Jumaat, September 18, 2009

Raya



Dua tiga hari lagi, Syawal menjelang tiba. Hari yang dinanti selepas sebulan puasa. Ada yang gembira kerana tidak perlu lagi berpuasa. Ada yang suka sebagai menyambut kemenangan selepas berjuang di madrasah Ramadhan. Ada juga yang berduka meninggalkan Ramadhan yang entah akan dapat dirasa lagi pada tahun hadapan. Ada yang sedih, takut-takut dan risau yang puasanya sekadar menahan lapar dahaga sedangkan sebulan dia berusaha sedaya upaya tidak makan dan tidak minum bagi menjayakan Ramadhan.

Sebelum bergembira beraya, apa kata kita muhasabah dahulu kualiti dan darjat Ramadhan kita kali ini (ala audit ISO):
  1. Apakah mulut bebas berbicara kisah orang lain sedangkan hati melompat-lompat melarang kita dari mengumpat?
  2. Apakah amalan sunat yang digandakan pahalanya kita lakukan dengan sebaiknya atau leka dengan  membeli belah dan membazirkan duit menukar perabot mengecat rumah, bukannya menghulurkan tenaga melakukan amalan?
  3. Berapa rajinkah kita bangun malam bertemu dengan Sang Pencipta dari bergebang lama-lama di kedai kopi yang hidup sehingga sahur dengan pelanggan tak putus datang?
  4. Betapa rajinnya kita bertadarus dan bertilawah selain dari buat nightwalk kerana Bazaar Ramadhan dan Uptown buka santak ke pagi? 
  5. Berapa kuatnya kita mengerjakan solat terawikh setiap hari? Dan tidak malukan kita yang muda melihat makcik yang tak larat berdiri lama mengerjakan terawikh hingga tamat 20 dan witir 3 rakaat, sedangkan kita buat lapan pun fikiran melayang entah ke mana?
  6. Betapa rajinnya kita mendengar tazkirah dan ceramah, menghadiri majlis ilmu sepanjang Ramadhan daripada mendengar kisah-kisah 'dalaman' yang memalukan, konflik yang mengaibkan, isu politik yang memualkan dan seribu satu kisah yang kita tumpang dengar?
  7. Berapa  ramai yang kita sedar Ramadhan ini adalah yang terakhir kerana belum tentu mereka akan hidup lagi tahun hadapan?
Soalan inilah yang wujud tatkala saya berdiri mengerjakan terawikh atau ketika mendengar tazkirah. Saat itu, sempat bermuhasabah akan kualiti Ramadhan saya yang lalui tahun ini. Paling takut mengenangkan entahkan saya hidup lagi atau tidak untuk Ramadhan akan datang.


Memandangkan semua dalam mood raya, maka elok juga saya ambil kesempatan membuat ucapan seperti yang tertera dalam ruangan Facebook:

Andai hari ini adalah hari terakhir anda dialam maya, mohon ampun diatas segala salah kata dan silap bicara. Terkadang lisan lancar bertutur tanpa berfikir sebaiknya. Berhati-hati dalam perjalanan pulang menemui orang tua. Makan kuih-muih jangan tak ingat dunia. Jumpa lagi selepas raya!

Berhati-hatilah didalam perjalanan.  Moga niat kita bertemu dan menziarahi ibu bapa, saudara mara, dan rakan taulan mengukuhkan ukhuwwah yang longgar, membaiki jambatan persaudaraan dan memperelok tali silaturrahim yang terjalin sekian lama.


Jujur saya katakan, kali ini mood raya seperti tiada. Kosong. Agaknya inilah perasaan bila semakin dewasa, petanda diri sudah tua!

 

* Semua gambar / imej dicuplik dari Google. Kredit kepada pemilik asal yang tidak dapat dikesan kerana sudah banyak ditampal di merata blog. Salam takzim!








Balik kampung


Sumber: Google 

Semasa kecil, saya (kami adik beradik) tidak mengenal erti balik kampung beraya. Lebih banyak menyambut hari raya di rumah sendiri dari beraya di kampung bertemu datuk, nenek, saudara mara dan para sepupu yang sama baya.

