Isnin, Disember 31, 2012

Selamat tinggal 2012

Apa boleh saya buat kenyataan 2012 tahun produktif?

Isu karya timbul di media atau sekadar terperuk dalam kantung e-mel editor mungkin menjadi penanda aras untuk penulis berkarya dengan lebih gigih. Tahun ini, karya saya banyak tersiar di media. Tetapi saya belum boleh berbangga dengan pencapaian itu. Sebagai penulis atau pengarang, memang satu kepuasan karya tersiar. Tetapi kayu ukur pertama ialah berapa banyak yang ditulis pada tahun itu. Amat malang jika yang tersiar itu adalah hasil yang terap sekian lama, bukan karya terkini.

Ini boleh jadi muhasabah untuk saya.

Malah sebagai pembaca buku, saya sekadar mengulas berdasarkan tanggapan saya terhadap buku. Saya bukan pengkritik juga bukan pengkaji sastera. Maka apa yang diulas adalah dari kacamata seorang pembaca. Ini perkara yang sukar difahami sesetengah insan yang memandang saya dari kacamata penulis. Tak mengapa, mereka berhak berkata dan meluahkan. Saya gembira dengan apa yang saya lakukan.

2012 banyak perkara yang telah saya lunaskan. Alhamdulillah, ia kian mendewasakan. Selamat datang 2013. Selepas ini kita akan kerap bertemu dimedium ini.

Khamis, November 29, 2012

Ulasan buku di media

Ulasan saya untuk buku 'Zainal Abas: Memoir Seorang Juruhebah' tersiar dalam Mingguan Malaysia, 25 November 2012. Terima kasih untuk Tetamu Istimewa yang memaklumkan menerusi blog ini.

Saya tidak sempat membeli akhbar tersebut kerana Ahad itu merupakan hari hijrah saya ke daerah baharu. Menurunkan barang-barang dari rumah, menunggu lori dan memasukkan barang kembali ke rumah baharu, merupakan proses yang akan saya ingat sampai bila-bila.

Khamis, November 15, 2012

Selamat Hari Jadi, Masterpiece

Selamat ulang tahun kelapan. Sudah besar, sudah darjah dua. Sudah tahu apa itu sekolah, apa itu peperiksaan, apa itu kegagalan.

Selamat hadi jadi masterpiece - blog yang menjadi saksi naik-turun-naik suhu kepengarangan saya.

Hari ini tahun baru. Sudah satu ribu empat ratus tiga puluh empat tahun selepas peristiwa Hijrah Nabi SAW dari Mekah ke Madinah. Perjalanan dari Mekah ke Madinah sekarang dengan bas mengambil masa enam jam. Zaman Nabi dahulu, entah berapa hari pula. Dengan padang pasir yang tandus, habuk yang menyekat pandangan, panas yang membahang dan cucaca kering yang menyengat - Nabi membawa Islam sebagai penyatuan.

Allahumma salli 'ala Muhammad.

Hayati doa awal dan akhir tahun ini. Semoga kita mendapat barakah daripadanya.


Doa Akhir Tahun Hijrah

Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.

Wahai Tuhan, apa yang telah aku lakukan dalam tahun ini daripada perkara-perkara yang Engkau tegah daripada aku melakukannya dan aku belum bertaubat daripadanya. Sedangkan Engkau tidak redha dan tidak melupakannya. Dan aku telah melakukannya di dalam keadaan di mana Engkau berupaya untuk menghukumku, tetapi Engkau mengilhamkanku dengan taubat selepas keberanianku melakukan dosa-dosa itu semuanya. Sesungguhnya aku memohon keampunanMu, maka ampunilah aku. Dan tidaklah aku melakukan yang demikian daripada apa yang Engkau redhainya dan Engkau menjanjikanku dengan pahala atas yang sedemikian itu. Maka aku memohon kepadaMu.

Wahai Tuhan! Wahai yang Maha Pemurah! Wahai Yang Maha Agung dan wahai Yang Maha Mulia agar Engkau menerima taubat itu dariku dan janganlah Engkau menghampakan harapanku kepadaMu Wahai Yang Maha Pemurah. Dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad, ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan mengurniakan kesejahteraan ke atas mereka.


Doa Awal Tahun Hijrah

Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.

Wahai Tuhan, Engkaulah yang kekal abadi, yang qadim. yang awal dan ke atas kelebihanMu yang besar dan kemurahanMu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul di hadapan kami. Kami memohon pemeliharaan dariMu di sepanjang tahun ini dari syaitan dan pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepadaMu Wahai Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mulia.

Wahai Tuhan Yang Maha pengasih dari mereka yang mengasihi dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad. Nabi yang ummi dan ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan kesejahteraan ke atas mereka.

Rabu, November 14, 2012

Membebaskan diri





Banyak yang nak dituliskan di sini tetapi terlalu banyak sehingga tak tertulis. Oleh itu saya kira, lagu ini - Bebas Palestin - yang baru saya jumpa selepas terdengar-dengar di sana sini, saya letakkan di sini. Kalau tak rasa meremang bulu roma atau tidak rasa nak ke Palestin secara tiba-tiba, lebih baik duduk dalam gua seorang diri.


Rabu, Oktober 31, 2012

Cerita tiga sahabat

Hujan turun ketika saya menghadiri taklimat dalam satu lawatan tapak petang tadi. Hujan kelihatan membasahi bumi yang kelihatan lebat dilihat dari cermin tingkap. Putrajaya kelihatan samar-samar dari aras satu.

Sebentar tadi, sebelum masuk ke bilik taklimat, cuaca sangat membahang dan membakar. Sejak AidulAdha, cuaca sangat panas dan terik, tidak seperti sebelumnya. Pertukaran cuaca yang tiba-tiba ini mendatangkan kerisauan serta merta juga kepada saya - kepala saya akhir-akhir ini sangat sensitif terhadap cuaca.

Akibatnya, sebaik habis taklimat dan membeli dokumen tender, sakit kepala perlahan-lahan menyentap. Agak dahsyat juga sakitnya. Saya terus memandu pulang sebelum Putrajaya dilanda kesesakan dan selamat tiba pada jam lima, dengan terpaksa membatalkan satu temujanji selepas itu. Terpaksa. Saya terus mencari tilam dan tidur untuk menenangkan gempa dalam kepala. Selepas dua jam, gempa itu lega tanpa sebarang ubat, yang memang saya tak suka ambil.

Malam ini menerusi tiga medium berbeza, saya mendengar cerita dan berita tentang manusia. Semuanya seputar keinsafan akan sikap dan sifat manusia. Manusia angkuh, manusia ego, manusia lupa, manusia alpa.


Seorang daripadanya bercerita tentang kenalan lamanya yang ditemui seminggu yang lalu yang enggan menaiki kenderaan awam. "Kita dah ada diatas, takkan nak turun ke bawah," katanya. Sahabat saya itu diam. Dua hari yang lalu, kenalan lamanya itu kehilangan kereta. 

Seorang lagi bercerita tentang kesombongan seseorang yang juga saya kenali, yang kemudian telah di unfriend dari FB tanpa sebab. Dia bercerita akan puncanya, yang bermula hanya dari status di FB, status ringan yang di salin-tampal oleh si teman sombong itu. Kata saya kepadanya, "kalau nak diikutkan perasaan, memang saya benci dia sangat-sangat." Tetapi siapalah saya untuk menghukum manusia. Walau buruk mana perangai, dia tetap makhluk Tuhan yang perlu dihormati, apatah lagi dia lebih berusia. Maka saya lebih gemar pendam dan diam. Sahabat saya yang kedua ini diam, tetapi saya tahu geramnya tetap ada.


Mereka menyampaikan cerita, tetapi saya melihat kepada diri sendiri. Seperti bola yang disepak ke dinding; terkesan di dinding, dan bola kembali kepada kita. Dua-dua memberi bekas. Daripada sahabat pertama, saya mengenali dia lebih banyak dalam tempoh tiga bulan ini berbanding dia yang saya kenali ketika di alma mater dahulu. Rupanya dia pun seorang yang sangat reserved sehingga menyebabkan saya tersalah sangka akan tingkah lakunya sebelum ini. Agak panjang juga kami berbalas mesej dan akhirnya saya sedar, dia sahabat istimewa yang tidak ramai yang sedar.

Dan kemudiannya dari sahabat terakhir menasihatkan agar saya mengurangkan (memberhentikan?) membaca buku berat. "Tak baca berat pun," balas saya. "Tapi baca buku puisi sahaja." Kemudian saya sedar, puisi itu kan kategori berat yang minimum kata-kata. Saya sedang fikir apa puncanya sakit kepala ini selain cuaca. Stress? Atau saya perlu terima hakikat bahawa usia yang telah bertambah ini memang mengundang banyak masalah kesihatan.

Akhirnya saya menyimpulkan kepada diri sendiri untuk sama-sama kita memandang ke atas dan ke bawah. Kita hidup di dunia yang dipinjam sebentar. Dunia ini berputar. Kita tidak tahu siapa dan di mana kita esok. 
 
Terima kasih sahabat yang sudi berbagi cerita.
 
Allahumma Salli 'Ala Muhammad

Isnin, Oktober 08, 2012

Pasca kemenangan dan sebuah kelahiran

Kredit gambar kepada Pn Nisah Harun menerusi laman Facebooknya

HSKU 2011 sudah melabuhkan tirainya.

Ketika menerima surat dari Utusan Melayu, saya menyangka mereka tersalah alamat atau tersilap mencetak nama. Tanpa sebarang keputusan rasmi dari Utusan tentang senarai pemenang HSKU 2011, saya masih kurang percaya tersenarai sebagai pemenang, apatah lagi pemenang utama. Sehinggalah mendaftarkan nama di kaunter pemenang pada malam penganugerahan, barulah saya sedar yang ini bukannya mimpi.




Puisi bukanlah bidang baharu kerana saya memang ghairah menconteng baris-baris kata secara rawak. Saya berkenalan dengan puisi terlebih dahulu kerana beranggapan ia sangat mudah. Tulislah sepatah dua kata. Coretlah sebaris dua ayat. Jadikan dia beberapa baris. Lengkapkan ia kepada satu atau dua atau tiga rangkap. Maka lahirlah sebuah puisi.

