Isnin, Januari 30, 2012

Bidak di atas papan catur

Dalam pidato umum sempena Anugerah Sastera Negara yang dikurniakan kepada SN Dato' Abdullah Hussain, beliau memperkatakan beberapa perkara seputar sastera Malaysia yang saya kira amat menarik untuk difikirkan. Dalam ucapan tersebut, beliau tidak banyak memperkatakan tentang dirinya sepertimana yang selalu dilakukan oleh orang lain bila di beri peluang bercakap tentang diri sendiri sebaliknya lebih selesa menggunakan ruang tersebut untuk menyampaikan apa yang dirasakan perlu terhadap sastera tanahair.


Dalam menyentuh soal pengkaryaan yang selalunya akan membezakan penulis dahulu dan sekarang, beliau mengambil kira struktur masyarakat yang sudah berubah sebagai penyumbang utama. Jika dilihat pada zaman dahulu, kehidupan masyarakat kata beliau tidaklah kompleks seperti sekarang. "Masyarakat ialah unit sosial yang besar. Nilai yang hidup dalam masyarakat seperti kepercayan beragama,budi bahasa dan adat resam sangat dijunjung tinggi, maka dalam unit sosial yang besar itu ikatan antara anggota keluarga cukup kuat sehingga ada kawalan yang tidak bertali."


Kataya lagi, "anak-anak bukan hanya menjadi tanggungjawab ibu bapanya sahaja, tetapi menjadi tanggungjawab keluarga besar itu. Tidak ada perilaku anggota yang menyimpang daripada norma yang sudah ada, maka akan ada orang yang menegur, memberi nasihat, mengingatkannya atau memberi ancaman. Apalagi melakukan hal-hal yang menjadi tabu seperti perbuatan-perbuatan yang boleh menimbulkan aib kepada keluarga besar itu. Jadi melakukan  apa pun, apalagi yang melanggar aturan moral akan dapat diketahui dengan segera. Oleh sebab keadaan kehidupan yang tidak begitu kompleks maka para penulis kreatif tidak mempunyai banyak pilihan dalam soal tema yang akan digarap dalam penulisannya. Tema-tema yang berkaitan dengan perbezaan darjat dan kahwin paksa menjadi popular dan dianggap sebagai satu komodikt lokal yang laris".  


Oleh sebab itu, beliau berpendapat peringkat awal dunia sastera di Malaysia tidak terlalu terbuka dan terhad kepada isu yang kecil meskipun mereka dari lepasan MPSI, sekolah pondok atau terdedah dengan bacaan dari timur tengah (dengan merujuk kepada reformis Islam seperti Jamaluddin al-Afghani dan Muhamad Abduh). Tetapi kemudian, semakin masyarakat berubah menjadi moden dan institusi kekeluargaan yang dikatakan tadi sudah kurang ikatannya, maka lebih ramai anak-anak melanjutkan pelajaran, keluar dari kampung dan berhijrah. Saya setuju dengan pandangan beliau. Apabila tradisi 'hidup bersama keluarga' dipecahkan, maka anak-anak ini melihat dunia dari perspektif berbeza dan mula mengenali erti hidup yang sepatutnya mereka nikmati. Maka lahirlah golongan yang agresif memperjuangkan pendapat, cubaan memastikan kehendak mereka tercapai dan suara didengar oleh golongan tertentu. Keadaan ini menyebabkan lahirnya novel seperti Anak Mat Lela Gila, Putera Gunung Tahan, Iakah Salmah atau artikel berupa kritikan dan puisi yang berunsurkan kemarahan dan ketidakpuasan. Ia sekaligus menyebabkan bangkitnya semangat kebangsaan yang berkobar-kobar dalam usaha melepaskan diri dari cengkaman penjajahan.


Membaca buku Sastera dan Kemanusiaan yang menghimpunkan pidato umum dan pidato Penerimaan Sasterawan Negara dan Nasionalisme Dalam Puisi Melayu Moden 1933-1957 sebenarnya memberi satu kefahaman akan usaha-usaha melepaskan diri dari belenggu kemiskinan, penjajahan menerusi mata pena yang selalunya dilihat sebagai golongan pendesak terhadap kerajaan. Cuma, kita dapat melihat disini ada usaha mematahkan semnagat nasionalisme yang sebenarnya lahir dari orang dalam itu sendiri. Dengan kata lain, orang-orang dalam kerajaan, yang bekerja kerana mendapatkan gaji dan pekerjaan adalah orang yang menjadi api dalam sekam dan gunting yang selesa duduk dalam lipatan. Mereka hadir dengan niat bekerja, maka dalam usaha memastikan kedudukan mereka selesa tidak ada gangguan, merekalah yang mengacau kelompok pendesak ini dengan menghumbankan mereka ke penjara kerana di tuduh komunis dan subversif.