Kami faham apa yang abah dan emak fikirkan. Dengan harga getah yang tidak tetap dan turun naik, membawa kami berempat balik kampung memakan kos yang bukan sedikit. Kami perlu bertukar bas hampir sepuluh kali, bersesak-sesak dengan penumpang, membawa beg dan memimpin kami yang masih kecil. Belum lagi penat perjalanan yang memakan sehari, kos perjalanan dan kos perbelanjaan di kampung. Memikirkan penat lelah dan untung yang tidak seberapa, maka lebih elok beraya di rumah sendiri.


Sumber di sini
Hampir serupa rumah atok di Senggarang, tetapi sudah diroboh menjadi separa papan dan batu berdiri langsung atas tanah

Bayangkan sahaja dahulu, tiada talian telefon dan berharapkan telefon awam yang jauh letaknya dan kadangkala rosak, tiada kenderaan sendiri untuk bergerak dan jauh tercampak di negeri asing, bukan di Johor seperti sanak saudara yang lain menyebabkan emak dan abah banyak berkorban dalam membesarkan kami.

Oleh itu, telefon diharap dapat merapatkan hubungan dan emak sanggup berjalan mencari telefon bagi bertanya khabar, mendengar siapa yang balik siapa yang tidak dan memohon ampun maaf andai ada silap. Sambil-sambil itu, kami menanti juga di pintu rumah kalau-kalau ada saudara mara singgah beraya. Tetapi duduk tercampak di Negeri Sembilan jarang menghadirkan kami kesempatan itu.

Bila  tidak balik kampung, kami selalu menjadi jiran yang baik. Selalu menerima pesanan jiran lain untuk memerhati rumah mereka. Hidup berjiran begitulah, bila kita balik kampung pesanan seperti itu turut disampaikan kepada mereka. 


Kami adik beradik terasa sunyi di pagi raya. Sebab itulah selesa menonton tv. Nak beraya, jiran semua balik. Kalau nak beraya pun, ambil masa dan perjalanan yang jauh kerana dalam satu barisan rumah (kira-kira 10 ke 11 pintu), cuma ada satu atau dua buah rumah berpenghuni. Itu yang menyebabkan kami boleh ronda satu Serting, keluar pagi dan balik petang, makan kuih dan minum sehingga perut sakit dan memuntahkannya kembali. apa yang penting, kumpul duit raya sebanyak yang boleh. Kalau satu rumah bagi sepuluh sen atau dua puluh sen, bayangkan berapa banyak yang perlu kami ziarahi untuk mengumpul duit. Pergi pula beramai-ramai hingga boleh mencecah sepuluh ke dua puluh orang. Berkumpulan dengan mereka yang tidak balik kampung. Pening tuan rumah melayan kami.

Bila dah besar, masing-masing punya kenderaan sendiri. Maka terbitlah keinginan pulang ke kampung. Tetapi bila dah besar, suasana berbeza. Kami tetap teringin beraya dirumah sendiri dahulu dan pulang kek kampung pada raya kedua atau ketiga. Kadang kala balik hari, kadang kala bermalam. Bila belajar, mujurlah kami tidak jauh tercampak. Saya di Gombak, yang ke dua di Serdang. Cuma yang ke empat sedikit jauh di Sungai Petani. Pulang beraya dengan bas tidak terlalu membebankan tetapi perlu juga beli tiket untuk mengelakkan naik bas melompat-lompat. Dua jam perjalanan sudah memadai. maka tiadalah istilah bersesak dan berebut bas dan tiket seperti dalam gambar diatas,

Kini bila sudah kerja dan memiliki kenderaan, perjalanan boleh diatur sendiri. Selain melihat waktu yang tidak sibuk bagi memulakan perjalanan, perlu juga fikir kondisi diri dan kerja-kerja pejabat yang perlu disiapkan bagi memastikan dapat beraya dengan tenang. Pernah sekali saya naik motor pulang ke kampung, bertolak sesudah Subuh dan sampai pada jam lapan pagi. Sejuk usah dicakap, menusuk hingga ke tulang hitam. Sekarang berkereta, perlu memastikan kereta sihat untuk berjalan. semua perlu diperiksa dan dipastikan selamat. Alhamdulillah, setakat ini masih kuat meredah jalan.