Awalnya saya fikir ia semudah itu. Kemudian ia terperuk di dalam buku nota. Tiada cita-cita memanjangkannya ke mana-mana. Tiada siapa yang mengajar ia boleh dihantar ke media. Malah tidak tahu pun ia sudah lengkap sebagai sebuah puisi. Maka saya simpan sahajalah. Bertahun-tahun.

Namun begitu, seperti kata Zaen Kasturi dalam bengkel Penulisan & Penerbitan  ITBM-Pena-DBP yang usai petang tadi, ada kalanya bait kata itu menjadi puisi. Ada kalanya menjadi cerpen. Tetapi untuk saya, ia berkembang kepada novel. Apabila sudah diberitahu cara menghantar karya (juga selepas bergaul dengan teman penulis), barulah saya menguatkan hati menghantar hanya yang saya rasakan terbaik. Tetapi puisi yang saya cipta awal-awal dahulu tetap tersimpan dalam kotak. Tak sanggup rasanya nak baca. Orang kata, karya zaman jahiliah :)
Hadiahnya: sehelai sampul surat, sijil, senaskhah buku dan errr scroll (?)

Namun begitu, berada dalam senarai pemenang utama kategori puisi adalah sesuatu diluar jangkaan saya. Meskipun sudah dua kali berada di podium kemenangan (HSKU 2008 & HSKU 2009), suasananya berbeza. Kategori novel dan puisi juga cerpen dalam HSKU sedikit berbeza. Novel disiapkan semata-mata untuk pertandingan. Sebaliknya penghantaran puisi dan cerpen adalah semata-mata untuk menembusi medium Kumpulan Utusan (Mingguan, Harmoni, Karya, Utusan Jawi). Tersiar sudah dikira satu rezeki, kemudiannya akan dipilih pula bagi penghakiman HSKU dan disenaraipendekkan. Kiranya ia menjalani tiga proses saringan yang ketat sebelum dinobatkan sebagai pemenang.

Oleh itu, saya sangat berdebar-debar sehari dua sebelum majlis. Pertama, puisi Tidak Seorang Pun Wartawan Datang Bertanya merupakan puisi pertama yang tembus MM (baca: bukan puisi pertama di media). Oleh itu, ia adalah kejutan. Kedua, puisi pertama ini langsung dipilih juri hakim. Ketiga, ia genre berbeza dari kebiasaan saya iaitu novel dan kemudiannya, cerpen. Lalu ia membawa kepada sebab keempat, iaitu saya yang masih pucuk berbanding nama besar yang saban tahun berada di pentas HSKU. Sudah pastinya, saya 'kan di pandang dengan penuh persoalan.

Tetapi saya cuba tenangkan diri. Berulang kali saya baca puisi ini dan proses kepengarangannya. Saya tunjuk juga kepada rakan terdekat untuk mendapatkan pandangan (kerana keputusan perlu dirahsiakan). Semuanya positif. Lalu saya sedar, tak perlulah fikir yang bukan-bukan. Ambil sahajalah hadiahnya dengan berlapang dada kerana panel hakim sudah pasti membuat pertimbangan yang wajar untuk memilih yang terbaik.

Dan kemudian, malam HSKU 2011 menjadi sejarah. Emak dan adik perempuan saya menyertai majlis (dan dengan selambanya duduk di meja pemenang cerpen yang kosong). Kami bergambar, dan mereka tidak lama sebelum pulang ke Shah Alam, ke rumah adik lelaki saya.

Selepas majlis, semuanya hilang. Kelegaan mula meraja dihati tetapi perlahan-lahan ia bertukar risau dan gelisah. Apa pula selepas ini? Apakah nanti saya akan sejuk dan membeku seperti selepas HSKU 2008 & 2009?
 
Sebelum apa-apa, selepas majlis, sempat pula saya membawa empat rakan penulis meneguk teh tarik di sebuah restoan mamak berdekatan hotel. Post-party kononnya. Kemudian pulang ke hotel dan saya gagal tidur malam itu. Jam dua setengah pagi masih berjaga sebelum terlelap kemudiannya dan sedar kembali jam 4.30. terkebil-kebil di atas katil, saya terus bangun dan memerhatikan Kuala Lumpur bersama KLCC, Menara KL, rumah setinggan, bangunan usang, kereta yang seperti semut dan mentari yang cuba menjenguk alam.

Sabtu dan Ahad, hari untuk saya menyertai Bengkel Penulisan & Penertbitan ITBM-Pena-DBP. Ahli panelnya bukan calang-calang. Dato' Dr Anwar Ridhwan untuk novel, Dr Lim Swee Tin (puisi), Zaen Kasturi (cerpen) dan Prof Muhammad Hj Salleh (proses kepengarangan). Nama-nama hebat ini membuatkan rasa mengantuk ditendang pergi. Badan rasa segar dan bersemangat. Banyak kali tersedar dengan teguran mereka, dan banyak kali juga melihat kepincangan karya-karya sebelum ini. Namun mereka menunjukkan cara untuk membaiki dan membetulkan karya supaya menjadi lebih baik, indah, menarik dan bernilai sastera. Bukannya tangkap muat atau dibuat dengan tidak sepenuh hati.

 Kertas kerja
 
Kesempatan bersama teman penulis dan meluangkan setiap waktu senggang seputar sastera menjadi penawar terhadap segala renyah dunia kerja. Dua hari ini sudah menemukan saya kepada makna sebenar menjadi seorang pengarang yang berwibawa. Kami berkongsi-kongsi cerita dengan pelbagai isu menarik di luar lensa kepengarangan. Dan kesempatan berbual dengan kak Sri Rahayu, yang kemudian memberi idea yang bernas terhadap penulisan saya tersimpul rapi tanpa penamat, telah mengurangkan tekanan untuk terus menukanginya sehingga tamat. Terima kasih kak Sri Rahayu. Kesempatan yang sekejap membuka satu paradigma baru dalam karya 'itu'. Kemudian saya bergegas ke Shah Alam menemui emak yang dapat saya sapa sekejap sahaja malam tadi sebelum menyambung lagi bengkel pada sebelah malam. Juga kali ini, mata terpencar-pencar dengan amanat Dr Lim Swee Tin dengan kelantangannya menyampaikan puisi.
 
Maka dengan ikhlas saya mengatakan bengkel dua hari ini menyaksikan kelahiran kembali saya di pentas karya. Norziati yang memenangi hadiah utama puisi malam sebelumnya telah mati. Dia telah dilahirkan kembali. Senyuman saya atas kemenangan yang lalu sudah hilang kerana selepas berbengkel, saya seperti dilahirkan semula. Kunci sudah di tangan dan saya hanya perlu membuka pintu-pintu yang tersedia.
 
Terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus lumus menjayakan HSKU 2011 dan Bengkel Penulisan & Penerbitan ITNM-Pena-DBP.  Dedikasi juga saya tujukan kepada Becky dan Hani yang sentiasa membuka ruang mengopi, menjadi peneman berbagi cerita dan menyemarakkan bara semangat yang sering padam. Kalian lebih hebat, dan diri ini bertuah berada dengan insan hebat seperti kalian

Terima kasih kepada semua ucapan tahniah. Doakan saya terus konsisten berkarya :)

Rabu, September 19, 2012

Melawat Atlantis

Saya tidak pasti nama tempat yang saya lawati itu tetapi saya diberitahu kemudiannya, Atlantis. Dalam hati berbisik, seperti pernah saya dengar nama ini. Bukankah ia tempat yang mistik, misteri dan kebenarannya masih berusaha dirungkai?

Tetapi tempat yang saya jejaki itu kelihatannya seperti muzium. Pintu masuknya berbentuk empat segi. Di luar, disebelah kanan pintu terdapat gerabak keretapi lama yang menjadi ruang pameran. Di sisi roda besi yang kaku tidak bergerak, pokok bunga ditanam dalam pasu dan terjaga rapi. Pokoknya masih kecil tetapi berbunga lebat. Ia menambah kecantikan pada gerabak yang suram dan usang.

Ketika melangkah masuk ke dalam muzium bersama beberapa teman, saya seperti masuk ke dalam gua. Di luarnya terang, di dalamnya gelap. Pandangan saya tiba-tiba tertutup, dan beberapa saat kemudian barulah mata berupaya menyesuaikan diri dengan kegelapan. Saya dapat menangkap objek di hadapan dalam samar-samar biru dan hijau, saya menuruni beberapa anak tangga. Di hadapan saya kemudiannya, adalah air. Ya, air memenuhi ruangan ini. Kiranya saya masuk ke dalam sebuah gua yang mempunyai kolam yang besar.  Ruang ini tidak besar, sebesar rumah bersaiz dua tingkat. Di kiri dan kanannya berdindingkan batu tanpa ada apa-apa hiasan. Saya tidak dapat mengenal pasti apa yang ada disitu. Sesetengahnya gelap.

Saya yang berbaju kurung dan membawa handbag (entah kenapa, mungkin masih dalam musim raya) dibawa menaiki sebuah rakit. Ada seorang lelaki yang menjadi pemandu pelancong kami. Dia bercerita tentang kawasan ini dan mula menggerakkan rakitnya ke hadapan, ke destinasi yang tidak saya ketahui. Peliknya, rakit yang kami naiki bukanlah dibuat dari buluh yang seperti biasa kami lihat. Tetapi daripada papan nipis (plywood) yang dilapisi dengan beberapa batang kayu bagi menyokong dasarnya. Rakit bergerak perlahan-lahan dan pemandu pelancong rancka bercerita. Tetapi sepatah haram pun saya tak dengar - atau mungkin tak ingat - kerana asyik memerhati suasana yang sangat ganjil. Tidak tahu mengapa saya dibawa kemari.

