Ahad, Mei 25, 2014

Filem: Sang Murabbi

Bulan lalu, ketika sedang berbual tentang beberapa filem yang berunsur dakwah dan tarbiyah, terdengar dalam perbualan itu seseorang menyebut tentang Sang Pencerah, Sang Murabbi, Sang Kiyai. Terdetik dalam hati, apakah semua judul ini berbeza? Seperti selalu, saya menerjah ke Google mencari jawapan. Lain rupanya, lain. Jadi saya muatturun dan simpan dalam harddisk. Nanti akan ditonton. Nanti.


Hari ini yang serba lembab dengan capai internet yang mengada-ngada sejak dua tiga minggu, saya pun menonton Dalam Mihrab Cinta. Rupanya filem ini sudah pun saya tonton sebelum ini, tapi kerana sudah membukanya maka saya hadam sekali lagi sambil mengacah-acah internet. Bila acahan tak berhasil, saya buka pula Sang Murabbi tanpa ada apa-apa harapan pun. Tiada.

Terkesima sekejap menonton sosok Kiyai Rahmat Abdullah. Kenapa saya tidak tahu dia, kenapa ketinggalan mengenalinya? Soalan ini bertalu-talu muncul di kepala. Belum pun habis filemnya, cepat-cepat saya Google namanya, mencari dan memahami beliau yang sebenar. Rasa ketinggalan sangat-sangat. Sangat-sangat.

Sang Murabbi ditayangkan sekitar 2008 merupakan kisah yang diangkat dari kehidupan Almarhum KH Rahmat Abdullah bin Abdullah (1953-2005). Kalau mahu tahu tentang dirinya, boleh baca di sini dan di sini. Tapi tentang filemnya, sedikit sebanyak dapatlah mentarbiah hati yang keras semiggu dua ini. Betapa dakwah dan tarbiah yang Kiyai Rahmat jalankan sangat tenang, santun dan berhemah. Teratur tutur kata, jelas misi dakwahnya, tidak keras dalam tindakan, mengajak tanpa mendesak, memahami kehendak semasa dan ulah masyarakatnya. Tidak dengar pula dia mengeluh tetapi tegas denan pendiriannya. Lihatlah ketika dia membangkang seseorang yang mengatakan sesuatu tentang Nabi. Dia tidak melenting, marah atau memaki hamun sebaliknya menasihatkan dengan baik sambil mematah-matahkan hujah lawan. Ketika dia menerima surat panggilan ke pejabat (kerana dikatakan telah melakukan kesalahan), si pembawa surat itu pula ditarbiah sehingga mengalir air mata. Empat lima kali saya ulang bahagian ini bagi melihat bicara yang dituturkan. Memang ternyata membekas tanpa sindir menyindir. Begitu juga ketika dia menegur anak perempuannya yang pulang lewat dibalas si anak 'ayah juga pulang lewat'. Tetapi dia tidak marah sebaliknya minta maaf kepada anaknya. "Fida, maafkan Abi ya nak ya. Kalau Fida mengerti apa yang abi kerjakan, insha-Allah Fida tidak akan keluar malam ya nak ya." Duh!

Kiyai Rahmat seorang terbuka dan boleh menerima teguran dan padangan orang lain. Ketika dia mellihat tanah yang mahu diwakafkan, beliau yang melihat kawasan itu nampaknya seperti kawasan kumuh lalu berkata 'ini bukan tempat jin buang anak, Pak Haji Mukhtar?'  Maka dijawab oleh si penderma, 'Anta lupa sama kisah Nabi Ibrahim? Beliau menerima amanah Allah awal dakwahnya di tempat yang tiada seorang manusia, jangankan  jin, pohon pun enggak ada ustaz'. Apa jawapannya? Jazakkallahu khayr Haji. Mereka pun bersalaman. Begitu juga ketika dia menerima kehadiran kaum ibu yang dipinggirkan oleh sang suami yang berpoligami. Semua itu menjadi ramuan dakwahnya, tarbiahnya yang dijalankan dalam kelompok kecil (atau orang kata sekarang usrah) tanpa dia rasa malu-malu seperti para ustaz kita. Sepertinya perempuan ini jijik dilihat.Menurut ibu itu, kami ini juga perlukan bantuan sang ayah dengan mengambil contoh Hassan al-Bana yang turut sama mendidik anak-anaknya, bukan seperti apa yang dilakukan oleh sang suami ketika itu. Semuanya dilepaskan pada bahu si ibu.

