Khamis, Mei 15, 2014

'Adakah aku berada di jalan yang sepatutnya'

Ini kali kedua saya mendengar Ustaz Hasrizal secara terbuka menyatakan perasaan taubatnya kerana menjadi 'Ustaz selebriti' ketika Wacana Jejak Tarbiah Hamka di UM pada 11 Mei 2014 yang lalu. Pertama kali ialah ketika Sembang Santai Bersama Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dalam topik Secangkir Teh Pengubat Letih, sekitar April tahun lalu. Hampir setahun berlalu.


Pertama kali saya membaca tulisan Ustaz Hasrizal ialah ketika mendapat salinan emel dari PTS berkenaan tulisan beliau dalam websitenya dengan artikel Anthony Mencari Muhammad Amin yang telah dimuatnaik semula tahun ini. Ketika itu tahun 2006, belum ada media sosial. Blog, emel dan groups emel menjadi talian hayat untuk mendapatkan maklumat dan bacaan yang 'berautoriti'. Sejak dari itu, saya menjadi pembaca tegar tulisan-tulisan dalam Saifulislam.com beliau sehingga bila tak baca sehari rasa gelisah seolah-olah hari itu tak dapat cukup ilmu. Semua isi website beliau saya geledah, dari awal penulisannya yang bersifat ilmiah hinggalah tulisannya kemas dibaca dengan sulaman fakta dan bersifat cerita. Semua tulisannya saya salin ke dalam words untuk diulang baca ketika ketiadaan internet sehingga saya mempunyai satu folder khas beliau yang mengandungi berpuluh, atau mungkin beratus fail, termasuklah rakaman video dan audio.

Perkembangan beliau dapat saya saksikan, sejak berada di Ireland hinggalah ke Ampang; dari luar negeri hingga kembali ke tanah air yang beliau katakan back for good membawa ke Bandar Sri Putra; dari dua orang anak hinggalah ke lima orang; juga bagaimana usahanya menguruskan badan dengan cukup konsisten dengan rejim diet yang 'kejam', pekerjaan yang beliau lakukan sejak hari pertama di Malaysia bersama Fitrah Perkasa sehingga bergerak bersama Akademi Sinergi dan perkenalan dnegan Khalifah Model School serta Khalifah Method. Tidak ada satu pun tulisan yang tertinggal dari bacaan. Sejarah Turki Uthmaniyah saya cukup hadam, Surah al-Kahfi semakin faham diteladani, maklumat yang beliau sampaikan cukup tersusun dan gaya penceritaannya menjadi contoh untuk saya hasilkan karya dengan penyampaian yang bermaklumat.


Namun sampai satu tahap saya kecewa. Saya melihat beliau sudah asyik dengan ceramah dan wacana yang berkisar kepada cinta, kekeluargaan, motivasi, kaunseling dan hal-hal yang bersangkutan dengan masalah sikap dan cabaran-cabaran yang berpunca dari dalam diri, bukannya hal yang lebih besar seperti yang selalu beliau sampaikan.Saya kecewa kerana saya tahu Ustaz Hasrizal boleh bercakap lebih tinggi dari apa yang boleh sampaikan, bukan terhad kepada isu-isu yang boleh diselesaikan sendiri oleh pihak yang bermasalah. Saya tidak merasa tercabar untuk membaca tulisannya lagi, tidak rasa ada tambahan ilmu yang boleh saya dapat. Sekadar motivasi dan ceramah biasa yang boleh digoogle dengan mudah di internet, yang selalu disampaikan oleh pakar motivasi dan kaunseling yang sebenarnya melambak dalam Youtube. Dalam siaran tv setiap pagi pun ada slot motivasi pada hampir semua siaran. Bunyinya nampak judgemental, seolah-olah saya sudah terlalu bagus dan terlalu hebat dalam menangani diri sendiri dan boleh menyelesaikan masalah orang lain sehingga tak perlu 'tonik motivasi seperti itu'. Saya kemudian berhenti membaca tulisannya. Facebooknya pun saya baca sepintas lalu. Tiada lagi rasa kagum. Kisah pengembaraan yang selalu beliau tulis dan sejarha-sejarah Turki yang menjadi tema kepengarangannya sudah tidak wujud lagi. Kecewanya saya, hingga bukunya pun saya tak beli. Memang kecewa.


Rupanya perasaan ini bukan saya saya hadapi, beliau sendiri merasakan demikian. Dua tahun lepas beliau sendiri mengakui merasa lemas dengan segala macam publisiti, sanjungan, pujian serta lensa kamera yang sering ditala ke arahnya. Penangan ustaz selebriti ternyata memberi impak besar kepadanya sehingga memaksa beliau bermuhasabah dan membuat pusingan U terhadap apa yang telah dibuat sehingga menjadikannya lemas. Saya dapat melihat kegelisahannya dalam luahan di FB serta beberapa tulisan di website yang kadangkala bila terasa nak masuk dan baca, kita boleh membaca apa yang tidak dizahirkannya.

Akhirnya, seperti apa yang dikatakan pada minit ke 23 dalam Wacana Hamka, 'Adakah aku berada di jalan yang sepatutnya' - beliau menghentikan segala-galayang dilaluinya dan mencari 'jalan pulang', jalan yang mahu ditempuhinya dengan sepenuh hati tanpa sebarang sanjungan dan flash kamera. Apatah lagi beliau melanjutkan pengajian dalam bidang Sejarah, bidang yang juga menjadi minat saya, secara tidak langsung membantu saya membetulkan beberapa pandangan yang terkhilaf dek kerana kurangnya maklumat. Sejarah bukanlah bidang pengajian saya dalam ijazah pertama, ia datang dengan minat seperti mana Ustaz Hasrizal alami. Jadi untuk menempuh pengembaraan dalam bidang sejarah dengan bersenjatakan minat memerlukan tenaga yang lebih khususnya membaca dan mengkaji lebih banyak supaya dapat mencanai maklumat dengan lebih baik.

TFTN berpeluang menjemput Ustaz Hasrizal menjadi panelis forum Pendidikan Cinta tahun lalu. Ketika itu beliau sendiri berkata, jika tidak kerana pendidikan, beliau tidak mahu menjadi panelis kerana sudah bertaubat dari bercakap hal cinta dan motivasi, sehingga diri sendiri tidak bermotivasi. Ketika itu Tuhan sahaja yang tahu betapa gembiranya perasaan saya bila beliau sudah kembali. Kembali ke jalan yang sepatutnya, seperti doanya pada Tuhan. Kini, saya sudah kembali membaca tulisan dalam website dan berharap agar beliau tidak berpaling lagi :)

Saya jemput Ustaz Hasrizal membaca entri ini dan mohon maaf jika kasar bunyinya. Insha-Allah, bidang sejarah juga akan saya jejaki dengan penuh keinsafan dan peringatan terhadap ketamadunan bangsa dan agama.

Tiada ulasan:

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...