Sabtu, Mei 31, 2014

Nuansa Kang Abik


Banyak pula buku Kang Abik di rak. Tapi tak sebanyak buku-buku Pram. Buku Kang Abik dibeli secara tidak sengaja. Bila dikemas nampak banyak. Buku Pram memang sengaja dibeli. Tapi tidak juga nampak banyak

Novel fenomena Habiburrahman El-Shirazi yang berjudul Ayat-Ayat Cinta saya baca ketika novel itu sedang meletup di pasaran. Ketika itu sangat ingin tahu apakah ramuan yang Kang Abik masukkan sehingga sambutannya begitu dahsyat sekali. fenomena novel Islami ketika itu di Malaysia pun sedang naik. PTS memperkenalkan teknik Surah Yusuf dan membranding buku-buku agama dengan cover dan design baharu. Faisal Tehrani (kalau pun orang kata dia menulis novel dan cerpen islami) pun sedang berada di takah tertingginya penulisannya. Tuhan Manusia, Bila Tuhan Berbicara, Bedar Sukma Bidu dan Manikam Kalbu sering disebut-sebut dan menjadi rujukan bahan penulisan yang berteraskan Islam. Sedangkan sebelum itu, Tunggu Teduh Dulu yang disiarkan secara bersiri dalam akhbar Utusan dan dibukukan sudah pun memperkenalkan namanya dalam kelompok penulisan Islami. 

Jadi soalnya, apakah ramuan yang terbaik sebagai sebuah novel Islami? Apakah memadai dengan menghimpun ayat Qur'an, hadis, kisah Nabi dan para sahabat, memakai jilbab dan kopiah, belajar agama dan mengaji Qur'an, menjadi ustaz dan ustazah itu dikira sebuah novel Islami?  

Kriteria sebuah novel Islami sukar dinyatakan dengan jelas. Seperti konsep nasyid - apakah dengan memasukkan ayatQur'an dan hadis dala liriknya sudha dikira sebagai nasyid? Beberapa tahun lalu, ada yang membuat kategori khusus - lagu nasyid, lagu dakwah dan lagu kebaikan. Berbeza darjat dan tingkat pahala agaknya.

Saya membaca novel Kang Abik bermula dengan Ayat-Ayat Cinta - sekali lagi - kerana mahu melihat ramuan di dalamnya. Saya bukanlah pembaca yang mengikut arus. Jika sesebuah novel itu sedang meledak di pasaran, saya menunggu waktu surutnya untuk di baca. Sama juga dengan menonton filem. Kuch Kuch Hota Hai saya tonton selepas dua tahun diputarkan di layar perak. Titanic pula selepas tiga tahun. Hlovate baru saya kenali kini. APG pun baru sebulan dua setelah lama mengenal namanya. Ramlee Awan Murshid saya pernah ikuti dua novel terawalnya, tapi kemudian tak mengapalah, saya baca novel lain dahulu.

Selepas membaca AAC, saya tonton filemya. Ada ulasan ringkas di sini. Ramai membandingkan Kang Abik dengan Hamka. Tetapi apakah Hamka menulis berteraskan apa yang dikata 'novel Islami'? Bagi pembaca Di Bawah Lindungan Kabah dan Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck atau Merantau ke Deli, pasti tahu tiada sepotong ayat Qur'an mahu pun hadis di dalamnya. Jadi apakah benar kita katakan Hamka menulis sebuah novel Islami? Pernah saya nyatakan di sini juga. Novel Hamka yang ditulis pada zaman-zaman awal kepengarangannya itu bukanlah novel islami, tetapi sebuah noel yang bersandarkan adat dan budaya.

Satu persatu novel Kang Abik saya beli, itu pun bukanlah kerana sengaja. AAC kerana mah mencari-cari. Ketika Cinta Bertasbih 1 & 2 dibeli bersama Dalam Mihrab Cinta ketika Gramedia Mines sedang cuci gudang dan membuat potongan 90% (gila! Beraya dengan buku tau!). Siapa tak gembira melihat harga buku kurang dari RM10 sebuah. Memang gila-gila membeli ketika itu. Cinta Suci Zahrana saya beli tiga hari yang lalu selepas terkesan menonton filemnya. Kenapa saya tonton filemnya? Kerana bila idea tidak keluar, kita kena buat perkara yang berfaedah. CSZ antara filem berfaedah yang ada malam itu. Terus saya beli novelnya kerana mahu tahu lebih lanjut. Tetapi percayalah, cuma AAC sudah dibaca hingga selesa. KCB masih tersangkut di tengah-tengah halaman.

Sesuatu yang menarik pada penulisan Kang Abik ialah dia menuliskan sesuatu yang berbeza. Memang asalnya menerusi AAC dia kental memasukkan watak ustaz dan ustazah sebagai pemeran utama tetapi selepas itu fokus dan matlamatnya sudah dialihkan. Abdullah Khairul Azzam dan Anna Althafunnisa dalam KCB meski pun masih membawa sosok ustaz-ustazah tetapi alur ceritanya menjadi cantik. Seorang kawan - pada suatu hari ketika berbuka puasa di rumahnya - berusaha kempen kepada saya agar menonton filemnya. Katanya, 'Kang Abik jelas memasukkan konsep reda. Dia mahu kita reda, sabar dan tabah dalam setiap apa yang kita lakukan'. Saya tidak mahu dia bercakap panjang supaya tidak menjadi spoiler. Sewaktu Aidilfitri, saya menghabiskan dua siri KCB. ketika bertemunya sekali lagi, kam berdiskusi panjang tentang filem KCB.  Memang jelas, Kang Abik menanam konsep reda dalam diri Azzam dan Anna. Dugaan demi dugaan tidak mematahkan jiwa mereka. Allah adalah sepenuh pergantungan. Kita akan rasa terhibur menonton KCB kerana ia dekat dengan jiwa, tutur bahasanya lembut, dialog yang tidak menggurui. Kehidupan masyarakat Jawa di Solo sangat indah (dah saya pun orang Jawa yang tak boleh cakap Jawa). Meski pun filemnya panjang, jiwa kita terasa dipenuhi dengan paparan hidup yan menenangkan, terasa ditarbiyah dalam diam dan tidak dipaksa-paksa.

