Sabtu, Mei 03, 2014

Yang rendah dipandang

Sewaktu bekerja sebagai kakitangan sementara di UIA, tugasan utamaku ialah memeriksa peralatan asrama yang baru dilengkapkan di setiap bilik dan melabelkannya. Asrama ini belum siap sepenuhnya, baru empat blok dibuka. Tergesa-gesa pula kontraktor menyiapkan kerana pelajar perempuan kian bertambah. Maka aku perlu berurusan dengan segala macam orang -  kontraktor bangunan, kontraktor M&E, pembekal, makcik cleaner, juru elektrik, serta pak guard.


Dari situ aku banyak belajar, dan pelajaran utama yang aku dapat ialah dalam usaha pihak pemaju membuat binaan baru, ada banyak pihak terlibat. Mereka ialah arkitek yang melukis pelan, quantity surveyor atau juru ukur bahan yang akan mengira berapa banyak batu, simen, pasir etc untuk bina bangunan. Kontraktor M&E akan bertanggungjawab pada urusan elektrik dan kejuruteraan serta yang penting ialah kontraktor binaan yang membina dan mendirikan bangunan sehingga siap. Patutlah dalam papan tanda disetiap tapak pembinaan dinyatakan semua pihak yang terlibat. Sehingga kini, setiap kali lalu papan tanda di tapak pembinaan ini, aku kan sentiasa meneliti nama-nama syarikat yang ada.


Setiap pagi, seorang pegawai mekanikal akan datang ke pejabat. Dari jauh sudah tahu kedatangannya, kerana safety shoesnya akan kedengaran menggegar lantai. Kami akan beritahunya apa-apa masalah yang dilaporkan pelajar kerana bangunan ini masih dalam jaminan pihak kontraktor dan developer. Oleh itu, mereka masih perlu membetulkan apa-apa kerosakan dengan percuma. Selepas tempoh jaminan, barulah bangunan diserahkan sepenuhnya pada UIA. Selalunya selepas dua tahun. Dan selepas dua tahun barulah banyak kerosakan besar berlaku. Samalah juga jika kita beli rumah.


Selepas laporan diserahkan, biasanya dia akan berbual-bual terlebih dahulu. Kadang-kadang, kami hulurkan dia secawan air. Kadang-kadang dia datang dengan wajah berpeluh dan keletihan. Ada ketikanya dengan marah-marah dan tinggi suara. Kenalah ada kemahiran untuk menurunkan suhu amarahnya. Selalunya akan berakhir dengan gelak ketawa. Selepas dia membetulkan kerosakan, borang akan dihantar kembali ke pejabat keesokannya, dan bertukar pula dengan borang baharu. Jika tiada kerosakan apa-apa, lamalah dia bertenggek di pejabat, mengusik kami dan berbual macam-macam.


Seorang lagi, kontraktor elektrik juga akan datang mengambil borang aduan kerosakan. Tetapi kerosakan elektrik jarang berlaku dan dia datang apabila dipanggil. Orangnya pemalu, kurang bercakap dan sering tersenyum. Bila datang, dia cuma berdiri dipintu dan mengambil atau menghulurkan borang. Alasannya, malas nak tanggalkan kasut.


Antara mereka, aku rapat dengan seorang supervisor cleaner. Kak Minah namanya. Dia sering jadi magsa teguran, kadangkala kemarahan ketuaku. Macam-macam aduan yang akan dihamburkan padanya setiap kali dia datang atau dipanggil ke pejabat. Kadangkala longkang tersumbat, bilik air kotor, sampah tak ambil dua hari, dan macam-macam perkara remeh yang dia sendiri laporkan (kerana dia suka memeriksa sendiri). Sedangkan kalau dilihat, pelajar sendiri yang buat masalah. Ini mentaliti pelajar kita, atau sebenarnya mentaliti orang kita. Mentang-mentang ada tukang sapu dan tukang cuci, sampah boleh dibiarkan berterabur sesuka hati. Kalau tidak, mereka tiada kerja - ah, ini alasan yang cukup jelek.


Ketuaku ini seorang yang perfectionist dan ingat setiap kerja yang diberikan pada kakitangannya. Selalu dia mengingatkan surat-surat yang dia minta taip. Borang yang perlu dibalas. Panggilan yang perlu dibuat. Ketika itu tahun 2003, internet belum meluas, emel belum menjadi medium komunikasi. Kebanyakannya masih manual, isi borang dan hantar. Perhubungan sesama mahallah (kolej) bergantung pada borang dan surat. Semua perlu dihantar dengan tangan (menerusi posmen), dicop terima, di tnada tangan dan dimasukkan ke dalam fail. Dari dia aku belajar menjadi seorang yang perfectionist juga walaupun taklah perfect mana.