Pada awal beliau berdakwah, oleh kerana terpengaruh dengan cara Hassan al-Bana, Syed Qutb, Mohammad Natsir dan beberapa pemimpin lainnya, cara penyampaian dan pengisiannya dilihat berbeda. Namun ketika itu agak sukar bergerak kerana gerakan usrah menjadi satu larangan dibawah kepimpnan Presiden Suharto. Maka dia melakukannya secara sembunyi, dengan cara yang dapat mengelakkan keraguan. Sebelum itu pun dia sudah dipanggil oleh si pemerintah kerana didakwa ajarannya berbeda dari biasa. Semuanya dijawab dengan tenang, lengkap hujah dan kebenaran yang tidak mampu disangkal si pemerintah. Kiyai Rahmat kemudian mendirikan sebuah pergerakan dengan pejabat sendiri. Dia juga bersama-sama menubuhkan Parti Sejahtera yang kini dikenali sebagai Parti Kebangsaan Sejahtera (PKS) yang cukup kuat disamping Golkar dan PDI-P.

Penglibatannya dalam politik tidak mengubah kerja-kerja dakwahnya yang turut sama berjalan. Dia digelar Kiyai tarbiah kerana caranya menyampaikan dengan cara tarbiah yang memikat. Beliau tidak putus membaca, menulis dan berusaha keras menyampaikan dakwah kepada masyarakat. ketenangannya tetap menjadi tarikan.

Ketika Kiyai Rahmat memberi taklim di sebatang sungai kepada anak-anak muridnya, beliau berkata:
“Antum perhatikan bagaimana Allah SWT menciptakan batu yang luar biasa besarnya. Allah menciptakan begitu kerasnya batu. Bagaimana Allah SWT menciptakan air yang mengalir lembut ini. Tapi antara batu dan air mereka bekerjasama untuk menimbulkan satu harmoni yang Allah SWT harapkan di semua aktivis dakwah. Kita sama muslim, kita sama aktivis dakwah, kenapa banyak di antara kita tidak mengambil ibrah ini? Kenapa banyak di antara aktivis dakwah selalu mengatakan ini hak antum, ini ana. Ini kewajipan antum, ini kewajipan ana. TIDAK ADA!!! Malulah kita kepada apa yang diciptakan Allah SWT, batu dan air ini tidak ada pertikai di antara mereka”.
Ditakdirkan Kiyai Rahmat meninggal pada usia 52 tahun pada 2005, yang agak muda ketika sedang mengambil wuduk untuk solat maghrib sebelum mengendalikan satu acara. Pemergian beliau ditangisi ribuan orang yang datang menziarahi. Pengkebumiannya turut disimbahi hujan yang lebat yang turut menangisi kehebatan insan yang berjuang dan berdakwah di jalan Allah.

Nasyid dengan judul Sang Murabbi dendangan Izzatul Islam ini menjadi lagu runut bunyi. Sungguh indah didengar telinga, dalam maksudnya. Apa lagi yang harus saya katakan? Dengarlah dan hayati liriknya.

Ribuan langkah kau tapaki
Pelosok negri kau sambangi
Ribuan langkah kau tapaki
Pelosok negri kau sambangi

Tanpa kenal lelah jemu
Sampaikan firman Tuhanmu
Tanpa kenal lelah jemu
Sampaikan firman Tuhanmu

Terik matahari
Tak surutkan langkahmu
Deru hujan badai
Tak lunturkan azzammu

Raga kan terluka
Tak jerikan nyalimu
Fatamorgana dunia
Tak silaukan pandangmu

Semua makhluk bertasbih
Panjatkan ampun bagimu
Semua makhluk berdoa
Limpahkan rahmat atasmu

Duhai pewaris nabi
Duka fana tak berarti
Surga kekal dan abadi
Balasan ikhlas di hati

Cerah hati kami
Kau semai nilai nan suci
Tegak panji Illahi
Bangkit generasi Robbani..

1 ulasan:

Adek Abigail berkata...

Sang Pencerah dan Sang Kiai juga amat bagus.. Lebih bagus jika boleh faham bahasa Jawa..

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...