Ahad, Jun 26, 2022

Selepas menonton

Usai menonton Mat Kilau, saya membaca semula Pahang Dałam Catatan Kolonial (PDCK), buku yang saya sunting tahun lalu. Buku ini merakamkan sejarah negeri Pahang sejak mula negeri ini didiami manusia dengan merujuk kepada kesan arkeologi dan peninggalan purba, kesultanan Pahang moden dan sejarah daerah-daerah yang ada di negeri Pahang. Ini termasuklah peristiwa penting perang saudara antara Wan Ahmad dan Wan Mutahir, latar belakang sultan-sultan Pahang moden, para tokoh tempatan dan pegawai kolonial yang berkhidmat di Pahang. Dan sudah pasti nama seperti Dato’ Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau, JP Rodger, Hugh Clifford dan Frank Swettenham tidak boleh dipisahkan dari negeri Pahang.
PDCK memasukkan segala catatan para kolonial yang ditemukan berkaitan Pahang sama ada daripada hikayat dan catatan sejarah, minit mesyuarat, laporan akhbar, catatan para pegawai British khususnya W Linehan (A History of Pahang), Clifford (In Court and Kampong, Malay States dan banyak lagi), Swettenham (Malay Sketches, The Real Malay dan beberapa lagi) dan laporan tahunan oleh residen dan Pesuruhjaya Tinggi British. Catatan mereka dipetik, dibahas dan dijelaskan bagi memberi gambaran yang lebih murni dari sudut pandang anak tempatan berbanding sisi kolonial yang kita ketahui berunsur berat sebelah.
Untuk membandingkan PDCK dan filem Mat Kilau sudah tentulah tidak adil oleh kerana perjuangannya yang panjang dan usia Mat Kilau yang mencecah 104 tahun sewaqtu meninggal pada 1970 - tidak mungkin membolehkan segala-galanya diceritakan dalam seratus dua puluh minit.
Namun saya catatkan secara pendek nota-nota berikut - yang melibatkan fakta - sebagai rujukan (lain-lain aspek dah ramai yang ulas, saya sebut bahagian saya sahaja):
• Perjuangan Mat Kilau bukan hanya di Pulau Tawar dan Kuala Tembeling, sebaliknya melibatkan juga Semantan, Kuala Lipis, dan banyak lagi tempat.
• Mat Kilau banyak melarikan diri dan tidak menetap di satu-satu tempat akibat digempur British, hingga akhirnya mengundurkan diri ke Terengganu dan Kelantan,
• Perjuangan ini turut melibatkan Tok Gajah dan Tok Bahaman. Dalam filem ini, kelihatan Mat Kilau berjuang seorang diri, tidak dilibatkan sekali yang lain (memadailah dalam satu babak)
• Perbualan harian mereka bukan semata-mata tentang nasib orang Melayu, ketuanan Melayu, keistimewaan Melayu sebaliknya strategi untuk menyerang British, laluan serangan, ruang melarikan diri,
• Mereka bukan menentang semata-mata kerana cukai
• Mat Kilau dan Clifford hampir sebaya dan mereka pernah beberapa kali berdepan dalam pertemuan yang mesra (sebelum Mat Kilau mula menentang Bristish), dan juga tegang.
• Amalan-amalan Mat Kilau tidak ditunjukkan, tidak memadai dengan mengatakan ‘ilmu tasawufnya tinggi, ilmu aqidahnya bagus’.
• Sebagai panglima seharusnya Mat Kilau perlu lebih keras, ada daya kepimpinan, selalu memberi semangat, sentiasa memotivasi para pejuang.
• Ketokohan Tok Gajah, ayah Mat Kilau perlu ditampilkan dengan lebih serius sebagai panglima yang masyhur kerana beliau banyak mencorakkan keperibadian Mat Kilau
• Peristiwa 'kemunculan semula’ Mat Kilau pada 1969 yang menggemparkan patut dimasukkan
Seperkara yang paling mengecewakan ialah tiada sepatahpun loghat Pahang yang disebutkan, malah tiada dialog yang membolehkan kita teringat-ingat.
Walau apapun, filem Mat Kilau ada tarikan tersendiri, dan rasa kekecewaan di atas pastilah tidak menjejaskan kepuasan menontonnya. Penambahbaikan boleh dimasukkan kemudian, yang saya rasa pasti akan ada kesinambungan kerana perjuangan Mat Kilau dalam filem ini baru sahaja bermula. Pastikan ada sekualnya!

*PDCK sudah siap diterbitkan dan akan dijual dalam beberapa ketika nanti.


Menonton bersama teman sepejabat. Tiga orang lagi tiada dalam gambar

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...