Rabu, April 30, 2014

Buku Beli - Mac 2014


Buku yang dibeli sepanjang Mac 2014








Beli di Makassar sempena lawatan dan bengkel bersama Pena-ITBM:
1. Pada Waktu Belanda Mabuk Lahirlah Batavia - Alwi Shihab
2. Kukila - Aan Mansyur
3. Chairil Anwar: Pelopor Angkatan 45 - HB Jassin
4. Sekolah Untuk Kaum Miskin - James Tooley
5. Sriwijaya - Prof Dr Slamet Muljana
6. Kesultanan Ternate: Sejarah Sosial Ekonomi dan Politik - Syahril Muhammad
7. Seratus apersen Dianggap Buku Puisi 
8. Doa Untuk Anak Cucu - WA Rendra
9. Baju Bulan - Joki Pinurbo


Amcorp Mall
1. Hubungan Budaya dalam Sejarah Dunia Melayu
2. Penerbitan Percetakan buku Melayu 1807-1960


Seminar Sains Ketamadunan, KDH Bangi
1. Pendidikan Sebagai Wahana Pertamadunan Ummah
2. Ilmu Sosial Profetik Sebagai Gerakan Intelektual - Kuntowijoyo
3. Jurnal


Lain-lain
1. Kesusasteraan Klasik Melayu Sepanjang Abad (Toko Buku Daus)
2. Sistem Persuratan Melayu  - Mohd Affandi Hassan (Afnan)
3. The Noble Qur'an
4. 

Isnin, April 28, 2014

Mencari nilai ikhlas




Ini adalah rakaman audio yang telah berkali-kali kudengar.


Dalam audio ini, Ustaz Pahrol menegaskan perkara yang membatalkan ikhlas (min 40 dan ke atas):

1. Mengungkit setiap perbuatan yang dilakukan

2. Apabila wujudnya riak dalam diri - riak sebelum, semasa dan selepas beramal. Dari riak ini, hadir lagi penyakit lain seperti sum'ah dan ujub.

Apabila dibaca lanjut tentang riak, ujub dan sum'ah, rasa meremang tengkuk. Susah kita nak hindari perbuatan ini, apatah lagi dalam media sosial, kita mudah rasa nak tulis apa yang kita fikirkan. Apakah kita tulis untuk impress atau untuk express? Apakah kita tulis untuk dapat banyak like dan retweet?  Apakah kita tulis untuk memberitahu atau menunjukkan?

Susah nak puaskan semua orang. Kalau dah tulis dengan baik pun, pasti tanggapan orang lain pula. Tapi itu lebih baik berdiam diri dari tidak berbuat apa-apa. Bercakaplah bila perlu. Sampaikanlah apa yang kita tahu sahaja. Bukanlah berlebih-lebihan dan memandai dalam perkara yang kita tidak pasti.

Doa sekarang bukan pada lidah sahaja. Jari yang menekan keyboard sudah menjadi penambah dosa dalam setiap tingkh laku.

Jumaat, April 25, 2014

Yang indah itu Islam

Hujan mencurah turun ke bumi Bangi dalam seminggu dua ini. Skala hujannya pula, boleh tahan lebat hingga memandu tak nampak jalan. Turun pula pada waktu petang, ketika ramai diantara pekerja bersiap nak balik. Maka jalan pun sesak. Kemalangan pula, biasalah.

Ketika ini dalam perjalanan pulang dari Dusun Nanding, mengadakan sesi temuramah dan rakaman video bersama keluarga Syed Abdullah al-Edrus yang mengusahakan majalah Qalam. Temuramah bersama anaknya, Dr Syed Amin Husaini yang cukup merendah diri dan ibunya, isteri ketiga Edrus yang dipanggil Ummi. Masuk ke Bangi, hujan lebat. Empat batang pokok tumbang, tercabut dengan akarnya sekali. Bayangkanlah, betapa kuatnya angin yang bertiup. Sebatang darinya telah menutup kedua-dua lorong jalan. Ada pemandu yang prihatin segera turun dalam hujan yang melebat, mematahkan dahan agar satu lorong dapat dibuka. Namun saya gelisah ketika itu. Jam yang bergerak detik demi detik menunjukkan angka lima, kemudian semakin bertambah minitnya. Kelas petang ini terpaksalah dibatalkan. Tiba dipejabat pukul enam, apa yang boleh dibuat lagi?

