Selasa, Disember 31, 2013

31 Disember 2013

31 Disember 2013, hari terakhir dalam kalendar 2013.

Apa yang saya dapat dalam tahun ini?

Perkara terbesar sekali ialah dapat bertukar kerja. Ternyata ia kerjaya yang dekat dengan diri, kiranya Tuhan mendengar doa-doa saya selama bertahun-tahun dan syukurlah, kerjaya baharu ini membuka dimensi baru dalam hidup. Seperti orang nazak mendapat nafasnya kembali. Banyak yang saya pelajari, banyak yang saya harus belajar, dan kena belajar semuanya dengan pantas. 


Isu bertukar kerja ini pun satu keputusan berat. Berat kerana saya menghantar surat berhenti kerja sebelum saya mendapat kerja lain. Ketika itu, rumah perlu dibayar mengikut progress kerja. Setakat sewa rumah, masih lagi boleh tahan. Tetapi, saya tidak mahu menangguhkan azam berhenti. Kerana ketika itu sudah hilang kepercayaan dan keikhlasan bekerja dengan hati yang putih. Hati sudah benar-benar tercalar dan banyak pula luka-luka yang tidak sempat disembuhkan tapi bertambah-tambah tiap detik. Saya sudah tidak mampu menahan maki hamun akibat kesilapan yang dilakukan oleh orang lain, yang tidak pernah berusaha mengakui kesalahannya yang memang terang adalah hasil tangannya - biarpun sebelum itu, memang maki hamun dan sumpah seranah menjadi makanan kami. Dengan tenang dan separa sebak tika itu saya lancar berkata, 'biarlah saya yang menanggung segala kerugian syarikat. Biarlah saya berhenti sebagai tanda bertanggunggungjawab atas kealpaan itu'. Ketika menaip surat berhenti, saya tekad dan nekad. Tuhan pemberi rezeki, penentu hidup dan mati kita, menjadi tempat nombor wahid untuk saya bergantung harap. Ada atau tiada kerja, saya yakin, Tuhan ada jawapannya.


RM3 juta kontrak yang terlepas hanya kerana kesilapan menaip angka pada ruang tender rupanya membuka ruang baru yang lebih luas buat saya. Selepas berada dua minggu dalam kegelisahan dan mencari-cari kerja, menghadiri temuduga dan puas menghantar resume, saya dihubungi kenalan memaklumkan yang saya perlu mendaftar masuk pada bulan April, dua bulan dari tarikh berhenti. Maka notis dua bulan sememangnya cukup untuk saya mengajar kakitangan baru dan membuat proses serahan sebelum meninggalkan - suatu pemergian yang melegakan. Suatu langkah yang memaknakan diri. Sangat membuka dimensi baharu diri.


Tahun 2013 juga memperkenalkan saya kepada ramai insan berhati waja, kuat semangat dan berhati mulia. Dalam zaman yang kita anggap sudah hilang perikemanusiaannya, mereka keluar menyuluhkan jalan buat insan yang memerlukan. Mereka meninggalkan kegembiraan zaman muda untuk memikul tanggungjawab mengesan, mencari, mengenalpasti, mengajar, membimbing anak-anak bangsa yang keciciran. Mereka membawa cahaya buat anak-anak yang kegelapan dan meraba-raba dalam kelam. Keluhuran budi dan hati yang suci ini sangat mengesankan, mereka adalah insan yang tidak minta dilambung puji, disorak budi, diangkat tinggi kerana ini mereka menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah dimuka bumi. Itu yang selalu kita lupai.


Ya, kita akan berjuang bersama-sama nanti.

Tidak banyak yang saya harapkan pada 2014. Saya cuma mahu banyak mengembara ke seluruh Malaysia (sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 - ini serius ya), atau lebih khusus - kembara sejarah dalam menjejaki leluhur untuk membuka mata bahawa kita ini sudah banyak yang kita tinggalkan hingga kita hilang siapa diri kita.


Dan kemudiannya, banyak membaca dan banyak menulis. Ya, banyak menulis. Menulislah!


Selamat tinggal 2013!

Jumaat, Disember 27, 2013

Pokok keluarga

Ketika sekolah dahulu, saya ingat lagi, mata pelajaran Sejarah kalau tak ingat, cikgu minta kami buat rajah salasilah keluarga. Bila balik rumah, saya pun tanya emak abah, siapa nama datuk dan nenek sebelah abah dan siapa datuk dan nenek sebelah emak.

Dari situ saya dapat tahu, orang Johor susur keturunan harus ditulis sebagai moyang-nenek-datuk-abah-anak. Ada gelaran cucu, cicit dan piut. Datuk pula ditulis sebagai datuk lelaki dan datuk perempuan. Oleh kerana keturunan abah berdarah Jawa, maka gelarannya pun lain, datuk dipanggil embah. Tetapi untuk tujuan sekolah, gelaran itu wujud dalam sebutan keluarga, tidaklah ditulis dalam lakaran salasilah itu.

Dari situ abah pun bercerita dari mana datangnya darah kami yang keturunan Jawa ini. Keluarga sebelah abah besar meskipun dia cuma dua beradik. Adik beradik embah berderet-deret malah ada bapa saudara abah berusia lebih muda dari abah. Bila sampai ke peringkat anak saudara, ada yang lebih tua dari abah. Keturunan mereka pun masih ada di tanah Jawa.

Disebelah emak, saya lihat keluarga mereka tidak mencapah meskipun keluarganya besar juga. Saya tidak tahu dari mana pucuk salasilah sebelah emak. Kata emak, nenek asal-usulnya Melaka. Saya pun terbayang entah-entah mereka ini keturunan pahlawan Melaka. Entah-entah ada darah Hang Tuah. Angan-angan saya melangit tinggi. Saya pun tanya datuk. Tetapi dia tidak menjawab panjang. Saya pun enggan bertanya lanjut atas dasar menghormati. Bimbang nanti ada perkara yang mengguris hati. Jadi salasilah sebelah emak hanya sampai moyang sahaja, yang sempat saya jumpa sewaktu kecil dahulu. Mereka pergi seorang demi seorang bila saya disekolah rendah. Jadi, saya dikira beruntung dapat menemui seseorang berpangkat moyang dalam keluarga.

Sebelah abah, bila semakin dewasa, mereka menubuhkan satu perkumpulan sendiri dan menyiapkan database serta mengemaskini setiap maklumat keluarga yang dikumpul menerusi FB dan website ini http://seninkhanipah.com/ Selang beberapa tahun, mesyuarat agung dilaksanakan. Perjumpaan hari raya dianjurkan setiap tahun. Malah, hasil usaha dan iltizam beberapa insan yang prihatin dan rajin, tapak rumah embah dibina dewan yang menjadi ruang anak-cucu-cicit-piut berkumpul. Dewan ini kebanggaan mereka.

Bila mengenang kembali salasilah keluarga yang cikgu minta siapkan dahulu, saya terfikir apakah zaman ini salasilah itu menjadi keperluan sebagai satu kerja rumah. Berapa ramai agaknya yang sudi menunjukkan rajah keluarga mereka kepada orang lain? Entah berapa ramai pula yang tidak dapat membina susur keluarga yang betul kerana hidupnya di dunia ini tidak punya sesiapa. Atau dilahirkan tanpa ikatan halal menjadikan ia terputus salasilah dengan keturunan sebelumnya.

Saya tidak membayangkan anak yatim tetapi anak taksah taraf yang tidak boleh disahkan siapa ayahnya. Atau ayahnya ialah ayah emaknya juga. Pening? Selalu kita dengar berita anak perempuan menjadi mangsa perkosa ayah sendiri atau datuk sendiri atau abang sendiri. Jadi anak yang lahir itu nanti mahu memanggil ayah-datuk-atau si abang itu dengan panggilan apa? Ini tragedi. Tragedi.

Saya tak tahu entah mereka sorokkan salasilah keluarganya atau tidak buat langsung kerana tak tahu atau pun bau sedar yang dia punya keluarga tunggang terbalik bila dapat melihat susur galur keluarga seperti itu. Dan apakah ada keluarga yang akan selama-lamanya menyembunyikan status si anak atau berterusan menipu demi menjaga maruah, terserahlah kepada masa yang akan menentukan segala-galanya.




Khamis, Disember 12, 2013

Berubah

Kepada seorang rakan, saya bertanya kepadanya, what does make you change. Jawapan pertamanya ialah, hidayah milik Allah.

Mengenalinya sebelum ini, dia seorang yang terkawal meskipun gemar keluar menonton wayang, makan dan bergembira disamping pelajaran. Jarang saya lihat dia sedih. Pernah terdengar dia menjadi begitu kerana keluarga - dia memiliki satu keluarga yang besar dan adik beradik yang ramai. Kota ini menjadi tempat untuknya melepaskan semua kesempitan itu.

Selepas kami belajar, berpisah dan dia dengarnya berkahwin dan melanjutkan pelajaran sehingga ke PhD. Status terkininya dalam FB menghairankan, dan saya terkesan dengan perubahan yang dibuatnya terhadap anak-anak dan keluarga.

Lalu soalan itu saya tujukan kepadanya. Dia menemui sesuatu ketika berada di luar negeri. Menyiapkan PhD merupakan satu bebanan tetapi hidayah, katanya. Dia menemui pelbagai perkara yang membuatkannya mengenali diri.

Berada dalam lingkungan mereka yang telah berubah menjadikan kita insan yang bersyukur kerana diberi peluang bersama-sama dalam jalan kebaikan.

Melihat insan yang sedang berubah, kita berusaha menjadi pendamping terbaik agar dapat menyantuninya dengan segala panduan dan nasihat yang perlu agar sentiasa jelas akan matlamat akhirnya.

Melihat insan yang mahu berubah menjadikan kita seorang yang sentiasa melihat diri agar perubahannya adalah menuju kebaikan dan menyuluhnya ke jalan yang betul.

Melihat insan yang enggan berubah menjadi satu malapetaka buat diri kita, apatah lagi perlu bersama-samanya dalam menulasi tanggungjawab yang telah disandarkan.

Benarlah, hidayah milik Allah. Tugas kita adalah berusaha dan berdoa.

Selasa, Disember 03, 2013

Buku: Pujangga Melayu

Kamu mesti belajar untuk menerima sedikit kekecewaan ketika kamu akan membuat pilihan yang penting dalam hidupmu - Affandi Hassan 
Membaca karya Affandi Hassan - Pujangga Melayu menjadikan saya berhati-hati menghadamnya, terlalu memikirkan kata-katanya dan memerhatikan ketelitiannnya membahaskan isu dengan baik dan jelas.

Kata kawan, bacalah Pujangga Melayu. Kita akan dibezakan antara persuratan dan kesusasteraan, ilmu dan maklumat, wacana dan bebelan.

PM terdiri dari empat naskhah novel yang berbeza. Pujangga Melayu, Citra Pujangga, Tampang Sasterawan dan Wajah Pendeta. Dua buku saya miliki dari buku yang dibuang kawan. Dua lagi saya usahakan menerusi fotostat, yang mengambil masa hampir setahun sebelum boleh tiba ke tangan.

Apa yang ada dalam PM?

Ketika menuntut ilmu penulisan, PM merupakan buku yang disebut-sebut. Katanya itulah ciri persuratan Melayu yang sebenar. Itulah yang dinamakan Gagasan Persuratan Baru. Itulah satu-satunya contoh terbaik PB. Tetapi bagi yan tahu siapa AH, berusaha untuk tidak membicaraka karyanya. AH terlalu bertegas dalam karyanya, seolah di sahaja betul dan orang lain semuanya salah. Termasuklah Sasterawan Negara. Tetapi hasil perbincangan dengan seorang teman sarjana yang menekuni PB dan dapat berinteraksi pula dengan AH menerusi emel, ternyata AH bukanlah sekejam dan sedahsyat yang kita sangka. "Ada sebab mengapa dia begitu", kata kawan saya itu. Malah dia membetulka persepsi salah saya kepada AH, persepsi yang lahir dari mulut-mulut insan yang tidak mengenalinya. Sama seperti saya.

Dari beliau - teman sarjana  itu - saya dapat membaca PM dengan tenang dan gembira tanpa sekelumit prejudis kepada penulisnya.

Akan saya kongsikan sedikit demi sedikit dapatan dari PM, yang antaranya saya letakkan dalam FB sebagai peringatan diri. Setiap pesanan yang disampaikan dengan jelas ibarat lekukan air pada batu yang keras.