Saya duduk diam-diam di atas rakit sambil berharap gerakan badan kami tidak menyebabkan rakit ini teroleng-oleng seperti dicium arus. Tetapi tasik cukup tenang dan damai meskipun suasana suram. Dalam pasa itu, timbul juga perasaan takut dan cemas kerana biasanya saya akan mengenakan jaket keselamatan jika berada di atas air. Jika ditakdirkan terjatuh ke dalam air, tidaklah sukar untuk menyelamatkan diri jika memakai jaket. Apatah lagi dengan kami memakai baju kurung begini. Namun begitu, saya lihat si pemandu pelancong sendiri pun selamba berdiri memegang sebatang buluh sebagai dagung menggerakkan rakit. Saya tarik nafas perlahan-lahan dan membuang jauh kebimbangan itu.

Dari airnya yang jernih membiru, saya dapat lihat nun jauh di bawah sana ada beberapa objek yang biasa saya lihat. Ada tangga yang diperbuat dari tali memanjang turun dari pelantar kecil yang terletak di sudut kanan tasik ke dasarnya yang jelas kelihatan menghala ke semacam katil. Katil? Ya, katil yang lengkap dengan tilam dan bantal. Agak jauh juga letaknya di dasar sana tetapi dapat saya lihat dengan jelas memandangkan tasik yang hijau kebiruan ini kelihatan jernih dan indah.

Melihat kepada katil yang letaknya di dasar tasik, saya bertambah-tambah hairan. Tempat apakah ini sebenarnya? Saya menoleh ke arah pemandu pelancong yang tersenyum lebar ke arah saya. Mungkin dai menyedari kehairanan saya. Tetapi dia tidak berkata apa-apa, malah kami sendiri sejak menaiki rakit ini diam, menyendiri dan memerhati. Semakin hairan. Saya kian gelisah. Dan rakit mula merasa olengannya akibat badan yang tidak stabil.

Rupanya rakit yang kami naiki menuju ke satu ruangan lain, iaitu gua yang berikutnya yang memerlukan kami turun dari rakit. Bermakna selepas itu kami perlu berjalan kaki pula. Agak lega rasanya mengenangkan saya sudah melepasi ketakutan berada di tasik tanpa jaket keselamatan. Tetapi menghampiri jeti, kami terasa olengan yang kuat pada rakit. Tiba-tiba dua daripada teman saya terjatuh dari rakit. Saya menjerit meminta tolong. Entah dari mana, ada dua lelaki yang segera terjun menyelamatkan rakan saya. Saya yang diatas rakit bertambah-tambah cemas bila melihat rakit kian ditelan air tasik dan perlahan-lahan tenggelam. Saya berdiri dan menyedari saya ditarik ke jeti. Rakit pun tenggelam. Saya merenung teman yang tersenyum kelegaan tatkala baju sudah basah kuyup. Saya cuba mengebas tangan dan kain bagi memastikan kain cepat kering. Nanti susah pula nak meneruskan perjalanan.

Kami berehat seketika sambil mata tidak putus memandang ke dalam gua yang bakal kami jelajahi nanti. Sebaik sahaja kami bersedia, pemandu pelancong pun memanggil kami. Sebaik sahaja kami mahu memulakan langkah, saya terpandang tasik yang telah kering. Mulut saya menganga kehairanan, tercengang dan hampir menjerit. Kemana perginya air yang memenuhi tasik tadi? Saya memandang pemandu pelancong. Dia masih tersenyum. Saya hairan lagi. Hairan.

"Tasik tadi sebenarnya tasik buatan. Ia telah disedut kembali ke dalam tangki," kata si pemandu pelancong.

"Maksudnya?"

"Maksudnya, gua ini, atau muzium ini boleh dimasuki dengan berjalan kaki juga. Bukan sekadar berakit."

Hairan lagi. Hairan. Tetapi saya melangkah melalu trek pejalan kaki yang telah sedia dibina. Rupanya hampir sama dengan Gua Kelam yang pernah saya lawati dulu. Tangga dan katil yang saya lihat tadi memang ada dan katil itu merupakan artifak tinggalan sejarah yang sangat bernilai. Saya menjenguk-jenguk ke bawah, ke katil yang dimaksudkan. Tidak ada langsung setitis air yang tersisa. Kering dan berkeadaan seperti biasa. Terasa takjub saya dengan teknologi Atlantis. Sesuatu yang boleh dibina dan dimusnahkan sekelip mata tanpa dikesan. Hebat. Saya masih teringat-ingat peristiwa hampir lemas di dasar tasik tadi. Tiba-tiba saya tersenyum sendirian. Terasa malu pun ada dengan gelagat sendiri.


Kami pun meneruskan perjalanan dan selepas itu, saya ingat bahawa saya terjaga dari tidur. Oh, rupanya saya bermimpi.

Selasa, September 18, 2012

Sehingga bulan Ogos


1) Ulasan novel Totto-Chan: Gadis Kecil di Jendela tersiar dalam Mingguan Malaysia, 19 Ogos 2012 (1 Syawal 1432). Bagi siaran MM, ulasan ini dinamakan Tott--Chan: Gadis Cilik di Jendela kerana gambar yang dipaparkan ialah terjemahan bahasa Indonesi (terlupa saya untuk kirimkan gambar supaya editor tidak susah mencarinya, apatah lagi novel ini sudah tidak ada dipasaran). Pagi-pagi raya dah hambat adik cari Mingguan selepas dimaklumkan oleh Becky menerusi twitter. Sebaik sahaja sampai rumah, dia beritahu suratkhabar Utusan tak ada tapi suratkhabar tulisan warna merah sahaja ada. Tiba-tiba rasa nak membebel sebab takut habis kerana kedai yang buka pada pagi raya begini cuma satu sahaja.

"Itulah suratkhabar Mingguan. Hari biasa namanya Utusan, hari minggu jadi Mingguan. Samalah macam Berita Harian. Hari minggu jadi Berita Minggu. Pergi beli!"

Nasib baik dah bagi duit raya, maka rajinlah dia pergi :p

Pautan untuk ulasan Totto-Chan disini. Terima kasih kepada editor, Ku Seman yang mencantikkan lagi ulasan dan mengatur isinya supaya kemas dan tersusun. Bagaimana saya boleh tergerak menghantar ke UM/MM? Kerana sering saya lihat ada ruangan ulasan buku. Maka saya beranikan diri mencuba. Itu sahaja




2) Cerpen Seorang Yatim Di Pinggir Kali berjaya menembusi dinding kebal Mingguan Malaysia, tersiar bagi edisi 5 Ogos 2012 (16 Ramadan 1432). Pautannya disini untuk membaca versi skrin.

Idea menghasilkan karya ini tercetus sebaik sahaja Teach For The Needs melakukan lawatan pertama ke Rumah Anak Yatim /  Miskin Baitul Hikmah, Gopeng, Perak pada 21 Julai 2012, bersamaan hari pertama berpuasa. Kami sudah tidak mempunyai tarikh lain ketika itu, meskipun bertembung puasa maka kerja perlu dilaksanakan. Sepagi jam 7 kami sudah bertolak dari KL, membawa barang sumbangan yang penuh di perut kereta. Kami sempat bermesyuarat sebentar, bertemu dengan anak yatim dan menyampaikan sumbangan. Itu pertemuan pertama kami, dan rasa sangat hiba dengan keberadaan mereka yang serba sempurna meskipun terpisah kasih sayang dari ibu bapa.

Perjalanan pulang ke KL disimbahi hujan lebat di lebuh raya, dan saya mengambil keputusan untuk terus pulang ke kampung. Berbuka puasa didalam kereta dengan sebuku roti yang sempat dibeli ketika singgah disebuah kedai, saya mula mengarang dalam kepala. Dan disambung dengan tulisan cakar ayam sebaik sahaja selesai sahur pagi esoknya. Saya tidak mengambil masa yang lama menyiapkan cerpen ini, dan terus menaip. Selepas membuat suntingan, membaca entah berapa belas kali dan memendekkan bahagian tertentu, saya menekan butang send bersama sepotong Bismillah pada suatu pagi  yang hening.




3) Artikel Mencelikkan yang buta, memimpin yang capik tersiar di akhbar Harakah edisi 30 Jun - 3 Julai 2012). Puas juga saya mencari akhbar ini kerana telah terlepas tarikh jualan / edaran. Bnayak juga kedai sekiar Bangi yang saya singgah, sehinggalah saya bertemu dengan seorang penjual yang boleh mendapatkan edisi lepas untuk saya.

*Gambar dalam kamera*



4) Puisi Di Jarah Sejarah tersiar dalam majalah Pentas, edisi April-Jun 2012. Majalah ini diterbitkan oleh Istana Budaya dan memang agak sukar ditemui kecuali jika membuat langganan.

