Khamis, Oktober 23, 2008

Was-was

Kadangkala bila kita sudah menetapkan sesuatu keputusan, tiba-tiba ada suara asing datang pada diri, membisikkan sesuatu ditelinga dan mengusik hati supaya timbul perasaan was-was. Suara itu kemudian terngiang-ngiang dan berulang-ulang, meresahkan jiwa, mengurangkan keyakinan terhadap apa yang telah kita fikirkan.

Suara-suara ini datang dari luar kemudian bermain dalam diri. Ia menguasai diri, menimbulkan syak wasangka lalu kita menjadi tidak menentu. Duduk pun tidak tetap, kepalanya serabut memikirkan kemungkinan. Sukar untuk kita menilai tindakan kita ini benar atau salah. Sering terfikir kesan di sebaliknya, dan perkara yang buruk sering bermain di fikiran.

Apa lagi yang boleh kita lakukan saat ini kecuali memohon kepada Allah agar di tetapkan hati ini supaya terus berada dilandasannya, supaya keputusan yang kita ambil ini benar-benar keputusan yang di bawah redhanya, dijauhkan dari perasaan was-was, dihilangkan dari syak wasangka. Maka tetaplah wahai hati agar tidak tersalah pilih, tidak tersilap jalan, tidak terkhilaf panduan. Keyakinan adalah kunci utama. Kita yakin apa yang telah kita putuskan dan yakin akan apa yang diilhamkan.

‘Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Katakanlah: “Aku berlindung kepada Tuhan manusia. Raja manusia. Sembahan manusia, dari kejahatan (bisikan) syaitan yang biasa bersembunyi, yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia, dari jin dan manusia’” [An-Nas: 1-6]


.

Baik Buruk

Selalu-selalu bila berbual kosong, terkeluar cerita tentang untung nasib masing-masing. Ada beberapa orang staff yang masih tinggal dengan ibu bapa mereka sejak kecil hingga kini, tidak pernah merasa hidup terasing. Sudah lahirnya di KL, kerja di KL, maka tinggal dengan famili menjadi kewajipan. Sewa rumah tak perlu fikir, urusan makan minum selesai, kain baju berlipat cantik, bilik pun kemas sentiasa. Semuanya diatur indah, di jaga rapi di bawah kawalan ibu bapa. Kalau ibu bapanya bekerja, maka anak yang tertua menjadi pengganti ibu bapa, menjadi mata dan telinga supaya adik beradik yang lain sentiasa di bawah kawalan, tidak terlepas dari jagaan dan sentiasa melaporkan perkembangan adik-adik. Kemana-mana mereka sentiasa bersama keluarga, sejak kecil hingga dewasa dan setiap perlakuan adalah diatas kesedaran ibu bapanya.


Bagi orang yang begini nasibnya, agak mudah hidup dibawah ketiak isteri ibu bapa. Dari segi kos, banyak yang dapat dijimatkan. Mereka boleh berkongsi rasa, bertukar pendapat secara langsung, dan bergelak ketawa, bersedih dan berduka, bergembira dan bersenda bersama. Tiada apa yang dirahsiakan, semuanya adalah milik bersama. Ibu bapa dapat melihat perkembangan anak-anak serta merasai proses tumbesaran mereka dihadapan mata, apatah lagi bila menjelang usia remaja hinggalah dewasa yang penuh cabaran dan dugaan.


