Khamis, April 24, 2014

Selepas pukul lima


Selalu selepas balik kerja, saya akan singgah dahulu mana-mana kedai makan. Memesan secawan kopi atau teh atau nescafe panas, serta beberapa biji kuih, atau kalau lapar tak makan tengahari, makan sepinggan nasi atau memesan apa yang menarik, saya kan duduk makan dan minum sambil membaca apa-apa buku yang ada ketika itu. Biasanya novel. Perbuatan ini menjadi tabiat sejak-sejak pandai melepak di kedai makan dan borak berjam-jam. Kemudian di tukar pula tabiat itu dengan membaca. Tidak kurang yang melihat ini satu tabiat pelik. Ada juga yang mengintai apa buku yang sedang saya baca. Pelayan kedai pun sudah tahu bila saya datang, meja itulah yang saya duduk. Buku jugalah yang saya pegang. Dan datangnya pula seorang diri. Jarang berteman. Itulah saya.

Di tempat kerja baru, tabiat ini bagaikan terpisah. Sentiasa balik lewat bagi 'melepaskan kesesakan' jalan terlebih dahulu. Atau kalau nak singgah pun, tiada kedai makan yang sesuai dijadikan lokasi. Kebanyakan kedai makan di Semenyih duduknya di sebelah kanan jalan. Sukarlah nak singgah, kerana perlu membelokkan kereta ke kanan (alasan). Kalau tidak pun, tempoh kurang sejam sebelum Maghrib tidak mencukupi untuk membaca dan makan. Apatah lagi kedai makan di Semenyih tak semeriah Bangi. Cuma ada satu dua kedai mamak. Tak kan nak makan di Bangi. Jauh lagi nak sampai rumah. Kadang-kadang sempat juga duduk di mana kedai makan yang ada di Bangi. Tapi kelam kabutlah nak balik dan mengejar Maghrib. Kalau tidak, solat di RnR. Perjalanan balik lebih lama dari pergi, kerana banyak lampu isyarat berhenti di simpang tiga. 

Tapi sehari dua ini, saya terperasan satu tabiat baru. Keluar rumah awal dan singgah sarapan dahulu sementara menunggu pejabat dibuka. Kemudian keluarkanlah novel. Dapatlah memenuhkan perut dengan makanan dan menepukan kepala dengan plot-plot yang sering menjadikan kita enggan melepaskan buku yang sedang di baca.

Tapi duduk di kedai makan, lain rasanya. Macam-macam yang dapat dilihat. Tumpuan saya bukanlah pada buku sepenuhnya. Di sini saya melihat manusia, memerhati perangai dan sikap yang kadang-kadang menyebabkan saya mempersoalkan diri. Sudu dan garpu saling bertingkah, pelayan yang mengambil pesanan, pelanggan yang silih berganti masuk, kaunter bayaran yang selalu menghidangkan drama antara pelanggan dan pekerja. Pinggan yang jatuh ke lantai, suara pelayan memekikkan pesanan, pelanggan yang sombong, adengan marah-marah, anak pelanggan yang menumpahkan air. Makanan yang tak sedap, menu yang tidak difahami, bau asap rokok, hidung mencium perit bau masakan, perbualan yang mencecah telinga, pasangan berasmara, berbincang soal perniagaan dan pelayan menyapu lantai sementara menunggu pelanggan. Kadang kala dihiasi pula dengan aksi kemalangan di jalan berdekatan, anak-anak pulang dari sekolah, bunyi hon dan makian pemandu, jemaah surau yang singgah makan atau pekerja bengkel kereta sebelah yang mengisi masa sementara menanti pelanggan di bengkel sebelahnya.

Bagi penulis, inilah latar yang kemudiannya dimasukkan ke dalam karya. Suasana dan dialog yang dituturkan terhasil dari tempat seperti inilah. Malah saya pernah membawa laptop yang berat dan membuat suntingan plot di kedai makan. Lantaklah apa yang orang fikirkan, janji novel siap.

Hakikatnya, lain rasanya duduk di kafe berhawa dingin dengan secawan kopi berharga dua angka dengan kedai makan dengan kipas menderu dan secawan kopi biasa. Suasanya membezakan apa yang kita bawa pulang akhirnya nanti


Tiada ulasan:

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...