Selasa, Oktober 25, 2016

Yang sebenar puisi




Aku menyelak lembaran buku A Commentary on the Hujjat al-Siddiq of Nur al-Din al-Raniri karya Prof al-Attas yang baru siap dijilid sendiri. Mataku terpaku pada tiga helai pertama sebelum bermulanya Commentary. Prof al-Attas memulakan kajiannya dengan tiga helai puji-pujian kepada Yang maha Esa dan Khatim al-Nabi, Muhammad S.A.W. Tiga muka surat ini tertulis dalam bahasa melayu, yang lainnya dalam ENglish.

Aku salin di sini, kerana terlalu sedap membaca bait-baitnya. Semoga akan dapat menulis sebaik ini. Amin

---
Dengan Nama Allah
Yang Mahapengasih, Mahapenyayang

Segala pujian bagi Allah nan mahaesa
Yang mahamelipuri semesta semua,
Yang liputanNya menyangkal bicara
Dan Yang bagiNya tiada suatu pun tara.
Mahasuci dan mahamurni
Tiada terketika mahu pun terisi,
Tiada tercuria sebarang peri
Tiada tercapai sebarang budi;
Tuhan Sarwa alam berganda
Yang mengambang hebat diangkasa
Terpamir indah terjelma nyata
Dan yang terbunyi sunyi dalam rahasia
Yang empunya arasy yang mahatinggi
Pemilik kuasa yang mahakawi,
Yang berbuat sekehendak diri
Akan segala sesuatu mahamengetahui
Yang menjadikan kejadian semesta
Mengadakannya daripada hal tiada
Dengan hanya titah sepatah kata
Kemudian memulangkannya kepada asalnya;
Yang memperlihatkan di alam tabii
Aneka tandaNya terlalu sani
Dari ufuk berganda ke diri insani
Menyatakan wajahNya yang mahaali;
Meskipun luhurNya jauh terala
Dari segala cita dan rasa dan indera,
Namun hampirNya begitu mesra
Lebih akrab dari aku dan kita.

Isnin, Oktober 24, 2016

Kitab Jawi dan sedikit pengenalan


Kitab Jawi merupakan tanda aras ketamadunan bagi kerajaan-kerajaan yang wujud di alam Melayu. Penghasilan kitab Jawi dianggap penting bagi menunjukkan bahawa 1) kegiatan ilmu telah berlaku di sesuatu tempat, 2) adanya para intelektual atau ulama yang mengajar/menyebarkan ilmu, 3) kegiatan agama berjalan dengan subur kerana kitab Jawi adalah berkenaan dengan agama (walaupun tidak seratus peratus tentang agama, ia pasti terkait ilmu fiqh, kalam, tasawuf, hadith atau tafsir), 4) wujudnya jaringan keilmuan dari kawasan lain yang datang dari rantaian ilmu yang berwibawa dan berketrampilan, dan 5) alat pendidikan dan penyebaran ilmu khususnya ilmu agama kepada masyarakat di alam Melayu. Apabila dikatakan kitab Jawi sebagai penanda aras ketamadunan, ia adalah terkait dengan Islam sebagai agama yang mendasari kewibawaan kitab Jawi menerusi aspek bahasa dan tulisan. Bahasa Melayu diguna pakai oleh sebahagian besar masyarakat di alam Melayu mempunyai 60% perkataan yang datangnya dari bahasa Arab. Dari segi tulisan, ia adalah menggunakan huruf Arab dengan penambahan lima huruf yang mewakili sebutan Melayu. Oleh itu kitab Jawi menerusi tulisan Jawi dan bahasa Melayu mewakili tamadun Islam yang sememangnya besar dan berwibawa.

Ahad, Oktober 02, 2016

Fikir-fikir sejarah


Membaca sejarah tanahair, kita akan tertanya-tanya akan ketiadaan satu aspek yang penting dalam rakaman sebuah perjalanan bangsa. Sejumlah nama-nama besar yang mewarnai dunia keilmuan tanahair seolah-olah tidak berada dalam susur masa sejarah, seolah-olah kehadiran mereka tidak cukup memberikan kesan kepada sejarah. Lantas ini membawa kepada pertanyaan apakah ulama dan sarjana yang terlibat dalam bidang keilmuan tidak termasuk atau tidak sesuai untuk berdiri bersama-sama barisan nama besar tokoh tanahair? Atau, apakah dunia keilmuan adalah satu bidang yang tidak patut berada dalam rakaman sejarah?

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...