Dalam Mihrab Cinta membuka sisi pandang baru pada pesantren. Memang banyak novel Kang Abik berkisar pesantren atau santri. Namun dia mahu kita tahu, masuk pesantren belum tentu jadi baik. Kita diuji dan dicuba dengan dugaan. Tuhan sendiri sudah menjanjikan, lebih besar ilmu yang ada, kian kuat dugaan diberi. Menjadi seorang pencopet setelah dihalau dari pesantren tetapi kemudian diangkat menjadi ustaz menjadikan ... keliru. Tuhan ingin menolongnya. Tuhan ingin membimbingnya. Dia harus memilih untuk menjadi baik. Dia harus tinggalkan kecelaruan yang dia hadapi. Sekali lagi, Allah menjadi sepenuh tempat bergantung. Doa tidak putus agar diberi kekuatan memilih dan mengharungi hidup.

Suci Cinta Zahrana pula tentang Zahrana yang belum berkahwin ketika usianya sudah mencecah tiga puluhan. Fokus utamanya ialah menyelesaikan pengajiannya, dari sarjana muda ke sarjana dan kemudian ke doktorat. Pelbagai gelar dan sanjuangan luar dia terima. Tetapi dia gagal menggembirakan ibu bapanya dengan jodoh, sesuatu yang diharapkan oleh orang tua. Setiap apa yang dilakukannya tidak mendapat reda yang penuh dari ibu bapanya. Dalam keadaan dia mahu melakukan pelbagai perkara yang dia inginkan, ternyata dia terperangkap dengan kehendak itu yang sukar sekali dia penuhi. Meski pun dia mencuba, ternyata Tuhan menjalankan takdirnya dalam rahsia. Jodoh yang sudah di kira dekat, rupanya menjauhinya dengan drastik. Kematian demi kematian, doa dan pasrah yang dia serahkan akhirnya membawa seorang lelaki yang sudah ditemui awalnya tetapi menjadi miliknya kemudian. Tabah, reda, sabar adalah resepi Kang Abik juga.

Saya melihat Hlovate dan Kang Abik menghantar pelbagai mesej dalam setiap novel. Hlovate dengan gaya bahasa anak muda tetapi mendalam temanya. Setiap novelnya memberi pesan-pesan yang tidak kita sedari, menyentuh diri dengan wataknya yang pelbagai dan ada kalanya kasar. Kang Abik membawa pembaca membaiki diri, membetulkan apa yang ada dalam diri yang telah kita tinggalkan. Kita punya sifat reda, tabah dan sabar tetapi sejauh mana kita gunakan sifat-sifat itu dalam diri? Dia mahu kita menilai semula diri dan mengajak kita menggunakan sifat-sifat itu sepenuhnya.

Kang Abik mengajak kita menyiram pokok yang hampir mati. Itulah sifat yang ada dalam diri kita, yang tidak kita gunakan tetapi kita pijak-pijak dan simpan sehingga segala sifat mazmumah menjadi pakaian kita.






Jumaat, Mei 30, 2014

Nasihat kepada kamu

Jika kamu tidak boleh memimpin, janganlah jadi orang yang memecah-belahkan.

Jika kamu tidak mampu membimbing, janganlah jadi orang yang menghuru-harakan.

Jika kamu tidak pandai berkata-kata, janganlah jadi orang yang menyesatkan.

Jika kamu tidak boleh memikul tanggungjawab, janganlah menjadi insan yang suka menambah beban ke pundak yang lainnya.

Jika kamu tidak pandai serba serbi, janganlah jadi insan yang bodoh sombong untuk belajar kembali.

Jika kamu tidak tahu banyak perkara, ambillah buku, hadirlah majlis ilmu.

Kalau kamu duduk dalam bilik yang gelap, carilah suis lampu, bukalah jendela. Cahaya tidak akan masuk jika kamu terus menerus menyalahkan kegelapan.

Jika kamu merasa lapar, janganlah dimarahi perutmu atas kelaparan itu. Carilah nasi, pergilah makan!



Ahad, Mei 25, 2014

Filem: Sang Murabbi

Bulan lalu, ketika sedang berbual tentang beberapa filem yang berunsur dakwah dan tarbiyah, terdengar dalam perbualan itu seseorang menyebut tentang Sang Pencerah, Sang Murabbi, Sang Kiyai. Terdetik dalam hati, apakah semua judul ini berbeza? Seperti selalu, saya menerjah ke Google mencari jawapan. Lain rupanya, lain. Jadi saya muatturun dan simpan dalam harddisk. Nanti akan ditonton. Nanti.


Hari ini yang serba lembab dengan capai internet yang mengada-ngada sejak dua tiga minggu, saya pun menonton Dalam Mihrab Cinta. Rupanya filem ini sudah pun saya tonton sebelum ini, tapi kerana sudah membukanya maka saya hadam sekali lagi sambil mengacah-acah internet. Bila acahan tak berhasil, saya buka pula Sang Murabbi tanpa ada apa-apa harapan pun. Tiada.

Terkesima sekejap menonton sosok Kiyai Rahmat Abdullah. Kenapa saya tidak tahu dia, kenapa ketinggalan mengenalinya? Soalan ini bertalu-talu muncul di kepala. Belum pun habis filemnya, cepat-cepat saya Google namanya, mencari dan memahami beliau yang sebenar. Rasa ketinggalan sangat-sangat. Sangat-sangat.

