Isnin, Ogos 15, 2011

Bukan usaha satu hari

Sesuatu pertentangan - namakan ia revolusi, demonstrasi, konfrantasi - tidak akan hadir dalam sekelip mata. Ia bukannya hasil usaha sehari malah bukan dilaksana berseorangan. Juga bukan untuk suka-suka.

Saya ketawa sendirian tatkala membaca dua buah buku comel empunya Saharil Hasrin Sanin berjudul Kentang dan Tentang. Ada cerita, ada gambar. Cerita awalnya merapu tetapi dalam sentuhannya. Ada yang tidak logik tetapi diwajarkan pengakhirannya. Setiap satu ditulis bukan semata-mata kerana perlu ditulis. Mesej itu hadir setelah kita faham.

Kentang pada halaman 180 bercerita pengembaraan penulis ke Tunisia. Sejarah negara Afrika ini turut dimuatkan sekali, sekaligus menyebabkan saya rasa perlu mengaitkannya dengan revolusi rakyat yang menumbangkan rejim Presiden Zine El Abidine Ben Ali awal tahun ini. Mungkin tidak sengaja,  revolusi yang ini mempunyai kaitan dengan sedikit sejarah Tunisia yang Saharil tuliskan dalam Kentang.

Dalam peta dunia, Tunisia letaknya di utara Afrika. Ia betul-betul menghadap benua Eropah yang luas khususnya Itali. Ia berjiran dengan Algeria di sebelah kiri dan Libya disebelah kanan. Di bahagian utara, terbentang Laut Mediterranean yang menjadi pemisah benua Eropah dan Afrika - garis pembatas pemegang dua kepercayaan utama dunia, Islam dan Kristian.

Tunisia mendapat kemerdekaan dari Perancis pada 1956. Habib Bourguiba (dalam Arab berbunyi Burqibah) yang menjadi Perdana Menteri Pertama menukar status Tunisia sebagai sebuah republik setahun kemudianya menjadikannya Presiden pertama. Ini memberi peluang kepada Bourguiba menjalankan pemerintahan sesuka hati dengan menjadikan Tunisia sebuah negara sekular bertaraf Turki. Beliau memandang Islam sebagai agama yang membawa kemunduran (klise), lalu menyusun kembali perjalanan politik dan arus sosial Tunisia secara besar-besaran. Hijab ditegah, ahli fikir Muslim di pecat, undang-undang syariah dimansuhkan, institusi Islam dirampas. Islam sekadar pakaian pada nama.

Satu lagi fakta yang tragis saya dengar pagi tadi tatkala Ustaz Hasrizal bersiaran di Ikim. Beliau - secara kebetulan - memetik kisah Presiden Bourguiba. Sesuatu kebetulan yang membina. Sang Presiden menganggap berpuasa itu menyebabkan motivasi dan momentum kerja berkurangan. Masyarakat lemah dan tidak berjaya. Pekerja kurang produktif. Pengasilan negara merudum ketika Ramadhan. Keadaan ini mengukuhkan pandangan beliau yang Islam merencat kemajuan dan kuno. Lantas Bourguiba membuat satu peraturan yang mengejutkan. Beliau menghalang penjaat awam berpuasa. Bagi membuktikan ketegasan, beliau makan di khalayak bersama penjawat awam secara live yang disiarkan di kaca tv seluruh Tunisia.

Selepas itu, Tunisia berubah rupa dari sebuah negara Arab totok kepada Arab bermazhab barat. Banyak perubahan dilakukan semuanya membaratkan Tunisia. Presiden Bourguiba disamatarafkan dengan Mustafa Kamal Ataturk, bapa 'pemodenan' Turki. Lain-lain kisah Tunisia disekularkan boleh dibaca disini.

Kemudian Presiden Bourguiba jatuh sakit dan pada November 1987, doktor mengesahkan yang beliau tidak lagi berupaya menjalankan tugasnya (tulah?). Kesempatan ini diambil oleh Zine El Abidine Ben Ali yang merampas kuasa dan menjadi Presiden berikutnya. Presiden kedua ini rupanya sama sahaja dengan Bourguiba, malah lebih sekular dan liberal. Kemewahan dan kekayaan menjadi agenda pemenrintahan sehinggalah di kesan mengamalkan korupsi sepanjang pentadbiran.

Atas sebab-sebab diatas, tidak hairanlah mengapa rakyat Tunisia akhirnya memberontak. Sudah banyak kisah kita baca betapa gahnya Presiden Ben Ali dan isterinya, Leila hidup senang lenang sedangkan ekonomi Tunisia tidaklah bagus mana. Beliau terang-terangan mengganggu kebebasan media, melanggar hak asasi dan memperlekehkan pilihanraya dimana parti beliau sering menyapu bersih kerusi yang dipertandingkan. Akhirnya, pemerintahan rejim Ben Ali diruntuhkan oleh kadar pengangguran yang tinggi dikalangan belia yang gagal mendapatkan pekerjaan. Mereka memprotes dijalanan sekaligus menyebabkan Ben Ali dan keluaranya menyelamatkan diri ke Arab Saudi.

Sejak Presiden pertama, rakyat Tunisia memendam perasaan terhadap pemerintahan sekular dan mengkesampingkan agama. Meskipun Tunisia sehingga kini 98% berbangsa Arab dan berbahasa Arab, dan 98% juga beragama Islam, dasar sekularisasi Presiden menyebabkan Tunisia menjadi sebah negara barat di Afrika. Selama lebih 60 tahun rakyatnya berdiam diri, akhirnya revolusi besar-besaran Januari lalu berjaya menumbangkan pemerintahan yang tidak disukai. Anggaplah ia penentangan terhadap kerajaan yang tidak mampu memberi kerja yang cukup kepada rakyat, tetapi ketidak puasan hati dalam bergama pastilah menjadi penyebab kepada kemarahan ini.

Sesuatu pertentangan - namakan ia revolusi, demonstrasi, konfrantasi - tidak akan hadir dalam sekelip mata. Ia bukannya hasil usaha sehari malah bukan dilaksana berseorangan. Juga bukan untuk suka-suka.


Tiada ulasan:

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...