Khamis, November 30, 2006

Nasib


“Aku tak tahulah sama ada hari ini aku kena tipu ke atau apa,” dia bersuara sebaik sahaja duduk. Tidak langsung menoleh kiri kanan. Tetapi bibirnya menguntum senyum. Senyum ikhlas, yang memang datang dari hati. Dan wajahnya pula berseri-seri.

“Kenapa?” saya bertanya kehairanan. Melihat dia terseyum-seyum begini, hati didesak bertanya tanpa mampu menanti walau sedetik.

Dia diam sambil tersenyum sendiri. Jarinya pantas menekan kekunci telefon bimbitnya. Entah apa yang ditekannya pun, tidak pasti.

“Cakaplah. Kalau kena tipu mana boleh senyum macam ni sekali.” Saya tidak sabar. Pelik pula perangai sahabat seorang ini.

“Sabar, kita minum dulu,” dia melambai ke arah pelayan, memesan minuman dan beberapa lagi menu tambahan.

“Tadi beria sungguh semasa telefon. Aku dah berlari bagai tak cukup tanah ke mari tahu tak?” saya merungut kecil, seolah marah. Geram juga ada. Terasa pula seperti dipermainkan. Beberapa pelanggan di restoran memandang ke arah kami. Mungkin terdengar suara kasar saya agaknya.

“Kau percaya pada tilik nasib?” dia bertanya sambil tersenyum girang. Matanya tepat memandang kearah saya.

“Tilik nasib?” saya membeliakkan mata, menyandarkan badan ke kerusi, meletakkan telefon di atas meja, meregangkan tangan dan badan seketika. Petang selepas kerja begini, mengeliat sekuat hati memang sesuatu yang nikmat. Tetapi bukannya di sini, tempat awam.

“Beginilah. Aku cerita dari awal.” Perbualan terhenti. Dia memerhatikan pelayan yang datang membawa pesanan. Dia menyusun dengan kemas di atas meja.

“Maaf, aku lapar. Belum makan tengahari lagi.” Dia mencapai mee rebus dan kerang bakar. Terus makan tanpa mempelawa saya yang termangu-mangu disitu.

“Tadi masa aku sedang buat kerja di pejabat, tiba-tiba ada seorang Benggali datang mengetuk pintu. Dia tunjuk kad. ‘I’m a fortune teller’ katanya. Biasanya aku tak layan, tetapi entah kenapa hari ini aku rasa baik sangat.” Dia menghirup kuah mee rebus dengan penuh selera. Kemudian meletakkan sudu dan garpu ke tepi, mengelap bibir yang comot dengan kuah.

“Rupanya dia dari India. Jadi, terpaksalah speaking. Tiba-tiba dia kata muka aku ada luck...ada tuah.”

Saya meneguk teh tarik yang panas. “Betul ke?” saya bertanya lalu membuka isi kerang yang masih berasap.

“Sebelum ini memang ada orang beritahu muka aku ini ada tuah. Itu ramalan dari seorang staff Cina di pejabat lama. Kali ini India pula yang meramal.”

Saya senyum sambil menggelengkan kepala.

“Jadi aku cuma nak lihat sama ada ramalan mereka ini sama atau tidak.” Dia menyambung makan. Mee rebus itu tidaklah nampak lazat, tetapi cara dia menikmatinya nampak seperti terlalu sedap. Saya menelan liur.

“Jadi, samakah?” saya bertanya sambil terkial-kial mengunyah kerang yang liat.

“Lebih kurang. Yang aku suka, bila dia kata nasib aku akan menjadi baik bermula dari bulan Disember ini hingga ke 5 tahun yang akan datang. Macam-macam lagilah.”

“Kau percaya?” saya bertanya sinis. Angin petang yang lembut menyapa membawa bau yang kurang menyenangkan dari longkang yang tidak jauh dari meja kami. Saya menoleh ke arah longkang yang di kerumuni lalat. Seketika tekak terasa kembang.

“Bukan percaya. Tapi cuba kau lihat situasi ini. Aku tulis sesuatu pada kertas, kemudian aku serahkan kepada kau. Selepas itu aku minta kau pilih satu nombor dan sejenis bunga. Kemudian, aku cerita perihal masa depan kau, kesihatan, kehidupan, kerjaya, karier, kewangan, keluarga dan macam-macam.” Dia berhenti, membiarkan hati saya tertanya dan berfikir.

“Apabila kau buka kertas itu, yang tertera ialah nombor yang kau sebut dan bunga yang kau pilih.”

“Dah namanya tukang tilik, mestilah betul.” Saya memberikan jawapan yang tidak pasti sambil menguis kerang yang masih berisi.

“Memanglah. Tapi kalau aku buat macam tu pada kau, kau mesti percaya, betul tak?” Dia tersenyum lebar. Memberikan satu soalah yang seolah memerangkap saya sebenarnya. Saya mengeluh perlahan.

