Jumaat, September 18, 2009

Balik kampung


Sumber: Google 

Semasa kecil, saya (kami adik beradik) tidak mengenal erti balik kampung beraya. Lebih banyak menyambut hari raya di rumah sendiri dari beraya di kampung bertemu datuk, nenek, saudara mara dan para sepupu yang sama baya.

Kami faham apa yang abah dan emak fikirkan. Dengan harga getah yang tidak tetap dan turun naik, membawa kami berempat balik kampung memakan kos yang bukan sedikit. Kami perlu bertukar bas hampir sepuluh kali, bersesak-sesak dengan penumpang, membawa beg dan memimpin kami yang masih kecil. Belum lagi penat perjalanan yang memakan sehari, kos perjalanan dan kos perbelanjaan di kampung. Memikirkan penat lelah dan untung yang tidak seberapa, maka lebih elok beraya di rumah sendiri.


Sumber di sini
Hampir serupa rumah atok di Senggarang, tetapi sudah diroboh menjadi separa papan dan batu berdiri langsung atas tanah

Bayangkan sahaja dahulu, tiada talian telefon dan berharapkan telefon awam yang jauh letaknya dan kadangkala rosak, tiada kenderaan sendiri untuk bergerak dan jauh tercampak di negeri asing, bukan di Johor seperti sanak saudara yang lain menyebabkan emak dan abah banyak berkorban dalam membesarkan kami.

Oleh itu, telefon diharap dapat merapatkan hubungan dan emak sanggup berjalan mencari telefon bagi bertanya khabar, mendengar siapa yang balik siapa yang tidak dan memohon ampun maaf andai ada silap. Sambil-sambil itu, kami menanti juga di pintu rumah kalau-kalau ada saudara mara singgah beraya. Tetapi duduk tercampak di Negeri Sembilan jarang menghadirkan kami kesempatan itu.

Bila  tidak balik kampung, kami selalu menjadi jiran yang baik. Selalu menerima pesanan jiran lain untuk memerhati rumah mereka. Hidup berjiran begitulah, bila kita balik kampung pesanan seperti itu turut disampaikan kepada mereka. 


Kami adik beradik terasa sunyi di pagi raya. Sebab itulah selesa menonton tv. Nak beraya, jiran semua balik. Kalau nak beraya pun, ambil masa dan perjalanan yang jauh kerana dalam satu barisan rumah (kira-kira 10 ke 11 pintu), cuma ada satu atau dua buah rumah berpenghuni. Itu yang menyebabkan kami boleh ronda satu Serting, keluar pagi dan balik petang, makan kuih dan minum sehingga perut sakit dan memuntahkannya kembali. apa yang penting, kumpul duit raya sebanyak yang boleh. Kalau satu rumah bagi sepuluh sen atau dua puluh sen, bayangkan berapa banyak yang perlu kami ziarahi untuk mengumpul duit. Pergi pula beramai-ramai hingga boleh mencecah sepuluh ke dua puluh orang. Berkumpulan dengan mereka yang tidak balik kampung. Pening tuan rumah melayan kami.

Bila dah besar, masing-masing punya kenderaan sendiri. Maka terbitlah keinginan pulang ke kampung. Tetapi bila dah besar, suasana berbeza. Kami tetap teringin beraya dirumah sendiri dahulu dan pulang kek kampung pada raya kedua atau ketiga. Kadang kala balik hari, kadang kala bermalam. Bila belajar, mujurlah kami tidak jauh tercampak. Saya di Gombak, yang ke dua di Serdang. Cuma yang ke empat sedikit jauh di Sungai Petani. Pulang beraya dengan bas tidak terlalu membebankan tetapi perlu juga beli tiket untuk mengelakkan naik bas melompat-lompat. Dua jam perjalanan sudah memadai. maka tiadalah istilah bersesak dan berebut bas dan tiket seperti dalam gambar diatas,

Kini bila sudah kerja dan memiliki kenderaan, perjalanan boleh diatur sendiri. Selain melihat waktu yang tidak sibuk bagi memulakan perjalanan, perlu juga fikir kondisi diri dan kerja-kerja pejabat yang perlu disiapkan bagi memastikan dapat beraya dengan tenang. Pernah sekali saya naik motor pulang ke kampung, bertolak sesudah Subuh dan sampai pada jam lapan pagi. Sejuk usah dicakap, menusuk hingga ke tulang hitam. Sekarang berkereta, perlu memastikan kereta sihat untuk berjalan. semua perlu diperiksa dan dipastikan selamat. Alhamdulillah, setakat ini masih kuat meredah jalan.

Saya akan bertolak pukul dua atau tiga pagi Sabtu dan terus bersahur dirumah. Kali ini saya mengambil giliran cuti selepas raya, maka pulang lewat sehari sebelum raya. Kepada yang memandu, berhati-hatilah dan banykkan kesabaran. Usah ikut kemarahan dan rasa hati. Patuhi undang-undang dan had laju yang telah ditetapkan. Ada sebab mengapa ia dibuat begitu.

Selamat Hari Raya.

2 ulasan:

Unknown berkata...

Saya yang baru 27 tahun pun ada pelbagai pengalaman berkaitan raya. Apatah lagi puan yang tentu bermacam-macam kisah raya yang boleh dicoretkan.

Norziati Mohd Rosman berkata...

Pengalaman kecil sahaja, Anuar. Bila dicoretkan menarik pula. Bolehlah nanti dikongsikan pula.

Selamat berhari raya. Hati-hati memandu

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...