Sabtu, Mei 31, 2014

Nuansa Kang Abik


Banyak pula buku Kang Abik di rak. Tapi tak sebanyak buku-buku Pram. Buku Kang Abik dibeli secara tidak sengaja. Bila dikemas nampak banyak. Buku Pram memang sengaja dibeli. Tapi tidak juga nampak banyak

Novel fenomena Habiburrahman El-Shirazi yang berjudul Ayat-Ayat Cinta saya baca ketika novel itu sedang meletup di pasaran. Ketika itu sangat ingin tahu apakah ramuan yang Kang Abik masukkan sehingga sambutannya begitu dahsyat sekali. fenomena novel Islami ketika itu di Malaysia pun sedang naik. PTS memperkenalkan teknik Surah Yusuf dan membranding buku-buku agama dengan cover dan design baharu. Faisal Tehrani (kalau pun orang kata dia menulis novel dan cerpen islami) pun sedang berada di takah tertingginya penulisannya. Tuhan Manusia, Bila Tuhan Berbicara, Bedar Sukma Bidu dan Manikam Kalbu sering disebut-sebut dan menjadi rujukan bahan penulisan yang berteraskan Islam. Sedangkan sebelum itu, Tunggu Teduh Dulu yang disiarkan secara bersiri dalam akhbar Utusan dan dibukukan sudah pun memperkenalkan namanya dalam kelompok penulisan Islami. 

Jadi soalnya, apakah ramuan yang terbaik sebagai sebuah novel Islami? Apakah memadai dengan menghimpun ayat Qur'an, hadis, kisah Nabi dan para sahabat, memakai jilbab dan kopiah, belajar agama dan mengaji Qur'an, menjadi ustaz dan ustazah itu dikira sebuah novel Islami?  

Kriteria sebuah novel Islami sukar dinyatakan dengan jelas. Seperti konsep nasyid - apakah dengan memasukkan ayatQur'an dan hadis dala liriknya sudha dikira sebagai nasyid? Beberapa tahun lalu, ada yang membuat kategori khusus - lagu nasyid, lagu dakwah dan lagu kebaikan. Berbeza darjat dan tingkat pahala agaknya.

Saya membaca novel Kang Abik bermula dengan Ayat-Ayat Cinta - sekali lagi - kerana mahu melihat ramuan di dalamnya. Saya bukanlah pembaca yang mengikut arus. Jika sesebuah novel itu sedang meledak di pasaran, saya menunggu waktu surutnya untuk di baca. Sama juga dengan menonton filem. Kuch Kuch Hota Hai saya tonton selepas dua tahun diputarkan di layar perak. Titanic pula selepas tiga tahun. Hlovate baru saya kenali kini. APG pun baru sebulan dua setelah lama mengenal namanya. Ramlee Awan Murshid saya pernah ikuti dua novel terawalnya, tapi kemudian tak mengapalah, saya baca novel lain dahulu.

Selepas membaca AAC, saya tonton filemya. Ada ulasan ringkas di sini. Ramai membandingkan Kang Abik dengan Hamka. Tetapi apakah Hamka menulis berteraskan apa yang dikata 'novel Islami'? Bagi pembaca Di Bawah Lindungan Kabah dan Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck atau Merantau ke Deli, pasti tahu tiada sepotong ayat Qur'an mahu pun hadis di dalamnya. Jadi apakah benar kita katakan Hamka menulis sebuah novel Islami? Pernah saya nyatakan di sini juga. Novel Hamka yang ditulis pada zaman-zaman awal kepengarangannya itu bukanlah novel islami, tetapi sebuah noel yang bersandarkan adat dan budaya.

Satu persatu novel Kang Abik saya beli, itu pun bukanlah kerana sengaja. AAC kerana mah mencari-cari. Ketika Cinta Bertasbih 1 & 2 dibeli bersama Dalam Mihrab Cinta ketika Gramedia Mines sedang cuci gudang dan membuat potongan 90% (gila! Beraya dengan buku tau!). Siapa tak gembira melihat harga buku kurang dari RM10 sebuah. Memang gila-gila membeli ketika itu. Cinta Suci Zahrana saya beli tiga hari yang lalu selepas terkesan menonton filemnya. Kenapa saya tonton filemnya? Kerana bila idea tidak keluar, kita kena buat perkara yang berfaedah. CSZ antara filem berfaedah yang ada malam itu. Terus saya beli novelnya kerana mahu tahu lebih lanjut. Tetapi percayalah, cuma AAC sudah dibaca hingga selesa. KCB masih tersangkut di tengah-tengah halaman.