Teringat saya dalam satu seminar yang saya sertai awal tahun ini. Golongan bangsawan seperti pihak istana dan pekerja kerajaan sebenarnya adalah ejen penjajah. British berhasil mempergunakan mereka dan mengambil kesempatan atas kelemahan tersebut. Mereka sendiri tidak sedar di permainkan. Seperti bidak diatas papan catur.

Jumaat, Januari 27, 2012

Seorang Abah

Membaca Sang Pemimpi dan kemudian menonton filemnya kira-kira enam bulan yang lalu membawa saya menjejak sosok seorang lelaki yang menjadi kepala keluarga - ABAH. Berapa banyak saya cerita tentang abah, berapa banyak saya difikirkan tentang abah?

Abah punya sikap tipikal lelaki Melayu - tak banyak bicara. Dalam sehari, sepatah dua sahaja suaranya mencecah cuping telinga kami. Dia bercakap apabila perlu. Dia menegur sepintas lalu. Dia tahu waktu yang sesuai untuk bercakap. Dia tahu apa yang patut diperkatakan. Tapi kami tahu, dia seorang yang abah yang baik, abah yang prihatin, yang sebenar-benar abah buat kami. Dialah tonggak kekuatan keluarga, menjadi tiang utama yang menunjangi kehidupan kami.

Diamnya abah menjadikan saya seperti tidak tahu berbicara apa dan bagaimana dengannya. Sewaktu dibangku sekolah, saat nak menunjukkan buku laporan, saya menjadi tidak keruan untuk mengunjukkan kepadanya meskipun tidak ada keputusan yang mendukacitakan. Nak serah buku, mahu cakap apa? Abah bukannya marah pun. Tapi saya jadi salah tingkah. Maka saya serah begitu sahaja. Dan abah belek depan belakang sebelum tandatangan. Dan sikap diam abah itu kemudian tertumpah banyak pada diri saya.

Selalunya emaklah menjadi orang tengah. Kalau mahu duit untuk beli buku atau bayar yuran, saya beritahu emak dan emak sampaikan pada abah. Abah pun berusaha mencari duit tambahan. Biasanya membawa getah untuk di jual ke luar. Atau mengambil duit mingguan di pejabat yang selalunya abah kumpul hingga hujung bulan. Abah serah pada emak dan emak pun beri pada saya. Lalu komunikasi saya lebih banyak dengan emak meskipun tidaklah banyak mana saya bercakap. Saya sendiri pun senang mengunci mulut, menanam emas sehingga ranum.

Tapi saya tahu, abah lebih dari seorang abah. Pernah juga dia bercerita sekolahnya tak tinggi kerana memberi peluang adiknya belajar. Tapi sempatlah dia habiskan sekolahnya. Mereka cuma dua beradik dari keluarga yang berpisah. Abah kemudian bekerja dari satu tempat ke satu tempat. Tapi saya tahu ilmu abah sangat tinggi.  Adiknya bekerja sebagai pegawai kerajaan dan kini hampir pencen. Kalau abah belajar lebih sikit, pasti dia bukan ditempatnya sekarang. Saya pun entah-entah bukanlah saya sekarang.

Abah pernah jadi guru agama (silibus Johor) ketika kami mula-mula pindah ke tanah rancangan ini. Buku kehadiran pelajarnya selalu saya belek. Dia juga mengajar kami adik beradik mengaji sebelah malam. Ketika itulah kami boleh dengar suaranya, jerit pekiknya kerana kami tak sebut dengan betul. Kami pun tersedu-sedu menangis sama ada kena cubit atau kena tampar. Tapi kami tak pernah pula serik hulur muqaddam esok harinya. Ah, ketika saya mengajar anak jiran mengaji dahulu, cara yang sama saya guna pakai sehingga tersedu-sedu mereka mengaji. Kemudian saya membuat kesimpulan bahawa saya tak boleh jadi cikgu. Itulah jawapan yang untuk orang yang bertanya mengapa saya tak cuba KPLI ketika kawan-kawan sibuk isi borang.

Abah pun arif akan hal ehwal semasa. Bila dia baca suratkhabar, dia boleh buat ulasan hingga saya jadi faham. Dia akan tonton Dunia Jam 10 sebelum melelapkan mata. Dialah yang membuka mata saya akan senario dunia. Sehingga kini, dia boleh patahkan hujah-hujah saya bila kami berbual tentang isu semasa. Tapi sekarang abah dah tak beli suratkhabar atau tonton berita. Meluat katanya.  Dan abah pun tak tonton tv seperti yang biasa orang lain lakukan pada waktu malam sebagai aktiviti keluarga. Kalau dahulu, waktu malam kami sibuk buat kuih. Abah pun tolong sekali. Itulah penambah pendapatan kami yang tak seberapa. Sekarang, dia akan duduk sebentar selepas balik masjid, kemudian masuk tidur. Esok dia bangun awal untuk ke masjid lagi. Kalau tidak pun, dengar ceramah atau kuliah selepas Isyak. Sebab itulah saya pun jadi tak kisah dengan tv, dek tertumpah dengan sifatnya yang tak menjadikan tv sebagai santapan hiburan.