Esoknya, langit gelap menjelang pukul lima. Gelisah dengan gelapnya suasana. Dalam hati berdoa agar tiada lagi musibah di jalanan. Segeralah saya berlari ke kereta, memecut ke Sungai Merab. Perjalanan lancar. Masa sedang elok. Tiba di bawah jambatan, ah, lain pula terjadi. Hujan yang lebat menjadikan air sungai naik, membuak-buak melimpahi jalan. Nekad sahaja nak meredah banjir. Tetapi saya leihat dahulu skala kedalaman air. Selepas lima minit berteleku dalam kereta, saya patah balik. Mana mungkin meredah air yang naik tinggi. Beberapa buah kereta yang cuba memandu melewatinya cuma kelihatan suku cermin. Motor yang cuba ditolak si penunggang cuma nampak handle. Sebuah kereta sudah tersadai tepi jalan? Nak meredah? Kelas batal lagi.

Khamis, oleh kerana sudah dua hari tidak datang, anak-anak anggap saya tak datang. Selepas dipanggil, cuma seorang yang datang.mseorang lagi balik kerana sakit. Nombor warden asrama ku ambil kemudiannya. Mudahlah nak menghubungi dan memaklumkan kemaslahatan jika ada apa berlaku.


Baiklah, itu fasa pertama. Rabu, sewaktu berpatah balik dari jalan yang banjir, ku talakan pendnegaran pada radio ikim. Setiap petang jika berkesempatan, radio itulah menjadi halwa telinga. Siaran petang Rabu ialah islam agamaku, rancangan dari perkongsian saudara baru. Sangat menarik seklai dengan tutur kata saudara Adam Abdullah. Ku dengar dengan teliti smabil tangan cekatan memandu. Sebaik sampai rumah, sehabis solat maghrib, ku capai buku nota dan ku salinkan semula ingatan yang masih bertunas dari perbualan dir adio tadi. Berhelai-helai berjaya ku tuliskan, seperi dalam gambar di atas. Puas hati dapat tulis tangan.

Baiklah, kupasan saudara Adam kupendekkan seperti berikut:

1) DJ: Apa yang susah nak dibuat bila masuk Islam?
Adam: mengekalkan tauhid dan mengelakkan syirik.  Dalam Katholik banyak perkara syirik. Jadi nak mengelakkan sesuatu yang sudha menjadi adat itu agak payah. Mengekalkan tauhid, sebagai saudara baru memnag banyak cabarannya.

2) DJ: Apa harapan?
Adam: Harapan saya ialah terus istiqamah dan berharap agar emak masuk Islam. Tinggal sikit lagi emak nak masuk Islam. Ayah pula dah lama meninggal.

3) DJ: Apa perasaan bila masuk Islam?
Adam: Ibaratnya begini. Kita ke kompleks membeli belah dengan ayah dan emak. Mereka pimpin tangan saya. Tiba-tiba dalam celahan orang ramai, saya perasan tangan saya dipimpin oleh orang lain.  Bukannya tangan emak dan ayah. Kita pun cari dan cari akhirnya jumpa kembali emak dan ayah kita. Kita pun rasa lega dan gembira. Begitulah perasaan saya bila masuk Islam. Bermakna kembali kepada asal, kepada fitrah.

Lantas ku teringat pada kuliah MSA di Masjid Negara dua tahun lalu. Ini boleh dikaitkan dengan janji yang kita buat dengan Allah ketika berada di alam ruh. Kita ditanya 'alastu bi rabbikum?' maka kita jawab, 'bala, shahidna'. Kita sudah pun berjanji dengan allah di alam rahim. Bersaksi kepada keseksaan-Nya. Tapi kemudian kita mungkir dan berpaling dari agama-Nya. Kemudian apabila kita kembali menemui kebenaran, kita merassq lega dan hembira. Gembira lrana kembali kepada kedudukan kita yang asal, yang asli.

Perkongsian dari saudara baru ini, yang siarannya pada setiap Rabu, sering menjadi tan aras untukku mengukur tahap iman dan kefahaman kita kepada agama. Malah, penerangan mereka snagat tuntas dan jelas, hingga kita boleh malu dengan diri sendiri, kita yang azali telah lahir dalam Islam dan membesar dengan Islam. Tapi ke kemudiannya, kita sendiriyang menidakkan agama itu.

