Sabtu, Julai 06, 2013

Bukan mimpi

Saya cuba mengingat kembali bila kali pertama karya saya tersiar di media dan perasaan yang hadir ketika itu. Masih segar lagi tarikh itu, pagi Ahad 15 Oktober 2006 apabila saya bekejar ke kedai mencari akhbar Berita Harian lalu menghantar SMS kepada beberapa kenalan terdekat, emak dan adik supaya segera membeli dan membacanya. Mulut tersenyum sehingga ke petang, hati berbunga-bunga riang, jalan seperti terawang-awang, semangat menulis berombak-ombak datang. Segala-galanya selepas itu menjadi satu sejarah.

Ketika mendaftarkan Teach For The Needs (TFTN) di SSM KL Sentral pada 3 Mac 2012, saya dan As - yang melakukan satu pusingan lengkap mengelilingi KL Sentral kerana tersalah maklumat akan lokasi SSM - berbual-bual akan impian untuk menghasilkan tulisan-tulisan berkenaan TFTN yang kemudiannya nanti dibukukan. Perkataan dibukukan seperti satu mimpi kepadanya, sedangkan saya berkobar-kobar bercerita untuk menghasilkan buku dibawah payung TFTN, mengumpulkan pengalaman sukarelawan dan menghantar TFTN dihati setiap pembaca. Ketika itu TFTN baru berusia tiga hari tetapi bicara saya mencecah awan. Sedangkan ketika itu saya pun tidak ada pengalaman dalam dunia penerbitan atau cara menghasilkan sebuah buku yang lengkap meskipun sudah menghasilkan tiga buah buku, beberapa cerpen dan puisi. Namun saya yakin ketika meluahkan kata-kata itu kerana pasti apa yang ada pada TFTN.

Setiap detik yang berlalu kemudiannya sentiasa berkisar tentang TFTN. Perbualan kami pasti tentang anak-anak TFTN. Aktiviti hujung minggu dipenuhi dengan agenda mesyuarat, bengkel, seminar dan yang penting - meluangkan masa di rumah anak yatim (RAY). Setiap sukarelawan kami yang turun ke RAY membawa pulang cerita yang pelbagai. Ada yang sedih, ada yang gembira, ada yang terharu, ada yang kehilangan kata-kata. Kami cuma sarankan kepada mereka, "tulislah kisah itu, jangan biarkan orang lain mencoret sejarahmu." Kami mengasuh mereka menulis meskipun ragu-ragu kerana tidak pasti kemampuan diri. Tetapi kami tetap menghantar nasihat, kerana "menulis tidak memerlukan kehebatan, yang penting adalah cerita."

Mereka pun mula mencoret, perlahan-lahan dan dengan beraninya meminta karangan itu dibaca, dikritik lalu diperbetulkan. Mereka bersemangat mahu menyampaikan kata hati, mahu masyarakat membuka mata kepada insan corot-terpinggir, yatim dan miskin yang ditindas oleh sistem pendidikan yang kurang memberi ruang mereka untuk memperbaiki diri. Sukarelawan ini datang memecahkan tembok yang mereka bina, mengeluarkan mereka dari stigma kebodohan, mengajar mereka mengenali abjad, memberitahu mengapa mereka perlu pandai membaca, mengajak mereka berbicara, menghadirkan senyum pada bibir yang selama ini dirundung duka, membuatkan mereka kembali ketawa dan gembira serta sering menjadikan mereka ternanti-nanti kehadiran sukarelawan ini saban minggu.

Bukan lagi mimpi di sebalik buku

Atas iltizam dan semangat tidak putus-putus ini, impian menghasilkan buku sudah sepatutnya menjadi kenyataan. Sukarelawan diminta menghantar cerita lalu suntingan intensif dilakukan dan mereka tanpa ragu-ragu menganugerahkan royalti kepada TFTN sebagai tanda cinta. Selaku penyelaras penerbitan ini hati saya begitu tersentuh memandangkan mereka beraktiviti tanpa apa-apa imbalan kewangan, tenaga tercurah memenatkan fizikal malah mental pun beberapa kali cuba diganggu gugat. Mereka seperti pohon yang teguh, yang dibajai dengan kasih sayang nan padu dengan akar yang kukuh menjalar ke dasarnya supaya kukuh tak goyah ditiup angin.

Kami Ada Mimpi menjadi judul buku. Sebagai penyelaras, kepuasan saya ditahap maksimum melihat buku ini berada ditangan pada pagi Jumaat yang tenang sewaktu bersama beberapa orang sukarelawan menziarahi Khalifah Model School di Ampang. Menjadi editor dan penyelaras buku ini sejak ia dalam bentuk kasar sehingga muncul dengan fizikal yang gah merupakan detik indah dalam kehidupan saya – suatu kenangan yang berbeza sekali dari perasaan ketika melihat karya pertama di media atau naskhah novel disiapkan. Perasaannya jauh berbeza.

Jadi, apalah ertinya perasaan dan kegembiraan yang saya lalui ketika itu berbanding para penulisnya yang melihat buat pertama kali nama mereka tercetak di dalam sebuah buku. Setiap seorang dari mereka – yang seramai 20 orang – seperti tidak percaya melihat naskhah ini dihadapan mata, yang sebelum ini cuma diwar-warkan di dalam media sosial kami. Saya tahu, mereka tidak percaya. Melihat senyuman yang terzahir penuh ikhlas dan jujur menjadikan Kami Ada Mimpi seperti sebuah mimpi yang nyata. Mereka membelek dari kulit ke kulit, membaca dengan teruja malah dengan genangan airmata kerana tidak sangka ada yang menulis sehingga boleh menyentuh jiwa.

Namun buku ini bukanlah untuk sukarelawan bermimpi menulis. Ia adalah mimpi sukarelawan membuka potensi anak-anak kelas corot-terpinggir, yatim dan miskin untuk berada setakuk lebih baik dari semalam. Kami turun dengan tujuan dan pulang membawa cerita. Maka kami akan lebih berpuas hati dan gembira jika anak-anak ini pandai membaca, terkawal akhlaknya, hebat disiplinnya, teratur pembelajarannya dan senyuman terukir sentiasa. Apalah yang ada pada sebuah cerita jika anak-anak ini masih gagal membaca.

Kami Ada Mimpi dilancarkan semasa Majlis Makan Amal bersama Yang Berhormat Mulia Tengku Razaleigh Hamzah malam itu juga, 5 Julai 2013 yang bersejarah. Bersama wakil korporat yang menyumbang, kami menghadiahkan Kami Ada Mimpi bagi mereka menyelami mimpi kami dan saling membina mimpi baharu. Kami siap sedia mengorak langkah ke hadapan dengan usaha yang berterusan dari anak muda yang sentiasa teruja mengadakan pelbagai aktiviti tanpa putus-putus.

Kepada sukarelawan ini, saya hadiahkan serangkap puisi dari T. Alias Taib berjudul Bakat:  

tidak semua penulis mempunyai bakat
tidak semua bakat dipunyai penulis
atau dengan kata lain
tidak semua yang berkilau itu berlian
akan tetapi semua berlian berkilau

Kepada para sukarelawan, jangan putus menulis. 

Paling istimewa sekali, saya pasti sejak hari pertama lagi TFTN sebenarnya mempunyai tempat yang istimewa dalam hati saya.

Tiada ulasan:

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...