Jumaat, April 18, 2014

Manusia yang bertindak

Kita selalu dengar orang berkata dirinya sibuk buat itu ini hingga tak punya masa buat kerja lain. Kita juga selalu dengar orang merasa rugi tak dapat buat sesuatu yang lain kerana dia sibuk.

Bagaimana kita menilai tahap kesibukan kita?

Kita menilai diri kita dengan setiap detik yang berlalu. Sudah pasti kita mahu apa yang kita lakukan itu bermanfaat kepada orang lain dan dalam masa yang sama berharap agar Allah ikhlaskan perbuatan kita.

Bagi diri sendiri, sesuatu yang saya lakukan itu bukanlah atas dasar pahala. Tapi tanggungjawab. Dengan melunaskan tanggungjawab, pahala akan datang kemudian. Syurga akan mengekorinya selepas itu. Semua kebaikan akan menurutinya. Semuanya kerana tanggungjawab. Atau dalam istilah lebih lunak, melaksanakan tugas sebagai khalifah seperti yang telah Allah hasratkan kepada kita.

Tetapi kita akan mudah goyah jika ada orang yang bergandingan dengan kita menyatakan hasrat untuk keluar dari tanggungjawab keran asibuk. Apakah saya ini tidak sibuk? Apakah saya ini tiada kerja? Tapi bukan saya yang menilai mereka. Saya hanya menjalankan tangunggjawab saya. Tak kuasa saya mempersoalkan niat orang lain. Malah lebih elok, kerana mereka sedar diri mereka terseksa lalu dengan menarik diri boleh mengurangkan keseksaan orang lain jika terpaksa menanggung tugas yang sepatutnya dia pikul.

Melakukan kerja secara sukarela tanpa apa-apa pulangan, dengan tenaga, masa, wang ringgit yang disedut bukanlah semudah bicara. Saya akui TFTN banyak memakan masa dan jiwa - kadang-kadang hati - hingga saya terkapai-kapai mencari masa untuk menulis.Tak dapat nak sertai aktiviti bersama penulis atau apa-apa seminar penulisan. Masa membaca jadi kurang. Nak menulis apatah lagi. Dalam masa yang saya, turut memikul tugasan sebagai AJK dua persatuan penulis yang lain dan AJK di taman perumahan. Saya boleh mendabik dada mengatakan saya dilantik untuk semua jawatan itu, tanpa menghadiri AGM pun. Dilantik, bermakna dijemput menjawat jawatan. Saya boleh sahaja menolak. Saya boleh sahaja kata tidak mahu. Saya boleh sahaja menyombong kata sibuk. Tapi in the first place, mengapa mereka datang kepada saya? Pasti mereka tahu apa yang ada pada kita, bukan? Saya tidak mahu mengatakan saya ini bagus atau pandai serba serbi. Mata merekalah yang menilai. Maka saya tidak pandai menolak. Mereka menawarkan kerana penilaian mereka saya ini layak, kalau saya tolak, selain menghampakan mereka, saya juga telah melepaskan tanggungjawab yang Tuhan mahu saya pikul. Kita tidak tahu apa yang Tuhan mahu. Tapi saya percaya pasti ada sesuatu. Tuhan mahu tunjukkan sesuatu. Dia tidak akan buat sesuatu yang merugikan kita. Saya mengambil sikap berbaik sangka dengan Tuhan Yang Maha Menjadikan dan Maha Mengetahui. Maka seluruh kepercayaan itu yang dihantar menerusi tawaran saya terima. Maka bertambahlah tanggungjawab di atas bahu ini.

Apakah saya merasakan kerugian dengan apa yang saya alami? Tidak. Menerusi PENA yang hebat dan besar, bergerak satu Malaysia dan atas kapasiti besar, saya belajar bagaimana mengendalikan persatuan. Itulah yang saya guna pakai dalam TFTN. Melalui PEN, saya belajar menjadi humble tapi perkasa dengan aktiviti demi aktiviti tapi dalam skala kecil dan tersusun disamping gabungan curahan tenaga orang veteran dan orang muda. Melihat orang veteran bekerja dalam senyap tetapi lancar, saya jadi awas dengan diri sendiri. Itulah yang juga saya guna pakai dalam TFTN. Dalam PPPS2, sebuah persatuan muda tapi dengan ahli yang saling bercakaran, saya melihat bagaimana mereka menyusun atur organisasi dan merapatkan barisan AJK agar sepakat dan bersatu dalam setiap masalah yang ditimbulkan. Bukan mudah menyatukan hati orang muda yang cepat panas darah dan lepas mulut. Itulah juga yang saya guna pakai dalam TFTN.

