Selasa, September 15, 2009

Bagaimana kalau ini berlaku?

1)
Ada seorang yang anda dan teman sepejabat tidak suka. Selalu bercerita tentang kejahilan lampau dirinya yang gemar minum dan berzina. Tiada rasa insaf walaupun kini sudah meninggalkan tabiat terkutuk itu. Solatnya lebih banyak tinggal dari dikerjakan. Puasanya juga tidak, malah dengan tiada perasaan berdosa makan, minum dan merokok dihadapan anda. Biarpun tidak selesa, anda terpaksa menghormatinya sebagai rakan sekerja.

Suatu hari ketika sedang minum petang, anda perasan yang dia menghulurkan wang kepada seorang anak cacat penglihatan yang dipimpin oleh kakaknya ke kedai serbaneka yang ketika itu sedang makan bersama ibu bapanya. Anda terdiam lalu tersentuh dengannya kerana anda sendiri tidak pernah berbuat demikian.

Apa perasaan anda?




2)
Anda sedang beratur untuk mengambil juadah jamuan berselerak (bufet). Jam menunjukkan azan Maghrib bakal berkumandang dalam tempoh dua puluh minit lagi. Dihadapan anda, sepasang teruna dara, entah kekasih entah suami isteri sedang mabuk melayan kasih. Sekejap si dara merengek, sekejap si teruna memegang pinggang, sekejap si dara memeluk teruna, sekejap si teruna mengelus tangan si dara. Anda panas hati menonton drama yang boleh mengikis pahala puasa seharian. Hendak ditegur, tak kuasa. Hendak memotong barisan, rasa seperti kurang ajar pula.

Tatkala si dara tiba pada susunan pinggan menandakan mereka sudah tiba pada deretan juadah, tiba-tiba si dara menghulurkan pinggan kepada anda.

Apa perasaan anda?



3)
Oleh kerana surau bersaiz kecil, maka anda dan teman bergilir menunaikan solat. Anda duduk di kerusi di luar surau. Di sebelah anda, ada seorang gadis belasan tahun melayan dua orang anak saudaranya - seorang dalam kereta tolak dan seorang lagi berdiri di sebelah adiknya. Anak kecil yang sedang makan Almond London itu kelihatan comot dan emak saudaranya dengan penyayang mengelap tangan juga mulut yang di selimuti coklat sambil si abang tidak henti-henti bercakap. Anda memerhatikan mereka tanpa ada perasaan mahu beramah mesra.

Emak dua anak kecil ini kemudian keluar dari surau dan mereka makan Almond London yang baru dibeli bersama-sama. Anda tetap memerhati mereka sambil senyum melihat kemesraan mereka sekeluarga. Mulut masih berat mahu menyapa. Tiba-tiba emak saudara menghulurkan anda kotak Almond London. Dalam hati, anda terkejut kerana anda bukan memerhati kuih raya 'omputih' tetapi kepada keletah anak saudaranya.


Apa perasaan anda?


4)
Ada seorang teman sering menasihati anda dan teman yang lain tentang rencah hidup berumah tangga. Dia sering menjadi tempat rujuk bagi mendapatkan tips keharmonian hidup suami isteri, panduan hidup rukun dan damai serta cara merapatkan hubungan yang tidak sesuai didengar oleh orang yang belum kahwin. Maklum sahajalah, dia bukan orang Malaysia dan panduan yang diberikan itu berbeza dari apa yang anda biasa dengar. Dia banyak menerapkan amalan tradisi dan penggunaan bahan tradisional dalam rumahtangga, misalnya ketika berpantang atau ketika mengandung.

Tiba-tiba suatu hari, pecah berita mengatakan dia sebenarnya mahu memfailkan cerai. Dia bercerita kepada dua tiga orang terdekat termasuk anda kerana tidak mahu ia menjadi kisah mengaibkan. Rupanya dia sudah lebih sepuluh tahun, sejak mula berkahwin, menjadi mangsa keganasan rumahtangga, sering di pukul, didera mental, diuji fizikal. Bijak dia menyembunyikan gelora diri dengan sikapnya yang suka ketawa dan bergembira. Anda kasihan kepadanya tetapi tertanya pada diri sejauh mana kekuatan yang ada padanya merahsiakan penderitaan yang ditanggung selama usia perkahwinan mereka.

Apa perasaan anda?


5)
Apa reaksi anda jika ini semua berlaku kepada diri sendiri?

4 ulasan:

Unknown berkata...

Assalamualaikum,

Bolehkah 'teman lama' mencelah kata?
Hidup Ziati itu namanya hidup.

Kita tidak membeli kehidupan tetapi diberi amanah mendepani kehidupan.

Ziati tentu tahu hakikat pembinasaan yang berlaku semasa peristiwa banjir melanda Kaabah.
Saat itu sebuah kapal milik orang Rom yakni barat terdampar di kuala pelabuhan.Direngkaskan cerita seorang jurubina diminta agar membantu membina semula Kaabah yang mulai dibinasakan tapak asas pembinaannya.

Apa yangterjadi? Batu-batu saling berlompatan dari tangan Abu Wahab bin Amr bin Aidz untuk kembali semula ke tempat asal ia berada.
Al-Walid Ibnul Mughiran meminta pada Allah maksud meroboh yakni memukul batu ini hanya dengan niat yang baik. Ia sempurna dihancurkan.
Tatkala batu-batu empat persegi Khadlir mahu dirongkaikan bergegar bumi Mekah sehinggalah Al-Walid mengukarkan pesan :

"Wahai kaum Quraisy. Janganlah menyumbangkan dana dalam membangunkan Kaabah melainkan dari sumbangan dana yang bersumber dari hasil yang baik-baik.Jangan disertakan dengan sumbangan dari perjudian perzinaan (arak - saya tambah)dan hasil penganiyaan dan kezaliman yang dilakukan ke atas orang lain di dalam pembangunan ini."

Adakah salah jika diujarkan bahawa wujud warga yang bukan ahli umno?

Lalu mereka ini tidak berstatus wargakah atau perlu dilucutkan kewarganegaraannya?

Nowwa berkata...

Zaiti,

Hampir kesemuanya pernah berlaku di depan mata aku..buat aku terpikir..sebelum bersangka buruk..heheh..tapi kita manusiakan..heheheh

naimadnin berkata...

Kita tidak boleh judgmental atau menghukum.

Si gadis bercanda tak tentu dengan yang lelaki, hukumnya terang-terang haram.

Si gadis menguhulurkan pinggan mungkin boleh dikategorikan baik, bertanggungjawab,mesra.

Ia tetap dua perkara yang berlainan yang tidak boleh dihubungkaitkan.

Kita tidak boleh menghukum si gadis baik atau jahat. Tapi yang salah tetap salah dan perlu ditegur, walau seribu banyak kebaikan dilakukan untuk menutupnya.

Teori yang sama untuk dua kes yang lain.

Norziati Mohd Rosman berkata...

Thanaif, terima kaish diatas perkongsian cerita

Nowwa, kadangkala sikap mereka menyebabkan kita rasa keliru.

Ida, memang, yang tersalah tetap bersalah. Oleh itu, beragamalah kita dengan orang yang benar-benar beragama

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...