“Hmm.. habis kenapa yang kau kata kena tipu?” saya menukar topik perbualan.

Dia ketawa pula kali ini. “Untuk itu sahaja aku kena RM 50.00.” Saya turut ketawa bersama sambil menggelengkan kepala.

“Selepas itu, mulut ini gatal pula mahu bertanya lagi. Aku tanya bila aku akan kahwin heheh....” dia ketawa lagi. Kali ini dengan kuat. Saya turut sama ketawa. Entah ketawa atas kelucuan apa, saya tidak tahu.

“Memang ambil kesempatan kau ni,” balas saya selepas ketawa reda.

“Dia suruh pilih satu no antara 1 hingga 5. Aku pilih tengah-tengah.” Dia menghirup mee rebus yang tinggal kuah.

“3?” saya bertanya ringkas. Bau longkang terus menutup selera saya dari menjamah kerang bakar. Tetapi dia, bersahaja menelan.

“Ya. Selepas itu entah apa yang dia kira. Dan kemudian, dia letak satu tarikh. Itu tarikh perkahwinan aku katanya,” dia senyum-semyum pula kini. Jarinya memainkan sudu dan garpu di dalam mangkuk mee rebus yang kosong.

“Bila?” saya bertanya sambil ketawa kecil.

“3 Mac 2007. Bila aku tengok hari, wah, hari Sabtu. Sesuai sungguh!” dia mengelap mulut dengan tisu yang sudah digunakan. Dia ketawa kecil.

“Selepas tu dia tulis nombor 101.” Dia ketawa lagi. Saya hairan. Apa lagi yang melucukan agaknya.

“Nombor apa pula?” saya bertanya sambil melambai ke arah pelayan. Bau longkang semakin meloyakan dan saya tidak tahan.

“Itu ialah jumlah yang aku kena bayar lagi.”

“Oleh kerana bertanya soalan seperti itu?” saya menyoal sambil menghulurkan wang kertas berwarna merah kepada pelayan yang berlalu menuju ke kaunter.

“Ketika itu, aku tertanya dalam hati sama ada aku kena tipu atau tidak. Tapi kasihan pula kepada Benggali itu. Jadi aku bayar sahaja,” dia mengambil telefon bimbit lalu memainkan kekuncinya.

“Jadi kau percayakah pada ramalan dia?” saya mengambil wang baki dari pelayan.

“Pada aku, kalau betul, Alhamdulillah. Kalau dia tipu, aku sedekahkan sahaja duit itu pada dia. Semoga dia selamat dalam perjalanan pulang. Ikhlas.” Dia senyum.

“Apa lagi yang kau senyum ni?”

“Sekurang-kurangnya aku dah tahu tarikh perkahwinan aku. Kau bila lagi?” dia ketawa. Saya tersenyum, sambil menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Percaya atau tidak, betul atau salah, saya letak tarikh yang diberinya dalam reminder telefon bimbit.

“Kau kena ingat tarikh itu. Kosongkan dari sebarang agenda. Tarikh perkahwinan aku.” Dia ketawa lagi lalu bangun. Menyapu punggung, melirik ke arah kerusi dan meja kemudian berlalu pergi. Saya mengekorinya sambil tersenyum-senyum melihat tarikh dalam reminder.




P/s: Mahu percaya ke? Tepuk dada, tanya iman! :-)

6 ulasan:

CERITAKUASN berkata...

ooooooooooooooo.............. hehehehehe...... saya? dia? rasanya cerita dh bertukar tuan ;-)

Norziati Mohd Rosman berkata...

Tukar tuan? siapa tuannya..?

Ehem!

tuan tanah berkata...

Saya, kalau ikut kajian yang Dr Fadzillah Kamsah buat berdasarkan bulan kelahiran tu ada tendency mempercayai tahyul.

Kadang2 terpercaya juga dengan ramalan2 begini (walaupun tak pernah ada orang menilik nasib saya), tapi selalu-selalu ingatkan diri yang itu hanyalah kebetulan.

Takut jatuh syirik pula nanti.

Puan Ainon Mohd. berkata...

Ini 'ustazah' berpesan!

Yang menilik nasib orang, dan yang minta orang menilikkan nasibnya.... dua-dua masuk ke.... faham-fahamlah!

Norziati Mohd Rosman berkata...

Tuan Tanah,
Memang ada syirik dan khuarafat. Dua-dua sekali tu.

Puan Ainon, memang kedua-duanya patut dihumbankan kesana.

Kadangkala bila kita beritahu, dia buat endah tak endah. Walhal dah memang tersurat perkara seperti ini salah. Bila dah menilik, percaya pula tu...

Iskk..manusia, manusia

imaninazainuddin berkata...

best gag ar....tapi tilik nasib bukan nya berdosa ke???????

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...