Abah ada banyak kemahiran. Entah dari mana datangnya kepandaiannya, saya tak pernah bertanya. Tapi saya tahu, dia suka mencuba dan tidak putus asa. Itu sikap orang Jawa tulen, yang turut tersimbah pada saya. Saya ingat lagi, abah pernah lukis pemandangan pantai dengan pokok kelapa di sisi kiri menjulang ke langit. Di hujung laut, matahari sudah separuh terbenam. Lukisan besar itu terhampar pada dinding plywood rumah kayu kami. Besarnya dari lantai hingga ke bumbung, lebih tinggi dari ketinggian abah. Enam atau tujuh kaki, mungkin. Menjadi peneman selama beberapa tahun sebelum di robohkan untuk digantikan batu. Saya pun tak kisah bertanya ke mana perginya plywood tersebut. Seperti tidak tahu menilai hasil lukisan besar itu. Bakat melukis ini jatuh pada adik bongsu saya yang memang halus sekali lukisannya.

Pernah juga saya nampak abah ukir kepala burung pada hulu parang yang di bawa ke kebun. Sarung parang pula terukir dedaun yang indah sekali. Seringkali saya belek sebelum abah ke kebun kerana parang itu akan di bawa sekali dalam beg buruknya yang disangkut ke motor. Saya kira, bakat abah ini tertumpah pada angah yang menjadi design architect di sebuah firma arkitek di ibu kota.

Selain itu, saya sering memerhatikan abah selalu mencatat. Setiap kali balik dari kebun, dia akan ambil sebuah diari buruk yang tidak pernah bertukar selama hampir sepuluh tahun. Saya tahu didalamnya abah tuliskan jumlah berat getah beku juga timbangan susu getah yang dihantar ke PMG hari itu. Dari situ, abah boleh buat jangkaan berapa banyak pendapatan bulan itu. Sekurang-kurangnya, abah boleh merancang perbelanjaan untuk keluarga. Nak beli buku, bayar yuran sekolah, duit belanja sekolah, barang dapur dan seribu satu perkara lagi. Bila harga getah jatuh, abah termenung panjang. Bila harga getah naik, ada sedikit calitan senyum di muka abah. Lebihannya akan disimpan. Dia tidak pernah gagal menulis pada setiap hari. Meskipun saya tidak pernah curi-curi baca apa yang ada di dalamnya, saya pasti, ada juga catatan tentang beberapa peristiwa penting yang berlaku dalam keluarga. Hidup berjiran ibarat pasang surut ombak, sesekali terkucil juga. Dan abah pastikan dia membaca suratkhabar setiap hari. Maka kami tidak boleh putus membeli, lalu melanggan akhbar Berita Harian yang sehingga kini menjadikan saya tak boleh baca Utusan Malaysia (meskipun kini dah jarang baca). Abah akan marah kalau tak ada suratkhabar kerana itulah satu-satunya sumber maklumat untuknya. Nak beli buku, tiada kedai yang jual. Duit pun bukannya banyak sangat. Dan saya kita, sifat mencatat dan membacanya itu tertumpah dengan banyak pada diri saya.

Abah juga boleh membaiki kereta dan motor. Dia pernah bekerja di kilang FIAT sebelum kilang tersebut tutup di Johor Bahru. Bersama emak, abah juga pernah bekerja di kilang Steadlear juga di Johor Bharu sebelum dipanggil masuk ke tanah rancangan. Maka kami adik beradik menjadi taksub pada produk Steadler - dengan colour Luna dan pensel 2B belang hitam-kuning hingga kini. Basikal, motor atau kereta selalunya abah perbaiki sendiri. Dia akan hantar ke bengkel hanya apabila kerosakan tersebut memang tidak boleh dibaikinya sendiri. Dan bakat ini tertumpah pada adik ke tiga saya, yang memang jadi tukang pomen motor dan kereta. Cumanya dia tak mahu buka bengkel sendiri. Adik kelima pun sudah menunjukkan bakat yang sama. Motor yang digunakan ke sekolah akan dibaikinya sendiri. Abah yang mengajarnya cara buka dan pasang. Kemudian dia pula buka dan pasang sendiri sehinggalah jadi pandai,

Apa lagi yang ada pada abah? Rumah yang kami duduki sekarang, yang asalnya rumah papan dijadikan batu dengan tulang empat kerat abah. Baru-baru ini dia bercerita pada seorang saudara yang dia buat rumah atas dasar cuba-cuba. Membuat agakkan bancuhan simen, sukatan pasir, air dan kapur. Menyimen sendiri. Naikkan bumbung sendiri. Plaster dinding sendiri. Tapi dengan bantuan adik yang ketiga itulah yang ketika itu baru habis sekolah. Dan dia sekarang selain bergelumang dengan minyak hitam, turut sama bermandi peluh menjadi kontraktor kecil mengambil tawaran menyiapkan rumah di tanah rancangan kami.