Islam itu indah, kawan-kawan.

Khamis, April 24, 2014

Selepas pukul lima


Selalu selepas balik kerja, saya akan singgah dahulu mana-mana kedai makan. Memesan secawan kopi atau teh atau nescafe panas, serta beberapa biji kuih, atau kalau lapar tak makan tengahari, makan sepinggan nasi atau memesan apa yang menarik, saya kan duduk makan dan minum sambil membaca apa-apa buku yang ada ketika itu. Biasanya novel. Perbuatan ini menjadi tabiat sejak-sejak pandai melepak di kedai makan dan borak berjam-jam. Kemudian di tukar pula tabiat itu dengan membaca. Tidak kurang yang melihat ini satu tabiat pelik. Ada juga yang mengintai apa buku yang sedang saya baca. Pelayan kedai pun sudah tahu bila saya datang, meja itulah yang saya duduk. Buku jugalah yang saya pegang. Dan datangnya pula seorang diri. Jarang berteman. Itulah saya.

Di tempat kerja baru, tabiat ini bagaikan terpisah. Sentiasa balik lewat bagi 'melepaskan kesesakan' jalan terlebih dahulu. Atau kalau nak singgah pun, tiada kedai makan yang sesuai dijadikan lokasi. Kebanyakan kedai makan di Semenyih duduknya di sebelah kanan jalan. Sukarlah nak singgah, kerana perlu membelokkan kereta ke kanan (alasan). Kalau tidak pun, tempoh kurang sejam sebelum Maghrib tidak mencukupi untuk membaca dan makan. Apatah lagi kedai makan di Semenyih tak semeriah Bangi. Cuma ada satu dua kedai mamak. Tak kan nak makan di Bangi. Jauh lagi nak sampai rumah. Kadang-kadang sempat juga duduk di mana kedai makan yang ada di Bangi. Tapi kelam kabutlah nak balik dan mengejar Maghrib. Kalau tidak, solat di RnR. Perjalanan balik lebih lama dari pergi, kerana banyak lampu isyarat berhenti di simpang tiga. 

Tapi sehari dua ini, saya terperasan satu tabiat baru. Keluar rumah awal dan singgah sarapan dahulu sementara menunggu pejabat dibuka. Kemudian keluarkanlah novel. Dapatlah memenuhkan perut dengan makanan dan menepukan kepala dengan plot-plot yang sering menjadikan kita enggan melepaskan buku yang sedang di baca.

Tapi duduk di kedai makan, lain rasanya. Macam-macam yang dapat dilihat. Tumpuan saya bukanlah pada buku sepenuhnya. Di sini saya melihat manusia, memerhati perangai dan sikap yang kadang-kadang menyebabkan saya mempersoalkan diri. Sudu dan garpu saling bertingkah, pelayan yang mengambil pesanan, pelanggan yang silih berganti masuk, kaunter bayaran yang selalu menghidangkan drama antara pelanggan dan pekerja. Pinggan yang jatuh ke lantai, suara pelayan memekikkan pesanan, pelanggan yang sombong, adengan marah-marah, anak pelanggan yang menumpahkan air. Makanan yang tak sedap, menu yang tidak difahami, bau asap rokok, hidung mencium perit bau masakan, perbualan yang mencecah telinga, pasangan berasmara, berbincang soal perniagaan dan pelayan menyapu lantai sementara menunggu pelanggan. Kadang kala dihiasi pula dengan aksi kemalangan di jalan berdekatan, anak-anak pulang dari sekolah, bunyi hon dan makian pemandu, jemaah surau yang singgah makan atau pekerja bengkel kereta sebelah yang mengisi masa sementara menanti pelanggan di bengkel sebelahnya.

Bagi penulis, inilah latar yang kemudiannya dimasukkan ke dalam karya. Suasana dan dialog yang dituturkan terhasil dari tempat seperti inilah. Malah saya pernah membawa laptop yang berat dan membuat suntingan plot di kedai makan. Lantaklah apa yang orang fikirkan, janji novel siap.