Sang Murabbi ditayangkan sekitar 2008 merupakan kisah yang diangkat dari kehidupan Almarhum KH Rahmat Abdullah bin Abdullah (1953-2005). Kalau mahu tahu tentang dirinya, boleh baca di sini dan di sini. Tapi tentang filemnya, sedikit sebanyak dapatlah mentarbiah hati yang keras semiggu dua ini. Betapa dakwah dan tarbiah yang Kiyai Rahmat jalankan sangat tenang, santun dan berhemah. Teratur tutur kata, jelas misi dakwahnya, tidak keras dalam tindakan, mengajak tanpa mendesak, memahami kehendak semasa dan ulah masyarakatnya. Tidak dengar pula dia mengeluh tetapi tegas denan pendiriannya. Lihatlah ketika dia membangkang seseorang yang mengatakan sesuatu tentang Nabi. Dia tidak melenting, marah atau memaki hamun sebaliknya menasihatkan dengan baik sambil mematah-matahkan hujah lawan. Ketika dia menerima surat panggilan ke pejabat (kerana dikatakan telah melakukan kesalahan), si pembawa surat itu pula ditarbiah sehingga mengalir air mata. Empat lima kali saya ulang bahagian ini bagi melihat bicara yang dituturkan. Memang ternyata membekas tanpa sindir menyindir. Begitu juga ketika dia menegur anak perempuannya yang pulang lewat dibalas si anak 'ayah juga pulang lewat'. Tetapi dia tidak marah sebaliknya minta maaf kepada anaknya. "Fida, maafkan Abi ya nak ya. Kalau Fida mengerti apa yang abi kerjakan, insha-Allah Fida tidak akan keluar malam ya nak ya." Duh!

Kiyai Rahmat seorang terbuka dan boleh menerima teguran dan padangan orang lain. Ketika dia mellihat tanah yang mahu diwakafkan, beliau yang melihat kawasan itu nampaknya seperti kawasan kumuh lalu berkata 'ini bukan tempat jin buang anak, Pak Haji Mukhtar?'  Maka dijawab oleh si penderma, 'Anta lupa sama kisah Nabi Ibrahim? Beliau menerima amanah Allah awal dakwahnya di tempat yang tiada seorang manusia, jangankan  jin, pohon pun enggak ada ustaz'. Apa jawapannya? Jazakkallahu khayr Haji. Mereka pun bersalaman. Begitu juga ketika dia menerima kehadiran kaum ibu yang dipinggirkan oleh sang suami yang berpoligami. Semua itu menjadi ramuan dakwahnya, tarbiahnya yang dijalankan dalam kelompok kecil (atau orang kata sekarang usrah) tanpa dia rasa malu-malu seperti para ustaz kita. Sepertinya perempuan ini jijik dilihat.Menurut ibu itu, kami ini juga perlukan bantuan sang ayah dengan mengambil contoh Hassan al-Bana yang turut sama mendidik anak-anaknya, bukan seperti apa yang dilakukan oleh sang suami ketika itu. Semuanya dilepaskan pada bahu si ibu.

Pada awal beliau berdakwah, oleh kerana terpengaruh dengan cara Hassan al-Bana, Syed Qutb, Mohammad Natsir dan beberapa pemimpin lainnya, cara penyampaian dan pengisiannya dilihat berbeda. Namun ketika itu agak sukar bergerak kerana gerakan usrah menjadi satu larangan dibawah kepimpnan Presiden Suharto. Maka dia melakukannya secara sembunyi, dengan cara yang dapat mengelakkan keraguan. Sebelum itu pun dia sudah dipanggil oleh si pemerintah kerana didakwa ajarannya berbeda dari biasa. Semuanya dijawab dengan tenang, lengkap hujah dan kebenaran yang tidak mampu disangkal si pemerintah. Kiyai Rahmat kemudian mendirikan sebuah pergerakan dengan pejabat sendiri. Dia juga bersama-sama menubuhkan Parti Sejahtera yang kini dikenali sebagai Parti Kebangsaan Sejahtera (PKS) yang cukup kuat disamping Golkar dan PDI-P.

Penglibatannya dalam politik tidak mengubah kerja-kerja dakwahnya yang turut sama berjalan. Dia digelar Kiyai tarbiah kerana caranya menyampaikan dengan cara tarbiah yang memikat. Beliau tidak putus membaca, menulis dan berusaha keras menyampaikan dakwah kepada masyarakat. ketenangannya tetap menjadi tarikan.

Ketika Kiyai Rahmat memberi taklim di sebatang sungai kepada anak-anak muridnya, beliau berkata:
“Antum perhatikan bagaimana Allah SWT menciptakan batu yang luar biasa besarnya. Allah menciptakan begitu kerasnya batu. Bagaimana Allah SWT menciptakan air yang mengalir lembut ini. Tapi antara batu dan air mereka bekerjasama untuk menimbulkan satu harmoni yang Allah SWT harapkan di semua aktivis dakwah. Kita sama muslim, kita sama aktivis dakwah, kenapa banyak di antara kita tidak mengambil ibrah ini? Kenapa banyak di antara aktivis dakwah selalu mengatakan ini hak antum, ini ana. Ini kewajipan antum, ini kewajipan ana. TIDAK ADA!!! Malulah kita kepada apa yang diciptakan Allah SWT, batu dan air ini tidak ada pertikai di antara mereka”.
Ditakdirkan Kiyai Rahmat meninggal pada usia 52 tahun pada 2005, yang agak muda ketika sedang mengambil wuduk untuk solat maghrib sebelum mengendalikan satu acara. Pemergian beliau ditangisi ribuan orang yang datang menziarahi. Pengkebumiannya turut disimbahi hujan yang lebat yang turut menangisi kehebatan insan yang berjuang dan berdakwah di jalan Allah.

Nasyid dengan judul Sang Murabbi dendangan Izzatul Islam ini menjadi lagu runut bunyi. Sungguh indah didengar telinga, dalam maksudnya. Apa lagi yang harus saya katakan? Dengarlah dan hayati liriknya.

Ribuan langkah kau tapaki
Pelosok negri kau sambangi
Ribuan langkah kau tapaki
Pelosok negri kau sambangi

Tanpa kenal lelah jemu
Sampaikan firman Tuhanmu
Tanpa kenal lelah jemu
Sampaikan firman Tuhanmu

Terik matahari
Tak surutkan langkahmu
Deru hujan badai
Tak lunturkan azzammu

Raga kan terluka
Tak jerikan nyalimu
Fatamorgana dunia
Tak silaukan pandangmu

Semua makhluk bertasbih
Panjatkan ampun bagimu
Semua makhluk berdoa
Limpahkan rahmat atasmu

Duhai pewaris nabi
Duka fana tak berarti
Surga kekal dan abadi
Balasan ikhlas di hati

Cerah hati kami
Kau semai nilai nan suci
Tegak panji Illahi
Bangkit generasi Robbani..

