Isnin, Jun 19, 2017

Alkisah FGV

TS Isa Samad mungkin terlupa, buat-buat lupa atau enggan ambil tahu, bahawa tindakannya menghuru-harakan FGV mempunyai implikasi yang besar terhadap bosnya di Putrajaya. Umum mengetahui bahawa Felda adalah lubuk undi bagi BN, dengan berpuluh-puluh Parlimen terdapat dalam tanah rancangannya, maka dalam keadaan tidak menentu sekarang, setiap sisi perlu diambil peduli supaya tidak ada isu yang boleh mengeruhkan suasana hingga menyebabkan peneroka memangkah parti selain BN. Atas sebab itulah, TS Isa Samad 'meletakkan jawatan secara sukarela' bagi menjernihkan suasana dalam FGV, itupun selepas dipanggil mengadap di Putrajaya.
Peneroka tak kisah perebutan apa yang berlaku diperingkat atasan tapi peneroka menanti janji-janji yang ditaburkan sebelum ini. Bayarlah apa yang sudah dimuktamadkan terutama sekali duit raya yang sepatutnya diberi kepada peneroka menjelang raya.
Apa yang jadi kepada TS Isa Samad selepas ini? Begitulah untungnya menjadi ahli politik, hidupnya seperti sabut - sentiasa timbul. SPAD menanti kehadirannya.
*sesekali balik kampung, berdesing telinga mendengar kisah luar dalam Felda. Malang sungguh nasib peneroka

Ahad, Jun 18, 2017

Diam si ubi


|Diam-diam ubi, kadang berisi, kadang tak jadi|

Dengan cuaca cantik pagi ini, meluangkan masa membersihkan tanah sekangkang kera di belakang rumah. Ada tiga batang pokok ubi yang sudah berbulan-bulan ditanam, daunnya sentiasa menghijau dan cepat tumbuh semula selepas dicantas. Tetapi pangkalnya jika diperhati dengan teliti, sudah mereput menandakan isinya entahkan jadi entahkan tidak. Kita pun menggali pokok pertama. Ubinya kecil sahaja, lebih kurang saiz ibu jari. Pokok kedua, bila digali, salah satu cabangnya tercacak ke dalam tanah. Biarpun sudah menggali pada kedalaman hampir satu kaki, ubi yang putih dan cantik isinya seperti memanggil-manggil kita untuk digali lebih dalam. Oleh kerana tanahnya jenis tanah bukit yang keras dan liat, terasa betul-betul diduga pada bulan puasa ini. Namun disebabkan tangan dah melecet, pinggang dah sakit, peluh pun dah macam air hujan, kita kambus semula tanah. Baki yang telah patah dan tak dapat digali sepenuhnya, dikuburkan bersama harapan yang tak kesampaian. Sebatang lagi tu, esok-esoklah kita gali.

Hasil yang digali tadi dibersihkan, petang nanti boleh goreng yummmm. Dapat sikit atau banyak, itu rezeki. .

*ada gambarnya, tapi payah nak masuk sini. Tengoklah pada pautan ini

Selasa, Jun 13, 2017

Munafik menurut Yusfff Zaky

"Yusoff Zaky menggelar golongan munafik sebagai golongan hipokrit yang separuh beriman dan berpura-pura beriman untuk mempermainkan orang-orang Islam atau untuk menangguk keuntungan daripada masyarakat Islam dan masyarakat kafir. Menurut Yusoff Zaky, golongan munafik tidak terhad kepada satu golongan pada zaman nabi sahaja, tetapi juga berlaku pada setiap zaman. Pada zaman moden ini, golongan ini lebih banyak terdiri dari kaum intelek Islam yang telah dicelup jiwa dan mentalitinya dengan pendidikan Barat yang berorientasikan benda dan dunia semata. Mereka ini hanya bernama Islam tetapi hati mereka benci terhadap Islam dan memandang rendah kepada undang-undang dan hukum-hukum Islam atau memandang kecil terhadap amalan-amalan ibadat dalam Islam.
"Menurut Yusoff Zaky, golongan munafik adalah golongan yang lebih bahaya kepada umat Islam berbanding dengan golongan kafir, kerana mereka hidup bercampur baur, berganding bahu dan berjalan seiringan dengan khalayak Muslimin yang benar. Peranan mereka menjadi bertambah bahaya sekiranya mereka diangkat sebagai ketua dan pemimpin dalam masyarakat Islam. Perkara ini pernah berlaku kepada umat Islam khususnya pada masa penjajahan apabila golongan inilah yang menjadi alat penjajah untuk menegakkan penjajahan di negara-negara Islam. Yusoff Zaky juga menyatakan antara punca kelahiran golongan munafikin di zaman moden ini ialah melalui sistem pendidikan yang memberi ruang yang terlalu sempit kepada pelajaran dan didikan Islam yang sebenar dan senafas itu juga mendewa-dewakan sains dan nilai hidup kebendaan dan hedonis."
-----
Petikan dari 'Analisis al-Tafsir al-Mawdu'i Dalam Majalah Pengasuh' dalam buku Yusoff Zaky Yacob: Dian Yang Tak Kunjung Padam (DBP: 2011), Halaman 222-222.
Dalam nada yang sama, Prof al-Attas dalam Risalah Untuk Kaum Muslimin menyatakan tiga masalah utama kaum Muslimin ialah ilmu yang keliru, adab yang hilang dan pemimpin yang palsu; lalu tiga masalah ini berpusing-pusing dan berulang-ulang pada setiap masa dan ketika; dan hanya boleh dipecahkan menerusi ilmu, iaitu ilmu-ilmu yang benar dan yang dapat dimanfaatkan.

