Selasa, Oktober 20, 2020

To begin with

Tadi, sebaik selesai sharahan SNL dalam talian, aku buka kembali ig yang sudah lama ditinggalkan. Usianya Mei 2014-September 2019. Cukup-cukup mengisi tempoh pengajian empat tahun. Menjadi saksi perjalanan kesarjanaan. Tempat mencatat nota kuliah. Buku yang dibaca. Ruang menuturkan apa yang terlintas. Mencurah perasaan. Berkongsi harapan. Catatan perjalanan. Keluh kesah sepanjang pengajian. Ruang ekspresi diri. Saksi kepada usaha menulis tesis dari peringkat proposal, presentation, viva dan submission. Perjalanan ini awalnya aku rahsiakan kerana tidak mahu terbeban dengan pertanyaan. Selepas dua semester barulah mula mewar-warkan. Inilah juga tempat air mata tumpah dan peluh mencurah. Ia perjalanan penuh warna warni. Banyak membetulkan dan membaiki diri. Membawa aku kenal akan diri. Mengajar aku kembali kepada akar dan hakikat diri.


 Bila aku baca semua status, rasa seronok kerana ada catatan. Tapi apakah aku sedia melaluinya lagi? Ig ini sudah aku tinggalkan selepas convo pada April 2019. Aku tak rasa nak hidupkan semula. Niatku, bila nak mulakan Phd, aku akan kembali menulis di sana. Entah bila, tak tahu 🤭

Isnin ini semester bermula dengan dalam talian angkara COVID-19. Aku daftar tiga subjek. Ada rasa semangat kali ini. Kenapa? Kerana selepas dua tahun - sejak submission  pada 2018, aku rasa naik kapal tanpa haluan. Kosong. Lost. Hilang. Penat. Aku mahu kembali belajar. Walaupun tanpa ada apa yang aku genggam. Mahu mencari diri yang hilang. Mahu kembali tunduk dan merendah.

Semoga capaian internet berpihak padaku untuk terus belajar dan belajar. Bismillah 

#backtoschool

Selasa, Oktober 06, 2020

Berguru kepalang ajar

Saya selalu berdoa agar dapat peluang berguru dengan seorang editor yang tersohor ini - yang kurang dikenali akan kehebatannya — tetapi pastinya jauhari mengenal manikam. Pengalamannya dalam dunia penyuntingan (dan penerbitan) bukanlah calang-calang. Pernah beberapa kali saya mendengar cerita cara beliau menyunting yang hasil kerjanya yang menimbulkan keinginan untuk mencari peluang yang awalnya dirasakan mustahil.


Pada suatu hari yang cukup baik pada minggu lepas, saya menjemputnya ke pejabat selepas selesai menghadiri satu majlis bersama-sama. Ruang yang terbatas itu saya ambil untuk menceritakan apa yang kami lakukan sepanjang tempoh sepuluh tahun berada dalam dunia penerbitan bersama Akademi Jawi Malaysia. Satu demi satu buku dibawa turun dari rak, disusun di hadapannya. Semua buku ini beliau pegang dari kukit ke kulit. Beliau mencium bau buku, membelek sampul kulit, merasa jenis kertas, mengukur saiz font, dan rupagaya cetakan pada sampul.

Seribu satu soalan ditanya - tentang margin dan sentak, perengganan, tentang ejaan, perumian, saiz kertas, berat kertas, pilihan kertas, penjilidan, mengapa begitu, mengapa begini. Semua yang ditanya bukanlah kerana beliau tidak tahu tetapi mahu melihat mengapa kami melakukannya sedemikian rupa. Jawapan yang diberi ternyata memuaskan dan menyebabkan beliau faham akan keyakinan kami melakukan gaya sedemikian pada penerbitan turath yang pada awalnya beliau seolah tidak bersetuju.  

Pernah sekali dalam satu mesyuarat bersamanya dua jam pertama diperuntukkan bagi membaca dan membetulkan minit mesyuarat lalu yang saya siapkan. Saya lihat bagaimana beliau membaca, merenung, dan mempertimbangkan penggunaan kata-kata pada ayat yang disusun. Mengapa perkataan ini dan bukannya perkataan itu. Mengapa letak titik dan bukannya koma. Setiap perkataan padanya ada sebab digunakan, bukan boleh dimasukkan secara semberono. Minit mesyuarat tak sampai dua muka surat mengambil masa dua jam untuk disahkan bersama suntingan. 

Paling penting yang disampaikan ialah penerbitan bukan berkenaan berapa banyak judul yang dicetak tetapi judul yang boleh dicetak berkali-kali. Misalnya satu judul boleh menjadi pelbagai edisi - paperback, kulit keras, edisi mewah, edisi jimat, edisi ringkas, edisi kanak-kanak dan sebagainya. Setiap penerbitan ini ada khalayak peminatnya dan ini akan memberi lebih pilihan kepada pembeli, bukan sekadar judul baharu. 

Sepanjang pertemuan itu, dapatlah saya faham sedalam-dalamnya bahawa editor bukan semata-mata atas dasar titik, noktah, huruf dan ayat. Editor ialah keseluruhan buku yang dipersembahkan. Editor ialah wajah kepada buku yang dikerjakannya. Editor berada dalam buku, dalam setiap proses buku - sejak dari proses pemilihan naskhah hinggalah sampai ke tangan pembeli. 

Saya menanti peluang berguru dengannya. 

Cuma berani ambil gambar curi. 

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...