Sesuatu yang menarik pada penulisan Kang Abik ialah dia menuliskan sesuatu yang berbeza. Memang asalnya menerusi AAC dia kental memasukkan watak ustaz dan ustazah sebagai pemeran utama tetapi selepas itu fokus dan matlamatnya sudah dialihkan. Abdullah Khairul Azzam dan Anna Althafunnisa dalam KCB meski pun masih membawa sosok ustaz-ustazah tetapi alur ceritanya menjadi cantik. Seorang kawan - pada suatu hari ketika berbuka puasa di rumahnya - berusaha kempen kepada saya agar menonton filemnya. Katanya, 'Kang Abik jelas memasukkan konsep reda. Dia mahu kita reda, sabar dan tabah dalam setiap apa yang kita lakukan'. Saya tidak mahu dia bercakap panjang supaya tidak menjadi spoiler. Sewaktu Aidilfitri, saya menghabiskan dua siri KCB. ketika bertemunya sekali lagi, kam berdiskusi panjang tentang filem KCB.  Memang jelas, Kang Abik menanam konsep reda dalam diri Azzam dan Anna. Dugaan demi dugaan tidak mematahkan jiwa mereka. Allah adalah sepenuh pergantungan. Kita akan rasa terhibur menonton KCB kerana ia dekat dengan jiwa, tutur bahasanya lembut, dialog yang tidak menggurui. Kehidupan masyarakat Jawa di Solo sangat indah (dah saya pun orang Jawa yang tak boleh cakap Jawa). Meski pun filemnya panjang, jiwa kita terasa dipenuhi dengan paparan hidup yan menenangkan, terasa ditarbiyah dalam diam dan tidak dipaksa-paksa.

Dalam Mihrab Cinta membuka sisi pandang baru pada pesantren. Memang banyak novel Kang Abik berkisar pesantren atau santri. Namun dia mahu kita tahu, masuk pesantren belum tentu jadi baik. Kita diuji dan dicuba dengan dugaan. Tuhan sendiri sudah menjanjikan, lebih besar ilmu yang ada, kian kuat dugaan diberi. Menjadi seorang pencopet setelah dihalau dari pesantren tetapi kemudian diangkat menjadi ustaz menjadikan ... keliru. Tuhan ingin menolongnya. Tuhan ingin membimbingnya. Dia harus memilih untuk menjadi baik. Dia harus tinggalkan kecelaruan yang dia hadapi. Sekali lagi, Allah menjadi sepenuh tempat bergantung. Doa tidak putus agar diberi kekuatan memilih dan mengharungi hidup.

Suci Cinta Zahrana pula tentang Zahrana yang belum berkahwin ketika usianya sudah mencecah tiga puluhan. Fokus utamanya ialah menyelesaikan pengajiannya, dari sarjana muda ke sarjana dan kemudian ke doktorat. Pelbagai gelar dan sanjuangan luar dia terima. Tetapi dia gagal menggembirakan ibu bapanya dengan jodoh, sesuatu yang diharapkan oleh orang tua. Setiap apa yang dilakukannya tidak mendapat reda yang penuh dari ibu bapanya. Dalam keadaan dia mahu melakukan pelbagai perkara yang dia inginkan, ternyata dia terperangkap dengan kehendak itu yang sukar sekali dia penuhi. Meski pun dia mencuba, ternyata Tuhan menjalankan takdirnya dalam rahsia. Jodoh yang sudah di kira dekat, rupanya menjauhinya dengan drastik. Kematian demi kematian, doa dan pasrah yang dia serahkan akhirnya membawa seorang lelaki yang sudah ditemui awalnya tetapi menjadi miliknya kemudian. Tabah, reda, sabar adalah resepi Kang Abik juga.

Saya melihat Hlovate dan Kang Abik menghantar pelbagai mesej dalam setiap novel. Hlovate dengan gaya bahasa anak muda tetapi mendalam temanya. Setiap novelnya memberi pesan-pesan yang tidak kita sedari, menyentuh diri dengan wataknya yang pelbagai dan ada kalanya kasar. Kang Abik membawa pembaca membaiki diri, membetulkan apa yang ada dalam diri yang telah kita tinggalkan. Kita punya sifat reda, tabah dan sabar tetapi sejauh mana kita gunakan sifat-sifat itu dalam diri? Dia mahu kita menilai semula diri dan mengajak kita menggunakan sifat-sifat itu sepenuhnya.

Kang Abik mengajak kita menyiram pokok yang hampir mati. Itulah sifat yang ada dalam diri kita, yang tidak kita gunakan tetapi kita pijak-pijak dan simpan sehingga segala sifat mazmumah menjadi pakaian kita.






Tiada ulasan:

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...