Jumaat, Mei 23, 2014

Harapan-harapan dalam rimba

Buku ini ku beli secara dalam talian. Terima kasih kepada Amin Landak yang memberitahuku. Dia tahu minat dan obsesiku pada buku lama dan karya sasterawan. Yang penting, buku lama.

Lama ku cari Rimba Harapan kerana buku ini ada dalam edisi terjemahan sahaja dengan judul Jungle of Hope. Malah aku sendiri tidak mendengar karya tulisan SN pertama ini, Keris Mas. Naif sungguh kerana tidak menekuni karya beliau. Sedangkan sebelum ini Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur telah ku baca dengan begitu takjub - kerana Keris Mas menyampaikan kata-katanya dengan cukup mudah dan ringkas, tanpa ayat panjang dan jargon meleret, tanpa analogi yang melangit. Kekuatan Keris Mas ialah pada teknik, kerana setiap bab yang disusun seperti kita menonton drama bersiri, ada kejutan pada akhir bab menyebabkan kita sentiasa ingin menyelak halaman sebelah tanpa bertangguh-tangguh.

Jungle of Hope ku baca ketika mengajar anak-anak di sekitar kejirananku sebaik sahaja ku tamat belajar dahulu. Ketika itu aku sedang sibuk menghantar resume ke sana ke mari, mencari kerja yang 'sesuai'. Sementara menanti jawapan dan menyesuaikan kembali hidup sebagai orang yang dah bebas belajar, beberapa jiran meminta ku mengajar anak-anak mereka. Oleh kerana aku orang terawal berjaya melepasi pengajian peringkat universiti, yang boleh dikatakan anak-anak terawal dari peneroka yang pindah di tanah rancangan ini, maka aku mendapat kredit yang cukup besar - mereka menghormatiku. Terasa rendah sangat diri bila dipuja puji oleh tetangga, sedangkan aku cuma lebih pada ilmu dan dapat masuk U. Apalah sangat pada ilmu yang tidak seberapa itu.

Jadi saban petang aku mengajarkan seorang dua anak-anak jiran. Kawan adikku yang mengambil SPM tahun itu juga ingin turut sama. Bagi memudahkan urusan mengajar, abah mencadangkan agar aku mengajar di balai raya. Abah berusaha berjumpa kawan-kawannya yang memegang jawatan dalam JKKK dan minta izin dari pengurus. Jadi kemudiannya, setiap malam jam 8.30 hingga 10 malam, aku mengajar hampir 30 orang anak-anak peneroka di balai raya. Termasuklah adikku, yang kebanyakan mereka adalah kawan-kawan dia juga. Berapa yuran yang aku kenakan? Aku sedar peneroka bukanlah berduit, aku mengajar bukan mahu kaya, dan setiap usahaku pasti dengan niat mahu membantu. Balai raya pun percuma, tiada yang perlu ku bayar. Aku cuma keluarkan modal memfotostat dan mencetak, itu pun boleh guna pencetak di pejabat dalam balai raya. Oleh itu, aku cuma caj mereka seorang satu ringgit bagi setiap kali datang. Tuisyen satu ringgit. Tak percaya? Itulah zaman ketika wang bukan jadi tuhan, sekitar 2002.

Mata pelajaran yang ku ajar ialah BM, BI dan Matematik. Teks KOMSAS BM menggunakan Konserto Terakhir yang juga karya seorang lagi Sasterawan Negara, Abdullah Hussain. Jungle of Hope menjadi perhatianku kerana teks ini memerlukan pelajar menjawab soalan dengan markah yang agak banyak juga. Jadi eloklah ku ajar menggunakan teks supaya lebih berpandu dan menarik. Sambil ku terangkan satu persatu maknanya, dapat juga ku cerita tentang suasana di Ketari, Bentong dan Janda Baik pada zaman 1920-an. Dari situ, aku jatuh cinta dengan Jungle of Hope. Kehidupan masyarakatnya dalam hutan, berpindah randah, mitos dan suasana Ketari yang menenangkan. Hutan dan pokok yang sebati dengan jiwaku menjadikan aku begitu terasa dengan segala perubahan yang berlaku di sekitar Ketari ketika penduduk diarahkan pindah. Tersiksa jiwa ku dengan bencana yang berlaku. Indah sekali cara Keris Mas melukiskan alam yang marah pada penduduknya, dan zaman ketika penduduk masih berpindah tanpa menetap dalam tempoh yang lama.

Beberapa tahun kemudian, ketika aku berpeluang melalui lebuhraya Karak menuju ke rumah teman di Lipis dan Jerantut, aku terserempak dengan papan tanda Ketari di stesen minyak Petronas. Agak gembira juga melihatnya, dan ingatan ku segera berbalik pada teks Jungle of Hope, pada gunung dan mitos naga. Aku perhatikan gunung-gunung di sekitar Karak dan Bentong sambil membayangkan kepayahan merek ayang meneroka kawasan ini. Titik peluh mereka membolehkan kita melewati jalan-jalan dengan mudahnya. Teringat juga pada anak-anak yang ku bimbing dahulu, entah ke mana mereka bertebaran agaknya.

Dari Rimba Harapan dan Konserto Terakhir, aku belajar bahawa untuk menulis, memadailah dnegan bahasa yang mudah dan boleh difahami. Apa yang penting ialah apa yang ingin disampaikan. Tekniknya juga boleh membantu mencantikkan jalan cerita. Tetapi dalam Rimba Harapan, aku temui perkara lain - tentang kehidupan orang Melayu zaman dahulu. Begitu jug aku temui diri dan jiwaku, yang dalam hutan, pokok dan kedamaianlah yang menjadi ruang untukku melukiskan perasaanku.

