Selasa, Julai 03, 2007

Manusia

Saya secara umum ialah seorang yang lambat mesra dan berat mulut. Ada waktu tertentu saya menjadi terlalu ramah, dan ada kalanya bertukar menjadi kejam (macam sesumpah pula, boleh bertukar-tukar). Tetapi, ramai orang kata saya baik (hehe..masuk bakul angkat sendiri). Itu orang kata, bukan saya. Saya cuma menyampaikan sahaja.

Masalah sebenar saya ialah untuk berurusan dengan 'manusia', sama ada secara langsung atau tidak (contohnya melalui telefon). Dua situasi ini sering memerangkap saya.

Kerjaya saya memerlukan saya berurusan dengan beratus orang pengawal keselamatan. Apabila mereka menghadapi masalah dengan Pegawai Operasi, pejabatlah tempat mereka mengadu. Saya adalah sasarannya. Kadang kala mereka datang ke pejabat. Ada kalanya membuat aduan melalui telefon. Mereka biasanya mengadu tentang kiraan gaji yang salah, di buang kerja, di kenakan penalti, di gantung kerja kerana masalah disiplin atau mahu memohon pinjaman dari syarikat.

Setiap kali mereka buat aduan, saya akan pastikan ada yang menapis panggilan sebelum saya menjawab. Jika ada yang datang mahu berjumpa, saya cuba mengelak dan menyerahkannya kepada orang lain untuk 'ambil laporan.' Masalah utama saya ialah kerana tidak pandai menolak, tidak mahu menghampakan harapan orang lain dan mudah kasihan. Mereka yang datang mengadu mudah mengundng kasihan saya. Sebelum ini, saya mudah memberi dan mereka kebanyakannya mengambil kesempatan.

Ada ketika saya terkena, dan ada juga saya menjadi mangsa. Kini saya belajar dari kesilapan. untuk mengelakkan perkara yang lalu berulang kembali, saya mengambil sikap unuk mengelak. Mungkin itu jalan yang selamat dari terperangkap. Bila saya menjawab panggilan, alasan saya ialah, 'buat surat dahulu, nanti kami proses' atau 'tulis laporan dahulu, nanti kami siasat' atau 'nanti saya rujuk kepada pegawai Operasi.' Sedangkan, dalam hati saya, jawapannya ialah tidak. Jika ada sesiapa yang memohon sesuatu, saya akan minta staff lain menjawab bagi pihak. Saya berdiri di sebelah melihat mereka menangkis permintaan. Dalam hati, perasaan kasihan ada, tetapi saya tahu jika saya mengizinkan atau membenarkan, masalah akan timbul. Adat manusia, di beri betis, mahukan peha.

Selain itu, saya juga tidak gemar menjawab panggilan telefon. Saya sebenarnya kurang gemar bercakap melalui telefon. Setiap kali telefon genggam saya berbunyi, saya akan lihat dahulu nombor yang tertera sebelum menekan kekunci hijau. Bila melihat nombor yang tidak dikenali, saya biarkan atau serahkan kepada orang lain untuk menjawab. Saya tidak sanggup menolak hajat mereka dan pada masa yang sama tidak sanggup menanggung risiko. Oleh sebab itu saya enggan memberi nombor telefon kepada para pengawal sesuka hati. Mereka bila-bila masa sahaja mengganggu, tidak kira pagi, petang, siang atau malam. Kadangkala menjadi gangguan pula.

Talian yang di sambungkan ke meja saya juga merupakan satu masalah. Seboleh-bolehnya saya berpesan kepada mereka, tolonglah tapis panggilan sebelum masuk. Jika ada sesiapa yang ingin bercakap, tanyakan siapa dan beritahu saya dengan perlahan. Jika saya rasa saat itu masa yang sesuai untuk menerima panggilan, saya akan melayan dengan baik. Jika tidak, saya akan beri alasan sama ada keluar ke bank atau mesyuarat. Apatah lagi jika panggilan itu adalah dari orang yang sekadar 'bising-bising'. Mereka sekadar mengetuk tin yang kosong. Kuat berbunyi tetapi tiada isi. Kadangkala sekadar membuang masa bercerita hal yang tidak perlu. Namun kelebiihan saya di sini ialah, saya boleh mendengar tanpa 'register' sebarang maklumat ke dalam memori. Mengiyakan tetapi tidak menerima. Mendengar tetapi tidak membenarkan. Sebaik letak gagang, saya tidak tahu apa yang mereka ceritakan dan saya lupa apa yang saya cakapkan. Mungkin itu caranya mengajar orang yang terlebih ajar.

Inilah sebenarnya saya. Sebelum ini kalau orang bertanya saya mahu pekerjaan yang bagaimana, jawapan saya ialah yang tiada hubungkait dengan manusia. Biarlah saya kerja dengan robot atau mesin. Manusia lebih kompleks untuk di dekati. Tetapi takdir saya di sini. Allah mahu saya berhadapan dengan realiti supaya saya boleh atasi kelemahan diri. .

Tetapi saya memang mengerti yang saya sebenarnya menghadapi masalah bila berhadapan dengan manusia. Bagaimana agaknya cara mengatasinya?

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Awal awal lagi saya tewas dengan tekanan kerja "bertelefon"....di pejabat sengaja saya matikan semua telefon, cuma ada masa tertentu akan saya jenguk apa mesej yang perlu, demi menjaga kesihatan mental.

Norziati Mohd Rosman berkata...

Kesihatan mental...yaa..betul juga. Tetapi yang sukarnya, saya perlu sentiasa berSMS dengan bos bahagian akaun. Apa duit masuk, apa duit keluar, siapa nak duit, berapa baki akaun, berapa boleh guna, berapa nak bayar, berapa nak hold .. bla..bla.. bla..

Deutro berkata...

Kita dilahirkan dari manusia, kita hidup dikelilingi manusia, dan jgn lupa kita juga adalah manusia.

z'kea m.s berkata...

Oh zeti, kau memang betul-betul berbeza dengan aku. Aku kena bekerja dengan manusia, dan aku kena bergerak dan berinteraksi dengan alam. Kalau aku kerja dengan mesin, aku rasa terkongkong, kreativiti terbatas, self-development mati. Sehari aku tak bercakap dengan manusia aku boleh jadi gila sebab stress dan pressure. Sebab tu aku boleh bertahan lama jadi lecturer ngan kaunselor.

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...