Kata Kung Fu Tze, tugas guru ialah memberikan satu garis sahaja daripada tiga garisan segi tiga. Yang dua lagi murid mesti cari sendiri.  'Kalau diberi semua, murid akan jadi pandai. Tapi jika diberi satu, murid akan menjadi cerdik' - Affandi Hassan 

Isnin, Disember 02, 2013

Salin

Kita akan berpuas hati dengan buku yang kita hantar ke kedai fotostat jika hasilnya menyerupai yang asli. Bukan ori tapi nampak asli.

Kita akan berpuas hati jika masakan yang kita masak menyerupai masakan masterchef seperti yang terdapat dalam buku resepi. Sama warnanya, cantik hiasannya, meskipun rasanya entah apa-apa.

Seorang guru dikatakan bagus apabila dia berjaya mendidik anak muridnya sehingga berjaya - setidak-tidaknya boleh menyalin kepintaran yang ada padanya meskipun tidaklah sehebat mana.

Seorang pemimpin yang bagus ialah yang berjaya melahirkan pelapis yang seperti juga dirinya, meskipun tidaklah dapat menyalin seratus peratus apa yang ada padanya.

Salinan terbaik ialah yang menyerupai wajah asli meskipun ia tidak sama dan tidak sesempurna mana tetapi, itulah yang terbaik. Dan pastinya, salinan itu tidak akan melampaui kehebatan yang asli, yang akan terus disebut sebut hinga ke akhirnya. Tetapi ia boleh menjadi hebat jika ia berusaha menjadi hebat.

Jumaat, November 22, 2013

Rindu adalah...

Seminggu yang lalu, pada waktu begini, kami enam beradik sudah sedia menunggu emak dan abah di KLIA. Penerbangan dari Jeddah kelihatan sudah pun tiba, telah siap mendarat jika melihat pada waktu yang terpapar pada skrin.

Kami berdiri bersama ratusan yang lain diruang menunggu. Mencari-cari kelibat yang dirindui sepanjang empat puluh lima hari yang lalu. Panggilan telefon sudah pun diterima mengatakan mereka sedang menanti bagasi, tetapi saat demi saat, minit demi minit yang berlalu terasa seperti menyiksa. Apatah lagi melihat keluarga yang lain telah bersatu dengan cucuran air mata.

Nikmat menunggu itu, meskipun menyiksakan, ternyata suatu keindahan yang tidak ternilai. Sepanjang hidup saya, malam itu merupakan momen terindah sepanjang saya bernafas. Melihat mereka muncul dan memeluk mereka, merupakan detik yang tidak dapat dilupakan. Penantikan yang menyiksakan itu terhapus begitu sahaja.

Kami berbual dengan saudara yang turut menyertai, kemudian bertolak pulang ke kampung tepat jam dua belas tengah malam. Dengan pemanduan yang sangat berhati-hati dan dua sekatan jalan oleh polis, kami tiba dua jam kemudian. Sudah ada jiran menanti di rumah, sempat berbual sebentar sebelum dapat melelapkan mata pada pukul empat pagi.

Mereka kini sihat dan sudah menjalani kehidupan seperti biasa. Alhamdulillah.

Kepada yang masih menunggu kepulangan yang dirindui dari Tanah Suci, ingatlah detik-detik ini yang menyiksakan tetapi cukup indah.

--
Emak abah dijadualkan tiba Jumaat malam,1 November dengan penerbangan terus dari Jeddah. 40 hari mereka pergi, dipenghujung waktu emak dah menyuarakan rasa rindu padda anak-anaknya (yang dua orang tu sahaja) dan sudah pun siap mengemas beg menandakan tidak sabarnya dia mahu puang. Adik bongsu pula tidak mahu menjawab panggilan telefon kerana katanya terlalu sedih bila mendengar suara emak.

Melihatkan ni, maka hari ini saya tiba-tiba memilih untuk balik kampung sambil mengenepikan segala acara menarik yang berlaku malam ini. Tiba-tiba terfikir bahawa banyak perkara yang perlu diselesaikan sebelum mereka menjejakkan kaki ke KLIA

Mengemas rumah, menyapu sampah, mesin rumput (bukan saya), beli barang dapur, masuk kebun, memetik cili dan betik, melihat-lihat kerja sekolah adik (walhal dia relaks sahaja), melipat baju (katanya terlupa), mengelap dan menyusun apa yang patut serta membayar bil-bil rumah. Sambil itu, perlu juga melawat adik yang berada di kem PLKN dan memastikan waktu keluar dari kem yang dijadualkan sehari awal dari kepulangan emak abah. Khabarnya perlu ada wakil keluarga sewaktu upacaa penutup.

Sekian sahaja jadual hidup saya hujung minggu ini, khususnya kepada yang bertanya kenapa saya kadang kala hilang pada hujung minggu. Malah, kelas pun terpaksa tuang beberapa kali.

Ok, nak menaip manuskrip MS119 Ilmu Perubatan Tradisional. Hang Tuah saya lupakan buat sehari dua.

 ----
Petanda cinta dan rindu sebenar ialah apabila kita mimpikannya ketika tidur dan terus terjaga sehingga terbunuh mimpi itu.

Cinta dan rindu adalah sesuatu yang bukan terzahir dari bibir tetapi wujud dalam hati. Tidak semestinya diucapkan.

*10 hari menjelang kepulangan emak dan abah dari Tanah Suci, penerbangan pulang yang pertama, KT1 dilaporkan tiba di KLIA hari ini. Sabar menanti

---

Isnin, November 18, 2013

Selamat hari jadi, emak

Emak tak akan baca posting ini, bukan kerana dia tidak tahu membaca. Tetapi saya tidak akan memberitahunya. Biarlah emak tak tahu kerana ini adalah sesuatu yang saya mahu tulis tentang emak.

Bulan November ada tiga orang berkongsi tarikh kelahiran dalam keluarga - saya sendiri, emak dan Ayun, adik kelima. Ketiga-tiga kami membawa zodiak scorpio, si kala jengking yang senyap tetapi menyengat. Emak saya, selama 35 tahun saya menjadi anaknya, merupakan insan paling sabar yang pernah saya jumpa. Tak perlu dan tak payah nak cari tokoh atau insan lain, emaklah yang senang untuk saya contohi. Tak pernah saya dengar emak tinggi suara atau menjerit memarahi anak-anaknya. Nadanya monotonous, seperti tidak ada turun naik dalam dia bersuara. Tetapi emaklah yang rajin bercakap, berbeza sekali dengan abah yang diam. Dan berbeza juga dengan saya yang diam. Mungkin kerana itulah, saya dikurniakan dengan telinga yang tahan mendengar, tahan dibebel, tahan dimaki, tahan mendengar orang marah dan tahan mendengar apa sahaja luahan perasaan orang yang dikenali atau tidak.

Semakin membesar, emak semakin menghargai tarikh lahir anak-anaknya. Malah, saya sendiri kadang-kadang lupa tarikh lahir sendiri. Dan dia tidak semudah mengucapkan selamat hari lahir. Ada cara dia mengingatkan. Memberi tahu dengan cara tidak memberi tahu. Pada tarikh lahir saya misalnya, dia berkata yang adik saya ucap selamat hari jadi. Pada hari lahirnya sendiri, dia mengingatkan saya bahawa nombor telefonnya boleh buat panggilan percuma selama seminggu sebagai penghargaan dari Celcom. Ia sebagai mengatakan 'hari ini hari lahir emak'. Namun seperti emak, saya juga bukanlah seorang yang mudah mengucapkan selamat hari lahir.

 Air tangan emak sangat istimewa. Ketika kecil kami, air tangannyalah yang menampung perbelanjaan sekolah dan hidup yan menekan. Jualan kuih beratus jenis, nasi lemak dan mee goreng menjadi santapan untuk sebahagian besar penduduk di kejiranan kami. Sehingga kini, walaupun sudah hampir lima tahun berhenti menjual kuih sepenuhnya, orang ramai masih ingat emak sebagai pembuat nasi lemak paling sedap. Dan say apun tidak pandai makan nasi lemak dan karipap oran lain kerana tidak ada yang mampu menandingi karipap dan nasi lemak masakan emak.

Tahun ini istimewa sekali untuk emak. Tangungjawab menunaikan haji sudah selesai. Meskipun bila pulang, dia merasakan tidak puas kerana menjaga abah yang sakit. Keadaan di sana sangat menduga. Emak tidak putus asa dan sentiasa di samping abah. Tidak meninggalkan walau sekejap. Sanggup meredah bilik abah yang dihuni lelaki yang tidak dikenali bagi memastikan abah makan dan minum, menyapukan minak pada dadadnya, mengurut kaki yang lemah, membawa ke klinik, mengejutkan untuk solat, menyiapkan makan yang perlu, memappahnya ke tangga, mengatur makan minum, berjalan perlahan sekadar perlu ke masjidil Haram atau membeli keperluan sebagai buah tangan pulang. Sabar emak ternyata tuhan uji dengan kuat di sana.


Lapan belas November adalah hari jadi emak. Saya tidak tahu apa nak bagi, malahtidak pandai memberi hadiah. Tapi setiap kali ulang tahun, balik kampung sudah merupakan hadiah terbaik buat emak.

Selamat hari jadi, emak.

Ahad, November 10, 2013

Takah baru

Ahad, hari ini hadir dengan senyuman.  Saya melewati takah baru dalam kehidupan dan kiranya permulaan sebuah perjalanan.

Seorang kawan, menerusi ruang bual di medan maya sering bertanya cara untuk menulis, bagaimana memulakan tulisan, apa cara terbaik menghasilkan karya. Jarang soalannya ditinggalkan tanpa jawapan. Semoga jawapan yang singkat itu membantunya memulakan langkah pertama.

Namun begitu, dia tidak berpuas hati lalu meminta saya mengadakan kelas bimbingan khas. Cara menulis sehingga berjaya. Saya mengerutkan dahi. Bagaimana boleh saya mengajarkan seseorang sesuatu yang saya cuma perolehi menerusi ruang yang tidak formal.

Baiklah, saya menasihati dia. Carilah beberapa teman lain yang mahu juga menulis. Alang-alang mengajar, biarlah dalam kumpulan kecil, nanti lebih jelas kesannya. Dia bersetuju dan mengumpulkan teman, menetapkan tarikh, menghantar contoh tulisan atas permintaan saya dan tadi, di Perpustakaan KL, kami bertemu.

Saya tak tahu bagaimana untuk bermula tetapi saya merujuk kepada kelas yang saya hadiri bersama cikgu FT. Saya jadikan itu model pengajaran dari seorang yang belajar pun atas dasar minat. Lalu saya pun bercerita tentang membaca, buku yang perlu dibaca, pengalaman membaca, buku yang perlu diperhatikan; cara mengamati alam, cara melihat manusia, pelukisan watak, ilham yang boleh diketengahkan dan mencatat. Semuanya spontan terkeluar dari kepala. Saya berkongsi pengalaman rupanya.

Dua jam berbicara, saya rasakan kepuasan membimbing. Mereka masih pucuk, masih ranum. Perlu dibaja, disiram dan dijaga dengan baik supaya menghasilkan buah yang nikmat dipandang, lazat dimakan.

Dua jam, dan mereka pulang dengan kepuasan. Senaskah buku sebagai bacaan dan tugasan sebagai pesanan untuk dinilai pada pertemuan yang datang.

Inilah takah baru kehidupan, selepas memilih untuk memulakan sesuatu yang lebih baik pada azam ulang tahun kelahiran yang lalu.

Khamis, Oktober 24, 2013

puisi: dalam hujan yang semalam

dalam hujan yang semalam
(sebuah puisi ketika hujan)

jemari hujan menyentuh pipi,
cawan kopi dan tisu
di atas meja pada petang sepi itu

pertemuan kita menjadi singkat
kau dan aku segera berlari
di bawah lengkung pelangi dan
rintik yang kian kasar

sempat kita berjanji
untuk bertemu lagi

aku masih menantikan detik itu
biarpun dalam mimpi
ketika khabar perlahan-lahan menghampiri
bahawa kau sudah kembali
ke negeri abadi

Semenyih,
23 Oktober 2013

Selasa, Oktober 15, 2013

Buang?

