Selasa, Januari 08, 2013

Suri di rumah

Sebenarnya, saya tidaklah mengeluh soal saya berada dalam kesesakan lalulintas pada setiap pagi. Saya menganggapnya sebagai satu cabaran dan sangat menarik. Boleh dikatakan saya gembira, kerana dapat melakukan pelbagai perkara yang bermanfaat dalam kereta. Pelik, memang pelik, haha.

Namun seperti komen seorang pembaca dalam entri sebelum ini, kahwin dianggap sebagai penyelesai masalah dengan berhenti kerja dan membiarkan pasangan kita yang stress ke tempat kerja. Sebenarnya ini polemik bagi sururumah yang bekerja. Kalau diberi pilihan, memang tiada siapa yang mahu bekerja. Duduk rumah goyang kaki dan menanti elaun dari suami, menjadi sesuatu yang diidamkan mereka. Tetapi kalau sanggup ikat perut dan berjimat cermat hingga ke hujung bulan, tidak ramai yang sanggup. Kos hidup di Malaysia kian meningkat, inflasi tidak pernah turun dan gaji pula tidak mencukupi untuk memenuhi kehendak kita yang pelbagai.

Isu wanita atau ibu bekerja ini sudah dilihat sebagai satu gelombang polemik yang membawa pelbagai cabaran. Suami sudah pasti mahu tambahan pendapatan bagi menampung kehidupan. Namun ia datang dengan kos lain di mana mereka terpaksa menghantar anak ke taska, atau jika mampu mencari pembantu rumah. Pembantu rumah khususnya warga asing membawa cabaran lain pula. Bak kata seorang rakan, wanita bekerjaya merupakan masalah negara. Jika tidak bekerja, ekonomi rumahtangga separa lumpuh. Jika bekerja, anak-anak menjadi mangsa. Majikan pula pening dengan pekerja yang sering mengambil cuti kecemasan, cuti sakit atau cuti tahunan kerana anak sakit, pembantu rumah lari, taska tutup kerana tiada lesen dan macam-maca alasan lain.

Mustafa Kamal Ataturk ketika berusaha mensekularkan Turki sudah melihat jauh akan isu wanita yang bekerja. Ketika itu, wanita masih duduk tercorok di rumah, belum mendapat pelajaran yang tinggi dan hidup terkongkong. Dia tahu, untuk menjadikan Turki lebih moden dan maju, wanita tidak boleh dibiarkan di rumah. Tenaga mereka harus digunakan, fikiran mereka perlu digerakkan. Oleh itu, salah satu cara bagi mempercepatkan pemodenan Turki ialah menggalakkan para wanita ke pusat pengajian tinggi dan diberi peluang yang luas di tempat kerja. Dia tahu, rumahtangga akan porak poranda jika wanita meninggalkan anak-anak kepada orang lain. Dia tahu dengan mengejar kebendaan dan meninggalkan keluarga, Islam akan tergugat di bumi Turki. Usaha beliau berjaya memecahbelahkan institusi keluarga dan membawa Turki lebih barat. Wanita meninggalkan rumah, membiarkan anak-anak dididik oleh orang lain dan melepaskan tanggungjawab itu dengan mudah. Akibatnya, anak-anak meliar dan kurang didikan agama, tidak seperti sebelum itu di mana mereka sentiasa dibawah pengawasan yang ketat.

Kita sudah melihat perkara ini melanda masyarakat kita, dan kesedaran untuk mengelakkan perkara yang sama berlaku sudahpun wujud. Ibu bapa meskipun bekerja semakin sedar anak-anak mereka perlu diberi perhatian lebih apatah lagi ketika ini pelbagai jenis kemodenan menyusup masuk ke dalam rumah tanpa anak-anak itu keluar dari pintu rumah. Internet yang membawa dunia lebih dekat dengan mereka kian merisaukan, dan pengawasan agama sahajalah yang boleh membentengi mereka dari perkara yang tidak diingini.

Di alma mater dahulu, seorang rakan apabila ditanya apa cita-citanya, dia menjawab, 'mahu menjadi surirumah'. Kami senyum dengan jawapan sinisnya tetapi selepas sepuluh tahun ternyata dia tidak salah mempunyai impian seperti itu.

Isnin, Januari 07, 2013

Perjalanan Pagi

Masuk tahun baharu bermakna sudah lima minggu saya berada di daerah baru, selepas berpindah pada penghujung November lalu. Perpindahan ini sungguh bermakna, dan ia insyaAllah menjadi yang terakhir bagi saya. Memiliki kediaman sendiri bagi sesetengah orang adalah puncak kenikmatan yang tidak terhingga dalam pusingan kehidupan. Saya cuba mendalami makna itu.

Tempat baharu ini membawa kelainan tersendiri. Pertama kerana lokasinya kira-kira 22 km dari tempat kerja. Mengikut perjalanan biasa tanpa lampu merah dan tanpa kesesakan, ia cuma mengambil masa dua puluh minit. Tetapi kesesakan awal pagi menjadikan waktu bertukar menjadi 45 minit. Apabila sesi persekolahan bermula, ia melampaui 60 minit.

Soalan pertama yang sering ditanyakan pada saya, susah tak ke pejabat? Saya akui, sejak bekerja ini kali pertama tinggal dilokasi yang jauh dari rumah. Jika tidak, perjalanan mengambil masa lima ke sepuluh minit sahaja. Selama lapan tahun itulah, saya tidak menempuh kesesakan, berada dalam situasi yang selesa, tidak perlu risau tentang tol dan petrol atau kereta yang boleh meragam tiba-tiba. Saya boleh mendengar pengalaman orang yang tersangkut dalam kesesakan, yang mengeluh perlu keluar awal dari rumah, yang menaiki motor untuk cepat sampai atau bersesak dalam koc awam bagi mengurangkan kos perjalanan.