Di pihak yang satu lagi, ramai juga yang meninggalkan kampung halaman untuk menggadai hidup di tempat orang. Bagi ibu bapa yang berada dikampung atau dikawasan luar bandar, mereka perlu berhijrah ke bandar untuk menyambung nasib. Ada berhijrah sejak dari belasan tahun, tinggal di asrama, kemudian melanjutkan pelajaran dan meniti alam pekerjaan. Semuanya atas kekuatan diri sendiri dan atas usaha sendiri. Ada yang gemar menghubungi keluarga dan menceritakan perkembangan diri setiap hari. Ada pula yang bercerita perkara yang penting sahaja, bukannya melaporkan tindakan setiap saat. Selalu-selalu, mereka mengambil keputusan untuk tidak menceritakan semuanya. Ada yang tidak langsung diceritakan, ada yang tidak perlu di bualkan, ada yang perlu di sorok dan ada yang cuba merahsiakan. Disinilah pentingnya perasaan tanggungjawab dan sikap amanah. Ibu bapa mana yang tidak risaukan anak diperantauan biarpun sekadar satu jam perjalanan jarak mereka. Mereka mengharapkan anak-anak berlaku jujur dan tidak sekali-kali menipu, biarpun apa yang mereka ceritakan itu kadang kala sukar untuk dipercayai seratus peratus. Tetapi bila sudah berada jauh dari mata, hanya keyakinan pada anaknya dan penyerahan terhadap Tuhan adalah penyedap rasa supaya anak-anak ini di jauhkan dari sebarang perkara buruk. Doa ibu bapa manalah yang tidak direstui Tuhan?


Bila sudah jauh dari keluarga, jauh dari kawalan dan kongkongan, maka bukan sedikit perkara buruk yang berlaku. Kurang suara menegur, kurang juga kata nasihat. Mengharap kepada kawan-kawan apalah sangat, itupun jika bertemu dengan kawan yang boleh membantu. Jika ia kawan yang menghancurkan, maka kesannya tidak dapat digambarkan. Resam anak muda di perantauan, mereka seolah mahu mencuba semua perkara. Maka melengkapi diri saat ini hanyalah iman yang dipasakkan dalam diri sebagai pedinding kepada perkara yang tidak dingini.

Tetapi kedua-duanya ada baik dan buruk. Apa yang penting ialah bagaimana mereka didik pada awalnya. Memberi contoh yang baik kepada anak-anak, mengajar mereka erti kepercayaan kepada Tuhan supaya mereka mengerti bahawa setiap tindak tanduk itu di nilai dosa pahalanya. Juga kepatuhan terhadap murninya ajaran Islam sebagai agama yang diredhainya, supaya Islam itu bukan sekadar ritual ibadah tetapi menjadi satu cara hidup.


Ya, kedua-duanya ada baik dan buruk. Iman kitalah yang menapis perkara baik dan buruk itu.



.

Rabu, Oktober 22, 2008

Memecahkan halangan mental


Buat pertama kali, saya merasakan kepuasan membaca karya SN Arena Wati. Ya, saya sering mengeluh gagal menghabiskan bacaan atau memahami apa yang cuba disampaikan. Tetapi kali ini Sudara benar-benar membuka mata, melapangkan dada dan membuatkan saya berfikir setiap kali berhenti membacanya. Mungkin usia yang semakin meningkat menambahkan keinginan untuk memahami novel sebegini, ataupun wujdnya keinginan untuk memecahkan halangan mental bagi membaca karya SN Arena Wati sehingga tamat. Ya, ini proses mencabar diri sendiri bagi membaca karya SN Arena Wati yang sering menyebabkan saya surrender. Kali ini mungkin tidak lagi.

Sudara inilah yang menemukan kami bertiga, saya pinjam kembali bersama-sama sepuluh buku yang lain termasuklah Sejarah Melayu yang dicari-cari dan Mevrouw Toga, satu lagi karya Sn Arena Wati. Beraya sambil meminjam buku, dan buku-buku yang saya pinjam ini adalah dalam senarai 'patut baca.'

Oh ya, biasanya kita terima tetamu pada hari raya dan macam-macam cerita yang keluar dari mulut mereka. Yang baik, yang buruk, yang manis, yang kelat, yang masin, yang masam. Kutuk-mengutuk juga puji memuji tidak ketinggalan. Tuan rumah biasanya tidak bercakap banyak, sekadar melayan dan mendengar. Tapi kalau tetamu bergaduh di rumah kita, bagaimana pula? Apakah harus kita halau mereka?

Hmm...