Saya akan bertolak pukul dua atau tiga pagi Sabtu dan terus bersahur dirumah. Kali ini saya mengambil giliran cuti selepas raya, maka pulang lewat sehari sebelum raya. Kepada yang memandu, berhati-hatilah dan banykkan kesabaran. Usah ikut kemarahan dan rasa hati. Patuhi undang-undang dan had laju yang telah ditetapkan. Ada sebab mengapa ia dibuat begitu.

Selamat Hari Raya.

Selasa, September 15, 2009

Bagaimana kalau ini berlaku?

1)
Ada seorang yang anda dan teman sepejabat tidak suka. Selalu bercerita tentang kejahilan lampau dirinya yang gemar minum dan berzina. Tiada rasa insaf walaupun kini sudah meninggalkan tabiat terkutuk itu. Solatnya lebih banyak tinggal dari dikerjakan. Puasanya juga tidak, malah dengan tiada perasaan berdosa makan, minum dan merokok dihadapan anda. Biarpun tidak selesa, anda terpaksa menghormatinya sebagai rakan sekerja.

Suatu hari ketika sedang minum petang, anda perasan yang dia menghulurkan wang kepada seorang anak cacat penglihatan yang dipimpin oleh kakaknya ke kedai serbaneka yang ketika itu sedang makan bersama ibu bapanya. Anda terdiam lalu tersentuh dengannya kerana anda sendiri tidak pernah berbuat demikian.

Apa perasaan anda?




2)
Anda sedang beratur untuk mengambil juadah jamuan berselerak (bufet). Jam menunjukkan azan Maghrib bakal berkumandang dalam tempoh dua puluh minit lagi. Dihadapan anda, sepasang teruna dara, entah kekasih entah suami isteri sedang mabuk melayan kasih. Sekejap si dara merengek, sekejap si teruna memegang pinggang, sekejap si dara memeluk teruna, sekejap si teruna mengelus tangan si dara. Anda panas hati menonton drama yang boleh mengikis pahala puasa seharian. Hendak ditegur, tak kuasa. Hendak memotong barisan, rasa seperti kurang ajar pula.

Tatkala si dara tiba pada susunan pinggan menandakan mereka sudah tiba pada deretan juadah, tiba-tiba si dara menghulurkan pinggan kepada anda.

Apa perasaan anda?



3)
Oleh kerana surau bersaiz kecil, maka anda dan teman bergilir menunaikan solat. Anda duduk di kerusi di luar surau. Di sebelah anda, ada seorang gadis belasan tahun melayan dua orang anak saudaranya - seorang dalam kereta tolak dan seorang lagi berdiri di sebelah adiknya. Anak kecil yang sedang makan Almond London itu kelihatan comot dan emak saudaranya dengan penyayang mengelap tangan juga mulut yang di selimuti coklat sambil si abang tidak henti-henti bercakap. Anda memerhatikan mereka tanpa ada perasaan mahu beramah mesra.

Emak dua anak kecil ini kemudian keluar dari surau dan mereka makan Almond London yang baru dibeli bersama-sama. Anda tetap memerhati mereka sambil senyum melihat kemesraan mereka sekeluarga. Mulut masih berat mahu menyapa. Tiba-tiba emak saudara menghulurkan anda kotak Almond London. Dalam hati, anda terkejut kerana anda bukan memerhati kuih raya 'omputih' tetapi kepada keletah anak saudaranya.


Apa perasaan anda?