Hakikatnya, lain rasanya duduk di kafe berhawa dingin dengan secawan kopi berharga dua angka dengan kedai makan dengan kipas menderu dan secawan kopi biasa. Suasanya membezakan apa yang kita bawa pulang akhirnya nanti


Selasa, April 22, 2014

Lirik dan sebuah novel dalam kepala

Ketika membaca novel, perasaan kita kadang-kadang terbuai oleh latar melankolik dalam cerita itu. Selalu juga, watak-watak yang dilukiskan itu mempengaruhi pemikiran dan sikap kita buat beberapa hari atau beberapa minggu selepas itu. Saya pernah tulis tentang hal ini tapi malas nak mencari dalam timbunan entri blog. Saya mungkin tidak sama dengan orang lain. Kebanyakan novel yang saya baca mempunyai kesan kepada diri buat seminggu dua. Banyak berfikir dan merenung, termenung dan berfikir lagi. Bukan tentang penulisnya yang berjaya menggambarkan watak dengan cerita dengan baik, tetapi bagaimana hidupnya watak itu sehingga ia membuatkan kita rasa begitu menusuk masuk ke dalam jiwa. Apa akan jadi pada wataknya, mengapa dia tidak buat begini, apakah benar watak ini wujud, dan jika ada pun, apakah saya boleh berbuat seperti apa yang dilakukan oleh watak sampingan yang lain?

Ketika ini saya baru menghabiskan Anthem karya Hlovate. Habis sahaja, terus sambung dengan
Rooftop Rant. Hlovate pada saya ada magisnya tersendiri. Nanti saya tuliskan satu entri khusus untuknya. Novel-novel Hlovate semua milik adik saya. Tidak satu pun saya punya. Setelah mengutuknya beberapa ketika kerana membaca buku yang berbahasa rojak, kemudian saya menelan kata-kata itu. Don't judge the book by its cover. Hlovate memang mengejutkan.

Rooftop Rant tidak ada kena mengena dengar lagu ini. Tapi ketika dalam kereta ke pejabat pagi tadi, terdengar di Klasik.fm dan terasa nak Google liriknya. Tiada. Maka saya buka youtube dan taip liriknya di sini.

Lagu masa kecil. Melankoliklah sangat kan






Aku Hanya Pengganti - Azman Abu Hassan


sejak mula dirimu ku kenali
pelbagai cerita ku dengari
semua tak ku hiraukan
kerna hati tertawan

dengan air mata kau menyakinkan
berjaya menghapus keraguan
dan aku pun menjadi pembela mu
pada setiap waktu

kata-kata dan nasihat
teman saudara tiada ku mengambil kira
pujuk rayu dan cumbuan
yang kau berikan
membawaku ke alam khayalan

ku jadi terlena
oleh bisikan mesra
tidak sedar kau berpura-pura

bersama mu ku kehilangan teman
terjejas tali persaudaraan
kiranya ku selama ini
bagimu hanyalah pengganti

kata-kata dan nasihat
teman saudara tiada ku mengambil kira
pujuk rayu dan cumbuan
yang kau berikan
membawaku ke alam khayalan

ku jadi terlena
oleh bisikan mesra
tidak sedar kau berpura-pura

bersama mu ku kehilangan teman
terjejas tali persaudaraan
kiranya ku selama ini
bagimu hanyalah pengganti

Ahad, April 20, 2014

Puisi: Bicara Kita

Karya terkini yang tersiar dalam media ialah pusi berjudul Bicara Kita pada 30 Mac 2014 dalam akhbar Mingguan Malaysia. Saya tak sempat membeli akhbar hari itu kerana berada di Jengka selama dua hari dan dalam perjalanan pulang, menerima notifikasi ucapan tahniah dari teman pemuisi dari laman twitter. Nak mencari akhbar selepas itu agak lewat kerana berita MH370 ternyata melakukan jualan akhbar. Apabila melihat seorang kawan menanda saya di FB namun sedikit terkejut dengan rupa puisinya. Maka saya fikir, eloklah tidak di simpan atau dibaca puisi yang tersiar. Saya tahu saya akan kecewa.


Disertakan puisi Bicara Kita dengan judul dan bait sebenar. Tidak ada siapa yang bersalah. Ruang terlalu kecil dan kegemaran saya menggunakan kata-kata yang panjang menjadikan puisi ini tersiar sebegitu rupa. Saya tidak sedih tetapi sedikit kecewa.

