Isnin, September 14, 2009

Imam muda, imam tua

Selalu kita terdengar istilah imam muda dan imam muda. Selain membezakan tahap kekananan atau senioriti, ia juga menunjukkan perbezaan usia dan ilmu yang tersimpan diantara dua istilah yang selalunya tidak dihiraukan sangat. Bak kata orang, yang tua dihormati, yang muda disayangi.

Ketika menyertai Qiamulail sewaktu Ramadhan tahun lalu di Masjid Putra, terdetik dihati untuk berkongsi satu kisah yang berlaku. Mungkin pada orang lain ia tidak ada apa-apa kesan, tetapi saya rasa, ada sesuatu yang kita perlu fikirkan.

Saya berkesempatan menghadiri dua sesi Qiamulail pada dua hari yang berbeza. Sesi pertama di pimpin oleh imam yang muda berdasarkan kepada lontaran suara dan nada percakapan. Setiap rakaat solatnya dijalankan dengan pantas, jelas sebutannya, nyata setiap bunyi dan bacaannya, pendek surah dan doanya, dan cepat ditamatkan Qiamulail.

Pada sesi kedua, imam tua memimpin jemaah yang kebanyakannya dalam lingkungan 40-an. Sukar menemui jemaah muda pada waktu begini. Entahkan tidur kekeyangan, entahkan letih memburu bazaar atau penat menguli adunan kuih raya. Bacaan imam tua lembut dan mendayu-dayu, bunyinya perlahan, nadanya berlagu dan ada yang menusuk ke jiwa. Setiap gerakan solat dibuat berhati-hati manakala bacaan surahnya lebih panjang dari imam muda. Doanya juga panjang dan bagi yang faham bahasa Arab boleh memahami ada bermacam-macam permintaan yang dipohon. Keseluruhan 'pakej' Qiamulail imam tua mengambil masa lebih panjang dari imam muda namun memadai untuk para jemaah mengalas perut dengan juadah sahur yang disediakan oleh pengurusan masjid selepas itu.

Imam muda dan imam tua. Dua-dua ada beza, dua-dua membawa konotasi berlainan terhadap usia dan tenaga mereka.

Imam muda nampaknya energetik dan bertenaga. Usia muda memungkinkan dia memimpin jemaah berbilang umur dengan pantas, bacaan yang jelas dan terang. Gerakan solatnya punya momentun dan dilakukan dalam gerak laju tetapi masih dapat diikuti oleh jemaah. Dia tahu agaknya jemaah ada yang datang dari jauh dan dekat diselimuti kantuk lantas dengan gerakan yang pantas mereka tidak terasa mengantuk. Dia tahu jika dia membaca dengan jelas dan terang, jemaah akan dapat menghayati dan mendengar setiap ayat yang dibaca. Dia tahu jika dia membaca surah pendek, tempoh Qiamulail menjadi ringkas bagi jemaah mengambil masa untuk melakukan ibadah sunat yang lain seperti bertadarus dan bersahur. Dia tahu tidak mudah mengumpulkan jemaah untuk bangun awal pagi begini lalu turut sama memikirkan yang mereka punya komitmen lain yang ditinggalkan dirumah.

Imam tua, oleh kerana bekalan ilmu dan perjalanan hidup, memimpin jemaah menggunakan segenap keupayaan yang tersisa dalam diri dan menterjemahkan segala pengalaman dalam setiap gerakan solat. Dia tahu hati manusia mudah dilentur jika bacaan ayat suci di alun dengan sopan dan penuh tertib, mendayu dan berlagu. Dia tahu jika setiap gerakan dilaksanakan dengan berhati-hati, jemaah berbeza usia boleh mengerjakannya tanpa tergesa. Dia tahu dengan doa yang panjang itu turut sama merangkumi segala permintaan jemaahnya biarpun mereka tidak meminta secara peribadi memohon kepada Tuhan Rabb al-Karim. Dia tahu tiada salahnya membaca surah yang panjang jika ia berupa permohonan kepada Tuhan dan dengan lontaran suara yang tenang, jemaah akan khusyuk menghayati tanpa terfikirkan panjang pendek bacaan tersebut.

Mungkin itulah agaknya yang bermain dalam fikiran imam muda dan imam tua, tetapi dari pandangan saya sendiri.

Imam muda dan imam tua. Dua-dua ada beza. Dua-dua ada kesan yang tidak sama. Terpulang kepada kita untuk memilih berdasarkan selera sendiri. Dan niat saya bukan mengeji sesiapa, tetapi memohon agar imam muda atau imam tua yang membaca masukan ini agar berlapang dada memikirkan apa yang saya nukilkan.

Semoga Allah merahmati kalian. Barakallah

Tiada ulasan:

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...