4)
Ada seorang teman sering menasihati anda dan teman yang lain tentang rencah hidup berumah tangga. Dia sering menjadi tempat rujuk bagi mendapatkan tips keharmonian hidup suami isteri, panduan hidup rukun dan damai serta cara merapatkan hubungan yang tidak sesuai didengar oleh orang yang belum kahwin. Maklum sahajalah, dia bukan orang Malaysia dan panduan yang diberikan itu berbeza dari apa yang anda biasa dengar. Dia banyak menerapkan amalan tradisi dan penggunaan bahan tradisional dalam rumahtangga, misalnya ketika berpantang atau ketika mengandung.

Tiba-tiba suatu hari, pecah berita mengatakan dia sebenarnya mahu memfailkan cerai. Dia bercerita kepada dua tiga orang terdekat termasuk anda kerana tidak mahu ia menjadi kisah mengaibkan. Rupanya dia sudah lebih sepuluh tahun, sejak mula berkahwin, menjadi mangsa keganasan rumahtangga, sering di pukul, didera mental, diuji fizikal. Bijak dia menyembunyikan gelora diri dengan sikapnya yang suka ketawa dan bergembira. Anda kasihan kepadanya tetapi tertanya pada diri sejauh mana kekuatan yang ada padanya merahsiakan penderitaan yang ditanggung selama usia perkahwinan mereka.

Apa perasaan anda?


5)
Apa reaksi anda jika ini semua berlaku kepada diri sendiri?

Kronisme dan politik bangkangan



Sejak PRU12, sejak pembangkang kuasai lima negeri, ada satu ketakutan hadir kepada ahli peniagaan yang giat menjadikan kontrak kerajaan sebagai sumber pendapatan syarikat. Hendak sokong kerajaan pembangkang, dikhuatiri boleh menjejaskan periuk nasi dalam mengejar kontrak kerajaan pusat. Nanti dikatanya tidak sedar diri. Sokong pembangkang tapi ada hati nak kejarkan duit kerajaan. Diibaratkan seperti kakitangan kerajaan yang memangkah parti pembangkang dalam pilihanraya.

Tambahan pula usia kerajaan pembangkang di lima negeri ini belum tentu panjang untuk lima tahun lagi. Entah-entah rakyat menghukum mereka pada PRU13 pula. Jadi, perasaan ragu-ragu dan was-was sentiasa dalam fikiran ahli perniagaan. Kalau disokong kerajaan pembangkang (negeri), nanti dilabel sebagai kontraktor pembangkang dan natijahnya, sukar mendapatkan kontrak kerajaan pusat yang bernilai tinggi. Kalau tidak menyokong kerajaan pembangkang (negeri), nanti dikata tidak pandai bersiasah dan kurang cerdik mengatur langkah dalam merencana perjalanan di negeri pembangkang. Nanti susah pula nak dapatkan sokongan kerajaan negeri terhadap apa-apa yang cuba diusahakan oleh kerajaan pembangkang ini.


Bila menyokong pembangkang terang-terangan, nanti diketepikan kerajaan persekutuan. Andai pembangkang tewas selepas lima tahun, sudah pasti syarikat menghadapi masalah memasuki mana-mana tender kerajaan dengan cap yang sudah tertera pada nama. 


Inilah yang sentiasa difikiran ahli perniagaan yang bergantung nyawa terhadap pengagihan kontrak kerajaan.
Namun, selepas PRU12, ada pula mainan politik baru. Memasuki tahun kedua pemerintahan parti pembangkang di lima negeri, kerajaan pusat sudah pandai memainkan sentimen undi. Setiap tender yang dikeluarkan, kontrak yang ditawarkan, ditapis sebaiknya. Mereka sudah pandai mengagihkan kontrak kepada kroni sendiri – kepada cawangan Umno yang melobi mereka demi kepentingan kerusi sendiri dan survival politik sendiri untuk PRU akan datang.