Selain kurang bercakap, abah juga kurang berbelanja. Dia sangat penjimat. Dalam almarinya tidak sampai sepuluh helai pun baju. Baju melayu yang dibeli ketika raya, dipakainya untuk ke masjid setiap hari. Itulah menjadi sarung badannya buat beberapa tahun. Baju yang sama,berwarna hijau. Jam yan dipakainya pun sudah retak cerminnya. Asalkan nampak jarum dan betul waktu, abah sarungkan sahaja ke tangan tanpa banyak soal. Ketika saya dapat pinjaman pelajaran, lebihan duit saya belikan jam baru untuk abah. Tapi dia kekok, dan diberinya pada adik. Dia tetap pakai jam lama. Saya belikan juga kemeja supaya dia ada baju untuk ke kenduri kendara, tapi tidak dipakainya dan tersimpan dalam almari dalam tempoh yang agak lama. Dia tidak tahu berbelanja. Kadangkala disuruh beli itu ini, dia tak mahu dan rasa tidak perlu. Cukuplah dengan apa yang ada dibadan. Buat apa berlebih-lebihan. Tertumpah lagi sikapnya pada saya.

Abah juga memperkenalkan saya pada Gila-Gila, satu-satunya hiburan waktu itu. Majalah ini hanya boleh dibeli ketika kami ke bandar dua tiga bulan sekali atau ketika balik kampung dengan bas lompat-lompat bagi membunuh masa akan perjalanan yang panjang. Abah akan baca dan kami ketawa kerana abah sahaja yang faham apa yang dilukiskan. Kami akan baca semula selepas itu. Sehingga kini, Gila-Gila tetap menjadi komik kegemaran walaupun dah tidak membelinya lagi.

Bila dah besar begini, barulah saya boleh berbicara banyak dengan abah. Dan rupanya abah bukanlah seorang pendiam. Dia cuma bercakap apabila perlu. Dan saya jadi rajin untuk bercakap dengannya. Tapi tentang isu semasa, saya masih lagi kelu lidah untuk berhujah. Ada sahaja fakta yang disampaikan hingga mematahkan cubaan saya untuk menandinginya. Meskipun abah bersahabat baik dengan pokok-pokok getah, dia bukanlah peneroka yang bodoh dan diperbodohkan suasana. Dia celik dan faham. Saya bersyukur untuk itu. Dan itulah dia abah saya.


P/s: Adik no 4 bakatnya memasak, datang dari emak. Dia sahaja mewarisi kehebatan emak didapur :-)

Khamis, Januari 26, 2012

Menjadi percaya


Sebelum berbicara tentang Paulo Coelho, saya berulangkali mengingatkan diri bahawa beliau adalah seorang katholik seperti yang diakuinya dengan bersungguh dalam temubual bersama Laura Sheahen dari beliefnet.com di dalam buku The Alchemist versi gambar diatas.

Sebelum ini, saya sedang meragui tentang manusia bernama Coelho. Sekali baca The Alchemist, kemudian melihat kepada judul novelnya yang lain seperti The Zahir atau The Pilgrimage, gambaran awal saya ialah beliau seorang manusia yang sedang mencari. Ibaratnya Tolstoy yang pernah saya cerita disini. Ya, itu adalah pandangan dangkal, pandangan pada sekali kelip. Selepas beberapa kelip berikutnya, saya harus bertaklid bahawa Coelho adalah seorang Katholik yang taat. Bukunya boleh di baca, tapi janganlah sampai memesongkan akidah.

Saya petik perbualan beliau dengan Sheahen. Perbualannya menarik, tapi - sekali lagi - jangan sampai memesongkan akidah. Ini menjadikan saya begitu percaya pada kuasa pena. Ia boleh membina, membangun, menjatuh dan menumbangkan. Hebat!

Your death is always sitting by your side?
By my side, sitting in the chair right in front of me. I see death as a beautiful women.

What is she saying?
She is saying, “I am going to kiss you,” and I say to her, “Not now, please.” But she says, “Ok, not now – but pay attention and try to get the best of every moment because I am going to take you.” And I say, “Ok, thank you for giving me the most important advice in life – to live your moment fully.

Coelho, saya percaya cuba membina keyakinannya terhadap agama dengan menuliskan apa yang difahaminya. Begitu juga kita, menulis apa yang kita percaya dan yakin dengan niat menyebarkan keyakinan tersebut kepada khalayak. Pembaca boleh memilih untuk percaya atau tidak. Atau tidak mahu mengambil kisah akan pilihan tersebut. Samalah seperti gambar diatas. Sama ada mahu percaya atau tidak harganya RM 3, terpulang kepada diri sendiri. Si pemilik asal tentu tidak mengerti apa yang tertulis dalam The Alchemist lalu mencampakkannya ke kedai barangan terpakai lalu jatuh kepada insan yang mengenal manikam. Dialah jauhari, dan dia akan membelek setiap aksara The Alchemist bagi memastikan naskhah ini tidak dicampakkan semula ke kedai buku lusuh yang lain pula.

