatal mulut mengatakan yang saya ni sesuai jadi bodyguard sebab saya di katakan punya karektor seperti itu. Tak tahulah, mungkin ia menjadi doa yang makbul, kerana saya kemudian bekerja dengan sebuah syarikat Kawalan Keselamatan, terlibat dalam operasi kawalan keselamatan, bermain dengan senjata api dan keselamatan syarikat yang kami jaga.
Apabila menyambungkan pelajaran, saya bergiat cergas dengan sebuah paramedik unit, yang turut mempunyai uniform sendiri dan rejim latihan yang ketat. Saya bertahan hingga keakhir pengajian, biarpun ditinggalkan oleh kawan-kawan yang awalnya berkobar-kobar turut serta. Ia bukan sekadar paramedik unit, tetapi turut merangkumi pelbagai aktiviti lasak lain seperti berbasikal, panjat turun gunung, aktiviti survival, berkhemah, berkayak dan bermacam lagilah (akan saya cerita kemudian). Ia sekaligus menyebabkan saya perlu sentiasa cergas dan 'fit', supaya tak mudah 'pancit' bila menyertai program panjang yang memerlukan tahap kecergasan yang tinggi. Oleh itu, setiap petang saya perlu menghadiri latihan yang ada - berjogging, berkayak, mengayuh basikal dan macam-macam lagi. Memang tahap kesihatan dan kecergasan di tahap yang tinggi! (tak seperti sekarang ni, kasut jogging pun entah ke mana)
Apabila habis belajar, saya cuba memohon kerja ke pelbagai tempat. Rezeki mungkin tak menyebelahi, tambahan pula memang tak berminat dengan kerja dengan orang (mahu jadi bos sendiri - lihat entri yang lalu). Jadi bila dah pasang niat macam tu, memang tak dapatla. Jadi, ada juga teman-teman yang gatal memberitahu supaya saya memohon masuk tentera - tak kiralah pilot ke, navy ke. Saya mula berfikir, mulut-mulut yang gatal ni, kalau di ikutkan betul juga. Minat ke arah itu memang ada, apa lagi melihat mereka berunifrom dengan segak. Kawan-kawan pun ramai yang boleh tolong - ada yang dah jadi PA dengan Laksamana lagi. Itu kalau mahu ikut jalan belakanglah. Tetapi saya kuburkan sahaja niat itu, kerana saya mahu pergi ke bidang lain.
Akhirnya, saya bekerja dengan syarikat kawalan keselamatan itu. Hampir 15 bulan juga saya di sana, hinggalah saya berhenti pada April yang lalu. Kerja baru saya? Hmm.. jadi PA, lebih kurang macam bodyuard jugalah. Tak kemana jauh juga bidang yang saya pergi ni. Pusing-pusing itu juga. Awalnya saya tak sedar, hinggalah seorang rakan memberitahu perkara sedemikian. Tak apalah, bukan saya yang minta pun.

Kecil sahaja dunia ini.

Irama jiwa

Gusar mengundang risau
Benci mengundang iri
Kecewa bawa binasa

Resah dalam tawa
Tangis dalam pilu

Semua irama menjadi satu


Resah? Pilu? Rindu?

Peta Hidup

Saya rasa sekarang ini saya perlu berhenti seketika, meletakkan titik pada perjalanan kehidupan saya, maksudnya kerjaya saya. Bukan saya putus asa, bukan saya patah semangat, tetapi kerana saya mahu memulakan sesuatu. Titik berhenti itu adalah untuk saya memulakan sesuatu.

Awal dahulu, sewaktu saya mahu meletakkan kaki dalam dunia kerjaya, seorang rakan menyuakan saya buku ‘Rich Dad, Poor Dad’.Buku bagus katanya. Saya menekuni dan mengkhatamkannya. Akhir ayat, mata saya celik benar. Sememangnya saat itu saya mencari-cari arah sendiri dan sedang merecana hidup baru-hidup orang bekerja. Setiap hari saya memikir jalan, melakar-lakar peta hidup akan arah yang sepatutnya saya tuju. Saya tidak gemar menjadi seperti orang biasa, yang hidupnya ‘tergendala’ setiap hari selama lapan jam, yakni dari jam 8 hingga 5. Pada saya kehidupan mereka terkongkong (terkongkong, bukan dikongkong). Robert Kiyosaki kata Rat Race. Rat Race ni, kalau nak di cerita, panjang juga. Nantilah, akan saya kisahkan kemudian. Tapi saya tahu, awal hidup saya di dunia baru ini, saya perlu juga mengongkongkan diri buat seketika untuk merasa sepak terajang dunia kerja, belajar dari manusia dan tamak haloba dunia.