Pernah satu waktu saya menetapkan untuk buang dan mesnyisihkan banyak benda yang menempek diri sepanjang hari, sepanjang hidup. Antaranya ialah fail yang menumpuk dalam laptop yang beberapa kali memberi amaran merah. Apa bila fail dialihkan ke dalam hardisk mudah alih, hardisk pula penuh. Thumbdrive ada tujuh batang, eh unit (apa penjodoh bilangan thumbdrive?). Saya tak gemar menyimpan dalam CD kerana selalu bermasalah bila membukanya. Oleh itu, filem yang dimuatturun atau gambar yang beribu-ribu keping semuanya duduk dalam hardisk.

Begitu juga hobi lama mengumpul keratan akhbar dan membuat buku skrap yang bermula sejak zaman berhingus di sekolah rendah. Semuanya masih elok tersimpan di rumah sendiri yang mengisi satu kamar khusus untuk buku skrap dan fail. Atau sebenarnya dua bilik jika dicampur denan kotak yang masih belum dibuka.

Kadang kala saya merasa serabut yang teramat sangat dengan segala benda yang menjadi koleksi peribadi. Saya pernah memasang satu fantasi agar segala apa yang saya simpan ini hilang sekelip mata - tak kiralah sama ada ia dihanyutkan banjir atau musnah dalam kebakaran atau tiba-tiba disedut oleh alien dan hilang lenyap dibawa ke angkasa lepas. Ah, sudah namanya fantasi, sebaik sahaja membuka mata, segala fail dan buku skrap masih lagi berdiri elok di hadapan mata.

Saya mempunyai sifat menyimpan pelbagai benda atas sifat kenangan. Tiket bas mini sewaktu di matrikulasi masih elok tersimpan dalam diari. Resit pengeluaran wang ATM jika dihimpunkan sekali boleh mencecah dua inci tingginya. Buku nota kecil yang selalu menjadi ruang catatan duduk diam dalam kotak kecil, diikuti kotak besar. Dalam kotak yang tersimpan di rumah, keratan akhbar pelbagai isu dan bervariasi duduk tersusun sudah berbelas tahun usianya. ada isu khas Piala Dunia, keluaran istimewa sempena Sukan SEA, laporan Perhimpunan agung UMNO, laporan ekonomi dan belanjawan dan pelbagai lagi yang tidak dapat dikategorikan. Namakan sahaja.sukan, ekonomi,politik, agama, dunia dan sedikit hiburan.

Dahulu suratkhabar adalah sumber maklumat saya - ya, ketika saya taat mengikuti berita dan laporan harian. Tragedi 1998 menjadikan saya menjauhi akhbar dan sehingga kini berjaya meminimumkan keratan khabar yang perlu dismpan. Jika tidak, pasti masalah akan lebih besar. Tambahan pula arus teknologi menjadikan akhbar dan laporan digital sebagai sumber bacaan, lalu simpanan dalam bentuk fizikal sudah berjaya mengurnagkan penggunaan ruang. Sebaliknya, ruang maya sentiasa penuh memerlukan perhatian. Termasuklah storan mudah alih.

Barang fizikal cabarannya ialah ruang penyimpanan. Saya bertemu juga insan yang mempunyai hobi seperti ini dan mereka mengakui menyimpan merupakan cabaran yang besar. Selain memakan ruang, cara meletakkan fail dan buku skrap juga perlu betul supaya tidak mengundang anai-anak, lipas atau tikus. Pernah sekali bahan fail saya dimakan anai-anai ketika dudukny amasih di kampung. Terasa nak menangis mengenangkan koleksi simpanan terpecah pecah menjai mangsa seni anai-anai yang menghancurkan.

Dalam zaman digital dengan segala maklumat dihujung jari, FB dan twitter memerlukan kita mengumpul sekian ramai teman untk menjadi ruang interaksi. Twitter adalah tempat untuk kita ikut-mengikut orang yang kita mahu tanpa memerlukan insan itu menerima atau mengesahkan permintaan kita. Ini bermakna, untuk follow atau unfollow bukanlah satu masalah - kita boleh follow bila mahu dan unfollow bila tida mahu, biasanya bila dah benci dan meluat. Tetapi FB memungkinkan kita sapa menyapa dahulu sebelum permintaan teman disahkan. Jika kenal, itu bukan masalah. Tetapi jika tidak mengenali tetapi ingin dijadikan kawan, maka disinilah timbulnya konflik kecil. Terima atau tidak menjadi satu masalah pula. Tidak menerima dikatanyakita sombong. Terima semberono nanti merimaskan pula.

Beberapa bulan yang llau saya sudah memutuskan untuk melakukan operasi pembersihan - mengurangkan kapasiti fail, buku skrap, keratan akhbar, buku, majalah, friends di Fb dan following di twitter. Nampak mudah tetapi baru hari ini saya berjaya mengeraskan hati untuk unfriend dari seramai 1960 kepada hampir 1700. Matlamat saya ialah menjadikannya tiga angka. Anda tidak perlu berkecil hati jika saya unfriend kerana anda masih boleh mengikuti perkembangan saya dengan menekan follow.

Saya terasa bahawa hidup dalam dunia tanpa sempadan ini semakin menyesakkan - terlalu luas dan hilang perasaan insani. Apa-apa sahaja menjadi bahan lelucon. Agama, politik, urusan peribadi semua menjadi permainan. Kita hilang rasa malu. Kita tidak peduli privacy orang lain. Kita dengan mudah memperlekehkan seseorang itu. Tidak pernahkah kita fikri yang nanti kita berada di tempat itu? Apa perasaan kita waktu iti?

Sungguh saya penat berhadapan dengan perkara seperti ini. Jika ada mesin masa, saya mahu pinjam dan duduk dalam zaman 90-an, zaman ketika telefon, internet, fb, twitter, emel, blog, website dan segala-galanya adalah sesuatu yang asing bagi kita.

Benar, saya mahu kembali ke zaman itu.


Isnin, Oktober 14, 2013

Cinta empat puluh hari

Hari ini empat belas Oktober atau sembilan Zulhijjah.

Di tanah air, hari ini sibuk sekali. Lembu sudah sedia digantung di bawah khemah pada kiri dan kanan jalan untuk dijual. Ada mencari daging, ada mencari tulang. Pasar basah penuh sejak awal pagi. Mencari ayam dan sayur untuk disiapkan sebagai juadah istimewa hari raya. Petang pun tiba dengan bau pelbagai masakan singgah ke rongga hidung. Rendang, gorengan, ketupat dan lemang dimasak sebaik yang boleh. Hidangan siap tersedia menjelang malam. Kemudian duduk berteleku menonton tv, sambil takbir berkumandang dari pembesar suara masjid.

Di sana, Mekah ditinggal sepi. Kiswah ditukar, prosesnya kita lihat secara langsung di kaca tv. Jemaah yang mahu mengerjakan umrah mengeliling Kaabah. Tidak ramai pun bilangannya. mungkin penduduk asal sana. Pekerja tekun menjahit, menanggal, memasang dan mencantum kelambu sutera dengan kalimah Qur'an tekatan emas.

Hari ini hari besar. Hari wukuf di Arafah. Haji adalah Arafah, begitu Nabi mengingatkan kita. Tanpa Arafah, tiadalah haji. Meskipun sudah ke Madinah, telah berada di Mekah, sudah memegang Kaabah, sudah mencium hajar aswad, sudah menziarahi perkuburan Baqi atau sempat berada di Raudhah; gagal ke Arafah bermakna kita tidak mengerjakan haji. Meskipun ibadat lain boleh diwakilkan atau diupah, namun tidak sekali-kali bagi wukuf. Wajib tetap wajib. 

Maka ketika ini saya diberitahu, bukan sahaja ambulan datang membawa pesakit dari hospital tetapi juga helikopter dan jet peribadi yang membawa jemaah VIP. Biarlah kita namakan dia jemaah VIP. Doktor cekal mengawasi pesakit dalam ambulan, memastikan mereka dapat berada di Arafah meskipun dalam kesihatan yang tidak mengizinkan. Biar pun duduk dalam ambulan dan tidak dapat menjejakkan kaki ke tanah Arafah, berada di situ sudah cukup menjadikan hajinya diterima. Sebaliknya bagi jemaah VIP yang datang dengan helikopter atau jet, mereka diasingkan dan duduk dalam khemah lengkap pendingin hawa. Status istimewa memungkinkan mereka mendapat tempat istimewa di Arafah. Benar, tiada bezanya keadaan ditanah air atau pun di Arafah. Status tetap membezakan darjat. Keadaan telah menjadikan ini berlaku. Hakikat yang tidak ramai tahu. Meskipun ramia berkata, di sana tempat dan kedudukan kita sama, tetapi ya, itulah yang terjadi. Meskipun wukuf sebentar cuma, tetap ada tembok tebal yang mendindingi status mereka dengan jemaah biasa. Ironinya selepas wukuf, mereka terus pulang. Kerana ibadah lain boleh diwakilkan atau diupah, maka mereka memilih yang ringan. Asalkan ada wang, smeuanya boleh. 

Tahun ini emak dan abah mendapat kad jemputan istimewa dari Tuhan. Pelbagai halangan kecil berlaku pada awalnya dan kami telah berusaha hampir setahun setelah mendapat tahu nama abah masuk dalam senarai jemaah bagi 2013. Kami sedikit risau pada awalnya kerana nama emak keciciran oleh kesilapan teknikal. Tetapi saya yakin rayuan boleh membantu. Lalu kami beberapa kami menapak ke iIbu pejabat TH untuk terus  berurusan di sana berbanding cawangan yang selalu membekalkan maklumat yang tidak meyakinkan (bukan salah maklumat tetap tidak cukup meyakinkan). Sambil itu, saya membuat juga rayuan untuk diri sendiri. Manalah tahu terselit sekali.

Begitulah cerita apabila jiran bertanya mengapa emak dan abah boleh pergi dalam usia muda begini. Pada saya bukanlah muda lagi. Abah sudah melepasi uisa 60. Emak pula kian menghampiri angka itu. Tetapi hukum logik pertama yang perlu diingat ialah menabng dalam akaun TH. Jika tabungan TH kosong, bagaimana kita boleh mendapat kad jemputan istimewa itu?

Sejak pergi, hampir setiap hari mendengar suara emak dari telefon. Suara yang dekat terapi jauh jaraknya. Teknologi memudahkan. Tetapi tidak cukup menjadikan kami adik-beradik lega.Kesihatan abah sangat meruncing bila berada di Mekah. Sebelum itu kira-kira seminggu di Madinah, abah segar bugar. Boleh ke Masjid Nabawi saban waktu, apatah lagi hotel sangat dekat. Tetapi lain keadaannya di Mekah. Perubahan cuaca, makanan dan asma yang beranak pinak dalam badannya sekian lama memburukkan kesihatan. Masuk air, ambil darah, masuk gas, demam, tidak boleh makan, demam panas, sesak nafas dan pelbagai lagi dugaan merisaukan kami. Emak yang dimaklumi tidak sihat dnegan darah tingginya pula sihat dan cergas, menjadi penjaga sepanjang abah terlantar di atas katil. Tambahan pula suasana Mekah yang berhabuk dan sibuk oleh pembinaan yang masih belum selesai kianmemburukkan keadaan.

Tepat pukul 12 setiap hari, saya menunggu sms atau panggilan dari emak, jika tidak pun saya menelefonnya. Doa dan solat hajat kami pesembahkan agar abah kembali sihat dan emak tidak patah semangat. Tidak ada apa yang lebih kami harapkan disini kecuali Allah sebagai satu-satunya tempat bergantung kami adik beradik. Risau tetap risua, doa tetap dipanjatkan.

Hari ini wukuf, kemudian ke Muzdalifah dan terus ke Mina untuk melontar. Masih tersisa beberapa ibadah penting untuk para jemaah lunaskan. Kami di tanah air terus berdoa. Masih teruskan hidup seperti biasa meskipun terganggu oleh berita yang menggempa perasaan seperti itu. Dan puasa Arafah hari ini sebagai menghormati dan menghayati Arafah, disamping khutbah Arafah yang syahdu dilihat secara langsung dari kaca tv, saya pasti bukan sedikit yang mengimpikan perjalanan ke sana. Sambil Haji karangan Ali Shariati cuba saya hadami dengan khusyuk, mencari dan menyelami perasaan Ibrahim, Hajar, Ismail  pada saat mendirikan Kaabah, mencari air dan melakukan korban. Kemudian hadir pula Muhammad sebagai rahmatan li'l-'Alamin menjadi pelengkap agama dengan sifat dan kerasulannya yang menjadi contoh tauladan buat semua insan. Perjalanan umrah pada 2011 terimbas kembali, menjadikan hati terasa ingin kembali ke sana, untuk empat puluh hari yang panjang demi mencari cinta.