Ahad, Oktober 12, 2008

Krisis ekonomi

Saya sudah banyak kali menggoggling perkataan subprima, subprime, krisis kewangan serta berusaha memahamkan sistem kewangan kapitalis AS. Sambil itu saya membongkar kembali nota-nota lama berkaitan kegawatan ekonomi negara pada 1997/8, isu bail-out, polisi kerajaan vs 'dasar maya IMF', membaca lebih banyak tentang sistem matawang dan dollar peg, serta membezakan tindakan bail-out kerajaan AS dan Malaysia.

Perkara utama yang menjadi masalah ialah dahulu saya belajar dalam bahasa omputih, dan sekarang saya perlu memutar kepala mencari maksud perkataan dalam bahasa ibunda. Agak payah juga kerana dikhuatiri boleh salah terms, jadi saya terpaksa bekerja keras mencari sumber bacaan ekonomi dan kewangan dalam BM. Dalam usaha mencari, barulah saya sedar bahawa kita kekurangan sumber bacaan dan rujukan dalam BM untuk isu ekonomi dan kewangan. Banyak dalam English. Jadi layman dan orang-orang yang buta ekonomi dan kewangan amat susah nak memahami sebarang isu yang timbul. Kena baca berkali-kali, kena tanya ramai orang juga merujuk pada buku dan bahan bacaan yang tertentu. Mujurlah ada internet, tetapi jika di Googglekan pun, berapa ramailah agaknya yang faham.

Mujurlah saya ada sedikit ilmu ekonomi, dan ilmu sekelumit itu membantu saya memahami isu-isu yang ada. Jadi, untuk saya yang dahulu rasa tak berkenan nak apply ilmu ekonomi di lapangan masyarakat, rasa terpanggil untuk mendalami kembali semuanya yang dah tertinggal di buku. Enam tahun tak sentuh, jadi dah banyak yang lupa. Kalau tak apply secara direct, pastinya ada cara lain yang boleh saya lakukan untuk memahamkan masyarakat.

Kalau satu jalan dah di tutup, cari jalan lain. pasti ada.

.

Jumaat, Oktober 10, 2008

Selepas Ramadan

Bulan Ramadan sudah berlalu. Syawal menjelma dan Aidilfitri yang dinantikan pun tiba. Masa untuk bergembira, pakai baju baru, tayang langsir baru, tunjuk rumah baru, pesta makan rendang ketupat, undangan rumah terbuka, masa kumpul duit raya [untuk budak-budak] dan masa untuk ibu bapa dan orang bekerja mengongak dalam kepala duit raya yang nak di beri dan baki yang ada untuk hidup sebelum gaji akan datang.

Aidilfitri sangat dinantikan ketika bulan puasa. Jadi, berapa ramaikah antara kita yang benar-benar menghayati Ramadan, mengejar lailatul qadar dengan berjaga di penghujung malam dan menghabiskan terawih dengan sempurna tanpa tinggal terutama diakhir puasa? Berapa ramaikah diantara kita yang sibuk mengejar harga runtuh di bazar Ramadan tanpa mempedulikan sahur dan imsak supaya dapat beli baju raya pada harga yang murah? Dan berapa ramaikan antara kita yang dapt menghayati Ramadan dengan sebenar nikmat, mengharapkan keampunannya dan limpahan rahmat yang di kurniakan Allah di bulan yang datang hanya sekali dalam setahun ini?

jawapannya hanya kita yang tahu...

Saya dapat cuti agak panjang kali ini, hampir sepuluh hari. Saya kurang beraya, setakat bawa emak abah balik kampung jumpa saudara mara atau melayan jiran yang berkunjung dan kemudian membalas kumjungan mereka. Tapi kali ini kurang meriah. Saya beraya di rumah jiran sebelah. Satu sahaja. Itupun kerana ramai yang balik kampung. Jadi saya beraya dengan buku, terutamanya Bedar Sukma Bisu yang amat mencabar pengetahuan ekonomi saya. Selain daripada itu, masa dihabiskan dengan makan dan tidur.

Selamat Hari Raya. Maaf jika ada menyinggung mana-mana pihak.

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...