Kerana itulah aku membeli rumah di Semenyih yang nun jauh di pinggir hutan. Kehijauan Bukit Broga dan gunung ganang yang menjadi tulang belakang banjaran Titiwangsa setiap hari menyambutku pergi-pulang kerja. Burung-burung riuh berkicau mengiringi pagi ku. Kabus menyelimuti perjalanan ku ke pejabat. Petangku pulang disambut kehijauan pokok bersama biru langit yang menjadi latar kehidupan di sini. Aku kian tidak betah tinggal di kota. Ini ruangku.

Bukankah ini nikmat kita yang hilang?

*nak cerita tentang buku, terlajak ke benda lain pula

Khamis, Mei 22, 2014

Rabu, Mei 21, 2014

Sistem

"You looks familiar."

Saya yang sedang mencapai spaghetti melopong memandangnya. Perlahan-lahan spaghetti yang sedang diceduk, mendarat ke pinggan. Hampir-hampir sahaja tadi terlepas dari pegangangan.

"You study UIA?" Saya angguk.

"Task Force Rakan Muda?" Ya, saya  angguk lagi. "Tuan?" Soal saya dengan nada hormat. Dia hulur kad. Tak dapat saya teka siapa dia. Senior, mungkin. Tetapi namanya tidak berdaftar langsung dalam memori saya.

Dia duduk bertentangan saya, mula mengunyah sambil saya cuba menyelak ingatan. Siapakah dia. Kalau Task Force Rakan Muda, mana mungkin saya lupa semua insan yang ada di dalamnya. Insan yang berjiwa besar dengan semangat kesukarelaan yang menyala-nyala saban masa.

Kadnya tertulis dia adalah Pegawai Kaunseling di sini. Saya masih mengerutkan dahi, dia perasan. "Orang panggil saya nama lain," katanya. Lalu menyebutkan nama panggilannya. O, saya senyum dan angguk. Namanya selalu saya dengar tapi ini kali pertama saya bertemu tuannya. Saya hulur kad. Dia senyummelihat tulisan Jawi yang tertera. Saya sudah biasa, ini selalu berlaku.

"Syarikat ini buat apa?" Saya menerangkan dengan ringkas sambil ulut sekali sekala mengunyah. "Saya dahulu belajar Ekonomi, tidak ada kena mengena dengan apa yang saya buat sekarang." Disclaimer.

Dia angkat bahu. "Ini menarik. Susah nak jumpa orang yang keluar bidang."

"Tapi saya selalu jumpa. Mereka mencari apa yang mereka mahu. Kemudian mereka bahagia dengan apa yang mereka jumpa."

Dia angguk.Perbualan kami lancar selepas itu. Entah macam mana, masuk ke topik serius. Tentang mahasiswa yang menuntut di IPT-nya.

"Mereka diperangkap oleh sistem. Bukannya terperangkap dengan sistem. Mereka tidak mampu untuk keluar."

Saya memasang telinga. Mendengar.

"Saya berhadapan dengan pelajar yang masuk kerana tiada pilihan kursus lain, yang kerana dipaksa oleh ibu bapa. Akhirnya, mereka tak mampu bawa subjek, tak dapat buat assignment, tak boleh hormat pensyarah kerana tidak tahu apa yang mereka mahu."

Ini bukan perkara biasa, ini selalu yang kita dengar.

"Itu belum lagi yang belajar tapi tak tahu apa yang mereka mahu. Tak jelas masa depannya, prospek kerjayanya. Mereka inilah yang menyebabkan berambahnya masalah disiplin di IPT kerana tidak dapat menggunapakai ilmu yang dipelajari dengan keinginan diri. Keliru."

Masalah ini sudah menjadi lumrah. Tapi ya, siapa yang mahu peduli? Bukankah nanti mereka akan tamat dengan segulung ijazah dan menyertai pasaran kerja dengan jumlah tenaga buruh yang melimpah?

"Bukan persekitaran yang salah sekarang ini. Sistem yang telah nyata salah. Sistem telah membentuk mereka untuk duduk dalam tempurung dan mereka tidak mampu menolak tempurung itu untuk mendapatkan cahaya. Mereka telah terperangkap. Akhirnya membeku di situ hingga akhir hayat."

Saya kuis saki baki spaghetti yang tinggal lalu bangun menambah hidangan yang kian racak. Perbualan kami bersambung lagi selepas itu...




Selasa, Mei 20, 2014

Buku: Medan-Medan Dalam Sistem Persuratan Melayu

Buku ini datang dengan judul lengkap Medan-Medan Dalam Sistem Persuratan Melayu : Sanggahan Terhadap Syarahan Perdana Prof. Muhammad Hj Salleh (Sarjana dan Sasterawn Negara). Satu perbahasan yang bernas baik oleh Affandi Hassan meskipun buku ini merupakan sanggahan terhadap syarahan perdana Prof Dr Muhammad Haji Salleh di UKM pada 30 Ogos 1989 yang teks ucapannya diterbitkan kembali oleh UKM dengan judul Puitika Sastera Melayu: Suatu Pertimbangan (1989). Affandi mengemukakan teori Persuratan Baru dalam konteks Sistem Persuratan Melayu bagi menggantikan Sistem Sastera Malaysia yang menyimpang dari sudut pandangan alam, skop, bidang, lapangan pemikiran dan kegiatan dalam kerja kreatif. Beliau mengangkat persuratan sebagai satu aktiviti intelektual yang mencerminkan kerja terhormat yang dipandang mulia dan tinggi. Ini boleh menolak sekularisasi sastera yang tumbuh dalam Sistem Sastera Malaysia yang banyak mengambil teori barat dan sudut padang yang tidak sesuai dengan agama dan budaya kita. Persuratan Baru biarpun dikatakan membosankan dengan gaya khutbah, nasihat, peringatan dan amaran, ia sebenarnya mencerminkan gaya hidup dan gaya pemikiran dalam sesebuah karya. Akhirnya ilmu dan pemikiran dapat disampaikan dengan betul dalam persuratan Malaysia bagi mengubah sikap sambil lewa terhadap konsep ilmu kepada sikap yang lebih positif dan kritis.