Agaknya, itu hayat sebuah buku meskipun hasil pena tersebut sebenarnya boleh membina, membangun, menjatuh dan menumbangkan.





Rabu, Januari 25, 2012

Menjadi penyair

Dalam pidato umum sempena Anugerah Sastera Negara yang dikurniakan kepada SN Prof Muhammad Hj Salleh pada 21 Disember 1991, ada dua pesanan beliau yang dinukilkan oleh salah seorang anggota panelnya, Lim Chee Seng. Untuk penyair, harus ambil berat pesanan ini.

Katanya, "penyair melahirkan fikirannya, menggambarkan gerak perasaannya atau melukiskan suasana hatinya. Penyair ialah manusia yang telibat sepenuhnya dalam bahasanya dan mengalaminya dibunyi, dibentuk serta diberi makna. Oleh itu penyair harus merasa akar dan sejarah perkembangannya, jenis pemakaianya, zamannya dan lapis-lapis konotasi yang mungkin dilahirkannya".

Kata beliau lagi, penyair yang baik harus selalu mencari dan mencuba keupayaannya kerana puisi yang baik ialah karya yang asli yang penuh imaginasi dan merdu pula pada telinga.

Jadi, tidak hairanlah sdr Rahimidin Zahari mengatakan menulis puisi bukanlah satu kerja mudah. Tak percaya? Cubalah!


Bagi saya, menulis puisi memang mudah, tapi menyampaikan maksud itu yang payah. Ia tidak semudah fikir dan tulis. Cubalah baca dua puluh buah puisi satu malam, pasti nanti fahamlah mengapa ia jadi susah

Selasa, Januari 17, 2012

Menuliskan sesuatu yang berterus terang

Bagaimana agaknya cara untuk berterus terang dalam karya agar mudah di fahami dan tidak mudah diselewengkan?

Ketika membaca Putera Gunung Tahan yang saya temui di rumah sewa beberapa tahun dahulu - yang saya kira sengaja ditinggalkan oleh tuan rumah bersama buku-buku, perabot, katil, tilam, tv, pinggan mangkuk dan sofa - saya merasa terkejut dengan penceritaan yang berterus terang dalam novel ini. Sesuai dengan zaman tersebut, saya kira ia sebuah novel 'revolusi' yang berani mengkritik dan menegur sikap penjajah dan pembesar (pemimpin) yang sengaja menjadi tali barut dan pengkhianat terhadap rakyatnya.

Persoalannya sekarang, apakah zaman menjadikan kita bersungguh-sungguh berterus terang atau kita perlu bersifat dan bersikap untuk mengubah?

Ahad, Januari 15, 2012

Wah wah wah


Puisi Ramai-Ramai di Central Park ini di baca oleh Sdr Rahimidin Zahari dalam acara Borak Buku bersama Rahimidin Zahari semalam, 15 Januari. Puisinya panjang dan berkajang-kajang. Tapi yang penting ialah bait terakhirnya. Essence-nya di situ. Selamat menghayati!


Ramai-Ramai di Central Park
(Perayaan Hari Sastera Dunia)

Latiff Mohidin

                    1

Wah wah wah
kelmarin hebat sekali perayaannya
ramai-ramai di Central Park
para sasterawan dari seluruh pelosok dunia
datang berkumpul.

Wah wah wah
mereka datang dengan gaya
dengan warna tersendiri
para pendeta novelis cerpenis
penyair kecil dan besar datang berkumpul
ramai-ramai di Central Park.

Boris Pasternak datang dari Molodi
membawa sepasu pohon yang rendang
Inilah aku !   katanya tenang
sambil tersenyum.

Rabindranath Tagore datang berselipar
dan berbaju labuh putih bersih
dia duduk bersila di depan kami
sambil melukis
tapak tangan seorang kanak-kanak
sambil membacakan Gitanjalinya.

Federico Garcia Lorca dari Gordoba
datang berkuda
dengan riang bagai seorang gypsy
sambil memegang salib
sambil berteriak: Duende !  Duende !
kemudian menghilang dengan kuda hijaunya.

Tu Fu datang dengan Li Po (tentu saja)
Tu Fu yang datang begitu jauh dar Lo-yang
kelihatan agak terhuyung-hayang
dengan botol cap anggur di tangannya
sebelum jatuh terlena dia sempat
           mendongak
ke langit Manhattan sambil berteriak:
Oh sungai di syurga !     Cucilah senjata ini !