Mujurlah saya jenis yang pandai cari kerja part-time. Macam-macam yang saya buat selepas belajar. Selain dari kerja 8-5 yang sementara, saya ‘ambil upah’ menjaga koperasi pada waktu malam, mengajar tuisyen dirumah pada Sabtu dan Ahad, kemudian menjadi penjaga peperiksaan di Kolej TAR (ada pengalaman menarik di sini, nanti saya ceritakan kemudian), hinggalah di panggil menjalani latihan di Suruhanjaya Sekuriti selama sebulan. Saya akui hasilnya tidak lumayan, cukuplah sekadar menampung hidup saat baru melangkah kerja. Saya tak kisah tentang bayaran, kerana pengalaman itu sendiri tidak boleh di nilai. Mujurlah, saya tidak pernah di tipu majikan. Bayaran dapat, tetapi kerja 8-5 itu yang bermasalah, bayarannya lewat hingga tiga bulan. Jadi kerja part-time menjadi penampung kehidupan saya buat sementara. Dari situ, saya belajar dan melihat pelbagai perkara. Memang saya pendiam dan tidak banyak cakap, tetapi saya banyak memerhati dan memikirkan tentang itu ini. Akhirnya saya menjadi seorang yang ‘boleh’ bercakap dan banyak bertanya tentang perkara yang ingin saya tahu. Semua itu saya golongkan sebagai rahsia perniagaan.

Saya rasa cukup sudah apa yang saya terima. Bukannya berpuas hati, tetapi amat baik untuk saya memulakan sesuatu untuk di diri saya dan masa depan saya. Saya tidak lagi terus terperangkap dalam dunia 8-5, terkongkong dengan kerja, dan lebih-lebih lagi melakukan sesuatu yang saya sendiri tidak minat (seperti kerja sekarang inilah). Setiap hari saya berfikir, mengapa harus saya bersusah kerja demi orang lain dan saya pada setiap bulan mengira hari menunggu gaji yang bila di tolak EPF, ansuran kereta, pinjaman JPA cuma tinggal berapa sen sahaja. Saya tidak mahu berterusan begini

Sebab itu saya rasa cukup setakat ini. Seminggu dua ini saya banyak berfikir selain menyandarkan lebih doa kepada Allah moga Dia memberi petunjuk yang tepat, jalan yang benar, diri yang kuat, semangat yang berkobar, usaha yang gigih dan harapan yang luhur supaya cita-cita saya di berkati dan di dalam rahmat dan redhaNya.

Saya nekad kini. Malam tadi, saya bertapa seketika di MPH, membelek buku Chef Li hingga akhir, speed reading tanpa membeli. Buku yang bagus dan sekaligus membantu saya membuat keputusan. Saya mahu usaha sendiri. Kalau saya tak bermula dari sekarang, bila lagi. Kalau saya tak bermula, bagaimana saya tahu keupayaan saya? Untuk apa saya harus takut sedangkan saya belum bermula. Saya mahu usahakannya, saya mahu melakukannya. Peluang sudah ada, jalan sudah nampak, usaha sahaja yang perlu untuk menggerakkannya. Sudah sampai masanya saya berdiri di atas kaki sendiri.

Saya tahu kekuatan diri. Saya tahu rezeki Allah ada di setiap ceruk bumi.
Setiap usaha pasti ada balasannya.

Rabu, Jun 07, 2006

Mencintaimu Tak Pernah Lelah

Cinta itu
menyala, di ujung malam
tanpa lelah
mengintipmu
di sebalik pintu-pintu hidayah
luas terbuka

Mencintaimu tak pernah lelah
mengharap
meski mengucur keringat
di malam pekat

*di ambil tanpa izin dari laman Tiara-Saja

Khamis, Jun 01, 2006

Sesatkah?

