Khamis, April 03, 2014

Demam yang tiba-tiba

Saya ini seorang yang jarang demam. Kata orang, berkat air susu emak yang sangat berkhasiat. Paling tidak pun, demam setahun sekali. Biasanya kalau orang lain demam, saya masih steady tanpa terjejas sedikit pun. Tidak mudah berjangkit mahu pun jatuh sakit.

Selasa ketika di pejabat, saya bersin lebih dari lima kali. Ini luar biasa, bisik hati saya. Pasti nak demam. Tapi bila difikirkan yang cuaca sekarang ini bukanlah musim hujan, malah tidak pun kena hujan, saya diamkan sahaja. Menjelang petang badan sudah terasa seram sejuk. Petang nanti ada kelas di fuqaha. Malam pula kelas Arab seperti biasa. Seram sejuk itu sudah bertukar menjadi bisa-bisa satu badan, sakit kepala, sakit belakang dan lenguh pada bahagian kaki.

Tiba di rumah, saya telan dua sudu minyak zaitun Peevo yang masih tersisa. Air zamzam pun masih ada, saya minum seteguk. Terus tidur tanpa fikir apa-apa. Tapi dua tiga kali juga bangun ke bilik air, duduk mengurut badan dan bangun-duduk supaya tidak berterusan lenguh duduk dan baring.

Rabu sepatutnya ada bengkel. Nampaknya keadaan makin kronik. Tidak boleh bangun dengan betul. Saya mengambil keputusan tidak ke klinik dan tidak menyentuh ubat. Kali ini mahu cuba rawatan sendiri. Awal pagi saya panaskan air. Kemudian dicurahkan kedalam baldi, campur dengan air biasa dan beberapa sudu garam. Saya rendamkan kaki dalam setengah jam. Ini pertama kali saya buat. Lega sungguh terasa. Sakit kaki tiba-tiba menjadi lega. 

Kemudian saya banyakkan minum air. Bergelen air ditelan, kemudian asyiklah keluar masuk tandas. Dehidrasi. Memang hari ini, hari pertama demam, bisa satu badan memang terasa. Saya tak fikir ini demam denggi kerana pernah kena dahulu. Kalau denggi, sudah pasti saya mengigil waktu itu atau sendi-sendi rasa sakit. Yang sakit dan bisa bukanlah sendi tetapi otot. Saya berdoa ini bukan denggi. 

Menjelang malam saya kira derita siang tadi sudah berkurangan. Adik balik kerja dan memasak untuk makan malam tetapi semuanya rasa tawar. Telanlah sahaja, asalkan perut tidak lapar. 

Hari ini, Khamis, sepatutnya ada sesi interview dengan berita Harian di NSTP Jalan Riong. Sayang sekali, tak dapat pergi. Kalau diikutkan hati, boleh sahaja bangun dan pergi kerja. Tapi eloklah duduk di rumah sehingga betul-betul sembuh. Panas badan pun dah berkurangan. Sakit kepala pun dah tak berapa kuat. Kena minum lebih banyak air lagi untuk buang sisa-sisa demam. Malam tadi ketika tidur pun beberapa kali bangun kerana berpeluh dan keluar masuk bilik air. Tapi keadaannya hari ini, sudah nampak proses pemulihan yang sedikit baik dan berbeza keadaannya dari semalam. Alhamdulillah.

Begitulah catatan saya, catatan orang demam :)

Tiada ulasan:

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...