Dari Peru datang Cesar Vallejo
lewat kota Paris
tepat pada petang hari Khamis
bajunya kelihatan masih basah
kuyup oleh hujan
waktu membaca sajak yang ketiga (3)
di atas batu hitam berlapis putih
wajahnya muram
seolah-olah hatinya masih pilu di atas
kematian adiknya Miquel.

Dari lembah Khurasan datang Umar Khaiyam
diiringi oleh Fitzgerald sebagai pentafsir bebas
sebelum membacakan Rubaiyatnya
sempat juga beliau menyukat suhu dan berat
air serta angin yang cemar di New York.

Herman Hesse datang dengan
abang angkatnya Friedrich Nietzsche
maka berkatalah Zarathustra
dan mengeluhlah Siddharta
maka mereka pun memberi amaran lagi:
Sudah selesai !     Runtuh segala-galanya !
Habis ranap !    
Nol !  Nihil !     tapi tak seorang mendengarnya.

Chairil Anwar juga datang
langsung dari Pasar Senen Jakarta
menunggalkan Miratnya cintanya jauh di pulau
ketika keluar dari gedung buku
di Greenwich Village
rokok kretek masih tersepit di bibirnya
matanya masih merah menyala
bagai mata seekor binatang jalang.


                     2
Wah wah wah
kelmarin hebat sekali perayaannya
ramai-ramai di Central Park
para sasterawan dari seluruh pelosok dunia
datang berkumpul.

Wah wah wah
mereka datang dengan gaya
dengan warna tersendiri
para pendeta   novelis   cerpenis
penyair kecil dan besar datang berkumpul
ramai-ramai di Central Park.

Walt Wittman datang dari perdalaman Amerika
beberapa bilah hilalang tersangkut
pada rambut putihnya.

George Bernard Shaw datang
dengan semangat muda
memakai t-shirt Superman
(dipinjamnya dari Nietzsche)

ala Marck !   katanya berulang kali
sambil menjeling pada seniwati dari Broadway
yang bergantung pada lengannya
bernama Blondie.

Ernest Hemingway sempat pulang sebentar
tidak jelas lewat Paris Madrid
atau Kilimanjaro
yang jelas dia datang membawa senapang patah
dan sebuah lukisan pemandangan
oleh Paul Cezanne.

Dari Rusia Vladimir Mayakowski
           tak jadi datang
kerana muncung pistol masih melekat
pada pelapisnya sebelah mata kanan.

T.S.Eliot datang dengan pakaian paderi
dia duduk saja di atas batu bernama Rock
tak banyak cakap hanya merenung jauh
ke kawasan tanah tandus yang disia-siakan
tapi dia sempat menyampaikan kepada kami
salam dirgahayu: Ezra Pound yang masih
mengikuti kuliah pendeta Confusius
tentang filasafah ekonomi dan kaligrafi -
mengikutnya Confusius itu orangnya
mudah sekaligus rumit.

Dylan Thomas khabarnya datang
untuk kedua kali ke Amerika
kata orang kedatangannya kali ini
adalah satu kesilapan baginya
bagaimanapun
dia tak pernah sampai ke taman ini
kata orang:   sayang sekali   dia tersangkut
di sebuah bar di lapangan terbang Kennedy.

Mishima Yukio datang
membawa pedang samurai
lalu membuat latihan seppuku
di depan sebuah cermin antik (replika Yunani)
di tepi sebuah kolam tak berombak.

Dari Afrika datang bayangan Aime Cesaire
yang sejak Akkad sejak Elam sejak Sumer
memukul tam-tam dan belafongnya
berjalan dan melompat bagai gerak
seekor harimau akar yang hitam dan indah.

                 3
Wah wah wah
kelmarin hebat sekali perayaannya
ramai-ramai di Central Park
para sasterawan dari seluruh pelosok dunia
datang berkumpul.

Wa wah wah
mereka datang dengan gaya
dengan warna tersendiri
para pendeta     novelis     cerpenis
penyair kecil dan besar datang berkumpul
ramai-ramai di Central Park.
Ciacomo Leopardi datang berpedang dan
berselimut baldu hitam dari Recanati Itali
lalu berdiri di tengah-tengah Central Park
menanti cahaya bulan purnama -
Noia !   katanya sambil menarik nafas
sambil mengeluarkan pisau lipat
yang berhulukan gading dari sukunya.

Rainer Maria Rilke datang dari Eropah
dengan sehelai kertas kosong
dan segelas anggur yang garang     itu saja.

Charles Baudelarie datang membawa
sekuntum bunga durjana dari kota Paris
datang berpakaian serba ungu
untuk bertemu dengan Edgar Allan Poe -
Edgar Allan Poe sendiri tidak dapat hadir
dia hanya mengirim sebuah sketsa
berwarna merah darah
sketsa seekor anjing hitam berkepala dua
yang seakan menyalak di atas kuburan
'Aku pergi meneui Lady Ligeia !
Nanti aku di Plolar '
katanya dalam surat kepada Baudelarie.

