Rabu, Februari 21, 2018

Anak muda, belajarlah bersabar

Sudah beberapa hari tidak buka FB, bermacam-macam cerita mengejutkan keluar. Ada yang pergi, ada yang memulakan hidup baru. Semuanya mengejutkan, kerana tidak ada sebarang tanda. Apatah lagi kematian. Namun seperkara yang mengejutkan lagi ialah apabila seorang anak muda yang puisinya keluar di MM, rupanya puisi milik orang lain yang disalin bulat-bulat lalu di hantar ke akhbar. Tersiar pula. Lebih malang lagi (atau lebih bertuah lagi?), rupanya satu puisinya yang ernah tersiar dahulu pun disalin bulat-bulat dari milikan orang lain. Mujurlah sahaja dia yang pernah menang HSPM kategori puisi, tidak memenangi anugerah itu dari puisi yang dicuri.

Kes ini menjadi besar bila pemilik puisi telah menunjukkan bukti bahawa dialah penulis asal, Memang bukti itu ternyata benar. Dan kemudian deretan komen menyokong bahawa penulis yang sebenar itu adalah yang sebenar penulis, bukan anak muda yang mencuri dan mengaku dialah yang sebenar. Ah, sayang sekali anak muda. Kau masih terlalu muda untuk mencuri, atau usia muda mu tidak patut diisi dengan kerja mencuri. Kenapa tidak kau usaha dan memenangi hati pembaca dengan hasil usahamu? Kenapa perlu kau mendapat nama dengan mencuri, yang akhirnya memalitkan sejarah hitam sehingga akhir hayatmu. Jadi sekarang, mana kau dapat letak air muka dan harga dirimu?

Banyakkan bersabar anak muda. Belajar itu suatu proses, menjadi pandai memerlukan proses. Membaca bukan boleh dimahirkan dalam sehari. Menjadi pemuisi bukan semudah menyalin dan mencuri hasil karya orang lain!

Rabu, Februari 07, 2018

Antara dua cahaya

Dalam sebuah video mengenai kitab Idaman Buat Penuntut, al-fadil ustādh memberi analogi cahaya dengan membezakan cahaya matahari (al-diyā’) dan cahaya bulan (nūr). Adapun cahaya matahari sifatnya panas manakala cahaya bulan sifatnya sejuk. Nabi mengatakan bahawa sabar ibarat orang yang boleh bertahan duduk di bawah matahari. Meskipun bercahaya, terang dan dapat mengeluarkan diri dari keadaan gelap gelita; tiada ramai sanggup berpanas, berpeluh dan duduk gelisah dalam keadaan tidak selesa. Tiada yang sanggup membiarkan diri berjemur di bawah matahari. Mereka lupa bahawa itu adalah ujian, terangnya cahaya matahari menguji kesabaran. Jika mereka tiada bersabar dengan ujian (kepanasan), maka tercabutlah hikmah dari musibah yang sedang dilalui. Terkeluarlah mereka dari cahaya, duduklah dalam kesamaran dan kegelapan.

Adapun sabar adalah antara sifat penting yang menjadi pakaian ahli tasawwuf. Imām al-Qushayri dalam Risālah Qushayriyah menyenaraikan sifat sabar sebagai amalan dan ajaran pokok dalam ilmu tasawwuf. Begitu juga dalam Kitāb Tasawwuf karya Tuan Guru Haji Muhammad Sammān Kati (Mat Saman Kati), sabar dinyatakan sebagai antara sifat terpenting ahli sufi.


0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...