Khamis, Januari 18, 2018

Abdullah Munshi dan bahasa Melayu


Keengganan orang Melayu mempelajari bahasa sendiri telah mendapat teguran lebih awal daripada Abdullah Munshi yang merakamkan pandangan orang Melayu terhadap bahasanya dalam Hikayat Abdullah. Beliau menceritakan bagaimana tradisi pembelajaran diamalkan Melaka dengan hanya belajar membaca al-Qur’an sehingga mereka khatam dan hafaẓ. Meskipun anak-anak ini juga diajar menulis di papan loh, tetapi tidaklah ramai yang boleh menulis dengan baik kerana mereka memberi lebih tumpuan kepada pembacaan al-Qur’ān sahaja.

Adapun sehabis tamat membaca al-Qur’an, anak-anak ini sepatutnya diberikan pelajaran bahasa Melayu. Namun begitu, mereka berfikiran bahawa tiada ada gunanya belajar bahasa Melayu kerana itu adalah bahasanya sendiri, bahasa nenek moyang mereka, dan tiada pernah ada orang mengajarkan bahasa Melayu pada ketika itu. Sedangkan menurut Abdullah, menguasai jalan bahasa sendiri akan memudahkan banyak urusan kehidupan. Bahasa Melayu menurut Abdullah, akan dapat digunakan dalam urusan berjual beli, berkirim surat, berbalas surat dengan jalan bahasa yang baik. Sedangkan menurutnya, tiada orang Melayu akan menggunakan bahasa Arab dalam urusan berjual beli, berkirim surat, berbalas surat ‘melainkan dalam sembahyang atau doa itulah sahaja.’

Manakala Raffles ketika di bawa Abdullah melihat tempat orang-orang Melayu belajar, juga hairan melihat tiada tempat belajar khusus untuk bahasa Melayu. Katanya kepada Abdullah, ‘kalau sahaya umur panjang, sahaya mahu taruh tempat belajar bahasa Melayu. Sahaya terlalu sayang, kerana bahasa Melayu itu terlalu bagus bunyinya, dan lagi banyak gunanya.’

Shahdan, Abdullah menceritakan satu peristiwa ketika seorang nakhoda mendatangi rumah mencari ayahnya untuk meminta dibuatkan surat hutang kepada seorang saudagar Cina di Melaka. Hampir setengah hari orang itu menanti ayahnya yang mempunyai urusan di luar rumah semata-mata membuat sehelai surat kerana nakhoda itu tiada tahu menulis. Adapun perkara ini kepada Abdullah adalah satu kerugian kepada orang Melayu sekiranya masih juga gagal mempelajari bahasanya sendiri. Segala urusan yang sebegitu mudah perlu diserahkan kepada jurutulis sedangkan boleh diselesaikannya sendiri dan dipermudahkan pula urusan perniagaannya selepas itu.

Justeru, Abdullah berpesan: Bahawasanya barang siapa hendak belajar bahasa-bahasa bangsa lain-lain, maka sayugianya hendaklah diketahuinya bahasanya sendiri dahulu, supaya memberi faedahlah baginya bahasa yang hendak dipelajarinya itu adanya.

- Catatan ketika membaca Hikayat Abdullah

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...