Isnin, Mac 30, 2015

Menolak sebelum terbabas

Agak sukar aku melelapkan mata Ahad malam selepas siangnya aku membalas tidur. Ini berawalan dari teater Kena Main yang ku tonton Sabtu malam (atau malam Ahad) bersama Syed dan Afiqah. Sebenarnya bukan salah teater. Teater itu habis awal dari jangkaan. Selepas begambar dan berlegar-legar, aku pun segera pulang. Belum jam 11 pun ketika itu. Namun celakanya, jalan Cheras-Kajang ditutup dan lencongannya memaksa pemanduan mendaki Bukit Mewah Cheras, masuk ke Bandar Tun Hussien Onn dan akhirnya keluar di Jusco Balakong. Satu jam setengah perjalanan. Panas hati dalam kereta bertambah-tambah, apatah lagi lampu minyak sudah berkelip-kelip. Lalu tempat yang tidak biasa, tak tahu berapa jauh, sesak dengan kenderaan yang tersekat (kerana melalui celah-celah taman perumahan) menjadikan aku menahan sabar pada tahap maksimum.

Akibatnya, bila sampai lewat aku pun lewat tidur. Pagi Ahad kelas jam 9.30, aku cuba melelapkan diri selepas Subuh tapi aku memang spesis tak boleh tidur selepas Subuh. Walau dipaksa-paksa mata, memang sukar nak lena. Akhirnya aku bangun dan segera ke kelas. Memang mengantuk tapi ku tahan-tahan. Kelas umum Iqtisad petang itu aku memutuskan untuk tidak pergi. Setibanya di rumah aku segera masak, makan dan tidur. Itulah yang menyebabkan mata aku masih tak mampu tutup walau pun sudah mencecah satu pagi. Kemudian dua pagi. Dan terjaga-jaga lagi selepas itu.

Namun sekitar jam dua lebih, aku terdengar notofokasi BBM ku berbunyi. Eh, pelik. Sudah lama BBM tidak berfungsi - sejak-sejak rakan-rakan tidak menggunakan BB. Aku melihat nama, ada request untuk menambah kenalan dari seorang yang aku kenali bernama T. Aku amat pasti tu dari dia. Aku cuba menyambung tidur tetapi hatiku terdetik sesuatu. Aku memerhatikan lagi nama itu. Accept or decline or ignore? Hatiku berkata-kata. Dalam mata yang kelat dan samar cahaya, aku menekan butang ignore, membuang gambar profil, menukar nama dan membuang caption. Semua friend yang ada dalam senarai pun aku buang. Mereka semua sudah tidak ber-BBM, malah tidak gunakan BB jadi tak perlukan aku simpan lagi senarai mereka.

Jadi kenapa T?

T memang aku kenali. Tetapi sudah aku buang dari senarai FB kerana tidak pernah pun berinteraksi. Malah statusnya selalu marah-marah. Dia mempunyai perniagaan sendiri yang dibangunkan bersama suami yang dikahwini tahun lalu. Suaminya pun aku kenali. Tapi bukanlah itu yang mahu aku cerita.

Aku tahu T mempunyai kecenderungan terhadap ajaran syiah. Dia sendiri yang mengatakannya. Ada usrah yang mereka suami isteri hadiri. Siapa yang mengajar pun aku tahu. Tetapi aku tak ambil pusing. Pada aku, usia muda adalah masa untuk mencari. Walau pun ada juga rasa risau dalam hatiku. Manalah tahu dia benar-benar mendalami? Tapi sekadar mendalami syiah tanpa menyebarkan bukan satu kesalahan di Malaysia. Ia akan menjadi salah jika disebarkan.

Minggu lepas aku ternampak T meninggalkan komen dalam satu status rakan ku yang mengeluarkan ulasan singkat tentang buku Aisyah yang di bacanya. Katanya, Fatimah lebih tinggi darjatnya berbanding Aisyah kerana Aisyah tidak mempunyai anak. Kawan ku membalas tetapi dia juga membalas dengan balasan yang memedihkan.Buat beberapa hari aku termenung juga memikirkan itu. Apakah jawapan yang akan aku balas jika aku juga diberikan komen seperti itu?

Beberapa hari yang lalu dia meninggalkan komen di FB rakan ku yang lain. Katanya 'dah lama tak jumpa'. Gerak hati ku mengatakan yang dia cuba memancing untuk berjumpa dan mencuba-cuba kedalaman ilmunya. Dan awal pagi ini dia mahu berinteraksi dengan ku di BBM sedangkan sebelum ini kami selalu menyapa di WA. Persoalan mengapa dan mengapa berterusan datang. Gerak hati ku cuba menafsirkan sesuatu yang tersurat. Aku mencantum-cantumkan fragmen antara komen tentang Aisyah, 'jumpa' dan BBM.

Sebenarnya, perkara lain yang mahu aku kongsikan di sini ialah gerak hati. Aku tidak pernah berkongsikan hal ini kepada orang lain kecuali kepada dua orang - seorang yang berada di seberang tambak dan seorang lagi kenalan ku sendiri. Malah nak bercerita pun aku rasa takut - takutkan riak dan tidak ikhlas. Tetapi ketahuilah, ini bukanlah satu kelebihan atau kuasa ajaib yang ada pada ku. Tapi tak tahulah nak cakap. Aku berkongsi di sini pun kerana tidak ada orang yang akan baca blog ini kecuali yang telah aku maklumkan alamatnya yang baru. Oleh itu eloklah nanti aku ceritakan dalam entri berikutnya kerana ini pun dah panjang berjela.

Berbalik kepada T, aku dapat merasakan dia mahu mencuba ilmu yang sudah dipelajari. Cuba mengusik pengetahuan kami tentang sunni dan syiah. Cuba meninggalkan keraguan pada jawapan kami terhadap pandangannya yang cenderung kepada syiah.

Aku bukanlah seorang yang pandai berdebat. Aku tidak pandai menuturkan kata secara spontan. Aku selalu kalah meski pun berbual biasa dengan kawan-kawan. Kehebatan ku cuma pada menulis. Oleh itu, demi terbau perkara yang boleh membawa masalah di lain hari, eloklah aku mengambil langkah awal dengan melarikan diri dari masalah. Ada cara bagaimana nak berhadapan dengan mereka. Dalam masa yang sama aku berdoa agar Allah menunjukkan mereka jalan yang betul dan membantuku mengeluarkan mereka dalam kesilapan, dan memberi ku kekuatan dalam mengharungi cabaran hidup akhir zaman ini.



Tiada ulasan:

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...