Bicara Kita
(MH370 dan Pesan Melayu Kepada Dunia)

hari ini dunia kenal
cara bicara Melayu yang kental
di hadapan media kita santun mengajar mereka
yang gopoh melanggar adat
yang cemas menggali maklumat

bicara Melayu sopan terkarang
tidak menikam tidak menyerang
tidak meninggi tidak merendah
tiada tingkah tiada amarah
meskipun beradab suaranya matang
adat dipegang agama dijulang
hasrat tercapai jelas dan faham
tangan dihulur, pahit ditelan, madu dihidangkan
begitulah halusnya orang berbudaya

sungguh berat bahu menanggung rasa
kehilangan ini dugaan besar buat semua
harapan keluarga, rahsia negara
adab terpelihara, maruah kekal di atas jemala

begitulah bicara Melayu kepada dunia

Norziati Mohd Rosman
Bandar Baru bangi
25 Mac 2014


Jumaat, April 18, 2014

Manusia yang bertindak

Kita selalu dengar orang berkata dirinya sibuk buat itu ini hingga tak punya masa buat kerja lain. Kita juga selalu dengar orang merasa rugi tak dapat buat sesuatu yang lain kerana dia sibuk.

Bagaimana kita menilai tahap kesibukan kita?

Kita menilai diri kita dengan setiap detik yang berlalu. Sudah pasti kita mahu apa yang kita lakukan itu bermanfaat kepada orang lain dan dalam masa yang sama berharap agar Allah ikhlaskan perbuatan kita.

Bagi diri sendiri, sesuatu yang saya lakukan itu bukanlah atas dasar pahala. Tapi tanggungjawab. Dengan melunaskan tanggungjawab, pahala akan datang kemudian. Syurga akan mengekorinya selepas itu. Semua kebaikan akan menurutinya. Semuanya kerana tanggungjawab. Atau dalam istilah lebih lunak, melaksanakan tugas sebagai khalifah seperti yang telah Allah hasratkan kepada kita.

Tetapi kita akan mudah goyah jika ada orang yang bergandingan dengan kita menyatakan hasrat untuk keluar dari tanggungjawab keran asibuk. Apakah saya ini tidak sibuk? Apakah saya ini tiada kerja? Tapi bukan saya yang menilai mereka. Saya hanya menjalankan tangunggjawab saya. Tak kuasa saya mempersoalkan niat orang lain. Malah lebih elok, kerana mereka sedar diri mereka terseksa lalu dengan menarik diri boleh mengurangkan keseksaan orang lain jika terpaksa menanggung tugas yang sepatutnya dia pikul.

Melakukan kerja secara sukarela tanpa apa-apa pulangan, dengan tenaga, masa, wang ringgit yang disedut bukanlah semudah bicara. Saya akui TFTN banyak memakan masa dan jiwa - kadang-kadang hati - hingga saya terkapai-kapai mencari masa untuk menulis.Tak dapat nak sertai aktiviti bersama penulis atau apa-apa seminar penulisan. Masa membaca jadi kurang. Nak menulis apatah lagi. Dalam masa yang saya, turut memikul tugasan sebagai AJK dua persatuan penulis yang lain dan AJK di taman perumahan. Saya boleh mendabik dada mengatakan saya dilantik untuk semua jawatan itu, tanpa menghadiri AGM pun. Dilantik, bermakna dijemput menjawat jawatan. Saya boleh sahaja menolak. Saya boleh sahaja kata tidak mahu. Saya boleh sahaja menyombong kata sibuk. Tapi in the first place, mengapa mereka datang kepada saya? Pasti mereka tahu apa yang ada pada kita, bukan? Saya tidak mahu mengatakan saya ini bagus atau pandai serba serbi. Mata merekalah yang menilai. Maka saya tidak pandai menolak. Mereka menawarkan kerana penilaian mereka saya ini layak, kalau saya tolak, selain menghampakan mereka, saya juga telah melepaskan tanggungjawab yang Tuhan mahu saya pikul. Kita tidak tahu apa yang Tuhan mahu. Tapi saya percaya pasti ada sesuatu. Tuhan mahu tunjukkan sesuatu. Dia tidak akan buat sesuatu yang merugikan kita. Saya mengambil sikap berbaik sangka dengan Tuhan Yang Maha Menjadikan dan Maha Mengetahui. Maka seluruh kepercayaan itu yang dihantar menerusi tawaran saya terima. Maka bertambahlah tanggungjawab di atas bahu ini.