Jika dalam Sistem Persuratan Melayu "kelainan" dianggap sebagai satu keanehan, sesuatu yang dihindari, maka dalam konteks moden dalam Sistem Sastera Malaysia "kelainan" itu menjadi ciri penting karya dan juga penulisnya. Dengan itu kita lihat lahirlah para penulis (?) yang tidak terurus, kotor, bohemian, celupar dan cabul mulutnya - dan mereka inilah yang kini bercakap tentang keindahan, kejujuran, kemesraan, keadilan dan sebagainya. Tetapi barangkali kesan terbesar pengaruh "kelainan" itu ialah dalam isi kandungan sastera dan teknik yang dipakai, yang menolak misalnya teknik khutbah, nasihat, peringatan dan amaran. Kehadiran khutbah misalnya sangat dibenci dalam karya-karya kreatif, malah setiap dialog yang agak panjang terus dianggap khutbah. Oleh itu tidak baik. Tetapi kebencian ini sebenarnya mencerminkan gaya hidup dan gaya pemikiran yang memuja "kelainan" tadi. Bagaimana orang akan berkhutbah, memberi nasihat dan sebagainya jika ilmunya cetek, dan cara hidupnya pula tidak boleh dicontohi? Sistem Sastera Malaysia (juga moden seluruhnya) oada hakikatnya mencerminkan kekosongan jiwa penulis dan krisis nilai yang mereka alami. Dan ini mengakibatkan lahirnya sastera propaganda yang dangkal, sastera protes yang sempit (parochial), dan berlambaknya karya-karya lucah dalam masyarakat. (Hal 38) 

Affandi mahu mengangkat Sistem Persuratan Melayu berdasarkan tradisi lama bagi menggantikan Sistem Sastera Malaysia yang dikatakan lebih moden dan hebat.
Inilah masalah ilu, menurut Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas. Ditegasnya bawhawa manusia moden keliru tentang konsep ilmu, sehingga melahirkan keadaan kehilangan adab, yang akhirnya megakibatkan munculnya peimpin palsu dalam segenap palangan dan lapisan masyarakat, Dalam duni ayang kacau inilah lahirnya syarahan perdana Prof Dr Muhammad Haji Salleh. (Hal 43)



Dalam medan cerita, unsur-unsur utamanya ialah peristiwa (kejadian), alur (plot), dan watak, yang disusun secara khusus untuk menjelmakan cerita atau kisah. Latar belakang (atau tempat cerita itu berlaku) meskipun penting, tidak mencirikan medan cerita secara khusus.

Affandi mengangkat hikayat, dengan menampilkan cerita sebagai menghantar pemikiran dan pengucapan pada seniman MelayuIslam. Hikayat padanya ialah salah satu genre sastera Islam meskipun mudah menerima berbagai macam pengaruh. Beliau menekankan pemikiran dan kebijaksanaan kebudayaanMelayu dalam karya yang terzahir melalu ucapan yang halus menggambarkan cinta asmara, kasih sayang, kemsraan, nasihat dan sebagainya. Hakikatnya, inilah yang terdapat dalam
Kita harus tahu seberapa banyak yang terdaya kita mengetahuinya; tetapi kita tidak harus sesat seberapa jauh yang kita mahu.

  


Ada lagi yang ingin dikongsikan tapi tergendala beberapa hari untuk menyambung kata. dan tidak tahu bilakah akan disambung lagi. Memadailah dua gambar ini untuk meringkaskan Sistem Sastera Malaysia dan Sistem Persuratan Melayu.

Sabtu, Mei 17, 2014

Skala besar

Ketika itu saya dan Ummu menunggu dalam kereta di kawasan parkir Hotel Seri Malaysia Ipoh. Kami telah bertolak dengan dua kereta sejak awal pagi dari lokasi masing-masing menuju ke Sungai Buloh, kemudian ke Tanjung Malim, Teluk Intan dan berakhir di Manjoi. Lokasi terakhir tiba pun dah malam, dan yang menunggu pun begitu sabar memastikan kami tiba dengan selamat apatah lagi ketika itu musim hujan lebat melanda menyebabkan pergerakan tidak begitu lancar.

Saya tidak memandu kerana masih belum kebah dari demam yang teruk. Namun begitu duduk di sisi pemandu perlu kemahiran tertentu supaya si pemandu tidak merasa tersisih melihat penumpangnya tidur manakala dia seorang berjaga, selain perlu melawan kantuk dan menunjuk arah jalan. Maka berbakul-bakul cerita keluar dari mulut saya, sehingga sampai satu tahap saya terfikir yang saya terlalu banyak bercakap, tak bosankah mereka?
 Akibatnya, pelbagai cerita yang tidak dirancang pun keluar. Hah, memang ada cerita yang bagus dikongsi, ada yang seeloknya disimpan untuk diri sendiri sahaja. Ada sesetengahnya boleh membangkitkan riak pada diri, atau lebih tepat sum'ah. Kerana ketika itu kita bercerita untuk impress, bukannya to express. Bila tiba-tiba rasa begitu, maka nada suara pun saya perlahankan. Sudah terlebih kongsi rupanya.

Tiba-tiba saya buat pengakuan yang saya tidak pernah pergi ke program agama yang bersifat besar-besaran. Contohnya konvensyen blablaba atau seminar blablabla atau talk dari pendakwah atau penceramah luar yang selalu menjadi tumpuan, misalnya Yasmin Mogahed, Nouman Ali Khan, Shaykh Hamza Yusof, Zakir Naik atau sesiapa sahajalah. Tiada sebab saya nyatakan dan pengakuan itu terhenti di situ.

Ketika ditinggalkan dalam kereta dalam parkir berhadapan hotel, Ummu tanpa diduga bertanya kepada saya tentang pengakuan tadi. Kenapa katanya, kenapa saya tidak berminat untuk pergi. Saya terdiam beberapa detik mendengarkan soalannya. Saya juga bertanya kembali kepada diri sendiri, kenapa? Saya menjawabnya tetapi jawapannya ringkas dan saya tidak pula berpuas hati dengan jawapan itu. Soalan itu bermain-main dalam fikiran beberapa hari dan saya mencari jawapannya. Setelah merasa yakin, saya menghantar mesej kepada Ummu menerusi FB.