Hari ini hari wukuf . Hari esok hari raya. Rindu tidalah rindu pada orang tua. Tetapi rumah ternyata sepi tanpa mereka. Wajah mereka kelihatan di mana-mana. Di ruang tamu, bilik, dapur, bilik mandi, hadapan tv, meja makan, halaman rumah atau menyapu sampah. Mereka ada tetapi suara mereka hilang. 

Semoga emak dan abah dikurniakan kesihatan, kecekalan dan semangat untuk meneruskan ibadah haji dan perhimpunan agung umat Islam. Tetapi dengan doa, Allah adalah tempat sekuat-kuat kita berpaut. Sesungguhnya Kaulah Yang Maha Kuasa dan Pemberi Kuasa. Kami ini serba keliru dan engkau Maha Tahu, maka bantulah kami selalu.

Ahad, Oktober 13, 2013

Yang tidak kaya-kaya

Gara-gara kehadiran bakteria salmonela yang tidak diundang dalam hidangan ayam masak merah, dengarnya ramai yang takut menyentuh ayam. Kenduri perkahwinan yang sepatutnya mengundang ria bertukar duka dan kecewa. Pelbagai telahan dibuat bagi mencari punca. Rupanya musibah bermuara dari ayam yang tidak rapi terjaga.

Akibatnya, satu negara dilanda gempita. Risau terkena jangkitan yang sama. Sudah mula membelek-belek ayam sebelum makan atau lebih berhati-hati ketika membeli ayam mentah. Ada juga yang mula beringat untuk menghindari pasaraya kerana sudah ada desus desas ayamnya tidak sempurna sembelihannya. Maka mereka cuba menjejakkan kaki ke pasar basah, mencari di mana pasar pagi atau menyinggahi pasar malam bagi mencari ayam dari peraih yang lebih diyakini sembelihannya.

Ayam, entah bila agaknya menggantikan ikan sebagai menu kita? Pengaruh KFC sangat kuat melanda. Dahulu ketika restoran makanan segera itu mula beroperasi di negara kita -dalam pertengahan 70-an - mereka berhadapan kesukaran untuk menjadikan ayam sebagai menu utama dalam makanan kita. Di sini, ikan adalah pilihan utama. Ayam dan daging menyinggahi tekak apabila ada perayaaan - raya, atau pun kenduri kendara.

Tetapi selepas berpuluh tahun, strategi mereka nampaknya berjaya. Kempen menukar nasi dan ikan kepada ayam dalam hidangan menjadi dan selera Melayu yang hanya mahukan nasi sahaja sudah pun berubah. Kempen dan serangan psikologi rangkaian makanan segea yang tumbuh bagai cendawan di negara sangat menampakkan hasil. Ayam sudah berkepak di mana-mana. Anak kecil sekarang enggan menelan ikan.

Keadaan ini menjadikan ayam menjadi barang atau komoditi yang sensitif dalam masyarakat kita. Bayangkanlah raya tanpa ayam. Atau nasi goreng tanpa ayam. Burger tanpa ayam. Pasar malam tanpa ayam goreng. Sate cuma ada sate daging atau rusa. Murtabak cuma murtabak telur. Ya, pilihan jadi terhad.

Isu ayam bukan sedikit di negara ini. Tiap kali musim perayaan, kenaikan harga ayam amat dirasai. Saya pernah bercerita bagaimana persatuan penternak ayam gigih bersatu bagi memastikan harga ayam naik menjelang raya puasa. Tetapi tidak pada raya cina atau deepavali? Mngapa? Konspirasi terancang? (entah dimana entrinya, tak jumpa).

Kini, ikan sudah menjadi barang mewah dan harganya melambung tinggi. Ikan bilis pun berpuluh-puluh ringgit sekilo. Tak kan nak makan ikan kering setiap hari? Sardin?

Peliknya, nelayan tetap turun ke laut dan hidup mereka tetap tidak berubah. Mereka tetap bangun seawal pagi dan balik lewat petang, bermain gelombang san panas yang membakar kulit. Hasil yang dibawa diserah kepada peraih. Hasil yang dibawa entahkan setimpal atau tidak dengan titik peluh yang menitis. 


Ikan tidak pernah habis-habis meskipun dijala setiap hari. Nelayan juga tidak juga kaya-kaya meskipun berjaya menangkap ikan dengan banyaknya setiap hari. Mereka tetap menjadi nelayan. Mereka tetap menangkap ikan.

Jumaat, Oktober 11, 2013

Darah muda

Ketika menghadiri satu mesyuarat, kelihatan tuan Penasihat menyertai kami. Berbeza dari biasa, kedatangan beliau malam ini seperti membawa sesuatu khabar. Atau mungkin, amanat.

Rupanya dia memang ingin memberi nasihat. AJK dalam perrsatuan masih muda belaka. Dasar darah muda, buat kerja semuanya nak cepat. Bercakap tidak berlapik. Buat kerja juga semberono. Habis semua dinding dan tiang dilanggar. Akibatnya, adalah hati-hati yang terasa. Ada yang mula meminggirkan diri. Surau yang sepatutnya menjadi tempat penyatuan mula menampakkan bibit perpecahan. Dalam hati sempat saya berbisik, 'surau belum berdiri tapi AJK dah berpecah. Typical Malay attitude.' Segera saya teringat cerpen Robohnya Surau Kami oleh A.A Navis.

Semua yang diututrkan oleh penasihat saya ambil peduli dan dengar dengan teliti, kerana saya ia juga refleksi terhadap diri dan masa depan saya juga.

Ini antara inti pati nasihatnya yang telah saya tweet, dan diletakkan di sini sebagai peringatan untuk diri sendiri.
  1. Penasihat menasihatkan AJK yang muda belaka agar rasional dan patuhi perlembagaan
  2. Katanya ada 2 perkara penting dalam persatuan: accountability dan empowerment
  3. Empowerment menjadikan kita gembira kerana mempunyai kuasa untuk melaksanakan tugas. Accountability merisaukan kita atas tanggungjawab itu
  4. Bercakap itu lebih penting dari membuat telahan macam-macam
  5. Kempen bertujuan mengiyakan yang satu dan menidakkan yang lain
  6. Ketidakfahaman akan undang-undang dan ragam berpersatuan selalu menyebabkan clash of interest dan personal conflict sesama AJK
  7. AJK kena ingat susunan hirarki, tidak melampaui kuasa, hormati reporting line. Pelantikan dan peletakan jawatan perlu melalui mesyuarat
  8. Struktur organisasi juga kena betul. Ketua mesti memainkan peranan. Persatuan lemas bila ketua hanyut. Kapal pun karam
  9. Nasihat Dr Razak sangat menyentuh saya. Sudahlah banyak masuk persatuan dan jadi AJK. Accountabilty & empowerement - kena ingat itu
  10. Melihat apa yang berlaku dalam AJK, nyatalah sikap sangat memainkan peranan utama. Ia boleh meruntuh dan menaikkan
  11. Persatuan tidak akan naik dengan satu orang. Collective responsibility. Sama-sama berusaha, bekerjasama, saling mendengar, ikhlas dan jujur
  12. Sikap sangat penting. Bila dalam satu kelompok, sentiasalah mendengar, memahami, bertolak ansur. Usah biarkan orang ikut kepala angin kita
  13. Sikap AJK menentukan naik turun persatuan. Persatuan kecil, besar, baru atau lama sentiasa berhadapan dengan masalah sikap AJK dan ahli
  14. Nasihat Dr Razak malam ni sangat membantu untuk saya muhasabah diri semula akan tanggungjawab terhadap jawatan yang saya pegang
  15. Dan perkara yang sama juga berlaku dalam persatuan saya yang lagi satu. Ya, moga baik-baik sahaja
  16. Semoga AJK persatuan kami bersatu kembali dan surau dapat dirikan. Yang bermasalah AJK surau tapi persatuan terpalit
  17. Susah dapat orang gila kuasa, apatah lagi bila dalam persatuan penduduk. Jiran belaka semua tu. Nak menegur punyalah payah
  18. Nasib baik saya dalam biro lain. Biro yang sangat sibuk tapi kerja semua mantap. Sebabnya - AJKnya lelaki. Saya sekuntum bunga
  19. Duduk dalam biro ini pun atas pengalaman lalu. Jadi nampak sungguh perempuan tak boleh memimpin. Jelas, bukan?
Ya, perempuan tidak boleh memimpin. Mungkin ini generalisasi sahaja. Tetapi pengalaman bekerja dengan dua orang bos perempuan yang sangat emosi menjadikan saya berhati-hati supaya tidak menjadi bos suatu hari nanti. Tidak sama sekali

Khamis, Oktober 10, 2013

Menjadi batu

Rasanya baru lagi bila perkara itu timbul. Masing-maaing menjadi keras, kaku dan tiada emosi. Semua seperti mahu bermain api, sedang mengumpulkan kayu yang kering menanti waktu untuk dicucuhkan api. Nanti ada yang akan rentung hangus terbakar. Ada yang melihat, ada yang bertepuk tangan.

Menjaga hati bukanlah susash. Cuma berbuat baik, ikhlas, jujur, tenang dan sabar. Tetapi menjadi baik, iklas, tenang, jujur dan sabar tidak semudah bicara. Menukarkan kata-kata kepada tindakan memerlukan ego dipijak-pijak hingga lumat. Siapa mahu keberadaan diri dicabar dan tercabar?

Masalah akan hilang jika diselesaikan. Jika kita lari, ia akan mengejar kita. Jika dibiarkan, ia menumpuk menunggu masa menimpa kita. Mendiamkan diri bila berhadapan dengan masalah tidak dapat menyelesaikan apa-apa, sebaliknya boleh memburukkan keadaan.



Proses

Rasanya pernah saya bercerita di sini, bahawa kehidupan kita adalah satu proses (entah entri mana, malas nak cari).

Kita membesar dari saiz yang kecil kepada besar - ini adalah proses.

Kita menjadi matang dari sifat anak-anak kepada dewasa yang kian menggegarkan.

Kita berhadapan denegan manusia yang pelbagai dan kita belajar dari kepelbagaian itu.

Kita menepis dan mengolah apa-apa yang datang kepada kita, baik dalam bentuk pemikiran, sikap atau pengaruh yang boleh jadi negatif atau positif. Menepis dan mengolah itu adalah proses kita menjadi waras dan rasional.

Kita berusaha menilai sikap dan perwatakan kawan dan lawan sebagai usaha untuk memudahkan kita berhadapan dnegan mereka. Ini juga proses.

Berada dalam kelompok masyarakat moden yang terlalu terdedah menerusi facebook, twitter, instagram, whatsapps, blog dan website, segala maklumat yang datang kepada kita adalah sepantas jari menaip. Tetapi kita jangan biarkan jari kita membuat keputusan dan memutuskan pilihan tanpa sempat ia menyinggahi otak untuk diproses oleh akal dengan waras. Kalau kita menaip dan menjawab dengan sepantas menaip tanpa memberi ruang utnuk otak berfikir dahulu, hasilnya memang mengundang amarah, lalu mewujudkan apa yang dipanggil keyboard warrior. Pahlawan di atas papan kekunci. Berperang dnegan aksara dan skrin. Bukan mengalirkan pilihan dengan akal. Perang yang tidak membawa banyak kebaikan. (Mana ada perang membawa kebaikan?)

Hidup ini adalah proses. Saya percaya setiap orang boleh berubah dan boleh diubah. Dia hanya perlu bersedia menerima dan bersedia memberi. Menerima nasihat dan memberi kepercayaan agar nasihat itu boleh diubah dalam bentuk tindakan. Lalu dia percaya bahawa nasihat itu boleh mengubahnya. Berubah dari sikap kepala angin kepada yang lebih rasional. Berubah dari panas baran kepada sabar. Berubah dari pelupa kepada ingat. Berubah dari malas kepada rajin. Berubah dari sikap merungut kepada tindakan.

