Jumaat, Mei 23, 2014

Harapan-harapan dalam rimba

Buku ini ku beli secara dalam talian. Terima kasih kepada Amin Landak yang memberitahuku. Dia tahu minat dan obsesiku pada buku lama dan karya sasterawan. Yang penting, buku lama.

Lama ku cari Rimba Harapan kerana buku ini ada dalam edisi terjemahan sahaja dengan judul Jungle of Hope. Malah aku sendiri tidak mendengar karya tulisan SN pertama ini, Keris Mas. Naif sungguh kerana tidak menekuni karya beliau. Sedangkan sebelum ini Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur telah ku baca dengan begitu takjub - kerana Keris Mas menyampaikan kata-katanya dengan cukup mudah dan ringkas, tanpa ayat panjang dan jargon meleret, tanpa analogi yang melangit. Kekuatan Keris Mas ialah pada teknik, kerana setiap bab yang disusun seperti kita menonton drama bersiri, ada kejutan pada akhir bab menyebabkan kita sentiasa ingin menyelak halaman sebelah tanpa bertangguh-tangguh.

Jungle of Hope ku baca ketika mengajar anak-anak di sekitar kejirananku sebaik sahaja ku tamat belajar dahulu. Ketika itu aku sedang sibuk menghantar resume ke sana ke mari, mencari kerja yang 'sesuai'. Sementara menanti jawapan dan menyesuaikan kembali hidup sebagai orang yang dah bebas belajar, beberapa jiran meminta ku mengajar anak-anak mereka. Oleh kerana aku orang terawal berjaya melepasi pengajian peringkat universiti, yang boleh dikatakan anak-anak terawal dari peneroka yang pindah di tanah rancangan ini, maka aku mendapat kredit yang cukup besar - mereka menghormatiku. Terasa rendah sangat diri bila dipuja puji oleh tetangga, sedangkan aku cuma lebih pada ilmu dan dapat masuk U. Apalah sangat pada ilmu yang tidak seberapa itu.

Jadi saban petang aku mengajarkan seorang dua anak-anak jiran. Kawan adikku yang mengambil SPM tahun itu juga ingin turut sama. Bagi memudahkan urusan mengajar, abah mencadangkan agar aku mengajar di balai raya. Abah berusaha berjumpa kawan-kawannya yang memegang jawatan dalam JKKK dan minta izin dari pengurus. Jadi kemudiannya, setiap malam jam 8.30 hingga 10 malam, aku mengajar hampir 30 orang anak-anak peneroka di balai raya. Termasuklah adikku, yang kebanyakan mereka adalah kawan-kawan dia juga. Berapa yuran yang aku kenakan? Aku sedar peneroka bukanlah berduit, aku mengajar bukan mahu kaya, dan setiap usahaku pasti dengan niat mahu membantu. Balai raya pun percuma, tiada yang perlu ku bayar. Aku cuma keluarkan modal memfotostat dan mencetak, itu pun boleh guna pencetak di pejabat dalam balai raya. Oleh itu, aku cuma caj mereka seorang satu ringgit bagi setiap kali datang. Tuisyen satu ringgit. Tak percaya? Itulah zaman ketika wang bukan jadi tuhan, sekitar 2002.

Mata pelajaran yang ku ajar ialah BM, BI dan Matematik. Teks KOMSAS BM menggunakan Konserto Terakhir yang juga karya seorang lagi Sasterawan Negara, Abdullah Hussain. Jungle of Hope menjadi perhatianku kerana teks ini memerlukan pelajar menjawab soalan dengan markah yang agak banyak juga. Jadi eloklah ku ajar menggunakan teks supaya lebih berpandu dan menarik. Sambil ku terangkan satu persatu maknanya, dapat juga ku cerita tentang suasana di Ketari, Bentong dan Janda Baik pada zaman 1920-an. Dari situ, aku jatuh cinta dengan Jungle of Hope. Kehidupan masyarakatnya dalam hutan, berpindah randah, mitos dan suasana Ketari yang menenangkan. Hutan dan pokok yang sebati dengan jiwaku menjadikan aku begitu terasa dengan segala perubahan yang berlaku di sekitar Ketari ketika penduduk diarahkan pindah. Tersiksa jiwa ku dengan bencana yang berlaku. Indah sekali cara Keris Mas melukiskan alam yang marah pada penduduknya, dan zaman ketika penduduk masih berpindah tanpa menetap dalam tempoh yang lama.

Beberapa tahun kemudian, ketika aku berpeluang melalui lebuhraya Karak menuju ke rumah teman di Lipis dan Jerantut, aku terserempak dengan papan tanda Ketari di stesen minyak Petronas. Agak gembira juga melihatnya, dan ingatan ku segera berbalik pada teks Jungle of Hope, pada gunung dan mitos naga. Aku perhatikan gunung-gunung di sekitar Karak dan Bentong sambil membayangkan kepayahan merek ayang meneroka kawasan ini. Titik peluh mereka membolehkan kita melewati jalan-jalan dengan mudahnya. Teringat juga pada anak-anak yang ku bimbing dahulu, entah ke mana mereka bertebaran agaknya.

Dari Rimba Harapan dan Konserto Terakhir, aku belajar bahawa untuk menulis, memadailah dnegan bahasa yang mudah dan boleh difahami. Apa yang penting ialah apa yang ingin disampaikan. Tekniknya juga boleh membantu mencantikkan jalan cerita. Tetapi dalam Rimba Harapan, aku temui perkara lain - tentang kehidupan orang Melayu zaman dahulu. Begitu jug aku temui diri dan jiwaku, yang dalam hutan, pokok dan kedamaianlah yang menjadi ruang untukku melukiskan perasaanku.

Kerana itulah aku membeli rumah di Semenyih yang nun jauh di pinggir hutan. Kehijauan Bukit Broga dan gunung ganang yang menjadi tulang belakang banjaran Titiwangsa setiap hari menyambutku pergi-pulang kerja. Burung-burung riuh berkicau mengiringi pagi ku. Kabus menyelimuti perjalanan ku ke pejabat. Petangku pulang disambut kehijauan pokok bersama biru langit yang menjadi latar kehidupan di sini. Aku kian tidak betah tinggal di kota. Ini ruangku.

Bukankah ini nikmat kita yang hilang?

*nak cerita tentang buku, terlajak ke benda lain pula

Tiada ulasan:

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...