Kak D, cuma sekali sekala datang ke pejabat saya. Dia datang bila perlu, bila ada temu janji yang diatur oleh pelanggan. Kadangkala dia sengaja datang awal bagi mengemas biliknya. Kadangkala bila terlalu awal, saya jadi mangsanya, untuk menjadi teman dia bercakap, sebab dia ni memang suka bercakap. Tapi Aiman tak kisah.
Satu hari dia membuka satu cerita. Cerita tentang dirinya. Yang bila aku dengar, hampir terbeliak jugalah mata, tapi buat-buat tak tahu dan kontrol dalam diam. Dia mengakui dan menyatakan kebenaran akan dirinya - yang dia belajar TASAWUF. Mula-mula aku terdiam juga, lama-lama aku jadi kagum, kerana mulutnya mula menuturkan fakta-fakta yang boleh mengesahkan dia memang belajar tasawuf. Tapi aku tak kisahlah apa ilmu yang dia belajar, sama ada aliran yang betul atau aliran yang menyimpang. Aku sendiri tak tahu kesahihan perkara sebegini. Dunia sekarang ni manusianya macam-macam. Aku sendiri tak kuasa mahu menghakimkan samada seseorang itu lurus jalannya atau tidak. Biarlah Allah sahaja yang menentukan. Aku sekadar dengar. Bak akat Atuk aku, dengar boleh, percaya jangan.
Tapi ada satu perkara yang menyebabkan aku rasa tak sedap hati. Dia menyatakan yang dia tidak memakai tudung adalah kerana dia mengikut mazhab yang memberi kebenaran kepadanya untuk tidak bertudung. Buat seketika aku terdiam dan tidak membalas kata-katanya, sambil cuba mengorek memori. Manalah tahu, tetiba memang ada mazhab yang kata seperti yang dia kata.
Lama-lama aku senyum. Makin lama, makin banyak rasanya benda silap yang dia cakap dan dia buat. Aku tak membalas, mahpun membantah. Sekadar senyum. Dia tahu, dia seorang sahaja di sini yang tidak bertudung dan dia sedar akan lirikan mata-mata yang menyindir penampilannya. Dalam pada masa yang sama dia mengakui selalu bertahajud dan membaca Qur'an serta berusaha berjaga malam untuk beribadah. Dia juga berusaha menegakkan pendiriannya yang tidak bertudung itu. Ada pelanggan yang datang kepadaku menceritakan perkara yang sama, seolah-olah dia berbangga yang dia tidak bertudung dan ada mazhab yang membenarkan dia berbuat begitu. Aku tidak berkata apa-apa, sekadar diam dan senyum.
Bila aku utarakan perkara ini kepada bos (bos aku perempuan), dia terbelalak.
"Heh! Ada ke macam tu? Masa di kubur nanti, kita cuma ditanya, 'apa agamamu?' bukannya ditanya 'apa mazhabmu?'. Mana boleh macam tu?"
Sekali lagi saya senyum dan terdiam.

Mati Kutu

Mati kutu? Kenapa mati kutu? Sebab tak ada laptop, aku mati kutu...
Dua hari laptop demam, sebab tangan gatal memadam program yang tidak perlu. Akibat rabun (bukan buta) pasal IT, maka hilanglah Office seketika. Maka tergamam dan terkesima, kerana semua benda duduk dalam Office. Mujurlah ada Open office, tetapi tetap tak puas hati. Mahu office juga!
Jadi, dua hari masuk klinik, dah lah doktor tu part time, boleh jengah pesakitnya selepas waktu pejabat, jadi lambatlah pesakitnya kebah. Bila dah keluar dari klinik, tak boleh online pula. Masuk klinik lain lah pulak. Akhirnya, terpaksalah aku update blog di CC, akibat dah terlalu gian kepada blog.
Tapi bila dah mati kutu macam ni, aku teringat kata kawan aku masa aku baru start nakkkenal dunia kerja.
"Kita memang di suruh elak dari terlalu bergantung kepada sesuatu, hatta kepada manusia pun. Jadilah Allah itu sebagai satu-satunya tempat bergantung, kerana Dialah yang kekal abadi. Manusia, bila-bila masa nyawanya di cabut Tuhan. Bila tiada, kita jadi susah dan gundah gulana"

Hmm...betul juga.

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...