Jumaat, Jun 09, 2006

Peta Hidup

Saya rasa sekarang ini saya perlu berhenti seketika, meletakkan titik pada perjalanan kehidupan saya, maksudnya kerjaya saya. Bukan saya putus asa, bukan saya patah semangat, tetapi kerana saya mahu memulakan sesuatu. Titik berhenti itu adalah untuk saya memulakan sesuatu.

Awal dahulu, sewaktu saya mahu meletakkan kaki dalam dunia kerjaya, seorang rakan menyuakan saya buku ‘Rich Dad, Poor Dad’.Buku bagus katanya. Saya menekuni dan mengkhatamkannya. Akhir ayat, mata saya celik benar. Sememangnya saat itu saya mencari-cari arah sendiri dan sedang merecana hidup baru-hidup orang bekerja. Setiap hari saya memikir jalan, melakar-lakar peta hidup akan arah yang sepatutnya saya tuju. Saya tidak gemar menjadi seperti orang biasa, yang hidupnya ‘tergendala’ setiap hari selama lapan jam, yakni dari jam 8 hingga 5. Pada saya kehidupan mereka terkongkong (terkongkong, bukan dikongkong). Robert Kiyosaki kata Rat Race. Rat Race ni, kalau nak di cerita, panjang juga. Nantilah, akan saya kisahkan kemudian. Tapi saya tahu, awal hidup saya di dunia baru ini, saya perlu juga mengongkongkan diri buat seketika untuk merasa sepak terajang dunia kerja, belajar dari manusia dan tamak haloba dunia.

Mujurlah saya jenis yang pandai cari kerja part-time. Macam-macam yang saya buat selepas belajar. Selain dari kerja 8-5 yang sementara, saya ‘ambil upah’ menjaga koperasi pada waktu malam, mengajar tuisyen dirumah pada Sabtu dan Ahad, kemudian menjadi penjaga peperiksaan di Kolej TAR (ada pengalaman menarik di sini, nanti saya ceritakan kemudian), hinggalah di panggil menjalani latihan di Suruhanjaya Sekuriti selama sebulan. Saya akui hasilnya tidak lumayan, cukuplah sekadar menampung hidup saat baru melangkah kerja. Saya tak kisah tentang bayaran, kerana pengalaman itu sendiri tidak boleh di nilai. Mujurlah, saya tidak pernah di tipu majikan. Bayaran dapat, tetapi kerja 8-5 itu yang bermasalah, bayarannya lewat hingga tiga bulan. Jadi kerja part-time menjadi penampung kehidupan saya buat sementara. Dari situ, saya belajar dan melihat pelbagai perkara. Memang saya pendiam dan tidak banyak cakap, tetapi saya banyak memerhati dan memikirkan tentang itu ini. Akhirnya saya menjadi seorang yang ‘boleh’ bercakap dan banyak bertanya tentang perkara yang ingin saya tahu. Semua itu saya golongkan sebagai rahsia perniagaan.

Saya rasa cukup sudah apa yang saya terima. Bukannya berpuas hati, tetapi amat baik untuk saya memulakan sesuatu untuk di diri saya dan masa depan saya. Saya tidak lagi terus terperangkap dalam dunia 8-5, terkongkong dengan kerja, dan lebih-lebih lagi melakukan sesuatu yang saya sendiri tidak minat (seperti kerja sekarang inilah). Setiap hari saya berfikir, mengapa harus saya bersusah kerja demi orang lain dan saya pada setiap bulan mengira hari menunggu gaji yang bila di tolak EPF, ansuran kereta, pinjaman JPA cuma tinggal berapa sen sahaja. Saya tidak mahu berterusan begini

Sebab itu saya rasa cukup setakat ini. Seminggu dua ini saya banyak berfikir selain menyandarkan lebih doa kepada Allah moga Dia memberi petunjuk yang tepat, jalan yang benar, diri yang kuat, semangat yang berkobar, usaha yang gigih dan harapan yang luhur supaya cita-cita saya di berkati dan di dalam rahmat dan redhaNya.

Saya nekad kini. Malam tadi, saya bertapa seketika di MPH, membelek buku Chef Li hingga akhir, speed reading tanpa membeli. Buku yang bagus dan sekaligus membantu saya membuat keputusan. Saya mahu usaha sendiri. Kalau saya tak bermula dari sekarang, bila lagi. Kalau saya tak bermula, bagaimana saya tahu keupayaan saya? Untuk apa saya harus takut sedangkan saya belum bermula. Saya mahu usahakannya, saya mahu melakukannya. Peluang sudah ada, jalan sudah nampak, usaha sahaja yang perlu untuk menggerakkannya. Sudah sampai masanya saya berdiri di atas kaki sendiri.

Saya tahu kekuatan diri. Saya tahu rezeki Allah ada di setiap ceruk bumi.
Setiap usaha pasti ada balasannya.

Tiada ulasan:

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...