Selasa, Januari 30, 2007

Selamat pagi Cikgu!

Semester ini saya berpeluang lagi menjadi tenaga pengajar part-time di UIA. Walau pun kelas seminggu sekali dan hanya merupakan subjek ko-kurikulum, saya terasa bebannya. Tambahan pula saya perlu bergegas dari tempat kerja ke kelas dalam masa 15 minit. Nyata tanggungjawab menjadi tenaga pengajar ini amat berat dan tidak semudah disangka.

Saya terbayangkan cikgu dan para pensyarah saya dahulu. Mujurlah saya jenis yang tidak beri masalah kepada mereka, sama ada dari segi kedatangan, kerja rumah, assignment dan sebagainya. Tetapi menjadi pelajar dan tenaga pengajar adalah dua tugas yang amat berbeza.
Subjek yang saya ajar ini merupakan subjek First Aid skill, satu kemahiran yang saya terima sewaktu aktif dan terlibat dalam aktiviti berpersatuan ketika belajar dahulu. Maka yang mengajar adalah ahli persatuan tersebut – lebih kurang 10 orang - yang banyak menimba ilmu secara terus dari para Doktor serta menjalani sesi attachment sebanyak 120 jam di wad Kecemasan dan Kemalangan (A&E) HKL.

Selaku tenaga pengajar, kami perlu bersedia dari awal tentang perkara yang hendak di ajar. Perlu juga ada ilmu tambah tentang subjek tersebut, bukan sekadar bergantung kepada buku wajib. Setidak-tidaknya pelajar dapat tambahan ilmu. Kemudian perancangan masa juga betul supaya subjek yang diajar habis tepat pada masanya, tidak terlalu cepat atau tidak terlalu lambat. Inilah sebenarnya yang menjadi masalah kepada saya, kerana selalu habis lebih cepat dari masa yang sepatutnya.

Bila mengajar, kami perlu pandai ambil perhatian pelajar. Jika tidak, mereka akan mengantuk, merasa bosan lalu berbual-bual. Tambahan pula kelas saya diadakan lewat petang, saat dimana tenaga telah habis digunakan pada waktu pagi. Maka saya perlu memerah lebih idea supaya mereka tidak mengantuk. Selain itu, kami perlu lebih banyakkan komunikasi dua hala antara tenaga pelajar dan anak murid, bukan sekadar syok sendiri atau bercakap seorang diri. Bila buka sesi soal jawab, bersedialah menjawab soalan. Jika dapat soalan cepu emas, carilah cara menjawabnya. Kalau tak dapat jawab, pandai-pandailah cari alasan. Itu belum lagi berhadapan dengan pelajar yang bermasalah seperti datang lambat, ponteng kelas, tidak beri kerjasama atau jenis yang suka membodek.

Kadangkala kami perlu menggantikan kelas kawan-kawan yang hadapi masalah untuk mengajar (seperti saya yang masuk hospital tempohari). Bila masuk pertengahan semester, kami akan bermesyuarat untuk menentukan assignment, sesi praktikal, serta kertas soalan bagi peperiksaan akhir. Oleh kerana ini adalah subjek ko-kurikulum, maka ada sesi praktikal yang memerlukan kami berkampung dua tiga hari bagi menilai pelajar seorang demi seorang. Bila final exam, kami sama-sama menjaga peperiksaan dan menanda kertas soalan. Kemudian, markah dihantar ke pejabat bersama dengan borang claim. Hujung bulan, menanti duit masuk. Kami selalunya claim pada hujung semester supaya duitnya banyak!

Ini semua bukanlah usaha sehari dua. Ia datang dengan pengalaman. Saya sendiri baru dua semester mengajar dan perlukan masa mengasah kemahiran. Terima kasih juga buat kawan-kawan yang banyak memberi bantuan. Terasa seronok juga. Saya terkenang kepada kawan-kawan yang menjadi cikgu atau tenaga pensyarah. Mujurlah mengajar bukan bidang saya kerana saya tahu saya bukan jenis yang boleh sabar dengan budak-budak. Tahu-tahu nanti ada yang masuk suratkhabar kerana cikgu dera murid..hahahaha

Tiada ulasan:

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...