Apakah saya merasakan kerugian dengan apa yang saya alami? Tidak. Menerusi PENA yang hebat dan besar, bergerak satu Malaysia dan atas kapasiti besar, saya belajar bagaimana mengendalikan persatuan. Itulah yang saya guna pakai dalam TFTN. Melalui PEN, saya belajar menjadi humble tapi perkasa dengan aktiviti demi aktiviti tapi dalam skala kecil dan tersusun disamping gabungan curahan tenaga orang veteran dan orang muda. Melihat orang veteran bekerja dalam senyap tetapi lancar, saya jadi awas dengan diri sendiri. Itulah yang juga saya guna pakai dalam TFTN. Dalam PPPS2, sebuah persatuan muda tapi dengan ahli yang saling bercakaran, saya melihat bagaimana mereka menyusun atur organisasi dan merapatkan barisan AJK agar sepakat dan bersatu dalam setiap masalah yang ditimbulkan. Bukan mudah menyatukan hati orang muda yang cepat panas darah dan lepas mulut. Itulah juga yang saya guna pakai dalam TFTN.

Bukan mudah menguruskan sesebuah organisasi. Saya akui saya bukanlah kuat bukanlah bagus. Bersama TFTN, saya lihat ramai insan datang dan pergi. Apakah saya sedih? Tidak. Tidak ramai mampu melakukan sesuatu dengan percuma bila dunia sekarang menilai sesuatu dengan ringgit. Mereka datang dengan sebab, pergi juga dengan sebab. Hati kami di sini diikat dengan keikhlasan. Hati kami dikuatkan dengan tanggungjawab. Tapi saya juga ada waktu goyah. Pernah saya mendiamkan diri seminggu dua kerana penat dan tidak tertanggung bebanan. Nak mengadu, sukarelawan lain juga penat. Ketika ini saya betulkan semua hubungan saya dengan Allah agar rasa ikhlas itu datang kembali. Agar rasa penat dan terbeban itu segera pergi. Apabila dalam keadaan ini, tiada lain yang saya pinta kecuali dikurniakan kesihatan dan kekuatan agar boleh buat semua kerja dengan sebaiknya. Selepas diam seminggu dua saya akan rasa menyesal kerana membiarkan orang lain memikul kebisuan saya. Menyesal dan bertaubat.

Menguruskan manusia juga bukan mudah. Apatah lagi saya ini perempuan dengan segala macam mood yang datang tidak menentu. Saya sebenarnya tidak boleh memimpin tapi saya boleh jadi pengikut setia yang boleh buat apa sahaja yang diminta. Namun mutakhir ini kelihatannya saya sudah ditolak ke depan seorang diri. Insan di kiri dan kanan yang asalnya bersama, meminta izin untuk berehat seketika. Goyah memang goyah. Seperti jolokan seorang sukarelawan, saya sudah menjadi benteng pertahanan terakhir pula. Namun dia juga mengingatkan, ketika mereka dalam keadaan itu, mereka akan saling memegang tangan dan menyokong antara satu sama lain supaya tidak rebah. Saya harap ada yang sudi memegang tangan saya dari jatuh. Tapi setulusnya saya pegang pada Allah juga. Dialah yang lebih kuat memegang saya sepanjang masa pada bila-bila masa. Itu sebenarnya.

Cukuplah sekadar luahan kecil. Banyak yang boleh diceritakan jika mahu. Tapi semua orang boleh bercerita dan bercakap. Kita kena cakap sikit sahaja. Kerana yang membezakan kita dengan orang lain adalah tindakan. Saya lihat teman-teman dalam organisasi NGO lain. Cabaran yang mereka hadapi sama juga. Senarai pendaftaran cukup panjang, sampai beribu-ribu. tetapi akhirnya yang buat kerja orang itu juga. Ini masalah universal. Kerja sukarela, siapa mahu tanggung kepenatannya. Tapi mereka yang saya kenali cukup kental kerana mereka jaga hubungan dengan Allah. Sesekali buat usrah untuk merapatkan hati dan mengukuhkan barisan. Mereka perkemaskan diri dan perkuatkan ingatan pada Allah supaya menjadi kuat juga berdepan cabaran. Saya serap kekuatan mereka dari jauh. Mereka yang memimpin menjadi contoh saya ikuti.