Fernando Pessoa datang dari Lissabon Portugal
dengan tiga orang sahabat 'sehidup semati'nya
iaitu Alberto Caeiro      Alvaro de Campos
dan Ricardo Reis (seorang doktor dari Porto)
sambil berdiri mereka mencipta
30 sajak spontan
secara bergilir-gilir
di bawah pohon kembangan.

Sadegh Hedayat dari Iran tak jadi datang
kerana Franz Kafka tak ingin ke New York
mereka masing-masing
mengirim seekor kumbang
dan seekor burung hantu yang buta
sebagai ganti diri.

Fyodor Dostoevski juga tak jadi datang
kerana ditahan oleh Anna     isteri mudanya
serta Karamazov bersaudara di Rusia.

Maka kemudian daripada itu
dari Tanah Melayu
datanglah Munsyi Abdullah
hatta merungut-rungutlah ia akan hal bahaya
tikus dan lipas di kota kosmopolitan ini
dan ...
  
musim dingin '69
New York


Nota:
Munsyi Abdullah. Mengapa Musyi Abdullah? Mengapa bukan Punggok (sepeti yang disebutkan oleh Sdr Rahimidin). Dan fikir saya lagi, mengapa bukan Abd Rahim Kajai. Atau Usman Awang. Atau A Samad Said. Atau Keris Mas (penyair ke?). 


Dan mengapa Munsyi Abdullah merungut akan tikus dan lipas? Saya rasa sebab Munsyi Abdullah yang jiwanya separuh barat itu melihat orang putih sebagai bangsa yang moden maka tikus dan lipas tidak sepatutnya ada di kota besar sana. Jadi bila jumpa tikus dan lipas, dia pun merungut dan terkejut. 

Begitulah yang bermain difikiran saya sehingga puisi ini membuai saya ke alam tidur. 




Kredit kepada http://www.esasterawan.net/esasterawan/1_karya.asp?uid=166&ID=3582

Jumaat, Januari 13, 2012

Ini syair!

Mesyuarat dan bising-bising di meja bundar menyakitkan telinga. Terasa ingin keluar saat itu. Mencari sunyi, mencari damai. Tapi, mana mungkin dilakukan. Biadap melawan ketua dengan cara itu. Hanya ketua yang zalim sahaja boleh kita melawan.

Lalu saya tarikan pena pada kertas ada ditangan. Itu sahaja yang ada dibawa bersama. Saya tulis apa-apa yang terlintas. Tentang kapal yang belayar, tentang pelabuhan sepi, tentang nakhoda kehilangan peta, tentang gelombang tiada isyarat, tentang hujan yang tiba-tiba. Mengapa tentang kapal, nanti saya ceritakan. Sang ketua berhenti bicara dan memandang saya yang asyik melakar aksara. Tari pena turut terhenti, memerhatikan matanya yang tajam merenung saya. Di capainya kertas sambil membetulkan kaca mata. Apa yang kau tulis? Tulisan sengaja di karang halus agar saya sahaja yang faham. Tapi ternyata dia masih boleh membaca dengan bantuan kacamata. Dibacanya satu persatu ayat kemudian senyum menyindir.

Ini syair, katanya lalu memulangkan kertas. Saya senyum. Sudah lama tidak dengar orang sebut syair. Lantas teringat pada Ajis, Sudin dan Ramli.

Dia tulis syair!

Saya senyum sambil pipi rasa merah. Buat hal masa mesyuarat itu dah selalu. Tapi kali ini terasa malu bila puisi saya dibaca kuat-kuat begitu.

Hahahaa...

Rabu, Januari 11, 2012

Seteru


rupanya kau adalah seteruku
yang rajin menyiram dingin
pada bara semangatku yang baru bertunas

(biarlah dia menganyam mimpi
tatkala aku gigih mengipas bara
hingga marak dan menyala-nyala)

!0 Januari 2012

Selasa, Januari 10, 2012

Menjadi jutawan

Hakikatnya, nak baca buku sangat senang. Pastikan kita jumpa judul yang catchy dan belek isi kandungan.

Contohnya buku Lima Pelajaran Dari Seorang Jutawan (amaran: tak perlu terjemah semua ayat).
Mula-mula intro mengapa perlu jadi jutawan. 
Pelajaran pertama.

Kedua.

Ketiga
Keempat.
Kelima.

Kesimpulan.
Letak buku.

Senangkan nak kaya! Step-by-step approach yang tak memerlukan kita beli buku pun. Haha!

Terima kasih MPH!

Isnin, Januari 09, 2012

Menjadi demosntran

Hari ini 9 Januari 2012. Ada apa dengan hari ini? 901 sudah jadi sebutan sejak sebulan yang lalu. Dan saya tidak langsung ambil tahu. Setakat baca tulisan marah-marah di facebook dan twitter. Sudah lebih sebulan, atau dua bulan atau tiga bulan saya tak tonton berita. Rasa nak muntah dan segala macam nak keluar dari isi peurt bla dengar isi berita yang berat sebelah. Surat khabar pun selak belakang dahulu. Lebih banyak lihat gambar dari baca berita.