Seorang senior kerani pula, cekap dalam mengendalikan hal pentadbiran. Aku belajar bagaimana menyusun fail, memasukkan surat dalam fail dengan sistem kerajaan (semua kena ada salinan) dan merekodkannya, sistem fail yang betul termasuklah inventori untuk alat tulis pejabat. Setiap pen yang diambil pun perlu direkodkan. Ternyata ini satu pelajaran yang bernilai tinggi bagiku, yang baharu menamatkan pengajian, masih mentah dalam dunia kerja tapi diletakkan dalam kelompok orang yang cekap dan berpengalaman. Mereka membantu membentukku menjadi pekerja yang mahir mengendalikan banyak perkara selepas itu sehingga sekarang. Akan aku kongsikan nanti satu demi satu.


Kami bertiga sahaja yang selalu di pejabat. Aku memegang jawatan ini secara sementara dengan kedudukanku adalah temporary part-time, sementara mendapat kakitangan tetap, itu pun memakan masa setahun. Selain itu, ada juga Principal Mahallah. Dia sebagai ketua sahaja, tidak masuk pejabat selalu. Biasanya terdiri dari kakitangan akademik. Tugasnya selalu cumalah menandatangani surat dna masuk ke msyuarat bersama pegawai tertinggi mahallah. Segala urusan berkenaan pertukaran mahallah, stay-off campus, defect and complain, masalah disiplin dan pentadbiran terletak pada ketuaku. Jika ada pelajar nak anjur program, barulah dirujuk pada Principal.


Uniknya, Principal ini adalah seorang pelupa. Setiap surat yang diletakkan di atas meja selalu lupa ditanda tangan. Pernah dia lupa hadiri mesyuarat. Temujanji dengan pelajar pun dia lupa. Apabila menyedari kelemahannya ini, kami perlu menjadi tukang mengingatkannya. Bila waktu dia perlu datang pejabat, mesyuarat mana perlu pergi, apa yang perlu di baca, surat mana yang perlu ditandatangan, apa keputusan yang pernah diputuskan dan pelajar yang mahu bertemu dengannya. Pernah sekali kaka kerani kananku berseloroh, "kita ni berhadapan dengan dua orang yang berbeza. Seorang yang terlalu ingat semua benda. Sampai kita rasa macam tak reti buat kerja. Seorang lagi yang pelupa amat. Kita jadi tukang ingatkannya."


Aku ketawa. "Jadi, mana lebih baik?" Kami ketawa bersama.


Dengan Kak Minah, lama-lama aku jadi rapat. Bila ada laporan, aku perlu ikut dia dan tunjuk kawasan yang dilaporkan. Bila dia dah bersihkan, dia akan tunjuk padaku. Dari situ, aku kian faham skop kerjanya. Dia adalah supervisor. Sudah berkahwin dan punya anak empat. Memandu sendiri ke mahallah ini. Dari kak Minah, aku kenal dengan cleaner lain. Dari mereka, aku kian kenal hati budi mereka yang baik belaka. Jika di mahallah dahulu, aku sering melihat makcik cleaner dari jauh tanpa berusaha menegur mereka (aku ini terlalu pendiam untuk berkata apa-apa), tapi di sini, mereka mejadi antara kawan baruku. Bawah tangga adalah tempat rehat mereka. Kotak diatur menjadi alas duduk. Bila waktu amkan, mereka membuka bekal sama-sama. Kadangkala duduk bersandar kepenatan sementara menunggu kerja berikutnya. Di sebelah mereka, tong sabun beratur memenuhi ruang. Penyapu, penyodok, mop dan alat pembersihan lain pun letaknya di situ. Bila hujan, air merembes hingga ke bawah tangga. Mereka akan kesejukan di situ sementara menanti teduh. Ya, itulah dunia mereka.


Berbual dan pengamatanku dengan makcik cleaner, tukang cat bangunan, pekerja kontrak yang tegar membancuh simen, abang kantin, peniaga di rumah kongsi, pekerja electrical dan mekanikal, pelajar baru yang masih naif dan pembekal perabot banyak mengajarku tentang kesungguhan manusia-manusia di sekelilingku dalam mencari sesuap nasi. Merekalah guruku, yang sentiasa mengajak aku memandang ke bawah ketika aku mendaki satu demi satu tangga kerjaya. Mereka mendidik aku agar tidak sombong sesama manusia, rajin-rajin menegur biarpun dengan dialog klise, bersyukur dengan apa yang ada, usah berputus asa dan kuat semangat mengharungi cabaran. Syukurlah aku dipertemukan dengan mereka pada awal kerjayaku baru mula dibina. Mereka sentiasa segar dalam ingatanku meskipun setelah duduk dalam kerusi empuk dengan jawatan yang tertinggi beberapa tahun selepas itu.


Persahabatanku dengan kak Minah pula berpanjangan hingga keluar pejabat. Nanti aku ceritakan kisahnya pula dalam entri lain.


Tiada ulasan:

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...