Jadi perubahan kali ini, pada awalnya merisuakan juga. Tetapi saya mengambil faedah sebaliknya. Banyak perkara yang saya ketinggalan, saya dapat lakukan kini. Membaca dalam kereta, mendengar bual bicara dalam Ikim terutamanya Isnin (Ustaz Pahrol), Khamis (Islam Agamaku) dan Jumaaat (Prof Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri), atau mendengar lagu lama beserta catatan pendengar di Nasional FM setiap jam 5.30 pm menerusi ruangan Aku, Dia dan Lagu (sungguh retro). Atau pun, mengulang dengar rakaman menerusi perakam suara yang merakamkan pelbagai siri kuliah, kursus atau seminar yang saya hadiri sebelum ini. Setidak-tidaknya ia menambahkan pengetahuan saya atau lebih memahamkan apa-apa ilmu yang terlepas sebelum ini.

Nampak skema? Ah, apa sahaja yang boleh dibuat dalam kereta yang tidak bergerak? Telefon pintar juga membantu mengurangkan perasaan bosan dengan membaca bahan yang sudah dimuat turun sebelum itu. Tetapi pastikan baterinya mencukupi sebelum pemanduan dimulakan.

Apa lagi?

Pastinya ada buku, kerana apa bila kereta tidak bergerak, satu halaman dapat diselesaikan. Apatah lagi jika pagi sebelum itu sudah membaca dan perlu dihentikan untuk bekerja, maka menyambung dalam kereta pun boleh dikira nikmat dari menunggu sehingga habis waktu pejabat. Selain itu, saya siapkan juga bekalan yang cukup - air, atau bekalan dari rumah supaya tidak kehausan atau kelaparan dalam kereta.

Sejauh mana saya boleh bertahan dalam situasi ini saya tidak pasti. Selagi Lekas tidak menyiapkan susur keluar terdekat seperti yang diwar-warkan, selagi itulah saya perlu mencari varisi dalam perjalanan pagi agar tidak dilanda kesuraman dan kepenatan sebelum masuk ke pejabat. Atau jika sudah benar terdesak, carilah kerja yang lebih dekat dengan rumah, atau buatlah pejabat di dalam rumah.


Khamis, Januari 03, 2013

Orang Kampung

Dalam seminggu, beberapa kali saya mendengar orang terdekat menuturkan ayat yang menyalahkah sikap sesetengah orang yang tidak disukainya sebagai sikap orang kampung. Pertama kali mendengar saya ketawa - apa kena mengena orang kampung dengan sikapnya yang dikatakan buruk? Kampung sangatkah? Atau hanya orang bandar mempunyai sikap-sikap yang baik, maksum, terpuji dan suci?

Sungguh, saya terkejut mendapati ini merupakan satu fenomena baru - menyamakan sifat kekampungan  sebagai refleksi terhadap perangai yang tidak disukai. Walhal saya tidak melihat apa-apa yang salah pada orang kampung yang dicelanya itu melainkan sikap orang bandar itu yang perasan bagus dan baik, yang seolah-olah dialah yang bertamadun, pandai, cerdik, berhemah dan ada kelas tersendiri. Dan dia pun bukanlah bandar sangat, dan si kampung pun bukanlah kampung mana pun!

Dari mana asal dan datang kita bukanlah kayu ukur siapa kita, tetapi apa yang kita zahirkan itu adalah cerminan diri kita. Maka berhati-hatilah bertutur wahai kawan-kawan! P Ramlee pun orang kampung, tetapi dia melahirkan pemikiran yang tinggi dalam filem dan lagunya hingga menjadi kajian masa kini. Berhati-hatilah!




Rabu, Januari 02, 2013

Seperti menukar baju

Ada insan yang begitu sinikal menempelek insan lain yang berusaha mencipta azam setiap kali kalendar masihi bertukar. Untuk apa memasang azam katanya, jika azam tahun terdahulu terbengkalai, tersadai, tidak tercapai.

Saya pernah berkeadaan begitu dahulu, ketika sekolah, ketika menuntut. Saya mendapati ia memberi satu paradigma positif, dimana saya berusaha mencapai apa yang telah saya senaraikan. Apabila dilihat satu persatu azam-azam tersebut, ia memberi muhasabah untuk kit amenilai sejauh mana perjuangan dan perjalanan kia dalam kehidupan - apakah benar ini ini berada dalam landasan yang tepat untuk menikmati semua yang kita mahukan?

Tidak salah memasang azam, malah kini saya yakin adalah lebih bermanfaat memasang azam setiap hari. Misalnya mahu baca hingga ke mukasurat berapa, berapa banyak kalori yang diambil hari ini atau mahu siapkan kerja berapa banyak. Kecil-kecil azam itu adalah meter ukur kejayaan diri untuk hari itu.

Memasang azam tidak perlu setiap awal tahu. Memasang azam perlu setiap hari. Ia seperti memakai baju, di mana setiap hari kita perlu tukar, basuh, bersihkan dan pakai baju lain. Barulah hidup rasa sempurna dan terarah perjalanan.

Selamat tahun baru 2013 masihi!


For last year's words belong to last year's language
And next year's words await another voice.

- T.S Eliot


0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...