Saya sendiri pernah melalui fasa-fasa itu. Malah saya percaya semua orang pernah melalui proses perubahan. Mengubah diri dari sisi gelap kepada yang lebih baik. Membawa diri lebih baik dari semalam. Menjadikan diri lebih percaya kepada masa hadapan. Kerana kuasa itu di tangan Tuhan dan kita percaya bahawa Dia yang memberi kita kuasa untuk berubah.

Mahu dengar bagaimana saya berubah? Nanti kita berbicara dengan secawan kopi. Pastinya bukan di hadapan skrin :)


Sabtu, September 14, 2013

Secawan kopi petang

Saya menyedut nikmat secawan kopi yang dikisar halus pada petang yang agak panas. Aroma kopi bertebaran memenuhi ruang kafe yang dipenuhi pengunjung. Mata rancak memandang pesanan yang menyinggahi telefon bimbit sambil telinga dihiburkan oleh alunan muzik jazz yang dipasang pada kadar perlahan.

Dia dihadapan saya memerhati pelanggan yang silih berganti menuju ke kaunter memesan hidangan, masih menantikan soalannya yang belm saya jawab. Masih sabar menanti.

Saya menarik nafas panjang. Agak lama saya mengambil masa sebelum membalas persoalanya. "Kita tidak boleh memaksa orang menerima pendapat kita, sebaliknya meminta mereka masa untuk mendengar," ujar saya selepas beberapa ketika.

Dia mengerutkan dahi. Saya faham, dia tidak dapat menangkap kemas apa yang saya maksudkan. "Manusia sekarang ramai menghadapi masalah jiwa. Masalah ini berlaku akibat kegagalan dia mendapatkan orang yang sudi mendengar ceritanya, mendengar masalahnya atau menjadi teman untuknya berbual."

"Jadi?" Dia kurang sabar mendengar analogi saya.

"Bila dia bertemu pakar psikiatri, bukanlah ubat yang membantu dia menjadi tenang tetapi peruntukan masa dan kesudian pakar psikiatri itu mendengar. Pesakit itu cuma mahukan teman untuk menjadi tempat dia bercerita."

Dia kurang berpuas hati dengan penjelasan saya. "Apa kaitannya dengan masalah dan percanggahan yang wujud dalam sesebuah organisasi? Dalam syarikat atau masyarakat misalnya?" Dia menyuarakan persoalan asal, seolah mengingatkan saya agar kembali kepada akar perbincangan.

"Maksudnya, pesakit jiwa itu cuma mahu orang mendengar kisahnya, mendengar keluhannya. Mahu ada orang mendengar meskipun itu kisah yang sama yang diulang-ulang. Itu sebenarnya sudah cukup memberi ketenangan kepadanya." Saya berhenti sebentar, membiarkan bunyi hingar LRT yang berlalu diatas landasan yang letaknya betul-betul di sisi kami.

"Kemahiran mendengar pada diri kita sudah hilang sejak akhir-akhir ini. Kita terlalu mahu semua orang mendengar dan bersetuju dengan kita tetapi tidak mahu memberi ruang untuk kita sendiri mendengar pandangan orang lain."

Dia menghirup kopi perlahan-lahan, cuba memahami atau mungkin, cuma mahu mendengar.

"Dalam zaman facebook, twitter, instagram, whatsapps, we chat dan macam-macam media sosial sekarang ini, kita menyuarakan sesuatu supaya orang lain bersetuju dengan kita. Bila ada orang komen dan tidak bersetuju dengan kita, lihatlah betapa kita membalas komen tersebut, melenting dan marah. Jadi, apa gunanya meletakkan status atau pendapat jika kita tidak mahu  menerima pandangan lain? Untuk syok sendiri? Untuk mendapat like yang banyak? Untuk mendapat sokongan? Untuk disanjung-sanjung kerana pendapat kita itu kononnya terbaik?"

Dia tersenyum mendengarkan pendapat saya yang bertubi-tubi. Kali ini dia tidak mencelah, sebaliknya berterusan memasang telinga. Mungkin sahaja terasa dengan kemahuan saya supaya mendengar.

"Kita perlu asah kembali kemahiran mendengar dan sabar mendengar. Sebab itu kita dikurniakan satu mulut dan dua telinga. Mendengar itu lebih penting dari bercakap. Oleh sebab itu, segala masalah dan percanggahan yang wujud boleh diatasi jika kita mengambil masa mendengar apa masalah yang wujud, bersabar memahami persoalan yang ada dan sama-sama berusaha mencari penyelesaiannya. Bila kita dah dengar, pasti timbul keinginan mencari titk persefahaman."

"Jadi mendengar untuk memahami?"

Saya mengangguk. "Sebab itu, konsep asal perbahasan atau perdebatan bukanlah mahu menewaskan pihak lawan dengan hujah kita sebaliknya meminta pihak lawan mendenngar dan bersetuju dengan pandangan kita.
Apabila kita bercakap, pihak lawan mendengar, kita mahukan dia faham. Apabila dia bercakap, kita pula mendengar. Dari situ kita dapat saling memahami apa yang masing-masing mahukan. Maka mudahlah dicari satu penyelesaian yang jitu bagi menyelesaikan masalah."

"Maksudnya, konsep perdebatan dan perbahasan bukanlah menewaskan pihak lawan tetapi mahu pihak lawan memahami hujah kita?

Saya mengangguk lalu mneyedut kopi yang berbaki separuh. "Itu konsep sebenar perdebatan. Bukan saling salah menyalahkan. Menuding jari, menuduh orang itu orang ini. Menunjukkan siapa salah. Membuka aib orang. Mahu menunjukkan diri bagus."

"Tindakan yang mahu membunuh lawan," balas dia. "Jadi akhirnya, masing-masing bermusuh dan bermasam muka."

"Tepat sekali," kata saya. "Kita mestilah berbincang, bermuzakarah dan berbahas dengan cara yang insaf, teliti dan berhat-hati serta mengelakkan diri daripada pergaduhan kerana perbincnagan dan muzakarah itu adalah musyawarah. Dan musyawarah itu adalah semata-mata untuk mencari kebenaran."

"Mencari kebenaran, bukannya menyalahkan," dia mengulangi. "Alangkah indahnya kalau kita semua mahu mendengar."

"Ya," sahut saya. "Alangkah indahnya.'

Petang pun berlalu dengan tenang sambil kami menghabiskan kopi yang berbaki  didalam cawan.



Rujukan: Kitab Ta'lim al-Muta'allim Tariqa al-Ta'allum, ibn al-Zarnuji




Khamis, September 12, 2013

Ramadan, gelandangan dan sebungkus nasi

Malam Ramadan 19 Julai, saya berpeluang mengikuti sekumpulan anak muda yang prihatin ke aktiviti tengah malam yang dinamakan #foodforhomeless. Sudah selalu saya dengar nama ini, yang modus operandinya ialah memberi makan kepada golongan gelandangan di ibu kota. Tetapi peluang yang dibuka untuk sama-sama menyertai mereka ini memberi seribu satu perasaan bagi saya sebaik sahaja selesai melaksanakannya.

Saya pernah terlibat dengan aktiviti hampir sama sebagai sukarelawan dengan sebuah badan beruniform. Rumah sudah tersedia di tengah kota dan tugas saya adalah mengatur makanan pada gelandangan ini tiga kali sehari - sarapan, makan tengahari dan makan malam. Gelandangan diberi ruang tidur dan harus meninggalkan bilik selepas sarapan pagi.Tetapi tugas saya tidak lama kerana berhadapan dengan komitmen yang tidak menentu.

Malam ini saya sekadar mengikut kumpulan ini, membimbit sebungkus nasi. Ada yang membawa pakaian, selimut dan baju. Setelah kumpulan dibahagikan dan taklimat diberi, kami pun memulakan langkah. Ada kumpulan yang ke Menara Maybank, ada yang Masjid Jamek dan ada yang ke Chow Kit. Memang ramai gelandangan yang tidur di kaki lima, di celah bangunan tersorok, di mata tangga dan di belakang bangunan. Saya memerhatikan mereka dari jauh. Seperti biasa, saya melihat aksi mereka, sosok badan dan tingkah laku. Perlahan-lahan kemudian saya berjalan, bergalau dalam fikiran seribu satu persoalan. Kenapa dan mengapa.

Tiba di hadapan Mydin Sinar Kota, kami berhenti dan berkumpul. Makanan dan baju telah habis di agihkan. Dari situ saya dapat lihat betapa pemurahnya rakyat Malaysia. Bukan sahaja kami yang hadir malam itu, tetapi hampir lima atau enam kumpulan yang menjinjing bungkusan makanan, berjalan dalam kumpulan dan mencari-cari siapa lagi yang belum menerima makanan. Saya fikir, kalau kami lewat sedikit, alamatnya habis semua orang gelandangan ini menerima makanan. Inilah bukti rakyat Malaysia pemurah.

Di sudut kami berkumpul, seorang gelandangan menghampiri. Dia membahasakan dirinya Pak Cik Amran. Sudah beberapa tahun bermalam dijalanan, hidup mengharap ihsan orang ramai dan makan apa yang diberi. Perbualan kami dengan Pak Cik Amran membuka dimensi lain, sesuatu yang bermain difikiran saya sebelum itu yang akhirnya diberikan jawapan.

Pak Cik Amran bercerita bagaimana mereka selaku gelandangan tidak diberi ruang untuk mengguna ruang masjid untuk mandi sebaliknya sebuah gereja berdekatan memberi kemudahan bukan hanya tandas tetapi bilik untuk mempersiapkan diri. Katanya, gereja ini tidak mengajak mereka masuk ke agama mereka tetapi memberi ruang. Dia bercerita lagi tentang sumbangan wang yang diterima oleh masjid sekitar KL pada setiap Jumaat, dan ke mana wang zakat yang dikutip pada setiap tahun. "Mereka suka dengan acara keraian, tukar perabot dan alatan pejabat tetapi apa nasib orang seperti kami?" Dia memberi beberapa situasi dan cadangannya bagi mengatasi masalah itu. Ya, nampak logik tetapi birokrasilah yang membunuh semua logik.

Saya memandang dua perkara - kepada pihak berkuasa dan orang gelandangan ini sendiri. Pihak berkuasa sudah melaksanakan tugasnya, dan orang gelandangan ini tidak boleh menuding jari kepada pihak lain. Saya melihat insan ini ada yang mengambil kesempatan, siapa tahu ada yang HIV positif, sudah dibuang keluarga yang berantakan, terlibat jenayah atau memang tidak mahu hidup seperti manusia normal. Kita bayangkan diri sendiri sahaja - adakah kita mahu tidur bergelimpangan di tepi jalan? Mereka hidup dengan masalah mereka, maka merekalah yang menyelesaikan masalah itu. Bukan orang lain. Untuk menuding pada pihak agama pun tidak adil, kerana diri sendirilah yang harus memecahka kebuntuan itu. Saya tidak melihat ia sebagai masalah yang kompleks tetapi kedua-dua pihak harus membuang ego supaya dapat dicari titik temu, bukannya berusaha menuding jari atau menegakkan benang yang basah.

Tetapi akhirnya saya tahu, inilah kali pertama dan terakhir saya bersama dalam aktiviti ini. Seperti yang saya katakan pada seorang kawan, cukuplah untuk saya tahu apa yang mereka mahu. Bukan makanan, tetapi kehidupan. Mereka mahu pancing, kita beri ikan. Malah mereka sendiri harus membawa diri keluar dari kancah gelandangan, apatah lagi dengan usaha kerajaan beberapa minggu selepas itu yang mengumumkan rumah transit bagi mereka.

Bayangkan, jika masih ada yang tidur dikaki lima selepas wujudnya rumah transit, bukankah itu akibat dari sikap mereka sendiri? Seperti rumah perlindungan yang pernah saya sertai, masalahnya nampaknya tidak selesai jika masing-masing tidak cuba memahami akar masalah sebenar - iaitu keluarga.

Isnin, September 02, 2013

Pinjaman atau hutang - 3



Apabila berbicara tentang PTPTN dan kapitalisme yang duduk dalam dunia pendidikan kita, elok jugalah tonton video ini. Ustaz Hasrizal bercerita tentang pengalamannya di Turki dan melihat bagaimana sistem waqf berjaya dicernakan dalam pendidikan menjadikan pelajarnya bebas hutang. Membayar gaji guru dan pensyarah, membiayai yuran pengajian dan apa jua aktiviti pembelajaran semuanya bersumberkan waqf.

