Rabu, April 22, 2009

Jangan Pilih Jalan Hitam

Seingat saya, isu bohsia mula wujud ketika saya di sekolah menengah, sekitar pertengahan 90-an. Ah, apa nama pun ia di sebut, seperti selesema babi menjadi selesema khinzir, ia tetap busuk. Mengapa tidak terus di sebut pelacur?

Filem Bohsia, mendengarkan tajuknya sahaja sudah menjijikkan, apatah lagi melihatkan trailernya di kaca televisyen. Saya tidak faham mengapa perkara yang buruk selalu di bawa naik mengatasi kebaikan. Mengapalah mereka yang dikurniakan kelebihan wang dan akal dalam dunia seni tidak mampu melahirkan inisiatif melahirkan cerita yang baik. Mengapa harus menjadikan kejahatan, kebusukan, kekejaman sebagai tema utama? Apakah sukar melahirkan kebaikan, keluhuran....hmm...

Oh, saya lupa. Memang itulah yang kita minat. Kita gemar mendengar berita buruk tentang orang. Kita suka bercerita pasal orang lain. Cerita tu pula bukan yang baik-baik, mesti yang buruk-buruk. Ala-ala mengutuk, mengumpat atau mengeji. Lagi teruk pasal orang tu kita dengar, lagi suka hati kita, lagi seronok. Lebih-lebih lagi bila dia terus jatuh dan terduduk. Tiada harapan untuk bangun. Dan kita rasa gembira. Begitukah?

Mengapa agaknya kita di minta menilai sendiri kebaikan yang ada dicelah-celah kebusukan yang amat buruk seperti dalam filem ini. Kenapalah kita di minta memikir sendiri perkara yang sepatutnya boleh di zahirkan dengan mudah, tanpa perlu berpusing kepala mencari dan menyelongkar. Tunjukkan terus yang baik, bukankah mudah.

Oh, saya lupa lagi. Dalam sehelai kain yang putih bersih, kita akan cari titik yang hitam biarpun ia sebesar hama. Kain yang besar yang putih bersih tu langsung tidak kita nampak.

Oh.oh.. saya lupa.

.


Isnin, April 20, 2009

Laporan Pesta Buku 2009 - Siri 1


Pesta Buku 2009 sudah bermula. Ahad lalu, saya menjejakkan kaki ke PWTC. Hajat mahu melihat-lihat, berjalan-jalan tetapi sempat juga membeli beberapa buah majalah sebagai bacaan tambahan dan mencerna ilmu dan idea. Kemudian ke Forum Sai Fai (sains fantasi, saya selalu terkeliru dengan sains fiksyen). Ahli panel ialah Ahmad Patria Abdullah, Nizam Zakaria, Firdaus Ariff dan sekuntum bunga, Nisah Haron.


Saya tidak minat genre sai-fai, sama ada berbentuk bacaan atau visual. Tanyalah apa sahaja bentuk cerita, Matrix, Lord of The Rings atau Harry Porter, tak pernah habis saya tonton. Apatah lagi buku. Harry Porter yang saban tahun saya hangkut dari Pesta Buku untuk adik tak pernah pun habis dibaca walau muka pertama. Mungkin kerana tidak berapa mendalami sains apatah lagi menyelami dunia fantasi, tetapi saya tahu amatlah rugi jika terus mengenepikan genre sains fantasi. Terima kasih kepada PTS yang menganjurkan forum yang amat berilmu dan bermanfaat dengan ahli panel yang begitu berpengalaman melontar idea dan pendapat.


Penulis is the worst job ever (in Malaysia). Orang yang menulis di Malaysia ialah orang yang sayangkan penulisan - Ahmad Patria Abdullah


Pengarang harus ada dua – jatidiri dan ideologi - Nisah Haron


Inggeris ketika menjajah tidak pernah usik tulisan jawi atau bahasa Melayu, tetapi selepas merdeka orang kita sendiri (Melayu) sendiri yang bunuh tulisan jawi dan (akan) hapuskan bahasa Melayu - Nisah Haron


Sastera di PTS adalah mencipta realiti – Pn Ainon


Kita telah dikotak-kotakkan oleh penjajah. Kita harus keluar dari kotak itu. - Nisah Haron


Siri kedua Laporan Pesta Buku akan di terbitkan menjelang berakhirnya Pesta Buku.


.


Sabtu, April 18, 2009

Kau

Kau pernah kata yang hidup ini penuh gelisah, penuh resah. Maka setiap duga yang hadir dalam diri kau anggap sebagai pengacau, tidak pernah cuba untuk membantu atau menenangkan. Kau juga selalu anggap perjalanan hidup kau telah ditetapkan dengan penuh kacau, penuh duri.

Kemudian kau datang lagi mengadukan hal yang lain. Tetapi penghujungnya bukankah sama - hidup yang penuh gelisah penuh resah. Kau juga yang menetapkannya begitu, maka itulah yang kau dapat. Itu yang kau tanam maka itulah yang kau tuai. Tiada guna kau mengadu, bercerita andai kau sendiri berpendapat hidup kau penuh gelisah penuh resah.

Mahu aku katakan apa lagi kepada kau?

Jumaat, April 03, 2009

Patah balik

Kereta, bila sudah sampai tempoh untuk di baik pulih, di servis atau sudah keluar bunyi yang tidak sedap di dengar telinga, cepat sahaja tuannya hantar ke bengkel. Tengok bahagian mana yang longgar, mana yang tercabut, apa yang perlu di ganti, minyak apa yang perlu di tukar. Seboleh-bolehnya mahu dipastikan kondisi kereta sama sewaktu di beli, walhal langsung tidak di sedari yang tiap sesuatu yang baru itu pasti akan bertukar buruk, usang atau rosak.

Rumah, seboleh-bolehnya di cantikkan sebaik yang boleh. Paling tidak menjelang raya, di cat kembali, di tukar langsir baru, di beli perabot baru, tukar susun atur perabot, hiasan dalaman di tambah, atau bagi yang berkemampuan, melakukan renovasi dan menambah ruang-ruang tertentu dalam rumah supaya lebih besar, cantik dan menarik.

Tetapi kenapa ya, iman kita di biarkan tahap begitu. Tiada usaha untuk servis, baik pulih, renovasi...



Satu soalan kepada diri sendiri

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...