*Gambar dalam kamera*























Jumaat, Ogos 31, 2012

31 Ogos 1957

Apa yang berlaku pada 31 Ogos 1957? Menerusi pelbagai sumber yang saya temui, disimpan dan diperap sekian lama tanpa menghasilkan apa-apa, marilah kita hayati suasana pada hari kemerdekaan Tanah Melayu.
  • 30 Ogos 1957 merupakan hari Jumaat. Pada pagi Jumaat itu, Tunku Abdul Rahman merasmikan Stadium Merdeka yang berharga RM 2,300,000.00. Stadium ini akan digunakan bagi membuat perisytiharan kemerdekaan. Sebab itulah ia dinamakan Stadium Merdeka.
  • Dua tiga hari sebelum kemerdekaan, Kuala Lumpur telah dihiasi dengan lampu yang berwarna-warni. Huruf M yang besar dibina melalui susunan beratus mentol lampu yang menyala dan berkelipan di bangunan. Huruf M yang besar sekali dibina di kemuncak Menara Telekom yang tingginya 400 kaki terletak di Bukit Nanas. Saiz yang besar itu dapat dilihat kira-kira beberapa batu disekeliling KL.
  • Di Padang Kelab Selangor (Dataran Merdeka) berhadapan Bangunan Sekretariat, cahaya terang benderang dipasang menerangi kegelapan malam. Perkataan ‘Merdeka’ dibina setinggi 12 kaki dan dihiasi dengan beratus mentol.
  • Pada malamnya, hampir 30,000 orang berkumpul. Tepat pukul 9 malam, bendera Union Jack dinaikkan. Di kanan dan kirinya adalah bendera UMNO dan bendera Perikatan. 
  • Tepat jam 12 tengah malam, lampu dihidupkan kembali. Seperti menunjukkan zaman kegelapan telah berlalu dan membuka usia baru sebuah negara. Lagu God Save the Queen pun berkumandang buat kali terakhir. Serentak dengan itu, bendera Union Jack diturunkan. Bendera Persekutuan Tanah Melayu pula dinaikkan bersama-sama lagu Negaraku. Tunku menjerit merdeka beberapa kali diikuti ucapan. Doa pun dibaca.
  • Pada hari Sabtu, 31 Ogos hujan turun bercurahan sejak jam 3 pagi. Hujan pagi ini adalah hujan rahmat seolah-olah petanda untuk membawa keluar segala lumpur dan kekotoran penjajah keluar dari Tanah Melayu.  
  • Pukul 730 pagi hujan mulai berhenti dan matahari memancar dengan cerianya. Tunku memakai baju Melayu serba hitam. Samping dan tengkolok bersinar dengan benang emas. Kaki seluarnya bertepian putih seinci lebarnya. Pakaian ini ibarat simbol sebagai berkuasanya kembali orang Melayu dan raja Melayu terhadap Tanah Melayu yang selama 117 tahun ditangan penjajah.
  • Sir Donald MacGillivray yang merupakan Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan Tanah Melayu yang terakhir memakai pakaian seragam Gabenor Jajahan berwarna hitam. Hari ini merupakan hari terakhirnya berkhidmat. Seolah-olah di takdirkan dalam sejarah bahawa ditangannya Persekutuan Tanah Melayu menjadi sebuah negara yang merdeka.
  • Duke of Gloucester selaku wakil Ratu British, Ratu Elizabeth pula memakai seragam putih Field Marshal, iaitu pangkat yang tertinggi sekali dalam Angkatan Tentera British. Duke merupakan bapa saudara Ratu Elizabeth yang dihantar sebagai wakil di dalam penyerahan dokumen perlembagaan yang akan memberikan Persekutuan Tanah Melayu sebagai sebuah negara yang bebas dan merdeka

  • Pagi itu panas kurang dirasai. Langit masih berawan sungguhpun hujan telah berhenti. Matahari memancar terang tetapi lembut cahayanya. 
  • Raja-raja Melayu juga tiba. Tengku Mahkota Johor mewakili Sultan Johor memakai seragam tentera dan berkaca mata hitam. Sultan Kedah memakai pakaian serba biru berbenang Perak. Sultan Pahang berpakaian ungu berjalur benang emas. Sultan Selangor dan Sultan Perak berpakaian kuning. Raja-Raja Melayu yang lain memakai pakaian berbenang emas dengan berlainan corak dan warna.
  • Tempat duduk Duke of Gloucester terletak ditengah pentas bertentangan meja. Di sebelah kanan ialah MacGillivray manakala sebelah kiri ialah Tuanku Abdul Rahman yang dua hari selepas itu akan ditabalkan sebagai yang di Pertuan Agong yang pertama. Baginda berpakaian perang tua. Sebelah kiri baginda ialah Tunku Abdul Rahman. Kecuali MacDillivray dan Tunku, yang lain berpayung.
  • Duke membacakan perutusan dari Ratu yang mengalu-alukan Tanah Melayu ke dalam negara Komanwel  serta mengharapkan agar Tanah Melayu menunjukkan kepada dunia teladan-teladan kerjasama dan  muhibah antara semua kaum yang menjadi sebahagian dari nadi rakyatnya. Sebaik tamat Duke menyampaikan perutusan Ratu, Tunku bangun menuju ke arah Duke. 
  • Duke mengambil surat kuasa dan menyerahkannya kepada Tunku. Sebaik sahaja tunku menerima, secara tidak langsung segala kuasa kerajaan British terhadap negeri Melayu dan dua buah negeri selat diserahkan kembali kepada rakyat Tanah Melayu. Ketika itu, beribu orang di stadium berdiri serentak melihat kuasa bertukar tangan dengan tepukan gemuruh serta teriakan Merdeka memenuhi stadium. Tunku kemudian berucap.
  • Kemudian, surat pemasyhuran kemerdekaan dalam sebuah kotak kain yang kecil tetapi panjang dibawa oleh seorang anggota tentera berbaju putih berseluar hitam, bersongkok hujau. Tunku membaca perisytiharan kemerdekaan. Antara lain menyatakan bahawa Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 yang baru bermula dan termansuhnya Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948.
  • Sebaik tamat perisytiharan di baca, Tunku berdiri tegak, tangannya diangkat lurus keatas, tapak tangannya terbuka ambil berteriak “Merdeka!” sebanyak 7 kali. Setiap kali dia berteriak, beribu-ribu orang didalam stadium menyambut dan berteriak bersama-sama. Ia seolah satu perasaan yang dikeluarkan dan diluahkan bersama-sama
  • Habis teriakan merdeka, lagu Negaraku dimainkan. Bendera Persekutuan dikibarkan. Saat itu, matahari bersinar indah. Lagu Negaraku menjadi satu melodi yang sangat indah. Dari jauh kedengaran bunyi tembakan meriam sedas demi sedas. 
  • Tamat Negaraku, azan di laungkan dari tempat diraja. Kemudian, beratus-ratus ekor burung merpati dilepaskan. Teriakan merdeka kedengaran lagi.
  • Merdeka!!!




Sabtu, Ogos 18, 2012

Ucapan Hari Raya

Saya amat berbesar hati menyampaikan ucapan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada para pembaca, silent reader, stalker dan pengunjung tetap blog Masterpiece.

Setelah sebulan kita menikmati bulan Ramadhan yang penuh barakah dah rahmah, dengan seribu kenikmatan dan keredhaan,  kita tiba pula di penghujungnya dengan penuh kesyahduan dan keinsafan bahawa kita belum pasti akan menikmati Ramadhan pada tahun akan datang.

Marilah kita mengamalkan diet yang sihat dan pemakanan yang betul seperti yang telah kita lalui ketika berpuasa sebulan. Semoga raya kali ini kita mampu mengelakkan dari memakan terlalu banyak kolesterol dan lemak. Kurangkan pengambilan minuman manis, ais dan bergas. Cubalah minimumkan kuantiti hidangan kerana kita perlu menziarahi banyak rumah. Pastikan hidangan kita seimbang, lengkap dengan sayuran, bukan setakat daging dan ayam. Banyakkan minum air masak kerana pastinya kita akan kehilangan banyak air (dehydrated) sewaktu saling mengunjungi rumah tetangga dan saudara mara. Seelok-eloknya kita mulakan puasa enam pada Syawal kedua. Meskipun puasa sunat, ia bukanlah penghalang kita menjalin silaturrahim.

Agama kita jaga, silturrahim terpelihara, badan rasa selesa :)

Eid mubarak. Kullu 'amm wa antum bikhair

Selasa, Ogos 14, 2012

Lima puluh tahun dan lain-lain hadiah


Suatu hari saya menerima SMS.

"Tadi dalam tren ada ternampak orang baca paper. Fandi Ahmad turns 50 today. I cari paper and kept for you."

Saya senyum memandang SMS sambil membalas, "terima kasih". Panjang lagi ucapan saya, tetapi itu sahaja yang saya ingat.

Keratan ahbar bertarikh 29 Mei saya terima hari ini dari tanah Temasek. Saya tahu kenalan saya itu tahu saya memang 'kipas-susah-mati-Fandi-Ahmad'. Ketika turun ke Singapura tahun lalu, saya ada mengajaknya ke Stadium Nasional semata-mata bergambar disebelah poster besar Fandi Ahmad yang terdapat di dalam stadium. Setelah melihat peta, mengira masa dan jarak perjalanan, keinginan itu kami batalkan. Semoga kedatangan saya sekali lagi ke Singapura akan memakbulkan hasrat itu. Itu pun jika Stadium Nasional masih ada kerana sudah ada ura-ura ia akan dirobohkan untuk projek pembangunan lain. Atau pun lebih bertuah, dapat bergambar sendiri dengan Fandi Ahmad. Siapa tahu?

Bersama Fandi Ahmad, dikirimkan juga novel Totto-Chan versi bahasa Inggeris. Sudah lama dia SMS mahu menghadiahkan saya novel ini. Tetapi setiap kali dia berulang alik ke kedai buku, stok sentiasa kehabisan. Dia tidak lupa menghantar SMS memberitahu kehampaannya itu. Saya tidak ambilpusing, malah tidak pun berusaha mencari siapa Totto-Chan. Apakah ia sejens toto yang enak dan empuk untuk dibuat tidur, saya tak tahu. Hanya selepas saya menemui naskhah Totto-Chan dalam timbunan buku lama yang dijual pada saya, barulah saya mengerti berapa Totto-Chan sangat menginspirasi.

Terima kasih, sobat. Dia sentiasa tahu apa yang saya mahu.

Khamis, Ogos 09, 2012

Nuklear dan puasa

Ini bukan tentang kaitan nuklear dan puasa tetapi satu tazkirah tentang nuklear dan berpuasa yang disampaikan pada selang solat tarawih beberapa hari yang lalu. Penceramah merupakan seorang pegawai, - mungkin Pengarah, saya lupa - dari Institut Penyelidikan Teknologi Nuklear Malaysia (MINT) yang terletak tidak jauh dari Bangi. Oleh kerana beliau orang nuklear, maka tuan pengerusi memintanya bercerita sedikit tentang nuklear sebagai pengenalan.

Katanya, nuklear ini sentiasa dipandang dari aspek negatif. Perang nuklear, bom nuklear, itulah yang kita tahu tentang nuklear. Beliau membawa aspek positif nuklear. Katanya, beberapa tahun yang lalu, beliau membuat kajian berkaitan nuklear dengan melakukan mutasi benih padi yang tahan tanpa air yang banyak. "Sekarang zaman kurang air, jadi benih kena tahan lasak," sambungnya. Kajian itu berjaya dan memenangi pingat emas dalam satu pertandingan atau kajian kalau tak silap saya (pembesar suara di surau ni tak best).