Sedangkan bila kita patah balik ke belakang sebentar, ketika madrasah dan sekolah pondok menjadi pilihan, mereka sendiri pun membayar menggunakan apa yang ada. Anak murid bekerja dan belajar pada masa yang sama. Mereka mengerjakan kebun disekitar  pondok, hasilnya diserahkan kepada guru untuk dimakan bersama. Ini bukannya seperti konsep sekolah tahfiz amal yang mengerah anak-anak tahfiz (?) mengutip derma di stesen minyak, bank dan menja makan sehingga letih lesu semuanya.

Pusat zakat kita juga mengutip zakat pada jumlah yang besar. mekanisme ini boleh diguna pakai dan di alaksanakan dengan IPT dan IPTA terpilih. Memang ada pusat zakat memberi sumbangan atau pinjaman kepada pelajar  tetapi terhad dalam jumlah yang kecil. Jadi, boleh rasanya ditkarkan method itu kepada kaedah yang boleh menurunkan yuran pengajian, membayar yuran penginapan sehingga habis, atau membayar gaji pensyarah sehingga boleh diturunkan yuran keseluruhannya.

Ok, bercakap memang senang, bukan. Elok tonton video ini dahulu.

Jumaat, Ogos 30, 2013

Kita hanya perlu mendengar

Ada sebuah filem yang tidak saya ingat judulnya, menyampaikan maksud yang sungguh dalam - supaya kita sedia mendengar. Dalam filem itu sepasang kekasih terpaksa berpisah. Si jejaka memberi rantai dolphin ke pada si gadis kerana menurutnya dolphin adalah haiwan yang sensitif kepada bunyi.

Mereka berjauhan dan dantai dolphin itu menjadi tempat si gadis berbicara. Tidak ada apa yang gadis itu perlukan kecuali insan yang boleh mendengar. Bukanlah kasih sayang yang dicari ketika itu. Bukan juga insan bagi menutup kesepian. Bukan juga teman menjadi pendamping perjalanan.

Dia seperti kita jua memerlukan insan yang sudi mendengar. yang boleh berbahagi cerita, yang boleh menangkap semua emosi yang terpendam. Itu kemudian akan perlahan-lahan melahirkan cinta, membuang sepi dan melahirkan perasaan sayang.

Kita terlalu ingin orang mendengar kata-kata kita di fb, di twitter, di blog, di whatsapps tetapi berapa banyak suara yang telah kita cuba dengar?

Kita hanya perlu mendengar kerana kita sudah terlalu banyak melihat dan berkata-kata.

Kita hanya perlu mendengar supaya kita boleh melihat lebih dari pandangan mata.

Kita hanya perlu mendengar.

Khamis, Ogos 29, 2013

Pinjaman atau hutang - 2

Sekali lagi, PTPTN menjadi isu hangat. sudahlah ia menjadi bahan komersial dan suatu kewajipan yang perlu dipatuhi pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran, diikuti dengan bunga yang dikenakan, kini PTPTN bekerjasama dengan CCRIS pula mahu mengesan peminjam yang enggan bayar (tetapi hasrat murni ini kemudiannya batal).

Bukan suatu perkara kecil bila pendidikan sudah menjadi bahan komoditi yang perlu diperdagangkan. PTPTN seperti sebuah bank yang menjadi tempat pelajar bergantung untuk membiayai pelajarannya. Tidak salah meminjam untuk belajar tetapi apabila sudah menjadi sebahagian dari urusan yang menguntungkan, yang berkhidmat seperti bank, maka para pelajar ini sepanjang hayatnya menjadi orang berhutang. Selepas PTPTN, perlu pula menghadap pinjaman kereta, pinjaman perumahan, belum lagi pinjaman peribadi untuk berkahwin, membeli perabot rumah, pinjaman khas untuk hari raya - ya, jangan tidak tahu pula!

 Lambakan IPTS telah mewujudkan PTPTN dan mejadikan ia seperti satu chain reaction dan rantaian kekayaan kepada IPTS yang kebanyakannya berjalan dibawah tahap piawaian yang sebenar. Masuk kolej, daftar dan tunggu pinjaman PTPTN masuk. Bila habis, tunggu surat minta bayaran. Sama ada kamu berjaya atau tidak, itu bukan soalnya. Kamu dah meminjam, kenalah bayar.

Jadi, apa peranan kerajaan dalam menguruskan sumber yang ada, yang sepatutnya memberi pendidikan - kalau pun bukan percuma - kepada rakyat? Kalau semuanya kena bayar, dan mahal, dan wajib, apa perlunya kerajaan kutip cukai?

Dan zakat pula, bagaimana?

Selasa, Ogos 20, 2013

Pinjaman atau hutang? - 1

Masyarakat kita dahulu sangat pantang dan malu apabila perlu berhutang. Berhutang seperti meletakkan maruahnya ditelapak kaki. Mukanya habis terconteng arang, telinga tidak sudah menerima cacian. Berhutang dalam budaya kita adalah usaha terakhir, hanya setelah habis segala ikhtiar. Orang miskin sekalipun tidak semudah itu meminta-minta, malah sanggup menggunakan tenaga dan kudrat yang masih ada untuk mengusahakan sesuatu. Hanya selepas kaki dan tangan sudah tidak berdaya digerakkan, maka dengan hati dan perasaan dirobek-robek barulah mereka meminta hutang.

Tetapi kemodenan menghakis sifat malu. Konsep meminjam kini sudah menjadi satu budaya. Sedangkan jika kita lihat tafsiran sebenar, konsep yang diguna pakai bukanlah pinjaman sebaliknya hutang. Segala jenis pinjaman peribadi, pinjaman singkat, kelulusan segera, kad kredit, kad keahlian, pinjaman pelajaran, pinjaman perumahan, bayaran ansuran adalah berakar umbikan hutang. Hatta kepada sekecil-kecil barang seperti set perabot rumah, pakej percutian mahupun kenduri kahwin semuanya ada ruang meminjam.

Tetap kita tidak terasa ia adalah hutang kerana kita 'meminjam'. Begitulah mudahnya fikiran kita di permainkan oleh para kapitalis menerusi bank yang memunggah ketekunan kita membayar setiap bulan menerusi bunga yang tidak pernah turun. Bank tidak menggunakan perkataan hutang tetapi pinjaman bagi mengabui mata kita. Cuba perhatikan betul-betul, apa bezanya hutang dan pinjaman? Apa yang dimaksudkan dengan hutang? Apa yang dimaksudkan dengan pinjaman? Cuba perhatikan perbezaan apabila kita cuba meminjam wang dari rakan atau berhutang dengan rakan. Pasti ada kelainan bukan.

Antara hutang dan pinjaman, sudah pastilah ada campur tangan riba. Akhirnya bank juga yang untung besar saban tahun, pekerjanya menerima bonus berbulan-bulan, boleh buat trip melancung ke luar negara untuk satu keluarga. Yang sengsara siapa? Peminjam yang berhadapan dengan CCRIS, CTOS, along, senarai hitam dan hutang yang tidak habis dibayar.

Apabila hutang (debt) ditafsirkan sebagai pinjaman (loan), maka pinjaman itu apa pula maknanya?

Rabu, Julai 31, 2013

Salah

Banyak perkara yang apabila kita cuba laksanakan rupanya dianggap salah dan tidak disenangi oleh pihak lain. Tetapi menganggap diri sendiri betul dan orang lain salah, serta menyalahkan oang lain atas kekhilafan diri sendiri tentunya membawa bermacam natijah yang kita sendiri tidak pasti apa kesudahanya.

Atau pun apabila cuba menegur sesuatu perkara yang sudah jelas dan nyata salahnya, maka untuk membetulkan sesautu yang sudah dianggap sebagai satus quo itu dianggap dosa besar di sisi masyarakat. Dosa yang lebih besar dari mengeji agama.


Mengkritik institusi agama yang tidak berjaya menunaikan tanggungjawabnya sehingga menyebabkan kepincangan masyarakat merupakan satu perkara yang perlu dielakkan. Hei, institusi ini sudah buat kerja mereka, kita kena bersyukur!

Seorang suami boleh melakukan apa sahaja terhdap isterinya hanya kerana isteri itu sudah sah dinikahi dan kuasa cerai ditangannya. Hei, dia isteri aku kau nak sibuk untuk apa?

Seorang guru boleh membuat peraturan yang pelik, misalnya menutup kantin dan mengarahkan makan dalam bilik persalinan atau menghalau keluar murid yang tidak buat kerja sekolah. Hei,, aku cikgu kau itu siapa?

Seorang doktor boleh melakukan rawatan yang berbeza dari penyakit yang didiagnosnya hanya kerana aku doktor maka aku tahu apa yang perlu aku ubati. Kau pesakit, hei diam-diam sahaja.

Seoang majikan boleh mengerah pekerjanya 24 jam tanpa henti hanya dengan pemikiran bahawa aku yang beri ruang kerja kepada kau dan aku bayar gaji kau, maka kau kena turuti cakap aku. Maka berbindong-bndonglah pekerja ke pusat karaoke menemani bos dan pelanggan santak ke malam hingga berceraiberai suami isteri dan anak-anak terbiar bergelimpangan.

Hei, negara kita masih aman, maka jangan merungut tak tentu pasal!