Maka, ramailah syarikat yang teraniaya kerana tidak mempunyai regu politik dari kalangan pemimpin Umno, yang tidak mahu mencampuradukkan politik dalam perniagaan atau yang tidak mahu sebarang label politik melekat pada syarikat demi menyelamatkan periuk nasi sendiri. Malanglah bagi yang tidak menggunakan hubungan politik. Lebih malang lagi, tindakan memilih syarikat untuk ditawarkan kontrak semakin menyebabkan rasuah bertambah parah dan kualiti perkhidmatan atau penyempurnaan kontrak semakin merudum.
 
*Idea masih kasar dan akan disambung selepas sahur esok. Ada banyak lagi isu tersimpan yang belum diluahkan. Sabar ya!  
Hakcipta terhadap entri ini adalah terpelihara. Sebarang usaha mencuplik tanpa izin boleh menyebabkan anda dimurkai Tuhan. Sila kreditkan ambilan terhadap entri ini dengan izin pemilik blog. Boleh e-melkan sahaja ke norziati@gmail.com. Harap maklum.


Isnin, September 14, 2009

Imam muda, imam tua

Selalu kita terdengar istilah imam muda dan imam muda. Selain membezakan tahap kekananan atau senioriti, ia juga menunjukkan perbezaan usia dan ilmu yang tersimpan diantara dua istilah yang selalunya tidak dihiraukan sangat. Bak kata orang, yang tua dihormati, yang muda disayangi.

Ketika menyertai Qiamulail sewaktu Ramadhan tahun lalu di Masjid Putra, terdetik dihati untuk berkongsi satu kisah yang berlaku. Mungkin pada orang lain ia tidak ada apa-apa kesan, tetapi saya rasa, ada sesuatu yang kita perlu fikirkan.

Saya berkesempatan menghadiri dua sesi Qiamulail pada dua hari yang berbeza. Sesi pertama di pimpin oleh imam yang muda berdasarkan kepada lontaran suara dan nada percakapan. Setiap rakaat solatnya dijalankan dengan pantas, jelas sebutannya, nyata setiap bunyi dan bacaannya, pendek surah dan doanya, dan cepat ditamatkan Qiamulail.

Pada sesi kedua, imam tua memimpin jemaah yang kebanyakannya dalam lingkungan 40-an. Sukar menemui jemaah muda pada waktu begini. Entahkan tidur kekeyangan, entahkan letih memburu bazaar atau penat menguli adunan kuih raya. Bacaan imam tua lembut dan mendayu-dayu, bunyinya perlahan, nadanya berlagu dan ada yang menusuk ke jiwa. Setiap gerakan solat dibuat berhati-hati manakala bacaan surahnya lebih panjang dari imam muda. Doanya juga panjang dan bagi yang faham bahasa Arab boleh memahami ada bermacam-macam permintaan yang dipohon. Keseluruhan 'pakej' Qiamulail imam tua mengambil masa lebih panjang dari imam muda namun memadai untuk para jemaah mengalas perut dengan juadah sahur yang disediakan oleh pengurusan masjid selepas itu.

Imam muda dan imam tua. Dua-dua ada beza, dua-dua membawa konotasi berlainan terhadap usia dan tenaga mereka.

Imam muda nampaknya energetik dan bertenaga. Usia muda memungkinkan dia memimpin jemaah berbilang umur dengan pantas, bacaan yang jelas dan terang. Gerakan solatnya punya momentun dan dilakukan dalam gerak laju tetapi masih dapat diikuti oleh jemaah. Dia tahu agaknya jemaah ada yang datang dari jauh dan dekat diselimuti kantuk lantas dengan gerakan yang pantas mereka tidak terasa mengantuk. Dia tahu jika dia membaca dengan jelas dan terang, jemaah akan dapat menghayati dan mendengar setiap ayat yang dibaca. Dia tahu jika dia membaca surah pendek, tempoh Qiamulail menjadi ringkas bagi jemaah mengambil masa untuk melakukan ibadah sunat yang lain seperti bertadarus dan bersahur. Dia tahu tidak mudah mengumpulkan jemaah untuk bangun awal pagi begini lalu turut sama memikirkan yang mereka punya komitmen lain yang ditinggalkan dirumah.