Kemudian beliau membuka cerita lain, iaitu pengalamannya berpuasa di luar negeri. "seronok, kerana kita mengalami bermacam-macam cabaran yang berbeza. Kalau di Malaysia, kita puasa empat belas jam, tetapi di luar negeri ia boleh jadi panjang dan boleh jadi pendek." Ini membawa ingatan saya kepada entri blog Ustaz Hasrizal tentang penggunaan kalendar hijri. Menurut entri tersebut, menggunakan kalendar berasaskan bulan menyaksikan Islam menjadi agama yang adil dan saksama. Setiap tahun, Ramadhan akan tiba sekitar 10 atau 11 hari lebih awal berbanding dengan tahun sebelumnya. Ramadhan pernah jatuh pada bulan Disember, ia juga boleh tiba pada bulan Jun.

Kita di Malaysia, berpuasa dari pukul 5.45 pagi hingga 7.30 petang (Semenanjung) atau kira-kira 14 jam. Sedangkan di negara empat musim, apabila tiba musim sejuk, puasanya sekitar 9 jam, manakala musim panas menyebabkan mereka berpuasa lebih panjang, hingga 16 jam.

Berbalik kepada penceramah, tarawih menjadi perkara menarik. "Ada tempat yang saya pergi, tarawihnya di buat pada tengah malam, kira-kira pukul 12. Tujuannya ialah bagi memberi peluang pekerja syif malam untuk sama-sama bertarawih. Ada juga yang melaksanakan 10 rakaat selepas Isyak dan 10 rakaat sebelum waktu subuh atas tujuan yang sama. Ini menunjukkan mereka sangat memastikan kesempurnaan ibadah dilakukan bersama-sama. Orang yang bekerja syif malam mendapat peluang yang sama untuk beribadah. Mereka tidak di aniaya atau terpinggir."

Saya membayangkan para pekerja kilang, pengawal keselamatan, pekerja tol, maintenance, backup officer yang menelan air liur melihat para jemaah keluar surau atau masjid selepas tarawih sedangkan mereka perlu memenuhi tuntutan kerja. Kalau ditanya pada mereka, pastilah mereka mahu bersama-sama mengerjakan tarawih, beriktikaf, bertadarus disepanjang Ramadan. Apatah lagi sepuluh malam terakhir sudah mula mengetuk pintu. Mereka boleh solat ketika waktu rehat tetapi berapa ramaikah yang bersedia dan mampu berbuat demikian.

 Tetapi apa pilihan yang mereka ada? Dan apa pilihan yang kita beri kepada mereka?

Selasa, Ogos 07, 2012

Buku Nota

Saya mempunyai buku nota bersaiz poket yang sering diusung kesana kemari. Di dalamnya saya catat bermacam perkara; dari ceramah radio, kata-kata penulis, ilham yang tiba-tiba turun, janji temu, things to do today, senarai hutang dan orang berhutang, pesanan buku, alamat, nombor telefon, nota seminar yang saya sertai dan macam-macam lagi. Buku itu, kalau hilang memang saya susah hati. Seperti separuh ingatan saya duduk di dalamnya.

Sewaktu berkunjung ke utara beberapa bulan yang lalu, dan menemui seorang sahabat yang jarang-jarang ditemui, dia cepat-cepat menarik saya sambil mencari-cari sesuatu. Kami bertemu di rumah datuk saudaranya yang menjadi tempat kami bermalam. Rupanya dia mahu menunjukkan koleksi datuk saudaranya yang menjadi penyebab mengapa dia ingat akan hobi saya iaitu menulis dalam buku nota.

Buku nota datuk saudaranyacyang bersaiz poket tersusun dalam sebuah bakul kecil. Sudah berhabuk dan dihuni sawang serta dipenuhi tahi cicak. Kawan saya bersemangat bercerita, bahawa datuknya sentiasa membawa buku ini ke mana-mana dan biasanya dia akan mencatat di surau ketika kuliah dan tazkirah. Selepas habis satu, dia tukar ke buku yang baru. Siap dengan indeks buku, jadi ia tersusun mengikut aturan.  Lengkap dengan tarikh dan perkara. Saya mengambil dan membeleknya satu persatu. Tulisan jawi yang tersusun kemas sangat menarik perhatian saya. Tetapi yang lebih menarik perhatian saya ialah bagaimana sahabat saya ini menjadi seorang peneliti yang sempurna, yang memerhatikan tindakan saya lalu mengaitkannya dengan datuk saudaranya yang terkenal di utara tanah air.

Saya meletakkan semula buku-buku nota ditempatnya, dan bakul kecil itu disimpan kembali. Tetapi apa akan berlaku kepada bakul dan buku nota itu kemudiannya saya kurang pasti. Melihatkan datuk saudaranya yang terlantar akibat sakit tua, saya terbayangkan nasib buku nota saya nanti tatkala saya berada di tempat datuk saudaranya.

Jumaat, Ogos 03, 2012

Sukan yang sentiasa menginspirasi

Sukan sentiasa menginspirasikan saya. Sejak kecil pantang ada apa-apa acara di tv, saya akan berteleku menonton sehingga sudah. Emak bagai mengerti minat saya, dan dia tidaklah membebel apa-apa atau menghalang. Malah dia membantu mengejutkan saya dari tidur untuk menonton bola. Paling saya ingat ialah ketika Piala Dunia 1994 antara Brazil dan Itali di USA yang berlangsung hingga ke sepakan penalti. Dapatlah say alihat tendangan Roberto Baggio yang tinggi melepas palang,. Selepas itu saya terus mandi dan mengayuh basikal ke sekolah.

Tetapi saya sendiri tahu bagaimana mengimbangi tarikan sukan dan kerja rumah yang perlu saya laksanakan kerana emak membuat kuih untuk dijual. Oleh itu sambil mengupas keledek, mengopek ikan bilis, memotong cili kering, menggunting suratkhabar untuk membungkus nais lemak atau melipat kain, mata tidak lepas dari melihat acara sukan di tv. Namakan apa jenis sukan - Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Olimpik, Piala Dunia, Piala Thomas, Euro, Sukma, Tour de France dan acara yang disiarkan di tv (masih tanpa Astro) semuanya saya tonton. Saya boleh tahu bagaimana kiraan mata dalam pingpong, apa itu snatch, clean & jerk dalam angkat berat, cara terjunan yang betul oleh atlit terjun, jenis pukulan dalam golf, disiplin dalam acara gimnastik, acara olahraga yang sering mendebarkan hinggalah kepada bina badan dan renang!

Smeua ini disebabkan oleh pertautan saya sebagai anak kampung dengan aktiviti luar. Kami sering bermain di luar rumah, tak kiralah bolasepak atau badminton, menjadikan sesuatu acara sukan itu sebagai perbualan utama. Siapa mahu jadi Misbun Sidek atau Yang Yang atau Icuk Sugiarto. Ketika itu masing-masing berangan bermain badminto di Arena Wembley atau berlari di balapan diiringi sorakan penonton. Ketika sukan sekolah, masing-masing cuba menunjukkan kehebatan diri agar sejajar dengan atlit yang disebut-sebut. Masing-masing cuba membayangkan diri berdiri di podium kemenangan sambil memerhatikan Negaraku dinyanyikan dan jalur gemilang dinaikkan. Bukan sekali dua saya mengimpikan untuk menjadi atlit, tetapi hasrat sering di tewaskan oleh pakaian atlit yang sungguh tidak 'Islamik' ketika itu. Tidak sanggup saya berlari di balapan dengan separuh telanjang! (Kini tidak lagi, atlit semkain sopan dan tahu segan!)

Sukan seperti suatu tarikan untk menjadi hebat dan ternama, yang pada anak kampung itu merupakan satu kebanggan dan kemegahan. Ia satu escapism untuk bercita-cita tinggi dan keluar dari kampung dengan penuh kejayaan. Tetapi itu cuma angan-angan masa kecil. Birokrasi pemimpin sukan kini membunuh atlit sebelum bakat mereka dikembangakan.


Isnin, Julai 30, 2012

Niat

Abah selalu membacakan niat puasa pada setiap malam sebelum tidur. Diulang-ulangnya beberapa kali supaya kami hafal. Dibacanya lagi pada setiap kali sahur. Meskipun liat untuk bangun, kami gagahkan juga untuk makan meskipun dengan telur goreng. Emak memang tidak pernah gagal bangun lebih awal dan masak untuk kami.

Sehingga kini, mereka masih lagi melakukan perkara yang sama. Namun abah tidak lagi mengulang-ulang niat puasa kerana kami sudah besar dan sudah hafal. Sudah boleh baca sendiri. Malah saya sendiri senang dengan niat sebulan, bukan niat harian. Tetapi setiap hari juga saya perbaharui niat. Dan emak, tetap tidak pernah gagal bangun awal memasak untuk sahur dan berbuka. Meskipun kami sudah besar panjang.

Ahad, Julai 29, 2012

Suka dan rela

Kami dalam seragam merah. Saya masih bergelar pelatih dan belum layak dapat uniform 'ultraman'. Agak-agak, saya di mana?


Seingat saya, saya jatuh cinta pada kerja sukarela apabila terlibat dengan pasukan kayak UIA ke Espedisi Kayak Integrasi Nusantara I Malaysia-Thailand '99. Sudah lama ekspedisi ini berlalu. Tahun 1999, kira-kira 13 tahun yang lalu (sekaligus menyatakan betapa tuanya usia saya hahah..)

Dalam pasukan ini, 99% daripada ahli datangnya dari sebuah pertubuhan paramedik beruniform di UIA sendiri. Task Force Rakan Muda namanya. Daripada mereka, saya mengisi borang untuk menjadi ahli. Kemudian dipanggil menghadiri temuduga yang menjadi kewajipan, yang menjadikan TFRM berbeza dari persatuan yang ada di UIA ketika itu - isi borang belum tentu jadi ahli.

Satu soalan yang saya ingat ditanyakan oleh Pengurus (jawatan tertinggi dalam TFRM ialah Pengurus, bukan Pengerusi atau Presiden) ialah, "apa yang dapat kamu sumbangkan untuk Task Force Rakan Muda IIUM?"