Dan saya sangat hargai sukarelawan saya yang bersengkang mata tenaga wang ringgit saban hari demi memandaikan anak bangsa. Saya sendiri tidak terbuat. Maka saya cuba bantu meringankan apa yang boleh supaya fokus aktiviti kesukarelawan mereka tidak terjejas. Saya bukan nak overshadow mereka atau tunjuk saya ini boleh buat semua kerja tapi semua atas niat mahu meringankan tugas meskipun kadang-kadang dilihat terlalu menyibuk. Itulah kelemahan saya, sukar nak elak jika ada pertolongan yang boleh diberi. Walau apa pun, saya harap mereka faham mengapa itu harus berlaku. Kita memang perlu selalu diingatkan apatah lagi dalam keadaan TFTN kian membesar dan sering menjadi perhatian. Tanggungjawab pastinya kian bertambah.

Sukar menjadi benteng terakhir. Tapi saya rasa seronok kerana tanggungjawab ini pastinya Allah bagi kerana Dia tahu kita mampu buat. Allah tak akan beri atau uji sesuatu yang tak sanggup kita galas. Bukankah Allah Maha Adil?

Saya sangat hargai sukarelawan TFTN. Setiap kali ada apa-apa, saya akan tolak mereka ke depan kerana merekalah yang berhak bercakap. Kerana mereka buat. Saya senang berada di belakang melihat mereka bercakap apa yang mereka lakukan.

Kerana yang membezakan seseorang manusia adalah tindakan. Action speaks louder than words.

Ahad, April 13, 2014

Apa yang kamu tuliskan

Suatu hari dalam satu perbualan dengan sekumpulan kawan, saya terdengar seorang darinya berkata, "zaman sekarang ini zaman FB. Kita kena beritahu orang lain apa yang kita buat. Kalau tidak, kita dianggap tidak melakukan apa-apa".

Saya sedang rancak berbual ketika itu terus terdiam mendengarnya. Mengapa begitu sekali persepsinya terhadap kegunaan laman sosial? Atau apakah dia anggap orang yang meletakkan status dalam laman sosial itu dianggap sebagai mahu memberitahu atau menunjuk-nunjuk.

Apabila pulang, saya tuliskan kata-kata tadi dalam buku catatan. Saya cuba refleksi diri kembali. Apakah status yang saya letakkan dalam FB bertujuan menunjuk? Apakah niat saya mendapat like yang banyak bertujuan riak? Apakah saya mahu orang dengar semua kata-kata saya, mahu semua orang bersetuju dengan status saya, yang apabila ada orang yang cuba berbeza pendapat saya anggap dia tidak sebulu dan cuba melawan. Lalu di-unfriend-kan?

Apa niat saya menggunakan media sosial sebenarnya?

Pada hari yang lain, saya terbaca pula satu status. Katanya, meskipun tujuan kita meletakkan status bertujuan berkongsi rasa, janganlah sampai niat kita itu bertukar menjadi riak hingga gugur segala tujuan asal. 

Perkara ini memang saya risaukan, sebab itu saya sering mengingatkan diri dan kawan-kawan supaya jangan sekali-kali mendabik dada dengan apa yang kita lakukan. Bukan kita sahaja yang turun mengajar di rumah anak yatim. Bukan kita sahaja yang punya masa menyantuni anak yatim. Macamlah tak ada orang lain yang buat. Macamlah kita seorang yang buat. Seolah-olah kita sahaja yang ada masa dan orang yang tidak menyantuni anak yatim atas alasan masa itu dianggap berdosa. Seperti pahala anak yatim itu untuk kita sahaja. Saya risaukan kata-kata nakal orang yang membenci, seolah nanti kita sahaja layak ke syurga. Seolah orang lain duduknya di neraka. Hanya kerana menjauhi anak yatim. Bukankah nanti, siapa ke neraka siapa ke syurga Tuhan juga yang tentukan. Bimbang pula jika kita terlalu mendabik dada dan menyalahkan, bukan syurga nanti tempat kita akibat mulut yang tidak berhati-hati bersuara.