Imam tua, oleh kerana bekalan ilmu dan perjalanan hidup, memimpin jemaah menggunakan segenap keupayaan yang tersisa dalam diri dan menterjemahkan segala pengalaman dalam setiap gerakan solat. Dia tahu hati manusia mudah dilentur jika bacaan ayat suci di alun dengan sopan dan penuh tertib, mendayu dan berlagu. Dia tahu jika setiap gerakan dilaksanakan dengan berhati-hati, jemaah berbeza usia boleh mengerjakannya tanpa tergesa. Dia tahu dengan doa yang panjang itu turut sama merangkumi segala permintaan jemaahnya biarpun mereka tidak meminta secara peribadi memohon kepada Tuhan Rabb al-Karim. Dia tahu tiada salahnya membaca surah yang panjang jika ia berupa permohonan kepada Tuhan dan dengan lontaran suara yang tenang, jemaah akan khusyuk menghayati tanpa terfikirkan panjang pendek bacaan tersebut.

Mungkin itulah agaknya yang bermain dalam fikiran imam muda dan imam tua, tetapi dari pandangan saya sendiri.

Imam muda dan imam tua. Dua-dua ada beza. Dua-dua ada kesan yang tidak sama. Terpulang kepada kita untuk memilih berdasarkan selera sendiri. Dan niat saya bukan mengeji sesiapa, tetapi memohon agar imam muda atau imam tua yang membaca masukan ini agar berlapang dada memikirkan apa yang saya nukilkan.

Semoga Allah merahmati kalian. Barakallah

Ahad, September 13, 2009

Ada apa dengan angka

Jam pada desktop komputer pejabat. Mahu menjadi sebahagian dari sejarah juga :-)


Sejak menjeguk ke alaf baru, abad baru, nombor yang tertera pada kalendar sering menjadi perhatian. Orang kata, nombor tersebut cantik, sekali seumur hidup dan tidak akan berlaku lagi selepas ini. 1 Januari 2001 menjadi 01.01.01, 2 Februari 2002 menjadi 02.02.02 dan seterusnya. Hinggalah tahun lalu, 08.08.08 di jadkan upacara perkahwinan beramai-ramai oleh warga Tionghua kerana selain nombor 8 dikatakan ada 'ong', ia turut diharap memberi tuah pada hidup. Apa-apalah...

Maka masing-masing cubalah menyusun kejadian yang boleh disignifikankan dengan nombor-nombor yang cantik itu supaya turut menjadi satu kejadian yang maha penting dalam hidup. Misalnya, bertunang, berkahwin, bercuti, balik kampung, dapat kerja baru, dapat anak dan macam-macamlah.

Tambahan pula pada tahun 2009, ada beberapa angka yang bila disusun menjadi cantik. Contohnya pada 7 Ogos yang lalu, masing-masing menunggu detik 12.34 tengah hari pada saat ke-56. Jadi, susunan angka menjadi 123456789.

Kemudian pada 9 September yang lalu, masing-masing sibuk menanti jam 9.09 pagi supaya ia menjadi 09.09 pagi pada 09.09.09.

Dan sempena Aidilfitri yang dijangka satu Syawal jatuh pada Ahad, 20 September, maka ada juga yang menanti detik 2009 hrs (pukul 8.09 malam) pada 20.09.2009.

Ya, nombor tersebut memang cantik disusun. Namun, apalah yang ada pada angka tersebut?

Rabu, September 09, 2009

Nota Ramadhan 1430H - 1

Saya ingat lagi pada Ramadhan yang lalu, masa berbuka lebih banyak saya habiskan di Masjid Putra, Putrajaya. Berbuka dengan mereka yang tidak dikenali, mengerjakan solat terawih sebanyak mana yang mahu, tekun membaca Qur'an di balik tiang, memerhati para jemaah keluar masuk dan mak guard yang tegas melayan anak-anak kecil yan diasingkan ruang solat.