I wish I were a girl again, half-savage and hardy, and free. - Emily Brontë


Isnin, Julai 22, 2013

Seberang pagar

Semalam, Sabtu pada 12 Ramadan saya bergerak dari Semenyih ke Bangi. Ada janji temu dengan seorang Ustazah yang menjadi pentadbir sebuah sekolah tahfiz. Beberapa hari sebelum puasa, seseorang telah menghubungi saya menerusi FB hanya kerana sekeping gambar yang diletakkan oleh sahabatnya di salam FB yang ditandakan ke dinding FB saya. Dia ingin membeli buku Kami Ada Mimpi. Saya menghantar terus kepadanya setelah mendapati beliau tinggal di Bangi. Dalam perbualan kami yang tidak sampai satu jam itu, hatinya telah terpaut dengan TFTN. 
Dengan penuh semangat, esoknya beliau pergi ke dua buah rumah anak yatim / miskin dan sekolah tahfiz yang terdapat di sekitar Bangi. Saya dapat merasakan kegembiraan yang terpancar menerusi SMS yang dihantarnya kepada saya, memaklumkan beberapa perkara yang didapati daripada pertemuan dengan penyelia rumah terbabit. Beberapa SMS selepas itu membawa saya menemuinya pada Ramadan keempat bersama Zazren untuk membincangkan lebih lanjut apa yang harus beliau lakukan seterusnya. Nada keterujaan begitu terpancar menerusi gerak badannya yang sungguh bersemangat dan kata-kata yang bersungguh. Pertemuan yang sepatutnya sebentar berlangsung hampir tiga jam dan kami kemudiannya bersurai. Dia akan menetapkan pertemuan kami dengan penyelia sekolah tahfiz setelah kami melakukan saringan awal terhadap maklumat yang diberikan. 
Jadi semalam, bersama As kami menemui penyelia terbabit. Kami diberikan keputusan peperiksaan pelajar setiap satu. Memang kali ini maklumat yang kami terima lengkap memandangkan ia adalah sebuah sekolah tahfiz dan mempunyai asrama. Ini bermakna pelajarnya tinggal dan bersekolah di tempat yang sama. Tetapi kemudiannya saya mendapati masalah lain pula yang menghimpit. Anak-anak ini tidka mempunyai masalah akhlak. Semua boleh mendengar kata dan memahami arahan. Tetapi mereka lemah daya saing dan tidak bermotivasi untuk belajar. Sepertinya nanti mereka akan tinggal di asrama itu selama-lamanya dan tidak keluar ke mana-mana. 
Setiap kelas pelajarnya tidak ramai, kurang dari 10 pelajar. Tetapi ternyata pelajar sendiri tidak boleh fokus sepenuhnya kepada pelajaran. Melihat keputusan yang banyak berwarna merah dan ada yang bertanda G, kami berbincang dengan guru dan penyelia tentang adik-adik ini, tentang sikap mereka terhadap pelajaran, silibus yang berbeza dari sekolah bias dan aktiviti harian.
Namun kami menyimpulkan bahawa adik-adik ini tidak bermotivasi untuk keluar dari kepompong mereka. Masalah ini sama wujud dalam diri anak-anak yatim. Mereka membina tembok di sekeliling diri, mengasingkan diri dari masyarakat (kerana sudah tersedia diasingkan) lalu enggan keluar dari keadaan sedia ada. Persaingan sesama sendiri sangat lemah, tidak pasti apa gunanya mereka belajar pandai-pandai, tidak tahu apa gunanya keputusan yang bagus dalam peperiksaan. Akibatnya, tumpuan dalam kelas menjadi lemah, kerja sekolah tidak disiapkan, pergi sekolah seperti satu rutin yang tidak membawa apa-apa makna. Mata mereka tidak bercahaya, langkah mereka pelahan dan tidak bersemangat, zaman persekolahan seperti menghabiskan sisa waktu remaja sebelum boleh melangkah ke luar, menuju ke alam dewasa. Alam yang memberi ruang kebebasan semaksima mungkin.
Tidak semena-mena mata saya tertancap pada keputusan Bahasa Melayu seorang pelajar tingkatan empat. Markahnya 0. "Kenapa boleh dapat kosong?" tanya saya polos. Saya membandingkan dengan keputusan Matematik, Sains, Bahasa Inggeris dan Sejarah yang mempunyai markah meskipun dengan warna merah. Mungkin anak ini tidak datang sewaktu peperiksaan. Namun mustahil dia tidak boleh menjawab kertas BM jika pelajaran lain boleh dijawabnya.
Cikgu di sebelah saya melihat nama pelajar. "Adik ini memang tidak boleh membuat karangan. Pelajaran lain yang dapat markah pun hanya kerana dia boleh memilih jawapan objektif. Sedangkan dia tidak pun membaca soalan."
Saya merenung nama adik ini lalu cuba merenung masa depannya nanti. "SPM kalau tidak lulus BM seperti masa depannya sudah tertutup," balas saya. Ya, SPM adalah penentu kehidupan kita di Malaysia. Sama ada nanti berpeluang melanjutkan pelajaran atau jatuh status sebagai tidak berpelajaran tinggi dan bekerja sebagai pengawal keselamatan, di kilang-kilang, pemandu lori, tukang cuci, tukang kebun dan seribu satu pekerjaan 'kelas rendah'. tetapi jika tidka boleh membaca maka ini adalah satu malapetaka.
Sebaik melangkah keluar dari sekolah, saya berazam membawa adik ini keluar dari malapetaka buta huruf. Bukan dia sahaja, tetapi yang lain rata-ratanya bermasalah untuk membuat ayat meskipun itu ayat ringkas. Itu belum lagi masalah dalam pelajaran yang lain. Paling penting ialah, membawa potensi mereka terbang ke jagad raya, membuka fikiran mereka akan dunia luar dan membawa mereka bercakap tentang apa sahaja yang ada di dunia ini.
Tetapi melangkah keluar dan ketika membuat pusingan U untuk keluar ke jalan besar, tiba-tiba sahaja hati merasa panas dan marak membara. Sebuah IPG tersergam indah bersebelahan sekolah tahfiz ini. Sebuah tempat yang latih bakal guru, yang nantinya akan mengajar anak-anak yang tidak bermotivasi, tidak pandai membaca, tidak mengenal huruf dan tidak pasti masa depan. Lama sebelum mereka bertemu anak-anak itu nanti, sudah ada pun di hadapan mereka anak-anak yang sedia mempunyai masalah. Tetapi mengapakah dibiarkan anak-anak ini memilih gagal sedang mereka berjaya menamatkan pengajian sebagai guru? Apakah mereka tidak sedar dihadapan mata, di sebalik pagar IPG yang indah itu ada sekumpulan anak-anak yang gagal membaca? Apakah radar pengetahuan mereka tertutup di sebalik pagar dan elaun bulanan? Apakah topik perbincangan harian mereka seputar elaun lambat masuk, masalah parking yang kurang atau makanan di kantin yang tidak meyelerakan. Jadi anak-anak yang bermasalah di seberang pagar mereka ini siapa yang harus menyantuninya?

Sanggupkah kita berada dalam ruang selesa dengan menyambung pengajian satu demi satu diikuti pelbagai gelar dihadapan dan belakang nama sedangkan di sekeliling kita ada insan yang tidak dapat mengenali A, B, C? Sanggupkah kita? Sanggupkah?

Jumaat, Julai 19, 2013

Yang berbeza

Dalam usaha memuatnaik gambar-gambar dari memori telefon genggam dan kamera ke dalam beberapa laman FB yang saya selenggarakan, tiba-tiba telefon bergetar menandakan ada pesanan masuk. Diikuti dengan beberapa pesanan berikutnya yang berturut-turut masuk. Dia meminta pandangan terhadap kekeliruan yang dialaminya, kekeliruan yang boleh memberikan bencana pada masa depan jika tidak di atur dengan sebaiknya.

Mudah sahaja isunya, dia berkenalan dengan seorang lelaki yang tidak berada dalam jalur fikiran yang sama. Mereka sudah berbincang dan cuba mencari titik temu, supaya boleh meneruskan langkah selanjutnya memandangkan keluarga pun sudah bersetuju. Tetapi malangnya tiada kata sepakat setakat ini.

Saya diam seketika. Namun saya katakan kepadanya, jika tidak boleh membuat keputusan ini, bagaimanalah nanti mahu pimpin keluarga, dan kemudian memimpin ummah seperti yang dihasratkan? Jika tidak berkorban atas perbezaan yang ada sekarang, maka tiadalah kesefahaman. Bila berumahtangga nanti, masing-masing akan kekal dengan ego masing-masing. Akibatnya rumahtangga menjadi goncang, anak-anak menerima musibah, hidup menjadi gundah.

Beberapa peristiwa lain yang berlaku disekitar saya juga memperlihatkan perkara yang sama. Atas dasar ego dan mahu menjaga air muka, mereka senang melepaskan perkara yang baik dan menuruti kehendak hati. Biarlah, asalkan tidak malu, biarlah asalkan tidak jatuh ego, mereka berterus-terusan dengan hidup sebegitu. Mereka enggan menerima teguran, sukar berubah, tidak mahu dengar cakap. Kekal dengan jiwa yang keras dan kering dari nasihat.

Orang begini biasanya saya biarkan selepas berusaha menasihati. Biasanya mereka akan jatuh tersungkur dan kemudian barulah sedar apa yang perlu dilakukan. Tetapi mengapa kita perlu menunggu jatuh tersungkur sedangkan kita boleh mengelak dari jatuh dan tersungkur?

Sabtu, Julai 06, 2013

Bukan mimpi

Saya cuba mengingat kembali bila kali pertama karya saya tersiar di media dan perasaan yang hadir ketika itu. Masih segar lagi tarikh itu, pagi Ahad 15 Oktober 2006 apabila saya bekejar ke kedai mencari akhbar Berita Harian lalu menghantar SMS kepada beberapa kenalan terdekat, emak dan adik supaya segera membeli dan membacanya. Mulut tersenyum sehingga ke petang, hati berbunga-bunga riang, jalan seperti terawang-awang, semangat menulis berombak-ombak datang. Segala-galanya selepas itu menjadi satu sejarah.

Ketika mendaftarkan Teach For The Needs (TFTN) di SSM KL Sentral pada 3 Mac 2012, saya dan As - yang melakukan satu pusingan lengkap mengelilingi KL Sentral kerana tersalah maklumat akan lokasi SSM - berbual-bual akan impian untuk menghasilkan tulisan-tulisan berkenaan TFTN yang kemudiannya nanti dibukukan. Perkataan dibukukan seperti satu mimpi kepadanya, sedangkan saya berkobar-kobar bercerita untuk menghasilkan buku dibawah payung TFTN, mengumpulkan pengalaman sukarelawan dan menghantar TFTN dihati setiap pembaca. Ketika itu TFTN baru berusia tiga hari tetapi bicara saya mencecah awan. Sedangkan ketika itu saya pun tidak ada pengalaman dalam dunia penerbitan atau cara menghasilkan sebuah buku yang lengkap meskipun sudah menghasilkan tiga buah buku, beberapa cerpen dan puisi. Namun saya yakin ketika meluahkan kata-kata itu kerana pasti apa yang ada pada TFTN.

Setiap detik yang berlalu kemudiannya sentiasa berkisar tentang TFTN. Perbualan kami pasti tentang anak-anak TFTN. Aktiviti hujung minggu dipenuhi dengan agenda mesyuarat, bengkel, seminar dan yang penting - meluangkan masa di rumah anak yatim (RAY). Setiap sukarelawan kami yang turun ke RAY membawa pulang cerita yang pelbagai. Ada yang sedih, ada yang gembira, ada yang terharu, ada yang kehilangan kata-kata. Kami cuma sarankan kepada mereka, "tulislah kisah itu, jangan biarkan orang lain mencoret sejarahmu." Kami mengasuh mereka menulis meskipun ragu-ragu kerana tidak pasti kemampuan diri. Tetapi kami tetap menghantar nasihat, kerana "menulis tidak memerlukan kehebatan, yang penting adalah cerita."

Mereka pun mula mencoret, perlahan-lahan dan dengan beraninya meminta karangan itu dibaca, dikritik lalu diperbetulkan. Mereka bersemangat mahu menyampaikan kata hati, mahu masyarakat membuka mata kepada insan corot-terpinggir, yatim dan miskin yang ditindas oleh sistem pendidikan yang kurang memberi ruang mereka untuk memperbaiki diri. Sukarelawan ini datang memecahkan tembok yang mereka bina, mengeluarkan mereka dari stigma kebodohan, mengajar mereka mengenali abjad, memberitahu mengapa mereka perlu pandai membaca, mengajak mereka berbicara, menghadirkan senyum pada bibir yang selama ini dirundung duka, membuatkan mereka kembali ketawa dan gembira serta sering menjadikan mereka ternanti-nanti kehadiran sukarelawan ini saban minggu.

Bukan lagi mimpi di sebalik buku

Atas iltizam dan semangat tidak putus-putus ini, impian menghasilkan buku sudah sepatutnya menjadi kenyataan. Sukarelawan diminta menghantar cerita lalu suntingan intensif dilakukan dan mereka tanpa ragu-ragu menganugerahkan royalti kepada TFTN sebagai tanda cinta. Selaku penyelaras penerbitan ini hati saya begitu tersentuh memandangkan mereka beraktiviti tanpa apa-apa imbalan kewangan, tenaga tercurah memenatkan fizikal malah mental pun beberapa kali cuba diganggu gugat. Mereka seperti pohon yang teguh, yang dibajai dengan kasih sayang nan padu dengan akar yang kukuh menjalar ke dasarnya supaya kukuh tak goyah ditiup angin.

Kami Ada Mimpi menjadi judul buku. Sebagai penyelaras, kepuasan saya ditahap maksimum melihat buku ini berada ditangan pada pagi Jumaat yang tenang sewaktu bersama beberapa orang sukarelawan menziarahi Khalifah Model School di Ampang. Menjadi editor dan penyelaras buku ini sejak ia dalam bentuk kasar sehingga muncul dengan fizikal yang gah merupakan detik indah dalam kehidupan saya – suatu kenangan yang berbeza sekali dari perasaan ketika melihat karya pertama di media atau naskhah novel disiapkan. Perasaannya jauh berbeza.

Jadi, apalah ertinya perasaan dan kegembiraan yang saya lalui ketika itu berbanding para penulisnya yang melihat buat pertama kali nama mereka tercetak di dalam sebuah buku. Setiap seorang dari mereka – yang seramai 20 orang – seperti tidak percaya melihat naskhah ini dihadapan mata, yang sebelum ini cuma diwar-warkan di dalam media sosial kami. Saya tahu, mereka tidak percaya. Melihat senyuman yang terzahir penuh ikhlas dan jujur menjadikan Kami Ada Mimpi seperti sebuah mimpi yang nyata. Mereka membelek dari kulit ke kulit, membaca dengan teruja malah dengan genangan airmata kerana tidak sangka ada yang menulis sehingga boleh menyentuh jiwa.

Namun buku ini bukanlah untuk sukarelawan bermimpi menulis. Ia adalah mimpi sukarelawan membuka potensi anak-anak kelas corot-terpinggir, yatim dan miskin untuk berada setakuk lebih baik dari semalam. Kami turun dengan tujuan dan pulang membawa cerita. Maka kami akan lebih berpuas hati dan gembira jika anak-anak ini pandai membaca, terkawal akhlaknya, hebat disiplinnya, teratur pembelajarannya dan senyuman terukir sentiasa. Apalah yang ada pada sebuah cerita jika anak-anak ini masih gagal membaca.