Saya menarik nafas panjang sebelum menjawab. Soalan ini membawa saya melihat ke dalam diri terlebih dahulu. Apa yang saya ada? Apa yang lebihnya pada saya untuk menyumbang kepada TFRM? Setelah agak lama terdiam, saya menjawab, "saya tiada wang, tiada harta (kerana saya bukan orang senang). Saya cuma ada tenaga dan masa untuk saya beri kepada TFRM."

Pengurus mengangguk. Mungkin dia suka dengan jawapan itu lalu menuliskan sesuatu pada borang penilaian saya. Pendaftaran saya sebagai ahli diluluskan. Selepas itu, segala-galanya menjadi sejarah.

(Soalan itu kemudiannya saya tanyakan pula kepada junior ketika saya menemuduga mereka tahun-tahun berikutnya)

TFRM menerusi ahlinya yang komited dan penuh berdisiplin membentuk diri saya seperti apa yang saya ada  sekarang. TFRM bukanlah sebuah persatuan mewah duit, tidak dinaungi oleh mana-mana organisasi besar dan tidak tertakluk oleh peruntukan kewangan yang tetap. Meskipun mengguna pakai nama Rakan Muda yang ketika itu menjadi satu jenama yang cukup cemerlang dari Kementerian Belia dan Sukan, ia tidaklah membawa manfaat yang besar kecuali dalam beberapa acara dan program. Selebihnya, kami bergerak sendiri.

TFRM sebuan badan beruniform yang menjadikan paramedik sebagai 'core business'. Ia di tubuhkan atas inisiatif pelajar UIA sendiri, abang Mat (brothe Mohamad bin Mos) - selepas melihat perlunya wujud satu persatuan yag berteraskan paramedik sebagai support group kepada IIUM Clinic. Ketika itu pun UIA dalam proses transisi dari kampus PJ ke kampus Gombak yang besar, luas dan cantik. Pentadbiran UIA agak kelam kabut kerana mempunyai dua kampus. Jadi TFRM memainkan peranan yang sangat besar ketika itu.

Dalam awal-awal penubuhan, bayangkan sahaja, para senior berusaha menjalinkan hubungan baik atas inisiatif sendiri dengan JPA3 (sekarang JPAM), DBKL, bomba, Wataniah, HKL dan sekuriti UIA sendiri bagi mendapatkan gambaran bagaimana TFRM harus dibentuk. Ia merangkumi sistem latihan, aktiviti, kepimpinan, silibus paramedik, perlembagan, organisasi, uniform, peralatan, bilik persatuan dan lain-lain yang dirasakan perlu.

Lama kelamaan, TFRM menjadi jenama yang kuat di UIA. Kami mengadakan latihan sendiri, kemudian berusaha mendapatkan kerjasama pihak luar supaya latihan mendapat pengiktirafan. Tiada pihak luar yang khusus dilantik memantau kami. Kami berkawad, melakukan latihan menyelamat, menstruktur organisasi, membentang proposal, membuat pengambilan dan latihan, aktivit perkemahan, latihan luar, dan aktiviti bukan paramedik yang bertujuan merapatkan ukhuwwah. Itu berjaya. Namakan apa sahaja, saya berjaya lakukan dengan TFRM. Dua kali ekspedisi berbasikal -dari UIA ke Muar (1999) dan dari UIA ke Perlis (2001), ekspedisi kayak, survival camp (yang sangat-sangat-sangat mencabar dengan route yang gila), perkhemahan tahunan, jungle trekking dan apa lagi? Banyaklah.

Sepanjang masa kami dijemput sebagai paramedic team yang standby untuk mana-mana aktiviti sukan dalam UIA. Kelibat kami dalam uniform merah membawa first aid kit sentiasa ada dimana-mana. Nama kami begitu naik, sentiasa menjadi sebutan, terasa baju merah yang kami sarung dicemburui oleh persatuan lain.

Sebelum itu kami sudah dilatih dalam kursus khas bersama HKL dan layak membuat attachment di Accident & Emergency Department selama 120 jam. Duduk dalam A&E, kami mendapat pengalaman yang tidak ternilai - membantu merawat bermacam jenis kecederaan yang terhasil dari kemalangan atau pergaduhan atau kebakaran.

Ketika itu saya sudah membulatkan tekad: TFRM dihatiku. Saya dapat melihat betapa ukhuwwah kami disatukan menerusi misi dan visi yang jelas terhadap TFRM. Setiap aktiviti mendapat sambutan dari ahli. Sentiasa ada cadangan yang membna untuk membaiki dan memeriahkan almanak persatuan. Malah, bagi menjadikan jatidiri terhadap TFRM bertamah kuat, kami memakai uniform setiap hari Rabu ke kelas. Siapa yang malu mengenakan uniform, memang dianggap tidak bersedia memberi komitmen. Siapa pula yang berani memakai uniform masuk ke kelas, di UIA pula? Kamilah yang pertama kali mengenalkan konsep tersebut, dan kemudiannya diikuti oleh persatuan lain.

Saya kira, uniform tersebut menyatukan hasrat, cita-cita dan impian kami dalam bergiat aktif bersama TFRM. Sepanjang masa, aktiviti TFRM sentiasa duduk dalam kepala. Bayangkan sahaja, buku nota dan buku teks saya (kami) cop dengan logo TFRM. Keseronokan bekerja dalam TFRM disebabkan kami diterapkan oleh disiplin yang jitu dan semangat yang padu. Rasa kekitaan sangat menebal. Sense of belonging begitu kuat terjelma. Tiada imbuhan wang yang kami fikirkan. Tiada rehat yang kami kejar. Setiap cuti semester, saya penuhi dengan aktiviti TFRM sebelum pulang ke kampung. Pernah juga berturut-turut dengan aktiviti sehingga tak sempat bercuti.

Aada aktiviti memerlukan kami merentasi jambatan seperti ini. Anda berani?
Saya di belakang, membawa plastik. Orang di hadapan senyum sedangkan ketika melihat jambatan, rasa nak patah balik

Selain bersama TFRM, beberapa persatuan di peringkat kuliah dan jabatan serta mahallah (hostel) turut saya sertai, sama ada menjadi sebahagian AJK atau diminta membantu. Itu belum lagi penglibatan dengan ABIM/PKPIM/Pepias yang saya ikut-tak-ikut kerana tidak sempat.

Saya tidak tahu dari mana datangnya kekuatan untuk melakukan banyak aktiviti dalam satu masa. Saya sedar, pelajaran tetap perkara utama tetapi saya memantapkan aktiviti ko-kurikulum kerana saya tahu ada  banyak kelemahan diri yang perlu ditampung oleh sedikit kekuatan yang ada. Aktiviti inilah yang membawa saya keluar dari rasa rendah diri, pendiam, pasif, dan pelbagai sifat negatif anak kampung yang tidak terdedah dengan dunia luar.

Percayalah, sebaik sahaja bekerja, kita akan secara tiba-tiba merasa kosong kerana telah meninggalkan kesibukan yang kita lalui menerusi persatuan. Memang ramai yang tidak suka berpersatuan, tetapi saya amat berterima kasih atas penglibatan yang bermacam-macam kerana ia membawa saya ke macam-macam dunia. Meskipun sibuk bekerja, ia cuma terhad pada waktu pejabat. 16 jam kemudian, saya perlukan sesuatu untuk diisi. Bermacam-macam persatuan saya cuba sertai tetapi tidak ada yang betul-betul menambat hati. Hanya selepas sepuluh tahun, saya menemui beberapa persatuan dan NGO yang memang sesuai dengan diri. Ia bermakna saya senang dengan misi dan visi, dengan ahlinya, dengan suasananya, dan dengan gerak kerjanya. Ketepikan birokrasi kerana ia memang ada. Hanya cara bagaimana kita melihatnyalah menjadikan pandangan kita berbbeza. Syukurlah, ia turut memberi kesan yang baik terhadap kerjaya. Ia meletakkan kedudukan yang selesa seperti apa yang saya kecapi kini, Alhamdulillah.

Oleh itu, saya merasa sedikit kecewa bila mengenangkan ada sesetengah dari kita mengira berapa banyak yang mereka patut dapat dari apa yang mereka beri. Ada yang kata, pulangan harus dalam bentuk elaun. Ada yang mahu pakaian. Ada yang memikirkan imbuhan lain yang lebih menarik. Apabila terlibat dalam satu program tahun lepas dan dibalas dengan satu pakej perjalanan, saya terkejut. Tidak pernah saya menerima imbalan seperti ini. Apakah nilai sukarela sudah berubah kepada kebendaan, saya tidak tahu. Tetapi saya anggapnya sebagai saguhati. Zaman sudah berubah, saya fikir. Atau pun ini memang trend berpersatuan yang tidak saya ketahui kerana sebelum ini tumpuan hanya terarah kepada aktiviti sukarela.

Namun begitu, terdapat perbezaan antara kerja sukarela dan kerja dengan persatuan. Ini saya amati setelah terlibat secara langsung beberapa persatuan, bertukar fikiran dengan rakan dari persatuan lain serta melihat perang-perang yang timbul di akhbar. (lihat sahaja Seniman). Bekerja dengan NGO ialah dengan memberi hati dan disatukan dengan niat. Kerja berpersatuan ialah dengan memberi separuh hati dan separuh lagi disimpan. Niatnya berpecah dua, untuk kepentingan diri dan kepentingan persatuan. Natijahnya, amalan birokrasi dan politik yang wujud di pejabat menyusup masuk ke dalam persatuan.

Kita akan jumpa orang yang suka bercakap tetapi kurang bekerja, suka bekerja tetapi kurang bercakap, tidak bercakap dan tidak bekerja, dan banyak bekerja dan banyak pula cakapnya. Lama kelamaan, ia membawa perpecahan dan kebencian, menghiris sesetengah hati, membuang kawan dan mengundang lawan. Jangan kaitkan kenyataan ini dengan persatuan yang saya sertai kerana ia adalah budaya kebanyakan dari mereka. Tidak hairanlah, budaya ini mula berpindah pula ke NGO. Ada yang mula memikirkan populariti dan mengundang simpati. Daripada perbincangan dengan rakan dari NGO lain pula, memang ada yang menganbil kesempatan dari nama NGO itu sendiri. Maka, berhati-hatilah memilih.

