Rabu, Mac 25, 2015

Teman dari seberang

Dalam kumpulan seramai sembilan orang pelajar yang sama masuk mendaftar semester lepas, ada seorang yang selalu aku perhatikan ketika kuliah. Sebenarnya aku perhatikan semua - dah memang itulah cara aku menilai dan menapis maklumat. Namun dia berbeza pada pandanganku. Dia pelajar dari seberang dan pelajar sepenuh masa. Aku pula berstatus separuh masa tetapi kelas pada hari bekerja pun aku ambil dan sering berlari-lari dari pejabat ke kuliah, dari assignment dan mesyuarat pejabat.

Pada minggu-minggu awal, aku perhatikan dia menulis di belakang manual pelajar yang dibekalkan kepada setiap pelajar. Dia tulis menggunakan pensil. Aku mula bersikap sinis, hendak belajar tak ada alat tulis yang lengkapkah? Dalam kelas aku perhatikan tak pernah dia terlelap mahu pun menguap, bukan seperti kami yang lain. Dia tunduk dan tekun menghadam bait kata pensyarah. Sesekali mengemukakan soalan. Tak pernah di amemegang henfon atau gajet seperti yang lain. Atau mungkin juga dia tidak mempunyai henfon. Orangnya kecil sahaja tetapi suaranya kuat. Matanya bulat menampakkan dia seorang bercita-cita tinggi. Kulitnya hitam sawo matang dan dialek Jawa kuat melekat pada bicaranya.

Selepas beberapa minggu dapat aku perhatikan dia menulis di atas buku yang tidaklah setebal yang aku miliki. Ya, sudah miliki buku nota yang berupa buku latihan sekolah. Namun dia masih menulis menggunakan pensil. Buku itu dipakai pada semua kelas yang dia hadiri. Dia tidak menyalin nota yang panjang, kadang-kadang sempat aku jeling tak sampai pun satu muka. Tulisannya halus bagi menjimatkan ruang. Kalau dia mencetak nota atau bacaan yang diminta oleh pensyarah, dia memaksimumkan penggunaan kertas. Kalau kawan yang lain mencetak satu halaman artikel pada sehelai A4, atau yang biasa aku lakukan dua halaman dalam satu helai, dia pula aku lihat mencetak enam halaman dalam satu helai. Six in one. Kecil, memang nampak kecil. Apatah lagi sehelai cetakan berharga tiga puluh sen yang pada aku mahal bagi pelajar jauh sepertinya.
 
Aku kian memasang pandangan kepadanya pada kesempatan kelas yang kami bersama - sebenarnya sama paa semua kelas. Barulah aku perasan dia memakai baju yang sama setiap kali kelas. Mungkin kerana kami bertemu empat kami seminggu pada semester lepas, maka aku dapat kesan kemeja itulah yang tersarung ke badan. Cuma sekali dua sahaja tersarung kemeja lain. Aku pernah cuba berbual, bertanyakan soalan-soalan ringkas tentang asal dirinya tetapi dia juga sepertiku, berat mulut. Sepatah ditanya sepatah dijawab. Tetapi dia bukanlah pendiam, aku lihat dia ramah sahaja dengan rakan yang lain. Mungkin aku belum temui topik perbualan yang boleh masuk dengan dirinya.

Semester ini dia terlewat sebulan kerana urusan visanya tidak selesai-selesai di sana. Dia menyertai kami selepas tiga minggu kelas bermula. Dia tetap menjadi perhatianku. Tidak ada perubahan pada dirinya. Masih menulis menggunakan pensil. Bukunya aku lihat pun masih buku latihan yang nipis. Notanya masih pendek dan tulisan tetap halus. Kemejanya juga sama seperti semester lepas, malah sudah tiga minggu aku lihat kemeja itulah juga yang disarungnya dalam kelas. Semester ini barulah aku dapat tahu maklumat tentang dirinya selepas sesi perkenalan dibuat di kelas. Dia rupanya sudah menyelesaikan sarjana di UM beberapa tahun yang lalu dan kini sedang dalam perjalanan Ijazah Doktor Falsafah. Dia menyewa bersama seorang rakan sekelas yang sering aku lihat datang dan pulang bersama. Aku tidak tahu pula apa yang dimakan, bagaimana bilik sewanya atau perjalanannya ke kuliah. Aku pasti dia menanggung bebanan kewangan yang sungguh mencengkam tetapi aku dapat melihat dia selalu meninggalkan kesukaran itu di bilik sewanya. Ketika di kelas, dia adalah seorang pelajar yang sangat dahagakan ilmu walau pun aku tahu dia diselubungi kekurangan dalam perjalanan kesarjaannya ini.

Aku pasti dia akan menjadi seorang yang berjaya suatu hari nanti. Hanya jika dia masih kekal menjadi dirinya seperti hari ini. Aku doakan agar kau berjaya menjadi manusia, sahabat.


Tiada ulasan:

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...