Ahad, November 11, 2007

Lawatan sambil belajar ke Kuala Lumpur

Awal pagi – selepas mengalas perut, terus memandu ke Pusat Sains Negara. Hari Ahad, jalan cukup lengang, pemanduan menjadi mudah, cuaca juga bagai mengalu-alukan kedatangan. Adik sudah menampakkan riang. Bukannya apa, dibawa ke tempat yang di inginkan, sudah pasti memberi ceria kepada percutiannya yang baru sahaja bermula. Arah pertama ialah Pusat Sains Negara (PSN).

* Di pintu masuk

Melewati Istana Negara, saya teringat peristiwa semalam. Laluan gelombang kuning yang penuh semangat dan FRU yang hampa menanti mangsa. Apa sahaj erita yang keluar hari ini tidak saya endahkan. Sudah pasti tidak memihak kepada mereka yang berhimpun.* Wajah pemenang anugerah Nobel terpapar di dinding

Adik terlalu teruja dengan angkasawan, ISS, Sheikh Muszaphar dan Dr Faiz. Tetapi silap haluan, mungkin. Kerana PSN tidak memberikan apa-apa tentang itu. Sekadar gah sebagai lambakan bahan berunsur sains tetapi banyak alat yang tidak boleh digunakan. Tekan sahaja butang, yang keluar ialah kehampaan. Peralatan bagai tidak diselenggara, maklumat ketinggalan zaman. Design dan susun atur bagai melepaskan batuk ditangga. Semuanya tidak berwajah baru. Hasil kerjatangan lewat 90-an.

* Ada gambar, guna asap je..

Destinasi berikut ialah ke Planetarium. Melewati Masjid Negara, ternampak tanda arah ke Muzium Kesenian Islam Malaysia. Saya mengajak singgah, dan saya yang lebih teruja. Sampai sahaja di dewan pameran, replika Masjidil Haram menanti di pintu lif. Subhanallah. Bayangan Kaabah terpapar dihadapan mata. Saya seolah-olah berdiri betul-betul dihadapan Kaabah! Banyak lagi replika menarik – Masjid Nabawi, Masjid Suleyman, Taj Mahal, Kubbatus Sahra dan pelbagai lagi replika menyerupai asal yang di pamerkan di Galeri Senibina.

* Simple tapi menarik

Pada saya, inilah tarikan utamanya. Siapa yang tidak teruja melihat senibina indah hasil kerjatangan umat Islam yang berdiri megah sehingga kini. Binaan tersebut (kebanyakannya masjid) bukanlah kecil atau mudah. Ia kelihaan cukup gah dan gagah, dihiasi lagi dengan ukiran ayat al-Qur’an, hiasan batu dan kerjatangan yang cukup kompleks.

Saya selalu tertanya teknologi apakah yang mereka gunakan sehingga terhasil binaan yang cukup hebat seperti itu. Dengan kubah yang besar, tiang yang kukuh, menara yang tinggi, tembok yang teguh berdiri, semuanya menggunakan tenaga empat kerat manusia (semestinya!). Ruang pameran yang lain tidak begitu memikat. Galeri al-Qur’an dan manuskrip, barang kemas, senjata dan perisai, seramik, kerja logam, matawang, kerja kayu dan tekstil biarpun memukau tetapi kaki yang sudah lenguh berjalan sejak semalam menyebakan kepenatan seluruh badan.

Beralih destinasi ke Planetarium, menyebabkan kami perlu memanjat hingga ke atasnya. Bangunan indah di atas bukit (entah apa namanya) menghidangkan pemandangan menarik dari atas. Masuk sahaja ke dalam, saya menjadi hairan. Apakah ini Planetarium yang sering digembar-gemburkan. Tiada apa-apa yang menarik. Ruang pameran satu aras dengan bahan pameran yang sedikit. Ruang angkasawan yang ada cuma poster dua angkasawan dan sedikit info sebesar papan kenyataan sekolah. Yang lain – replika ISS tanpa sebarang keterangan dan dua roket peluncur NASA yang entah tahun bila punya. Tiada maklumat terkini tentang angkasawan. Seoalah-olah projek angkasawan itu telah berlaku tahun lalu. Seolah-olah kakitangan disini tinggal didalam ruang pameran ini dan tidak keluar-keluar selama Sheikh Mus terapung tanpa graviti. Hampa dan hambar. Mungkin mereka masih lagi mabuk ketupat dan rendang. Maklum sahajalah hari ini Syawal terakhir.

Naik ke menara tinjau – ah, apalah yang boleh ditinjau dari atas kecuali bangunan yang berceracak di KL. Cuma yang menarik ialah dapat melihat KL dari atas, biarpun penglihatan terbatas oleh bangunan lain yang lebih tinggi binaannya. Berlegar-legar diruang atas yang tidak berapa luas, kemudian kami turun menanti tayangan di ruang teater. Masuk sahaja ada empat orang – seorang Arab dengan anaknya. Tayangannya ialah tentang ‘Space Development’ yang boleh mengundang lelap.

* KL dari atas

Apa yang ada tentang Space Development pun saya tak pasti. Yang banyak diceritakan ialah tentang bintang dan buruj (masa tayangan tiga hingga empat minit), angkasawan Jepun terapung-apung (saya pasti selepas ini tukar dengan Sheikh Mus), tentang bima sakti (penerangan tak sampai satu minit) dan harapan tentang masa depan. Masa depan apa yang mahu di katakan, andainya 15 minit tayangan itu tidak memberi info yang banyak. Sekadar lagu kosong dan bintang-bintang bertaburan di angkasa raya.

Keseluruhan lawatan hari ini – indah khabar dari rupa. Sebelum apa-apa, jangan tertipu. Promosi memang nampak hebat tetapi kita yang membayar tiket mesti rasa tak puas hati dengan tahap pameran seperti budak sekolah buat kerja. Tukarlah konsep pameran. Ini zaman S&T. Komputer sudah meluas digunakan. Budak sekolah rendah pun tahu guna komputer. Janganlah buat sesuatu seperti mahu memperbodohkan pengunjung.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

salam kak,

Saya lawatan sambil belajar ke planetarium sewaktu tingkatan 5 dulu. Sewaktu tayangan dokumentari itu, kami semua tertidur~ bila lampu dipasang kembali, cikgu pengiring kami yang paling akhir terbangun.hahahaha

mereka masih tayang dokumentari yang sama agaknya, hmmm

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...