Saya akur, untuk memberi komitmen seratus peratus memang mustahil. Kos perjalanan, bil telefon, makan dan pakai perlu dikira. Tetapi dalam menerapkan semangat kesukarelaan, perkara yang perlu kita ingat ialah pesanan Pak Harfan kepada sebelas orang anak-anak Laskar Pelangi:
Hiduplah untuk memberi sebanyak-banyaknya, bukan untuk menerima sebanyak-banyaknya

Kita harus kembali kepada perkataan sukarela itu sendiri. Ia terdiri dari dua patah kata, iaitu suka dan rela. Buat sesuatu kerja kerana kita suka dan kita buat kerja itu kerana kita rela. Oleh itu menjawab kepada soalan bagaimana menerapkan semangat kesukarelan, jawapannya ialah:
Hiduplah untuk memberi sebanyak-banyaknya, bukan untuk menerima sebanyak-banyaknya

Rupanya, lama sebelum Pak Harfan menyatakan itu, saya sudahpun tanam dalam diri untuk lebih memberi berbanding menerima.

Apakah saya puas dengan apa yang saya buat selama ini?

Saya tiada jawapan itu.

Secara tidak sengaja, kedua-dua persatuan ini berawalan dengan TF :)

Teach For The Needs menjadi ujaan terbaharu saya untuk memberi. Hati kami disatukan disini. Kami belajar memberi. Kami menikmati kemanisan memberi. Kami berusaha untuk sentiasa memberi. Kami sepakat menukar gambar profil sebagai usaha memviralkan promosi. Kami sama-sama turun ke Gopeng meskipun ia hari pertama Ramadan. Kami giat merencana aktiviti speanjang Ramadan meskipun ia bulan puasa. Kami tahu visi, kami kenal matlamat. Kami mahu membawa pelajar tercicir ke ruang yang sepatutnya.

Allah membuka seluas ruang pada Ramadan ini. Usaha kami semakin jelas dan cerah. Kami berdoa agar segalanya dipermudahkan. Kami berdoa agar hati kami sentiasa disatukan. Kami berdoa agar TFTN menjadi hebat kerana pencapaian, bukan kerana yang bukan-bukan. Kami berdoa agar TFTN menjadi seperti yang kami harapkan.



***

Saya tidak ingin bercerita tentang siapa saya dalam dunia sukarela / volunteerisme. Peranan saya hanyalah sebutir debu di padang pasir yang luas. Namun ada yang meminta saya berkongsi. Maka, dengan rendah diri saya menuliskan entri ini sambil berdoa agar perasaan riak dan bangga diri tidak singgah di hati saya dalam bait-bait kata yang saya perturunkan.

Rabu, Julai 25, 2012

Nota lapan kepada dua puluh

Tuan / Puan,

Saya mohon agar Tuan  / Puan tidak meletakkan kereta di belakang kereta saya. Saya tahu Tuan / Puan buat dua puluh rakaat malam ini. Saya juga ingin buat dua puluh rakaat tetapi saya terlalu letih dan penat. Tadi pun saya hampir terlelap ketika imam membaca surah panjang satu muka.

Maka malam ini saya hanya sanggup buat lapan rakaat supaya selepas sini saya boleh tidur awal dan bangun awal untuk sahur, dan esok saya boleh buat dua puluh rakaat pula. Saya harap Tuan / Puan faham keinginan saya supaya kita boleh sama-sama dapat kutip pahala Ramadan dengan banyak.

Sekian, terima kasih

Sabtu, Julai 21, 2012

Rumi on Ramadan

The month of fasting has come,
the emperor's banner has arrived,
withhold your hand from food,
the spirit's table has arrived.

The soul has escaped from separation
and bound nature's hands;
the heart of error is defeated,
the army of faith has won.

The army of the snorting chargers
has put its hand to plunder,
from the fire of the strikers of fire
the soul is brought to lamentation.

The Cow was goodly,
Moses son of Imran appeared;
through him the dead became living
when it was sacrificed.

Fasting is as our sacrifice,
it is the life of out soul;
let us sacrifice all our body,
since the soul has arrived as guest.

Fortitude is as a sweet cloud,
wisdom rains from it,
because it was in such a month of fortitude
that the Koran arrived.

When the carnal soul is in need,
the spirit goes into ascension;
when the gate of the prison is broken,
the soul reaches the Beloved.

The heart has rent the curtain of darkness
and winged up to the sky;
the heart, being of the angels,
has again arrived.

Quickly clutch the rope out of this body's well;
at the top of the well of water cry,
 "Joseph of Canaan has arrived."

When Jesus escaped from the donkey
his prayers became accepted;
wash your hands,
for the Table has arrived from heaven.

Wash your hands and your mouth,
neither eat nor speak;
seek that speech and that morsel
which has come to the silent ones.

(A poem in time of Ramadan. Rumi`s Ghazal No. 892 from the Divan-e Shams-e Tabrizi, translated by A.J. Arberry, "Mystical Poems of Rumi," 1968.)

Jumpa di sini 

Jumaat, Julai 20, 2012

Ahlan ya Ramadan 1433

Saya menuliskan anekdot sempena Ramadan pada 2008 dan 2010. Secara kebetulan, dua tahun kemudian - 2012 - saya terasa mahu menulisnya kembali. Banyak pula benda yang sudah bermain-main dalam kepala, menanti diturunkan. Apatah lagi momentum menulis sudah merudum kebelakangan ini, maka saya perlu mencari sesuatu yang lebih menarik. Bagaimana tak merudum, memang sejak tahun lalu saya mensasarkan untuk banyak membaca dan mengurangkan menulis. Tujuannya ialah membaiki teknik dan kemahiran menulis. Tapi bila dah berhenti agak lama, terasa rindu nak menulis panjang. Setakat ini, saya cuma 'main-main di luar manuskrip'. Tunggu ilham, tunggu semangat. Sebagai permulaan, mana-mana manuskrip yang terbengkalai saya keluarkan dan selak satu persatu. Sudah nampak apa yang perlu dikerjakan nanti.

Sebagai permulaan untuk Ramadan 1433, saya dan seorang kawan, As mengadakan kempen Ramadhan Tanpa TV di Facebook. Ilham ini pun lahir tiba-tiba, bila kami berbual tentang rutin harian dan menyedari kami sudah menghindari tv dalam tempoh yang agak lama. Cuma untuk Euro 2012 yang lalu saya sengaja menewaskan diri kerana mahu mengikut arus. Namun begitu, ia membawa rutin yang baru, dimana sehingga kini saya mampu bangun lebih awal dengan menewaskan malam dengan cepat. Apatah lagi saya adalah sejenis manusia pagi - morning people - yang produktif dan aktif sejak awal pagi dan semakin lemau menjelang malam. Terasa setiap hari saya rasa bermanfaaat apabila memulakan kerja pada pukul 4 pagi.

Hidup tanpa tv tidak mendatangkan apa-apa masalah dan hidup saya terasa lebih menenangkan kerana tidak attached atau terikat kepada apa-apa siaran, tidak ketagih pada drama bersiri, tidak takut terhadap jenayah yang dipaparkan dengan tragis dan sedih dengan kehidupan yang penuh ketidakadilan. Sebenarnya, ketika terlibat dalam dunia MLM hampir sepuluh tahun dahulu, resepi hidup tanpa tv ini juga dipraktik oleh para upline kepada group mereka. Hasilnya memang menakjubkan kerana masa untuk bekerja lebih panjang dan fokus tidak terjejas. Tips ini ada saya masukkan dalam buku MLM saya. Masih boleh dapatkannya jika mahu tahu lebih lanjut :)

Untuk Ramadan kali ini, saya mensasarkan buku berikut bagi mengisi ruang masa yang panjang. Waktu kerja di singkatkan kepada sembilan-empat (jangan cemburu), maka saya pasti akan manfaatkannya dengan ilmu yang baharu.

1. Sejarah Rasul Ulul Azmi Terbesar oleh Takiyudin Hassan, Penerbit Jahabersa. Bukunya tebal sejengkal. Sudah dua tahun tak habis baca
2. Sejarah Falsafah Islam oleh Prof M.T Thahir Abdul Mu'in. Ini buku lama, tahun 1979 terbitan Pustaka Melayu Baru. Beli dari Nazmi Yaakub yang jual lelong di Rumah Pena :)
3. Beberapa Kalimah Ringkas: Iman dan amal adalah kunci pintu syurga oleh Badiuzzaman Said Nursi. Proses menghayati tulisan said Nursi, beli di PBAKL bersama koleksi Nursi yang lain
4. Lambaian Kaabah oleh Dr Hafidzi Mohd Noor. Tulisan perjalanan mengerjakan Haji oleh Dr Hafidzi dan isterinya. Beliau mengerjakan haji dari Eropah
5. Hizmet: Questions and Answers on the Gulen Movement. Tentang Gulen dan gerakan mereka di Turki dan serata dunia
6. Rasulullah Dalam Puisi. Buku lama juga. Himpunan puisi mengenai junjungan besar Muhammad s.a.w
7. Di Kebun Khatulistiwa. Kumpulan puisi Rahimdin Zahari.Menghayati puisi sufi dari syeikh puisi :)
8. Tanah Nurani. Antologi Puisi pemenang Hadiah Sastera Perdana 1996-2005. Sudah baca separuh. Mahu ulang baca
9.Rumi Biography and Message oleh Cihan Okuyugu. Seputar Rumi dan puisi sufinya
10. Risalah Ramadan dan Syukur oleh Said Nursi. Menjadi buku pertama yang dihabiskan

Banyak? Tapi buku-bukunya nipis, cuma no 1 itu yang mencabar. Tapi, man jadda wajada!

Jangan menggatal pula kata kena baca Qur'an pada bulan puasa. Bulan lain tak baca? Baca Qur'an sudah jadi rutin, cuma kali ini saya nak beli tafsir Melayu dan fahamkan maknanya. Tafsir Abdullah Yusuf Ali dalam English sudah dimiliki ketika belajar dahulu, maka lebih afdal cari dalam BM.

