Selasa, Mac 31, 2015

Deria yang tidak dilihat tetapi melihat

Bersambung dari kisah sebelum ini, tetapi kisah dari sisi lain.

Sebenarnya, perkara lain yang mahu aku kongsikan di sini ialah gerak hati. Aku tidak pernah berkongsikan hal ini kepada orang lain kecuali kepada dua orang - seorang yang berada di seberang tambak dan seorang lagi kenalan ku sendiri. Malah nak bercerita pun aku rasa takut - takutkan riak dan tidak ikhlas. Tetapi ketahuilah, ini bukanlah satu kelebihan atau kuasa ajaib yang ada pada ku. Tapi tak tahulah nak cakap. Aku berkongsi di sini pun kerana tidak ada orang yang akan baca blog ini kecuali yang telah aku maklumkan alamatnya yang baru. Oleh itu eloklah nanti aku ceritakan dalam entri berikutnya kerana ini pun dah panjang berjela.
 
Bila berjumpa seseorang, pasti kita akan dapat rasakan keserasian dengannya. Ada orang yang kita boleh masuk dengan cepat. Ada orang yang kita rasa panas dan tak boleh nak berbicara panjang. Ada orang yang pertama kali jumap kita tahu yang kita boleh get along dengannya. Tapi bagaimana kita boleh tahu? Ia lahir dari detikan dalam hati. Ia tidak terzahir secara luaran. Ia datang dengan sendirinya. Kita pun tak tahu mengapa boleh jadi begitu.

Tetapi pada ku, gerak hati atau ada yang kata firasat, lebih dari sekadar itu. Entah bagaimana aku nak memulakan pun aku tak tahu. Gerak hati. Ini aku rasakan bila ada perkara yang berlaku dapat aku hidu sebelum ia berlaku. Kadang-kadang ia datang dalam mimpi. Tapi selalunya dari rasa hati. Selalunya bila bermimpi dengan kawan-kawan, aku akan segera menghubunginya dan bertanya khabar. Setakat ini belum lagi yang aku dapat maklumbalas negatif. Syukurlah, mainan tidur sahaja mungkin.

Tapi gerak hati itu datang dalam bentuk lain. Kadang kala bila buat keputusan, kita boleh jangka apa yang akan kita dapat. Bila berbual-bual dengan seseorang, kita dan boleh nampak ke mana arah perbualan. Jadi, jika aku rasa perbualan tidak ke mana, aku larikan diri awal-awal. Banyak lagi perkara yang berlaku, tapi sukar aku nak ceritakan di sini. Tapi situasi di atas sudah cukup memberikan gambaran tentang firasat.

Nak kata aku ada mengamalkan apa-apa ayat, tidak juga. Amal ibadah pun wajib, sunat tu adalah juga. Insan terpilih? Aku tidak mahu mendabik dada. Aku sedari perkara ini sejak sekolah bila aku seperti pernah berada dalam peristiwa yang sedang berlaku. Macam pernah nampak adengan ini. Tapi aku tak pernah ambil endah. Bila dah berusia begini barulah memikirkannya dengan serius. Lalu aku rasa ini adalah sixth sense. Tapi bukan sixth sense dalam erti kata yang betul. Firasat sahaja lebih tepat.

Aku pernah ceritakan pada kawan ku di seberang tambak itu. Namanya J. Kami menggunakan WA, saling mengantar teks tetapi rupanya dia pun ada ilmu firasat yang sama. Dia menerangkan kepada ku apa yang dalami dan rupanya kami berada dalam situasi yang sama. Malah apa yang dia alami lebih tinggi. Dia menasihatkan aku agar menyimpan 'kelebihan ini baik-baik', tidak menggunakan pada jalan yang salah dan jangan dicakapkan pada orang. Secara jujurnya aku sudah pun menceritakan hal ini pada kenalan lain. A namanya. Gara-gara terlepas cakap. Tetapi aku percaya J. Kami jarang-jarang berinteraksi tetapi kami selalu dapat rasa situasi masing-masing. Seolah-olah kami sedang ber-telepati.

Dengan A, aku menggunakan firasat ku pada tahap maksimum. Ketika itu dia di KK bercuti bersama H. Dia sedang berusaha menasihati H hingga mengikut H bercuti ke KK. A meminta nasihat dariku untuk menasihati H. Aku menyuruh dia berbuat sesuatu dan kata ku, dia pasti akan berkata begini dan begini. A pun menikut dan memang H menjawab seperti apa yang aku jangka. Kemudian aku berkata kepada A - kalau dia kata begini, buatlah begitu. Pasti dia jawab lain, maka buatlah begini. A menurut dan setiap apa yang aku katakan memang benar-benar berlaku. Benar-benar berlaku. A terkejut kerana tak sangka. Aku apatah lagi, tak pernah menggunakan gerak hati untuk perkara seperti ini. Ketika J menasihatkan aku tentang firasat dan gerak hati, aku teringatkan tentang pengalaman A dan H. Sungguh aku takut ketika itu. Sesuatu yang kita jangka rupanya benar-benar berlaku.

Tetapi yang baiknya, aku mengajar diriku memikirkan perkara yang baik dan menggembirakan. Aku megelak dari berfikir negatif. Tidak berbuat jahat dengan orang lain dan cuba menjadi yang terbaik buat yang lain. Aku tidak menggunakan gerak hati untuk menundukkan orang atau menguasai orang lain walau pun aku boleh berbuat demikian demi mendapatkan perhatian, kepentiangan dan wang. Ia boleh sampai pada tahap begitu tetapi kalau itu berlaku percayalah, itu bukan aku. Hakikatnya aku selalu cuba berpura-pura tidak tahu apa-apa sedangkan aku sudah dapat merasakan sesuatu bila berjumpa orang. Aku tidak mahu firasat itu menguasai diriku sehingga aku mengusai manusia yang lain. Biarlah aku berlagak biasa dan natural.


Jauh di sudut hati, aku bersyukur kepada Allah akan kurnia ini. Aku dapat rasakan hidup sebagai orang bujang yang sentiasa bersendirian memang perlu bergantung seratus peratus kepada-Nya dan pergantungan itulah sering menyebabkan aku reda atas apa yang berlaku - tidak merungut atau mengeluh. Aku tahu inilah cara yang Tuhan sampaikan bagi membantu ku keluar dari kesusahan, kesunyian, kesempitan, kepayahan hidup bersendirian. Semakin aku memikirkannya, semakin aku insaf akan keadaan diri dan keagungan Allah.

Aku tahu dengan menceritakan di sini sudah membuka sesuatu yang patut aku simpan. Bukanlah niatku untuk membangga diri. Tetapi ada sesuatu yang mendesak ku untuk menulis - sesuatu yang datang dari hati. Kepada J, aku minta maaf. Aku akan padamkan entri ini selepas seminggu. Bagi yang tahu, harap dapatlah kamu simpan dan percayalah aku tidak sama sekali menggunakan ilmu firasat ini untuk menundukkan manusia. Tetapi aku lah yang patut tunduk - tunduk kepada-Nya atas kurnia ini.

Allah Maha Mengetahui.

Tiada ulasan:

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...