Seingat saya, cuma dua kali saya pernah hadiri ceramah berskala besar. Kedua-duanya ketika Tariq Ramadan datang ke Malaysia pada 2012. Ketika itu pun sebenarnya atas kapasiti TFTN yang diundang untuk memenuhi satu meja. TFTN baru ditubuhkan ketika itu dan kehadiran saya adalah bagi meraikan jemputan dan TFTN yang baru membina jaringan dalaman dan luaran. Sesama kami pun masih belum mengenali. Sesi pertama Tariq Ramadan ialah ketika di Renaissance Hotel sempena acara minum petang dan beberapa hari kemudian di UIA pada sebelah malam.

Soalan Ummu itu, antara lain yang dapat saya fahami ialah: jika tak pergi talk, dari mana saya boleh dapat ilmu-ilmu atau maklumat yang sewaktu dengannya, atau lebih tepat lagi tentang hal sekitar agama. Oh,, betul juga. Dari mana datangnya kefahaman saya tentang agama jika menolak program seperti itu? 

Sejujurnya saya menolak kerana saya tidak selesa berada dalam lingkungan ramai. Ada kata introvert. Mungkin juga selected introvert (wujudkah?). Kadang-kadang rasa ok, kadangkala kekok sangat. Ada kalanya terasa hilang dalam ramai dan tenggelam dalam suara. Jika datang ditempat seperti itu pun, saya akan bawa diri sendiri, pergilah ke tempat yang tidak berorang untuk membuang keriuhan. Berada ditempat yang luar dari keramaian adalah untuk refleks balik diri akan segala apa yang berlaku. Memang sejak dulu saya selesa berseorangan atau dalam kelompok kecil. Lebih selesa.

Jadi, dari mana datangnya kefahaman terhadap sesuatu perkara, apatah lagi agama menyuruh kita belajar dengan mencari guru. Namun definasi guru itu pun pelbagai sifatnya, bukan?

Jawapan pertama kepadanya ialah membaca. Membaca dengan buku yang betul. Kalau tak faham, tanya pada orang yang betul atau simpan dahulu soalan hingga bertemu dengan jawapannya di kemudian hari. Ini memerlukan kesabaran yang bukan sedikit Maka jika mahu jawapan yang cepat, perlulah rajin mencari. Doa juga perlu, supaya dipercepatkan kita bertemu jawapan dan diterangkan hati agar mudah faham tanpa rasa keliru.

Kedua, kawan. Perlunya kawan yang betul. Dia boleh menunjukkan dan membantu. Saya tidak pernah mengangkat seseorang itu sebagai sahabat baik tetapi meramaikan jumlah kawan. Dalam keadaan introvert ini pun, saya pastikan ada kawan yang ramai. Maksudnya sentiasa membina dan membaiki jambatan, bukan memusnahkan. Sesekali bertanya khabar. Sesekali hantar mesej dengan sekadar berkata hai. Bukannya ada apa-apa, sekadar nak tahu dia masih ada di situ.

Ketiga, ya, bukannya langsung tak pergi dengar ceramah, ada juga yang pergi tapi saya memilih dalam skala kecil. Kadang-kadang bila tersinggah surau atau masjid, saya duduk kejap dengar tazkirah. Kita ini  bukannya ada masa sangat pun untuk mengikut acara penuh dari awal hingga akhir. Ukur baju di badan sendiri, tetapi bila ada masa ambillah peluang untuk mendengar dengan sepenuh jiwa. Jangan merendahkan keupayaan penceramah jika terdengar dia tergagap-gagap dalam menyampaikan. Usah bersangka buruk dengan pengisian kerana kita ini cetek ilmu, bergurulah tanpa rasa negatif. Berlapang dada akan memudahkan ilmu menyusup ke dalam hati.

Keempat, zaman teknologi sekarang ini, banyak cara boleh dapat sumber ilmu YANG BENAR. Youtube banyak sharahan baik. Ada orang kata tak bagus sebab tak duduk berdepan dengan guru. Tapi dalam keadaan kita terhalang oleh masa, apa yang ada itu gunalah kan? Habib Ali ada video sependek dua minit. Nouman Ali Khan pun sharahannya dalam sepuluh minit. Sewaktu rehat tengahari, dapatlah kita dengar tazkirah ringkas. Kalau ada masa, dengarlah syarahan yang panjang. Radio Ikim setiap jam 5.15 juga menjadi ruang untuk menambah pengetahuan ketika dalam perjalanan pulang. Bila tiada kerja yang perlu diselesaikan lewat petang (atau dah selesai semuanya), saya akan segera pulang bagi mendengar siaran IKIM dalam kereta. Ya, jangan tak percaya.

Kelima, saya ada penyakit selected reading. Ada beberapa blog atau website yang selalu saya jenguk untuk tambah ilmu (insha-Allah, boleh bertambah). Selalunya website Ustaz Pahrol, Ustaz Hasrizal selalu saya keluar masuk. Beberapa hasil penulisan oleh penulis yang baik juga saya ikuti, misalnya Hlovate (jangan tak percaya), Angel Pakai Gucci (baru follow) juga blog persendirian yang saya masuk sesekali. 

Namun yang penting sekali yang tidak saya katakan padanya sebelum ini ialah saya mendapat banyak kefahaman dan tambahan ilmu dari manusia di sekeliling saya. Ketika memandu dan melihat orang jalan kaki, kita akan insaf dengan diri dan berfikir akan nikmat memandu. Ketika menunggang motor dan disimbah hujan, maka saya segera sedar nikmat yang Tuhan sampaikan dalam keadaan basah di atas jalan. Ketika melihat makcik membawa plastik menjaja keropok dari kereta ke kereta saya teringat pada emak di kampung dan berdoa agar makcik ini segera dikurniakan rezeki yang memadai untuk dia berhenti dari menjaja hingga lewat malam. Banyak yang ada disekeliling kita yang boleh dijadikan tanda ingatan. Itulah yang menjadikan saya berfikir tentang diri dan sentiasa muhasabah akan kekurangan dan kelebihan yang ada.