Bukan mudah menguruskan sesebuah organisasi. Saya akui saya bukanlah kuat bukanlah bagus. Bersama TFTN, saya lihat ramai insan datang dan pergi. Apakah saya sedih? Tidak. Tidak ramai mampu melakukan sesuatu dengan percuma bila dunia sekarang menilai sesuatu dengan ringgit. Mereka datang dengan sebab, pergi juga dengan sebab. Hati kami di sini diikat dengan keikhlasan. Hati kami dikuatkan dengan tanggungjawab. Tapi saya juga ada waktu goyah. Pernah saya mendiamkan diri seminggu dua kerana penat dan tidak tertanggung bebanan. Nak mengadu, sukarelawan lain juga penat. Ketika ini saya betulkan semua hubungan saya dengan Allah agar rasa ikhlas itu datang kembali. Agar rasa penat dan terbeban itu segera pergi. Apabila dalam keadaan ini, tiada lain yang saya pinta kecuali dikurniakan kesihatan dan kekuatan agar boleh buat semua kerja dengan sebaiknya. Selepas diam seminggu dua saya akan rasa menyesal kerana membiarkan orang lain memikul kebisuan saya. Menyesal dan bertaubat.

Menguruskan manusia juga bukan mudah. Apatah lagi saya ini perempuan dengan segala macam mood yang datang tidak menentu. Saya sebenarnya tidak boleh memimpin tapi saya boleh jadi pengikut setia yang boleh buat apa sahaja yang diminta. Namun mutakhir ini kelihatannya saya sudah ditolak ke depan seorang diri. Insan di kiri dan kanan yang asalnya bersama, meminta izin untuk berehat seketika. Goyah memang goyah. Seperti jolokan seorang sukarelawan, saya sudah menjadi benteng pertahanan terakhir pula. Namun dia juga mengingatkan, ketika mereka dalam keadaan itu, mereka akan saling memegang tangan dan menyokong antara satu sama lain supaya tidak rebah. Saya harap ada yang sudi memegang tangan saya dari jatuh. Tapi setulusnya saya pegang pada Allah juga. Dialah yang lebih kuat memegang saya sepanjang masa pada bila-bila masa. Itu sebenarnya.

Cukuplah sekadar luahan kecil. Banyak yang boleh diceritakan jika mahu. Tapi semua orang boleh bercerita dan bercakap. Kita kena cakap sikit sahaja. Kerana yang membezakan kita dengan orang lain adalah tindakan. Saya lihat teman-teman dalam organisasi NGO lain. Cabaran yang mereka hadapi sama juga. Senarai pendaftaran cukup panjang, sampai beribu-ribu. tetapi akhirnya yang buat kerja orang itu juga. Ini masalah universal. Kerja sukarela, siapa mahu tanggung kepenatannya. Tapi mereka yang saya kenali cukup kental kerana mereka jaga hubungan dengan Allah. Sesekali buat usrah untuk merapatkan hati dan mengukuhkan barisan. Mereka perkemaskan diri dan perkuatkan ingatan pada Allah supaya menjadi kuat juga berdepan cabaran. Saya serap kekuatan mereka dari jauh. Mereka yang memimpin menjadi contoh saya ikuti.

Dan saya sangat hargai sukarelawan saya yang bersengkang mata tenaga wang ringgit saban hari demi memandaikan anak bangsa. Saya sendiri tidak terbuat. Maka saya cuba bantu meringankan apa yang boleh supaya fokus aktiviti kesukarelawan mereka tidak terjejas. Saya bukan nak overshadow mereka atau tunjuk saya ini boleh buat semua kerja tapi semua atas niat mahu meringankan tugas meskipun kadang-kadang dilihat terlalu menyibuk. Itulah kelemahan saya, sukar nak elak jika ada pertolongan yang boleh diberi. Walau apa pun, saya harap mereka faham mengapa itu harus berlaku. Kita memang perlu selalu diingatkan apatah lagi dalam keadaan TFTN kian membesar dan sering menjadi perhatian. Tanggungjawab pastinya kian bertambah.

Sukar menjadi benteng terakhir. Tapi saya rasa seronok kerana tanggungjawab ini pastinya Allah bagi kerana Dia tahu kita mampu buat. Allah tak akan beri atau uji sesuatu yang tak sanggup kita galas. Bukankah Allah Maha Adil?

Saya sangat hargai sukarelawan TFTN. Setiap kali ada apa-apa, saya akan tolak mereka ke depan kerana merekalah yang berhak bercakap. Kerana mereka buat. Saya senang berada di belakang melihat mereka bercakap apa yang mereka lakukan.

Kerana yang membezakan seseorang manusia adalah tindakan. Action speaks louder than words.

Tiada ulasan:

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...