Rabu, Mac 23, 2011

Puisi: Tidak Seorang Pun Wartawan...

Melihat wartawan TV3 khusunya untuk siaran Buletin Utama masuk ke kebun dan menemuramah para penoreh getah lalu menjadikan berita getah naik harga dan penoreh getah jadi jutawan di segmen Niaga setiap hari menyebabkan darah saya menyirap. Menyirap!

Setiap hari mengejar penoreh getah, kononnya menemuramah dan beramah mesra, bertanyakan kegembiraan mereka akan getah yang harganya mencecah belasan ringgit untuk satu kilo. Wah, cukup dengan mengupah Rela bagi menjaga kebun bagi mengelakkan getah dicuri. Dahsyat jutawan getah ini ya.

Wartawan dah hilang modal, fikir saya. Kenaikan yang hanya sekali dua dalam masa berpuluh-puluh tahun ini dikecoh-kecohkan seantero Malaya sedangkan saban hari penoreh getah ini kelaparan, berhutang piutang akibat harga getah yang turun naik (selalunya turun) dan pasaran tidak menentu. Dimana wartawan saat kami kelaparan, kedahagaan, kesejukan, kehabisan wang ringgit membeli buku anak-anak dan berbekalkan perut lapar ke sekolah? Di mana mereka? Di mana?

Atas dasar geram, marah, menyampah dan sikap talam dua muka para wartawan inilah, saya menggarap puisi yang berjudul Tidak Seorang Pun Wartawan Datang Bertanya dan alhamdulillah tersiar di akhbar Mingguan Malaysia pada 20 Mac 2011. Saya pasrah tatkala menghantar puisi ini kerana editor pun seorang wartawan. Judulnya sahaja sudah boleh membayangkan isinya yang berunsur marah-marah.

Puisi ini khusus untuk abah, peneroka Felda di ladang getah milik Felda yang entah bila gerannya menjadi milik kami, juga untuk beribu-ribu penoreh getah seluruh Malaya yang ketika ini - ya, mengikut kata wartawan tersebut - menjadi jutawan. Jutawan.

Kini, kebun getah kami sudah tidak boleh ditoreh lagi. Pokoknya sudah habis hayat untuk layak di lanyak. Batang-batang getahnya sudah dinilai dan dijual kepada Felda lalu menanti ia di tebang bagi proses tanam semula. Maka kami kembali menjadi hamba Felda untuk berpuluh tahun berikutnya, hidup dengan menumpang hasil yang tidak seberapa tatkala Tan Sri Isa Samad enak-enak sahaja duduk di kerusi empuk sebagai Pengerusi Felda.

Tan Sri tak mahu jadi jutawan? Marilah kita toreh getah!

3 ulasan:

asal berkata...

salam
tahniah!
saya tahu ia pasti tersiar.
ada jiwa, ada unjuk rasa, dan yang penting...
penuh kebenaran.

mabruk.

Norziati Mohd Rosman berkata...

Syukran As!

kordi baik berkata...

sabor aje le!!!

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...