Ahad, Jun 11, 2017

Sharahan Kitab al-Ilm



Sharahan Kitab al-Ilm siri ke-14*, sebuah kitab dari Ihya' Ulumuddin karya Imam al-Ghazali

Hari ini bacaan sampai kepada keburukan perdebatan dan perkara-perkara buruk yang lahir dari perdebatan. Imam al-Ghazali, dalam menghuraikan tentang boleh atau tidak perdebatan dijalankan, telah menyenaraikan lapan syarat dan keperluan untuk membolehkan perdebatan dijalankan. Salah satunya ialah perdebatan perlu dilakukan di tempat yang tertutup dan dijalankan antara dua pihak sahaja tanpa melibatkan orang lain. Adalah perlu untuk kita fahami bahawa tujuan perdebatan adalah mencari titik persefahaman dalam menyelesaikan sesuatu perkara yang timbul, bukannya mencari siapa yang salah dan siapa yang benar, atau pun mahu memenangi atas pihak yang lain. Apabila tujuan berdebat ialah mahu mengalahkan pihak lain, maka akan terserlah apa yang dinamakan usaha mencari keburukan pihak yang mahu dikalahkan dengan menzahirkan kemuliaan dirinya pada pandangan orang awam. Maka akan wujudlah usaha-usaha untuk menjatuhkan pihak lawan dengan cara yang salah, penuh hasad dan dengki, timbul rasa cemburu dan iri, hadirnya sifat takbur dan mengangkat diri dan mengharapkan perhatian orang. Sifat kepura-puraan akan jelas terpancar bila masing-masing secara zahir bermanis muka dan bersikap 'profesional', sedangkan kedua-duanya adalah munafik kerana telah bersikap talam dua muka. Orang berilmu yang mengamalkan ilmunya adalah orang yang tenang dalam mengukuhkan persaudaraannya, manakala yang berilmu tanpa beramal sekadar mewujudkan musuh di sekelilingnya.

Sharahan hari ini berlangsung dalam cuaca yang panas di luar dan pada petang yang selalu diluangkan untuk berehat, namun Dr Wan Suhaimi menyampaikan sharahan selama tiga jam tanpa henti. Semoga Allah memberi rezeki kesihatan dan ruang masa yang lapang untuk beliau terus menyampaikan ilmu kepada kami.

*harapnya betullah siri ke-14. Belum semat semak lagi

pautan gambar di sini



Jumaat, Jun 09, 2017

Menjajah persuratan

Kebanyakan negara yang dijajah, paling penting akan merasai kehilangan khazanah persuratannya (literary heritage) yang telah bertahun-tahun atau beratus-ratus tahun menjadi sebahagian dari peradabannya. Ketika Napoleon menduduki Mesir pada 1798, para orientalis Perancis membawa keluar manuskrip yang terdapat di Grand Mosque dan di bawa pulang ke Paris. British - dalam apa yang dipanggil sebagai ‘The Indian Mutiny’ di India pada 1857 - mengangkut banyak manuskrip dari perpustakaan di istana Mughal dan diletakkan – antara lain – di British Libary. Peristiwa yang sama juga berlaku kepada Malaysia dan Indonesia, dimana banyak koleksi manuskrip penting terdapat di luar negara. Adalah mustahil untuk membawa pulang semula bahan-bahan ini, manakala pihak terbabit menjaga dengan baik dan melakukan pelbagai kajian sekaligus merancakkan wacana dan perbincangan. Namun itu bukan penghalang untuk manuskrip ini dibaca (atau dimiliki) walaupun tanpa bahan yang asal. Ahmad Zaki Pasha (1867-1937) ketika berpeluang pergi ke perpustakaan Istana Topkapi pada 1908 menggunakan kamera bagi mengambil gambar-gambar manuskrip Mesir yang berada di sana. Dia menemui sebuah naskhah karya Ibn al-Muqaffa berjudul al-Adab al-Saghir yang ditulis pada abad ke-8. Ahmad Zaki Pasha membuat suntingan dan mencetaknya di Mesir. Dari sebuah teks yang tidak dikenali dan tersembunyi dalam sebuah istana, al-Adab al-Saghir dijadikan bacaan wajib di sekolah-sekolah Mesir bermula 1911. Rifa’a al-Tahtawi (1801-1873) yang dihantar belajar ke Paris menyedari begitu banyak manuskrip Arab terdapat di Paris. Dia mengusahakan cetakan Muqaddimah oleh Ibn Khaldun pada 1857 yang merupakan cetakan terawal Muqaddimah .
Syarahan selanjutnya di sini

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...