Selamat menyambut Ramadan dan selamat menjalani tarbiyyah dalam madrasah Ramadan.

Ramadhan tanpa tv, hidup lebih berprestasi!

Rabu, Julai 18, 2012

Buku: Negeri 5 Menara
















man jadda wajada. siapa yang bersungguh-sungguh pasti berjaya

Banyak kali saya mendengar Negeri 5 Menara disebut-sebut. Sekolah pondok yang moden, sistem pembelajaran yang hebat, pelajar yang berjaya. Ah, bila sebut pesantren atau seolah pondok, pasti terlintas dalam fikiran ia tempat belajar agama semata-mata sedangkan sudah ada perubahan terhadap konsep pengajian disana yang tidak terlalu memberatkan agama hingga mengenepikan ilmu lain yang sebenarnya juga penting.

Jadi apa yang lainnya dalam Negeri 5 Menara?

Ternyata A Fuadi berjaya menceritakan kelainan dan kehebatan Pondok Madani sehingga menyebabkan hati kita yang membaca bagai ditarik-tarik untuk mendaftar masuk ke Pondok Madani. Hanya kerana saya perempuan, maka angan-angan itu hancur berkecai. PM khusus untuk pria :-)

Jelas, novel ini memurnikan pandangan akan konsep sekolah pondok yang bernuansa moden dan terkini. PM menunjukkan ilmu agama yang selama ini dimomokkan dengan pesantren sudah jauh menjangkaui kurikulum sekolah biasa. Malah, mampu membekalkan para pelajar dengan ilmu yang menjadikan merka tidak kalah dengan pelajar luar. Disiplin yang ketat, kita perlu akur bahawa itu sahajalah yang menjadikan kita seorang hamba yang patuh pada ajaran-Nya. 

Hal ini saya nyatakan secara tidak langsung usai menghadiri dua syarahan bersama Prof Tariq Ramadan di Renaissance Hotel (14 Jun) dan diikuti di UIA pada 16 Jun. "Memang patut disiplin yang ketat di amalkan di Pondok Madani. Seperti Islam yang mempunyai aturan dan peratuan tertentu yang perlu kita patuhi." Tiba-tiba terasa lancar kata-kata saya malam itu. Sambung saya, "Tanpa disiplin, kita akan mudah memperlekehkan segala yang diarahkan. Kita akan melengahkan waktu solat, membazir ketika berwuduk, mengabaikan anak yatim, tidak mengendahkan orang miskin, membazirkan makanan ketika berbuka puasa, membiarkan jiran kelaparan atau menganiaya haiwan."

Saya fikir, apabila kita disiplin terhadap agama, kita jadi disiplin terhadap hidup. Kita melaksanakan amal makruf nahi munkar. Kita tidak akan sewenang-wenangnya melanggar lampuisyaratmerah atau masuk ke simpang tanpa memberi isyarat, Kita didisiplin oleh agama. Maka Pondok Madani mengaplikasikan Islam secara menyeluruh dalam memaksa pelajar mematuhi peraturan. Kita kan manusia, mudah lupa.

Ternyata PM berjaya menghasilkan pelajar yang mantap serba serbi. Menerusi Alif Fikri yang sebenanrya adalah susuk A Fuadi sendiri, dia berjaya menggenggam cita-citanya dengan ungkapan keramat man jadda wajada. Siapa yang bersungguh-sungguh pasti berjaya. Melihat profesyennya kini dan pencapaian sejak meninggalkan Pondok Moden Gantor (lokasi sebenar PM) memberikan kita satu pencerahan tentang situasi sebenar sekolah pondok yang patut diambil iktibar juga oleh para pendiri pesantren dan sekolah pondok.

Dua perkara yang menjadikan PM kuat adalah waqaf dan ikhlas. Kebanyakan tenaga pengajar di PM mewaqafkan diri mereka kepada PM . Mereka tidak punya harta, wang atau tanah untuk diwaqafkan, lalu diri sendirilah yang diwaqafkan demi kelansungan PM (ms 253). Menerusi Kiai Rais yang merupakan pendiri PM,  maksud ikhlas dinyatakan dengan murah dan berseni. "Kami ikhlas mendidik kalian dan kalian ikhlas kan niat untuk mauu dididik. (ms 295)" Menurut Alif sendiri, keikhlasan adalah perjanjian tidak tertulis antara guru dan murid.

Maksud ikhlas ini mengingatkan saya kepada filem Kiamat Sudah Dekat yang CDnya saya titipkan menerusi seorang kawan dari tanah seberang. Filem ini terhasil sepuluh tahun yang lalu dan tidak ditayangkan di Malaysia kerana ia adalah filem berunsur agama dan tempat yang layak hanyalah di kaca TV. 

Fandy sebagai rockers, membesar di US dan kurang ilmu agama jatuh cinta pandang pertama kepada anak Haji Romli. Dia nekad mahu menyunting Sarah, lalu Haji Romli mengujinya dengan amalan bersolat dan mengaji. Niat Fandy yang murni menjadi obor kekuatan untuk dia melepasi ujian Pak Haji dan diberi ujian terakhir iaitu mencari makna ikhlas. Dalam masa yang sama dia mengetahui seorang siswa dari Mesir juga berusaha menyunting Sarah. Fandy berusaha membaca buku agama bagi menyelami makna ikhlas, namun dia kecewa. Ilmu ikhlas bukannya dalam buku. Sebelum menjalani 'ujian' terakhirnya bersama Haji Romli, Fandy melontarkan puisi ini, yang saya kira sebuah doa yang ikhlas.


Allah 
Aku tidak meragukan kekuasaan-Mu
Ombak di lautan-Mu yg tenang ini bisa seketika Kau buat jadi gelombang yang besar 
dan menenggalamkan segala apa pun yangg mengapung di atasnya
Aku tidak meragukan-Mu
Bahkan bila Kau berkehendak, Engkau juga bisa membuat matahari 
terbit dari barat dan tenggelam di timur
Tidak ada yg sulit buat mu Allah
Jadi apa susahnya kau melumerkan kekerasan hati Haji Romli
dan menjodohkan aku dengan Sarah
Please Allah, please
(Rockers kena cakap please meskipun dalam doa) 

Keikhlasan Fandy menyerahkan Sarah kepada pesaingnya dan berterima kasih kepada Haji Romli yang menyebabkan dia dan keluarga kembali kepada Islam dan mengenal agama menjadikan Pak Haji tersentuh. Itulah ilmu ikhlas yang sebenar. Akhirnya mereka dijodohkan. Happy ending.


Ikhlas datang dari hati. Ia cebisan nurani yang tidak boleh dibuat-buat meskipun kita bersungguh-sungguh melantunkannya di bibir. Ikhlas terpancar di wajah menerusi hati yang ikhlas, perilaku yang ikhlas, bicara yang ikhlas, perbuatan yang khlas dan niat yang ikhlas. 

Itulah ilmu ikhlas.

Jumaat, Julai 06, 2012

Minyak yang hilang

Rabu yang lalu, saya mencari minyak masak sekitar Bangi untuk di sumbangkan kepada Islamic Relief Malaysia sebagai menyambut seruan terhadap projek bantuan kepada pihak memerlukan menjelang Ramadhan. IRM mahukan minyak masak dalam botol 1kg bagi memudahkan urusan pembungkusan.

Saya singah ke sepuluh kedai, pasaraya dan supermarket. Ironinya, tidak banyak minyak masak pada rak. Jika ada pun, dalam botol bersaiz 2 kg atau 5 kg atau dalam plastik yang bersaiz 1 kg. Namun begitu, minyak masak ini - tidak kira dalam apa saiz pun - tidak boleh di beli lebih dari 2 botol. Tidak kira anda tokay restoran atau Ustaz yang sering beri ceramah agama. Dua sahaja, tak boleh lebih. Alasan mereka, minyak masak ialah barangan terkawal.

Petang semalam, saya cuba membeli tiga botol danbuat-buat tak tahu. Pembantu kedai cepat-cepat berbisik pada saya, "kak, tokay kedai saya ada di kedai sebelah. Kak cepat-cepat pergi, nanti dia marah saya sebab jual tiga botol."

"Kenapa?" Soal saya dengan muka bodoh.

"Dia tak bagi orang beli lebih dari dua. Tempohari ada pelanggan beli dua botol 5kg pun di tegur. Pada saya tidak mengapa, sebab stok masuk setiap hari. Tapi dia marah."


Ketika itu saya seperti nak beri ceramah ekonomi atau ceramah sosial (ceramah politik kena minta permit) kepada tokay kedai. Dengar cerita, Felda merupakan pengeluar minyak sawit TERBESAR di dunia. Felda hanya SATU di dunia iaitu terdapat di MALAYSIA. Tetapi kenapa kita sendiri - orang MALAYSIA - nak beli minyak masak seperti mengemis, meminta izin, berpusing sana sini sebelum jumpa?


Cepat-cepat saya bawa lari botol-botol minyak itu selepas mengambil wang baki. Dalam perjalanan ke kereta, saya terbayangkan pokok kelapa sawit yang berselang seli pokok getah yang menemani saya dalam perjalanan pulang ke kampung. Saya terkenangkan pokok kelapa sawit yang abah sedang di tanam semula di kebun menggatikan pokok getah yang seudah di tebang. Saya membayangkan alangkah enaknya jika biji sawit yang akan di petik nanti boleh saya perah sendiri. Seperti memerah susu dari lembu.

Cepat-cepat saya bawa lari botol-botol minyak itu selepas mengambil wang baki.

 Setiba di kereta, saya memandang saya empat belas botol minyak yang akan saya serahkan kepada IRM sebentar lagi. Siapakah nanti yang akan menjawab persoalan kehilangan misteri minyak masak di rak kedai di negara yang (so-called) pengeluar minyak sawit terbesar di dunia? Menteri Pengangkutan? menteri Belia Dan Sukan? Menteri Wilayah Persekutuan?

Sepatutnya kita kena tukar ayat : Felda adalah penananam kelapa sawit terbesar di dunia!

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...