Banyak kesannnya bila melibatkan diri dengan kerja kebaikan. Mutakhir ini pun saya sangat berhati-hati dengan apa yang saya letakkan di laman sosial. Saya cuba menjadi orang yang rajin memberitahu apa yang saya buat. Tetapi saya kelihatan berpura-pura. Itu bukan diri saya sebenarnya. Saya berhenti dari memperkatakan tentang diri sendiri. Jadi saya cuba bercerita apa yang saya lakukan. Ternyata itu pun kelihatan tidak ikhlas. Saya cuba bercerita tentang orang lain. Itu nampak lebih selesa. Tetapi FB bukanlah ruang yang sesuai untuk menyampaikan cerita. Blog harus menjadi ruang terbaik untuk berkongsi rasa. Tetapi ternyata, saya sukar membawa sesuatu yang berkenaan diri. Saya bukanlah mudah bercerita tentang diri sendiri. Apa yang boleh cumalah bercerita tentang apa yang saya rasai. Itu lebih asli terzahir.


Namun yang penting ialah, dalam blog yang kurang dipandang orang, saya lebih selesa menjadi diri sendiri dalam keadaan tidak ramai yang mengenali. Itu lebih selesa.


Namun say sentiasa berharap, Allah menyucikan hati saya dari sebarang perasaan riak, ujub dan takbur. Memang itulah doa yang saya panjatkan padanya setiap waktu.

Khamis, April 03, 2014

Demam yang tiba-tiba

Saya ini seorang yang jarang demam. Kata orang, berkat air susu emak yang sangat berkhasiat. Paling tidak pun, demam setahun sekali. Biasanya kalau orang lain demam, saya masih steady tanpa terjejas sedikit pun. Tidak mudah berjangkit mahu pun jatuh sakit.

Selasa ketika di pejabat, saya bersin lebih dari lima kali. Ini luar biasa, bisik hati saya. Pasti nak demam. Tapi bila difikirkan yang cuaca sekarang ini bukanlah musim hujan, malah tidak pun kena hujan, saya diamkan sahaja. Menjelang petang badan sudah terasa seram sejuk. Petang nanti ada kelas di fuqaha. Malam pula kelas Arab seperti biasa. Seram sejuk itu sudah bertukar menjadi bisa-bisa satu badan, sakit kepala, sakit belakang dan lenguh pada bahagian kaki.

Tiba di rumah, saya telan dua sudu minyak zaitun Peevo yang masih tersisa. Air zamzam pun masih ada, saya minum seteguk. Terus tidur tanpa fikir apa-apa. Tapi dua tiga kali juga bangun ke bilik air, duduk mengurut badan dan bangun-duduk supaya tidak berterusan lenguh duduk dan baring.

Rabu sepatutnya ada bengkel. Nampaknya keadaan makin kronik. Tidak boleh bangun dengan betul. Saya mengambil keputusan tidak ke klinik dan tidak menyentuh ubat. Kali ini mahu cuba rawatan sendiri. Awal pagi saya panaskan air. Kemudian dicurahkan kedalam baldi, campur dengan air biasa dan beberapa sudu garam. Saya rendamkan kaki dalam setengah jam. Ini pertama kali saya buat. Lega sungguh terasa. Sakit kaki tiba-tiba menjadi lega. 

Kemudian saya banyakkan minum air. Bergelen air ditelan, kemudian asyiklah keluar masuk tandas. Dehidrasi. Memang hari ini, hari pertama demam, bisa satu badan memang terasa. Saya tak fikir ini demam denggi kerana pernah kena dahulu. Kalau denggi, sudah pasti saya mengigil waktu itu atau sendi-sendi rasa sakit. Yang sakit dan bisa bukanlah sendi tetapi otot. Saya berdoa ini bukan denggi. 

Menjelang malam saya kira derita siang tadi sudah berkurangan. Adik balik kerja dan memasak untuk makan malam tetapi semuanya rasa tawar. Telanlah sahaja, asalkan perut tidak lapar. 

Hari ini, Khamis, sepatutnya ada sesi interview dengan berita Harian di NSTP Jalan Riong. Sayang sekali, tak dapat pergi. Kalau diikutkan hati, boleh sahaja bangun dan pergi kerja. Tapi eloklah duduk di rumah sehingga betul-betul sembuh. Panas badan pun dah berkurangan. Sakit kepala pun dah tak berapa kuat. Kena minum lebih banyak air lagi untuk buang sisa-sisa demam. Malam tadi ketika tidur pun beberapa kali bangun kerana berpeluh dan keluar masuk bilik air. Tapi keadaannya hari ini, sudah nampak proses pemulihan yang sedikit baik dan berbeza keadaannya dari semalam. Alhamdulillah.

Begitulah catatan saya, catatan orang demam :)

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...