Dengan ilmu yang tidak banyak itulah selalu dapat saya kongsi kepada kawan-kawan bila bertemu. Dari perbualan itu, selalunya mencambahkan perkara lain yang membawa kita untuk berfikir lagi dan lagi. Manusia hidup dengan kisah dan cerita maka kisah dan cerita itu adalah bekalan untuk kita mengubah dan membaiki diri. Saya seorang terbuka dan open to critic, mungkin ini memudahkan untuk saya menerima dan memberi. Saya sudah dinasihatkan kesan-kesan dari sifat ego dan marah dan malas dan bangga diri dari guru positif saya suatu ketika dahulu. Maka atas sifat terbuka dan mudah menerima itu (agaknya), banyak jalan dibuka untuk membetulkan diri. Ini bukanlah sesuatu mudah. Meletakkkan ego ditelapak kaki dan memijaknya hingga lumat. Ia tidaklah semudah kata-kata. Ego itu mudah datang balik mendakap hati, memaksa kita membesarkan diri melalui kata-kata dan tindakan. Kalaulah tidak berlapang dada dan ikhlas, makin besarlah ego itu meraja dihati. Apatah lagi, bukannya mudah memujuk orang yang suka merajuk, melenturkan hati yang keras, menunjukkan jalan pada orang yang degil, berkata-kata pada orang negatif, menarik kawan-kawan pada jalan yang benar, mengajak kepada perkara kebaikan. Ada masanya kita merasa letih kerana terlalu banyak bercakap dan mengorbankan perasaan sendiri untuk menerima makian, cercaan atau jelingan orang lain tetapi jika dahulu Nabi berhenti bercakap, apakah Islam akan sampai kepada kita? Ini menjadi motivasi kepada saya supaya jangan jemu dari bercakap dan mengingatkan.

Sebelum saya melalut lebih panjang menjadi ceramah motivasi, eloklah saya meletakkan noktah di sini. Semoga tulisan ini terhindar dari sebarang unsur riak dan sum'ah dan takbur. Untuk berkongsi, sukar sekali untuk membuang SAYA dari kata-kata tetapi SAYA perlu berkata-kata untuk mengingatkan dan memberitahu.

Noktah.


Jumaat, Mei 16, 2014

Seorang Guru



TFTN merapatkan saya dengan para guru, yang semasa kecil dahulu juga pernah bercita-cita menjadi guru (kerana itulah sahaja pekerjaan terhebat dapat dilihat di hadapan mata) namun menyedari sifat panas baran saya menjadikan saya tukar cita-cita di kemudian hari. Takut nanti ada anak-anak yang menjadi mangsa dera…


Sebelum ini guru-guru di sekeliling saya sekadar menghamburkan keluhan dan kepenatan, seolah-olah pekerjaan lain tiada mendatangkan keluhan dan kepenatan. Sehingga saya terfikir, apa gunanya mereka menjadi guru kalau setiap hari mengeluh dengan beban kerja, perangai anak murid, kelakuan teman guru, kursus demi kursus, birokrasi sekolah, polisi yang berubah dan seribu macam alasan lain. Sepertinya pekerjaan lain seolah-olah tidak ada beban yang berat dan besar. Ramai saya lihat teman bukan guru yang pergi kerja awal pagi dan pulang lewat malam, malah ada yang tidak pulang-pulang kerana kesuntukan masa (antara yang pernah saya alami dahulu). Tapi saya tidak menyalahi keluhan guru. Sesuatu itu berlaku pasti kerana sebab.

Tapi TFTN membawa pandangan lebih jelas tentang profesyen guru. Memang mereka mengeluh, memang mereka terbeban. Mendidik manusia bukan semudah memainkan plastisin bagi membentuk objek. Tambahan pula dengan keadaan masyarakat yang sakit yang melepaskan tanggungjawab mendidik anak-anak pada guru supaya tidak lagi terbeban dengan tugas mengajar anak sendiri. Jika tidak, masakan boleh anak-anak duduk di sekolah dari pagi hingga malam kerana katanya ‘emak saya belum ambil kerana emak saya balik kerja malam’.

Guru dan bakal guru dalam TFTN yang saya temui berjiwa besar dan murni. Mereka melihat masyarakat yang sakit, mereka ingin membantu dan membetulkan. Mereka juga terbeban dengan kerja tapi masih boleh berkongsi hati nurani dengan insan yang memerlukan. Pengalaman yang mereka kongsi saat mengajar anak dalam kelas corot, anak yang merangkak membaca, anak yang enggan belajar English, anak yang tidak tahu memegang pensel, anak yang tidak boleh duduk diam selepas lima minit, anak yang memanjat pokok dan menjeritkan nama kakaknya dari atas bumbung, anak yang bergaduh dan bertumbuk hingga berdarah-darah, atau menemani anak-anak yang dimasukkan ke hospital kerana denggi; semuanya memberikan kesedaran yang bukan sedikit bahawa ‘masih banyak lagi kerja yang belum saya buat’.

Dari tangan mereka, anak-anak ini kemudiannya datang membawa buku dan berkata ‘ajarkan saya membaca’. Anak-anak ini berhempas pulas belajar menulis supaya tidak lagi diketawakan, menghafal sifir supaya matematik tidak lagi gagal, mengulang doa untuk ibu bapa yang sudah tiada, mendengar kisah Nabi sebagai contoh dan teladan diri, mendengar segala macam kebaikan untuk menjauhkan diri dari perbuatan yang jahat.

Guru-guru ini tidak memerlukan ucapan selamat hari guru atau kad ucapan atau hadiah. Cukuplah jika anak-anak boleh membaca, lancar mengucapkan doa, boleh menyebut perkataan dalam English atau terbentuk sifat yang baik dari aura positif yang ditanamkan setiap hari. Kad atau ucapan atau hadiah itu perkara sampingan, yang besar ialah bila anak-anak ini boleh membesar sebagai manusia yang terbentuk sifatnya.

Mereka, guru-guru ini menjadikan saya kerdil bila berada di hadapan mereka.

Ya Allah, jadikan kami hamba yang ‘amil (mengamalkan) setelah ‘alim (mengetahui) ilmu-Mu. Amin

Selamat Hari Guru.

Norziati Mohd Rosman
COO, TFTN

Juga disiarkan dalam website TFTN

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...