Apa yang berlaku terhadap Anwar, Hassan Ali, Adam Adli, demonstran UPSI, UM dengan NC yang gila ranking, PRU yang kian dekat, sedikit pun tak menggugat diri saya. Tetap juga pergi kerja balik kerja macam biasa. Dan gaji dapat hujung bulan. Persetankan itu semua. Tak ada yang terjejeas. Cuma yang jadi perhatian utama saya ialah kebodohan Isa Samad yang semakin meroyan terhadap tanah-tanah Felda seluruh negara, nak dijadikan Felda Ventures, nak di apungkan ke bursa saham, nak mengglobalkan Felda. Atau dengan kata lain, nak menghapuskan ekuiti peneroka Felda dalam KPF, dalam Felda sendiri. Itu lebih gila dari segala penyakit gila. Gila nombor satu agaknya, seperti kata emak Ikal dalam novel tulisan Andrea Hirata.

Maka bagi memastikan Isa Samad tak teruskan dengan kerja bodohnya itu, terpaksa juga guna kuasa politik. Cari menteri yang boleh bantu. Cari pemimpin yang boleh tolong. Tapi akhirnya, menteri mana pula yang boleh bantu? Menteri seranta Felda yang di lantik bapak Perdana Menteri pun semakin senyap sejak Isa Samad jadi Pengerusi Felda. Jadi, siapa berkuasa sebenarnya? Siapa yang boleh dengar suara peneroka, boleh bantu peneroka yang telah di gula-gulakan dengan duit menerusi pelbagai jenis bonus, insentif, elaun dan bayaran. Yang masuk dalam poket entah berapa sen sahaja. Di dada akhbar memanglah nampak menarik hingga semua hamba rakyat kata peneroka adalah insan bertuah di muka bumi Malaysia. Hakikat sebenar, tetap juga kais pagi makan pagi. Sedangkan getah dan sawit dari Felda menyebabkan kerajaan kaya raya.

Sekali lagi, siapa yang boleh bantu peneroka? Ahli politik? Wakil rakyat? JKKK? Pegawai Felda? Oleh itu, eloklah kita memberontak. Jadi demosntran beramai-ramai. Buat ceramah dan layangkan berita ke setiap rumah peneroka. Bagi semua peneroka faham. Bagi semua rakyat faham. Bagi kerajaan faham mengapa kita tak mahu.

Dan semoga Allah mengurniakan kesihatan berterusan buat Mazlan Alimin untuk menjadi kepala mengetuai gerombolan penasihat kepada peneroka supaya lebih faham dan mengerti

Khamis, Januari 05, 2012

menunggu

sebenarnya, teman
aku menunggu dalam kepanasan
mentari merah tergantung menerjah kulit cerahku
peluh pun menitis dalam celana di bawah kipas perlahan
di sebuah kafe yang penuh asap, bau kopi dan hilai remaja

dan kau, teman
masih belum tiba lagi

Rabu, Januari 04, 2012

baju baru masihi

kalendar masihi pun bertukar baju. tahun baru dengan bunga api memercik di angkasa menjadi penanda hari baru. usia kita pun nanti kan bertambah setahun. masing-masing mula menderetkan azam yang mahu di laksanakan tahun ini. apa yang patut dibuat, apa yang mahu di capai, apa yang mahu di kejar. yang penting nanti, 31 disember tahun yang sama akan di tutup dengan senyuman kerana berjaya menewaskan semua deretan azam. telah menjadikannya kenyataan. telah mengecap semua kejayaan. tapi kalau kita murung bila bunga api memercik untuk tahun berikutnya, maka kitalah orang yang rugi. 365 hari untuk semua orang, tak ada kurang tak ada lebih.

saya, seperti orang lain, cuba membariskan azam satu persatu. kononnya itulah kpi 2012. tapi, ia tetap berkisar pada apa yang di harapkan pada tahun sebelumnya. dan tidak semua dapat saya capai. maka ternyatalah saya adalah orang yang rugi. lalu saya fikir kembali. untuk apa semua azam ini. kalau ia hanya cantik tertera pada kertas tapi tertinggal selepas sehari dua di tuliskan.

maka saya hanya berazam mahu menulis di blog sahaja. masterpiece telah banyak membantu saya berkarya dan menyudahkan tugasan dalam bidang yang luar dari lingkungan diri. blog menyaksikan saya naik dan saya turun. juga saksi saya tidak turun dan tidak naik. bukan facebook, bukan twitter.

maka azam saya hanyalah memberi nyawa pada blog ini. dan blog yang lain juga.

selamat tahun baru masihi

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...