Jumaat, November 20, 2020

Anak muda yang kehilangan

 Alkisahnya anak muda ini pernah sebumbung sewaktu dia bekerja sementara ketika cuti semester hampir dua tahun yang lalu. Ketika itu dia di tahun dua dan saya pula kurang dapat berbicara dengannya kerana tugasannya di bawah arahan pihak lain. Kali ini dia menjalani latihan industri selama lapan minggu- satu tempoh yang pendek untuk menghasilkan kerja yang memberansangkan - dek kerana COVID-19 yang mengekang pergerakan.


Sehari sebelum tamat tempoh latihan, saya memanggilnya untuk membuat penilaian, mendapatkan maklumbalas dan menguruskan dokumen yang perlu majikan serahkan kepada pihak universiti. Dalam bertanya-jawab, saya meminta izin bertanya soalan yang agak sensitif, soalan yang sudah saya simpan sejak hari pertama dia datang memulakan tugas.

Keluarga sudah bercerai sejak bila? Soalan nampak seperti menjaga tepi kain orang, tapi inilah sikap seorang yang pernah bergelar HR. Dia senyum dengan serba salah. Baru lagi, dalam bulan sembilan (tahun lepas). Saya membalas senyum yang hambar. Dan ia memberi kesan mendalam pada kamu? Ya, jawab dia. Saya perasan itu. Sebab awak nampak berbeza daripada dulu. Saya menahan air mata ketika itu. Sepatutnya dia, bukan saya yang sebak. Tapi saya tahu, anak mudah di hadapan saya ini sedang menahan sesak dada dan perasaan yang tidak terluahkan akibat dari runtuhnya ikatan perkahwinan ibu dan bapanya. Siapa yang tidak sedih jika selepas 20 tahun, perlu memilih hidup berasingan antara ayah dan ibu, menguruskan adik yang masih bersekolah dan melihat ibu atau ayahnya yang hidup bersendirian-berasingan setelah lama mereka duduk sebumbung.

Saya tidak mampu membayangkan lebih dari itu. Tetapi dari status dan puisi yang dikarangnya, saya tahu dia sangat terkesan. Saya tahu anak muda ini boleh bangkit, tetapi dia akan berdiri dengan parut di dadanya.

Hubungi saya jika perlukan apa-apa. Itu pesan saya sebelum nanti dia meneruskan satu semester terakhir sebelum dilepaskan ke lautan kehidupan yang lebih luas.

Semoga kuat anak muda!

#patuttulisdalamblog

Selasa, November 10, 2020

Editor tidak kan berkecil hati

 Adakah editor berkecil hati namanya tidak dipetik atau ditulis? Tidak


Teringat dalam Jimi ni Sugoi. Orang yang betulkan lampu adakah dikenali? Tidak. Tapi orang tahu dia ada. Tanpa dia, lampu tak menyala. Tukang sapu adakah mahu dikenali? Tidak. Tapi tanpa dia, kawasan kotor. Namun orang tahu dia ada.

Justeru, editor ada di sebalik karya yang diterbitkan. Kerana tanpa editor, karya itu tidaklah secantik dan sebaik itu.

Maka editor tidak akan sekali-kali berkecil hati. Dia ada pada setiap perkataan yang dibaca dan dibaiki. Dia ada dalam setiap karya yang diterbitkan. Dia ada pada setiap buku yang dibeli. Editor ada dalam setiap rak. Editor ada dalam diri pembaca.

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...