Saya masih ingat juga, disinilah saya menulis nota-nota tentang Ramadhan 1429H, perasaan berterawikh di Masjid Putra yang tenang dan dingin lalu menghayati suasana yang berbeza dari Masjid UIA yang dipenuhi pelajar dari pelbagai negara yang turut membawa pelbagai tafsiran berbeza terhadap agama (maksudnya, solat sendiri sudah memberi warna yang macam-macam).

Juga terhadap babak yang saya lakarkan bagi melengkapkan novel sulung, Meniti Jalan Hadapan. Tidak saya nafikan, disinilah saya doa dengan bersungguh agar dibekalkan semangat dan kekuatan menamatkan babak yang ada kalanya menemui jalan buntu, hingga terkadang fikir mahu menyerah biarpun tarikh tutup masih panjang.

Disini juga saya berharap agar diturunkan ilham ibarat air mengalir laju, dibekalkan dengan keyakinan terhadap konsep novel dan dipermudahkan terhadap usaha nan satu. Syukurlah, Tuhan mencampakkan semangat itu berdikit-dikit hingga saya rasa Tuhan itu Maha Adil, dan akan memberi bila kita meminta. Maka, mintalah sebanyaknya (biarpun selalu merasa malu kerana saban waktu menjadi manusia yang berdosa dan terlalu banyak meminta).

Tidak kurang juga disinilah saya berusaha membasuh diri, menyusun kembali perjalanan hidup dan melakar-lakar arah yang seharusnya saya ambil demi masa depan, menimbang banyak perkara, memikirkan beberapa keperluan hidup lalu meminggirkan beberapa perkara. Sungguh, inilah tempat yang baik bagi melakukan pencucian jiwa.

Tahun ini, Ramadhan ini saya cuba mengulangi episod lalu. Amat mengidam menghabiskan lebih banyak masa di rumah Tuhan yang setia menanti jemaah biarpun mempunyai jiran baru, Masjid Besi yang tersergam menyala-nyala di seberang tasik. Tetapi saya akur, tahun ini tidak sama dengan tahun lepas. Tidak banyak waktu saya peruntukkan di Masjid Putra dan sekadar berterawikh di surau berdekatan atau dirumah. Perasaan malas bertandang dalam diri menyebabkan saya rela berbuka seorang diri dari berjemaah disana. Seperti rasa berat kaki melangkah ke kereta, biarpun diri sentiasa mahu berada disana denganlebih kerap. Bila difikirkan kembali, amatlah rugi kerana bukan makanan yang saya fikirkan tetapi banyaknya amalan yang boleh dilaksanakan di rumah tuhan.

Entah mengapa, berbuat demikian menyebabkan saya terasa seperti 'dijauhi'. Hidup rasa kosong dan terkunci. Perlahan-lahan saya cuba melakarkan kekosongan dan mencari perkara yang perlu diisikan didalamnya. Saya rasa ia bukan kerana Masjid Putra, bukan kerana suasana dinginnya, bukan kerana alunan bacaan oleh imamnya, tetapi kepada pengisian diri sendiri terhadap bulan yang suci ini. Memikirkan amalan, perbuatan, fikiran, hati dan kata-kata yang diluahkan, saya rasa ada silapnya diri ini. Ya, ini bulan Ramadhan, bulan keampunan, keberkatan dan rahmah! Apakah yang telah saya lakukan sebagai pengisian yang ampuh?

Lantas, saya bertanya: apakah Ramadhan saya ini sama seperti sebelas bulan yang lain?

Jika ya, sememangnya saya ini dipihak yang rugi!

Khamis, September 03, 2009

Baca

Sesudah Laskar Pelangi dan Lantera Mustika, kini giliran Empangan (Zakarian Ali).

Lantera Mustika tamat dalam tiga hari. Satu rekod diri. Apa tidaknya, membaca LM terasa terawang-awang. Halus sungguh bahasa yang diucapkan antara Ainur Mustika dan Emir Johan. Terasa seronok membaca, mudah menghadam. Ah, nantikan sahaja ulasan LM. Mahu bersungguh dengan Empangan dahulu

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...