Jumaat, Mei 16, 2014

Seorang Guru



TFTN merapatkan saya dengan para guru, yang semasa kecil dahulu juga pernah bercita-cita menjadi guru (kerana itulah sahaja pekerjaan terhebat dapat dilihat di hadapan mata) namun menyedari sifat panas baran saya menjadikan saya tukar cita-cita di kemudian hari. Takut nanti ada anak-anak yang menjadi mangsa dera…


Sebelum ini guru-guru di sekeliling saya sekadar menghamburkan keluhan dan kepenatan, seolah-olah pekerjaan lain tiada mendatangkan keluhan dan kepenatan. Sehingga saya terfikir, apa gunanya mereka menjadi guru kalau setiap hari mengeluh dengan beban kerja, perangai anak murid, kelakuan teman guru, kursus demi kursus, birokrasi sekolah, polisi yang berubah dan seribu macam alasan lain. Sepertinya pekerjaan lain seolah-olah tidak ada beban yang berat dan besar. Ramai saya lihat teman bukan guru yang pergi kerja awal pagi dan pulang lewat malam, malah ada yang tidak pulang-pulang kerana kesuntukan masa (antara yang pernah saya alami dahulu). Tapi saya tidak menyalahi keluhan guru. Sesuatu itu berlaku pasti kerana sebab.

Tapi TFTN membawa pandangan lebih jelas tentang profesyen guru. Memang mereka mengeluh, memang mereka terbeban. Mendidik manusia bukan semudah memainkan plastisin bagi membentuk objek. Tambahan pula dengan keadaan masyarakat yang sakit yang melepaskan tanggungjawab mendidik anak-anak pada guru supaya tidak lagi terbeban dengan tugas mengajar anak sendiri. Jika tidak, masakan boleh anak-anak duduk di sekolah dari pagi hingga malam kerana katanya ‘emak saya belum ambil kerana emak saya balik kerja malam’.

Guru dan bakal guru dalam TFTN yang saya temui berjiwa besar dan murni. Mereka melihat masyarakat yang sakit, mereka ingin membantu dan membetulkan. Mereka juga terbeban dengan kerja tapi masih boleh berkongsi hati nurani dengan insan yang memerlukan. Pengalaman yang mereka kongsi saat mengajar anak dalam kelas corot, anak yang merangkak membaca, anak yang enggan belajar English, anak yang tidak tahu memegang pensel, anak yang tidak boleh duduk diam selepas lima minit, anak yang memanjat pokok dan menjeritkan nama kakaknya dari atas bumbung, anak yang bergaduh dan bertumbuk hingga berdarah-darah, atau menemani anak-anak yang dimasukkan ke hospital kerana denggi; semuanya memberikan kesedaran yang bukan sedikit bahawa ‘masih banyak lagi kerja yang belum saya buat’.

Dari tangan mereka, anak-anak ini kemudiannya datang membawa buku dan berkata ‘ajarkan saya membaca’. Anak-anak ini berhempas pulas belajar menulis supaya tidak lagi diketawakan, menghafal sifir supaya matematik tidak lagi gagal, mengulang doa untuk ibu bapa yang sudah tiada, mendengar kisah Nabi sebagai contoh dan teladan diri, mendengar segala macam kebaikan untuk menjauhkan diri dari perbuatan yang jahat.

Guru-guru ini tidak memerlukan ucapan selamat hari guru atau kad ucapan atau hadiah. Cukuplah jika anak-anak boleh membaca, lancar mengucapkan doa, boleh menyebut perkataan dalam English atau terbentuk sifat yang baik dari aura positif yang ditanamkan setiap hari. Kad atau ucapan atau hadiah itu perkara sampingan, yang besar ialah bila anak-anak ini boleh membesar sebagai manusia yang terbentuk sifatnya.

Mereka, guru-guru ini menjadikan saya kerdil bila berada di hadapan mereka.

Ya Allah, jadikan kami hamba yang ‘amil (mengamalkan) setelah ‘alim (mengetahui) ilmu-Mu. Amin

Selamat Hari Guru.

Norziati Mohd Rosman
COO, TFTN

Juga disiarkan dalam website TFTN

Tiada ulasan:

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...