Kami Ada Mimpi dilancarkan semasa Majlis Makan Amal bersama Yang Berhormat Mulia Tengku Razaleigh Hamzah malam itu juga, 5 Julai 2013 yang bersejarah. Bersama wakil korporat yang menyumbang, kami menghadiahkan Kami Ada Mimpi bagi mereka menyelami mimpi kami dan saling membina mimpi baharu. Kami siap sedia mengorak langkah ke hadapan dengan usaha yang berterusan dari anak muda yang sentiasa teruja mengadakan pelbagai aktiviti tanpa putus-putus.

Kepada sukarelawan ini, saya hadiahkan serangkap puisi dari T. Alias Taib berjudul Bakat:  

tidak semua penulis mempunyai bakat
tidak semua bakat dipunyai penulis
atau dengan kata lain
tidak semua yang berkilau itu berlian
akan tetapi semua berlian berkilau

Kepada para sukarelawan, jangan putus menulis. 

Paling istimewa sekali, saya pasti sejak hari pertama lagi TFTN sebenarnya mempunyai tempat yang istimewa dalam hati saya.

Rabu, Julai 03, 2013

Belakang

Sejarah meskipun penting untuk kita menilai, ia juga patut dilupakan supaya tidak menjadi beban untuk meneruskan hidup di masa hadapan.

Begitulah yang saya fikirkan bila berhadapan dengan insan yang merasakan hidupnya sukar dan tidak putus-putus dengan dugaan. Tidak. Tidak ada hidup yang senang malah tidak ada pun hidup yang sukar. Seperti yang biasa kita dengan dari mulut para ustaz dan ustazah, semua yang telah ditetapkan untuk kita ada sebabnya, namun sedalam mana kita memahaminya adalah terletak pada diri sendiri. Dan kitalah yang menentukan jalan itu.

Saya pernah cerita bagaimana saya melupakan sesuatu kerana tidak mahu mengingatkannya. Sejarah yang lepas perlu saya tinggalkan supaya ia tidak menjadi beban ke masa hadapan. Perkara yang pahit mahu dilupakan supaya tidak selalu dikenang-kenang. Perkara yang manis perlud ilupakan supaya tidak menjadikan diri terbuai-buai oleh kegembiraan dan kejayaan, sedangkan sekarang kita ini entah apa yang ada di tangan. Mengenang-ngenang perkara lepas tidak membawa kita ke mana. Sebaliknya kita belajar dan memperbaiki diri dengan segala yang ada supaya dapat mempersembahkan sesuatu yang baik untuk kehidupan.

Seorang kawan selalu bercerita tentang apa yang dibuatnya di alma mater. Segala jawatan yang dipegang, aktiviti yang disertai, VIP yang ditemui dan ahli politik yang didampingi. Namun melihatkan apa yang dia ada ketika itu, orang tidak akan percaya dengan apa yang dikatanya. Dia tidak ada apa-apa, ligat ke sana ke mari dengan hanya berkata-kata. Jadi sama ada yang dikisahkan itu sekadar kata-kata atau sebuah kebenaran, sukarlah orang mempercayai. Perkara lepas yang penuh kegemilangan seperti satu beban untuknya ke hadapan, kerana dia melihat silau gemilang di masa lalu dan mengharapkan hidupnya akan datang juga disinari dengan lampu-lampu yang indah dan gemerlap seperti itu. Sekadar berharap dan mengenang-ngenang. Tenggelam dalam kegembiraan dan nostalgia yang telah menghilang.

Jalan hidup kita berbeza-benza. Tidaklah bermakna kita ini hidup tanpa ada apa-apa. Orang yang lahir dengan silver spoon, erti hidupnya ialah pada memberi. Orang yang tidaklahir dengan silver spoon, menerima tidaklah bermakna rugi. Ada pelbagai cara untuk memberi, ada banyak cara untuk menerima.

Semua orang ada pengalaman pahit dan manis. Tetapi pengalaman itu tidak akan menjadikan kita apa-apa jika kita sekadar bernostalgia. Sekarang adalah masa untuk kita menggunakan pengalaman itu bagi memecut laju ke hadapan. Siapa kita pada masa dahulu tidak ada apa maknanya sekarang. Ia cuma masa lalu.

Sekarang adalah apa yang kita ada. Kita adalah apa yang kita ada sekarang.


Khamis, Jun 27, 2013

Yang besar

Saya selalu tertanya betapa besarkah pengaruh alam Melayu ini kepada dunia. Setakat yang saya baca, setakat yang saya dengar, setakat yang saya faham, pengaruhnya sangat besar. Tetapi sebesar mana?

Tadi saya terbaca satu pertanyaan di twitter, apakah peninggalah Melayu yang sehebat Borobudur dan Angkor Watt? Dengan sinis si penjawab membalas, Batu Bersurat Terengganu. Mungkin dia mengusik tetapi hakikatnya BBT memberikan kesan besar ke alam Melayu. Ia menandakan bahawa Islam telah tiba seawal abad ke-14.

Tetapi bukan BBT yang ingin saya bicarakan.

Setiap tamadun dunia mempunyai tinggalannya sendiri. Mesir dengan Piramid dan Sphink yang menghuni padang pasir. China megah dengan Tembok besar yang melingkar seperti naga. Iraq di sebut-sebut dengan Taman Tergantung Babylon meskipun entah dimana letaknya sekarang. Sepanyol dengan tinggalan kerajaan Abbasiyyah di Cordova, seperti Istana al-Hamra. Jordan berbangga dengan kota Petra yang memukau. India dengan istana tragis Taj Mahal sebagai lambang cinta Shah Jahan kepada Mumtaz. Turki dengan Masjid Sultan Ahmed dan Aya Sofia yang sentiasa menggamamkan.

Melayu ada apa?

Benar, alam Melayu tiada binaan sehebat piramid, segah tembok besar China, seperti Taman Tergantung Babylon, al-Hamra', Petra, Taj Mahal, Masjid Sultan Ahmed dan Aya Sofia. Tidak akan kita jumpa. A Famosa, sisa pertahanan Portugis itu pun bukan milik kita meskipun batu yang dibina bagi mendirikan kota itu diambil dari batu nisan para alim ulama yang dibongkar dan binaan masjid Melaka yang diruntuhkan oleh si Benggali Putih itu.

Tinggalan alam Melayu bukannya pada tinggalan yang besar dan agam. Dengan Islam sebagai agama yang mendasari perjalanan hidup, binaan itu bukanlah sesuatu yang perlu dinilai sebagai petanda kehebatan. Islam sendiri tidak mempunyai apa-apa untuk ditinggalkan melainkan Kaabah yang menjadi kewajipan umat Islam untuk ditunaikan tanggungjawab sekali dalam hidup mereka. Islam hanya ada Islam, Itulah tinggalan terhebat.

Begitulah Islam meresapi alam Melayu. Kehebatan kita bukan pada binaan tetapi khazanah itu tercipta menerusi bait kata yang indah dan halus menerusi pantun, syair, seloka, gurindam, nazam, peribahasa, simpulan bahasa dan sebagainya. Kata-kata ini disulam bukan sebarangan. Si pujangga merapati dirinya dengan alam, melihat dengan teliti,memerhati dengan mata hati. Awan, burung, daun, laut, angin, rumput, ikan, pokok dinikmati sehalus-halusnya sebelum dijalinkan dengan kata-kata yang sopan menjadi bait kata yang indah. Jika tidak, masakan saat beradu keris pun Tuah dan Jebat masih boleh bertikam lidah. Sindir menyindir dengan kata yang memedihkan. Tidak perlulah meninggi suara atau menjerit sehingga keluar anak tekak. Kata-kata sudah cukup mengundang pedih.

Jadi, mana yang lebih hebat? Binaan sebesar piramid yang kemudiannya nanti akan runtuh ditelan masa atau budi bahasa yang terpahat dalam bahasa pujangga, yang kata-katanya bisa meneduhkan kemarahan atau meruntuhkan sebuah tamadun? Bagaimana kita menilai dan bagaimana kita mengukurnya?

Selasa, Jun 18, 2013

Hidup yang bercerita

Kita bangun setiap hari untuk menghidangkan pelbagai cerita kehidupan. Atau menikmati kisah yang lain. Dalam berhadapan rutin kerja yang tidak ada akhirnya, kesempitan yang dilalui sesetengah insan dalam mencari rezeki, sebalik kesesakan jalan raya dan emosi yang terkadang menguasai diri; ada sahaja yang seperti pelangi datang selepas hujan. Kita pun tersenyum, mengira bilangan warna yang melengkung di dada langit. Kita juga mengira titis hujan yang masih tersisa. Tetapi semakin mentari memunculkan diri, pelangi pun pergi. Kita lalu keluar dari teduhan, menyambung kerja yang terhenti. Kembali menyambung cerita yang belum bernoktah.

Hidup ini adalah satu cerita. Ia sering memberi dan menghidangkan cerita. Kita adalah sebahagian dari cerita itu.

Ahad, Jun 16, 2013

Markah

Kita akan selalu bertemu dengan orang yang hebat yang terselindung di sebalik diri mereka yang seperti tiada apa-apa. Kita akan selalu berhadapan dengan insan yang boleh melakukan sesuatu luar dari keupayaan kita tatkala kita merasakan sudah melakukan yang terbaik. Tanpa disedari kita sudah menidakkan keupayaan orang lain dengan hanya menilai apa yang ada di luarnya dengan memberi markah tertentu sebelum memberinya peluang untuknya menampilkan potensi.

Bukankah sudah berkali-kali kita diingatkan bahawa don't judge the books by it's cover?

Saya sering mendidik diri agar tidak memberi markah sebelum apa-apa dan mengenali siapa dia terlebih dahulu supaya selepas itu saya boleh memberi markah dengan adil. Markah yang selalunya saya tidak pasti entah berapa angka yang sepatutnya saya letakkan. Semua ini pun kerana saya sendiri selalu diletakkan markah tertentu sebelum memulakan sesuatu kerja. Markah yang selalu memercikkan semangat agar saya melakukan sesuatu melampaui piawaian yang telah diletakkan sebelumnya ke atas diri sendiri. Sesuatu yang selalunya memerah tenaga dan keringat yang bukan sedikit supaya saya boleh menukar markah yang telah dipasakkan ke dalam diri, seperti ia suatu angka yang telah dizahirkan dan diadili terlebih dahulu sebelum kemampuan dipersembahkan.

Mengatasi stigma ini sebenarnya memenatkan, maka itu saya berusaha tidak melabel apa-apa sebelum mengenali dia itu siapa. Percayalah, kita akan lebih tenang dalam bekerjasama jika tidak meletakkan apa-apa bebanan yang bukan-bukan dalam diri kita terhadap keupayaan seseorang itu.

Dunia ini akan aman jika kita tidak menanam prasangka. Saya sedar disekeliling saya ada ramai insan yang awalnya telah diberi markah yang kurang tetapi mempunyai kemampuan yang berganda-ganda sifatnya. Hanya dengan bersangka baik maka kita akan menarik keyakinan dan kegembiraan dalam melakukan tugas sekaligus membentuk pasukan yang hebat. Pasukan di mana ahlinya boleh menyelesaikan banyak perkara dengan hanya memberi satu arahan yang boleh difahami dengan mudah.

Ada kalanya saya senang menangkis tanggapan-tanggapan awal seperti ini di meja makan, dengan bercawan-cawan air atau berjam-jam sembang bagi memastikan saya tidak tersilap memberi markah. Ada kalanya saya mengambil ruang yang terhidang dengan memulakan perbualan klise sebagai memecahkan tembok yang mendindingi perhubungan. Dengan berlapang dada, perbincangan seperti ini akan lebih banyak membuang prasangka. Apatah lagi saya jenis tidak gemar mendengar sok-sek-sok-sek tentang perkara yang boleh menambah kecelaruan sikap.

Semua ini berpunca dari hati. Jika tidak mampu dicuci sebersihnya, berusahalah untuk mencantumkan hati itu dengan hati-hati lain supaya terarah ke matlamat sama. Nantinya kita akan melihat betapa ia telah dicuci tanpa kita sedari.

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...