Selasa, Ogos 12, 2014

Hari minggu yang lalu

Sabtu enam syawal sudah kembali ke Selangor. Singgah beraya rumah terbuka PEN di Paroi kemudian cepat-cepat ke Dataran Merdeka untuk menyertai perhimpuanan Palestin - Save the Children. Acara dah habis ketika sampai. Cuma dapat bergambar bersama peserta perhimpunan yang masih bertebaran. Kemudian singgah solat di Masjid Negara dan sebelum pulang, merayap di NU Sentral melihat-lihat kedai yang ada. Lihat sahajalah. Ahadnya seharian di rumah dengan agenda mengemas dan membasuh. Perlu bersedia fizikal dan mental untuk memulakan kerja. Macam tak pernah kerja pula. Saya menyambung Dunia Sophie yang sungguh memikat tapi cuma dapat beberapa halaman. Mengantuk! Malamnya siapkan dua ulasan untk diemelkan kepada KB dengan harapan bayaran dapat dilunaskan segera untuk bayar yuran MA huhu.

Isnin bekerja seperti biasa dan memindahkan kelengkapan penting di pejabat baharu. Selasa dan Rabu saya mengendalikan bengkel Kefasihan dan Perumian. Ada juga peserta datang dalam musim demam raya begini. Pindah pejabat baharu (bukan pindah kerja) selain memerlukan kekuatan fizikal untuk mengangkat barang - banyaknya buku - perlu juga kemahiran memasukkan barang (bukulah!) dan menyusunnya ke dalam kotak supaya ruang dapat dimaksimumkan dan tidak memerlukan kotak yang banyak. Selepas berpindah pula perlu mengemas kembali pejabat baharu. Khamis 7 Ogos kami berpindah masuk, sehingga jam 11.30 malam barulah lampu dapat dipadamkan dari pejabat. Agak sukar juga kerana hampir 600 bundle buku perlu dipindahkan secara manual satu persatu dijalankan oleh 6 orang tenaga termasuk seorang perempuan yang menyebabkan mereka perlu memikirkan cara terbaik memindahkannya, termasuklah beberapa eksperimen menggunakan baldi dan plastik dari tingkat dua bangunan. Selebihnya adalah sejarah.

Sampai di rumah, badan tak rasa sakit atau penat. Tetapi sebaik meletakkan kepala dibantal, terasa betul tegang pada belakang badan dan paha (sakit dari kaki naik ke lutut terus ke paha). Esoknya Jumaat kami diberi peluang masuk lewat. Tetapi saya tetap masuk awal, seawal jam 10 kerana petangnya perlu bergegas pulang ke kampung untuk membuat ujian air kencing yang gagal pada cubaan pertama. Cuba mengemas buku yang di dalam kotak tapi rupanya saya sudah tidak mampu membongkokkan badan atau bergerak dengan laju. Kaki tak mampu digerakkan sangat dan badan terasa sakit bila mengangkat barang, meski pun buku dua tiga naskhah. Saya teringat kadar sakit badan ketika di Tokyo. Beginilah rupanya sehingga nak berjalan pun rasa payah. Menjelang zohor, sempat singgah ke Senawang menghantar 99 Cahaya di Langit Eropah yang dibelinya tapi sempat saya baca dahulu (dengan izinnya). Syukurlah ujian air kencing kali ini lulus. Mendebarkan juga kerana kena makan ubat untuk menjadikannya negatif.

Pagi Sabtu bergegas pulang ke Semenyih kerana kontraktor akan datang seawal jam 9 untuk membetulkan keretakan pada rumah. Mujurlah masih dalam jaminan pemaju dan emel yang dihantar pada saat akhir pada penghujung Ramadan dibalas segera oleh pemaju. Keretakan yang sedikit pada awalnya bila diperiksa rupanya ada pada dua bilik. Pekerja yang membetulkan, kedua-duanya perempuan, tidak banyak soal bila diminta membetulkan tambahan lain. Mereka memecahkan keretakan besar dan membuat lorekan pada retakan kecil. Kemudian disimen dan diratakan dengan kapur. Esok mereka akan datang mengecat pula. Sebelum pulang, saya suakan air dan kek yang sedang dibuat oleh adikku. Senyuman terpancar dari wajah mereka.

Kepenatan masih belum beransur. Petang, emak dan abah pula tiba. Sehingga malam, kami menyediakan bahan untuk dimasak esoknya. Emak tak berhenti keluar masuk dapur. Saya pula tak mampu bergerak sangat. Sampai satu masa saya terfikir sampai bila agaknya saya perlu makan masakan emak?

Esoknya seawal pagi kami ke pasar pagi Beranang, melihat barang yang belum cukup. Adik siapkan dua jenis kek - kek coklat dan red velvet in a jar. Soto dan mee soto dimasak bergilir. Rendang dan nasi himpit sudah tersedia. Kami sebenarnya meyambut hari jadi abah ke 63 secara senyap-senyap. Dia pun tak ingat. Jemputan terhad. Adik beradikku semua ada kecuali Farid yang berhalangan kerja serta Cik Yah dan Cik Usop dengan Embah. Kawan-kawanku jemput datang, mana yang ku fikirkan boleh datang. Faszlin dan suami serta Zazren dan kawan. Memadailah kehadiran mereka membantu menghabiskan makanan - eh - yang tidaklah banyak tapi menyelerakan juga.

Emak dan abah balik selepas Maghrib. Tetamu pun beransur pulang selepas Maghrib. Segera saya kemas bahagian bawah dan basuh segala pinggan mangkuk yang digunakan. Badan masih sakit tapi rasa tak selesa kaki memijak lantai yang melekit. Rasa puas bila dapat mengemop lantai atas bawah dan semua bilik. Rasa puas bila melihat rumah yang kemas dengan kemasukan kabinet baru - angah jual pada ku bagi memasukkan kabinet baru ke rumahnya. Jadilah, memang rumah ini penuh dengan barang yang mereka tak mahu. Jimat juga padaku, tak perlu membeli. Setelah selesai semuanya, dapatlah saya berbaring sambil membaca Dunia Sophie. Masih mahu membaca dalam keadaan penat dan mata layu. Bila Siti balik beraya, semuanya telah siap dan mata pun dibawa beradu. Yang cuma dikemas sekarang hanyalah kabinet buku yang dialihkan kerana kerja membaiki keretakan. Ini pun akan mengambil masa kerana semua buku berada di atas lantai dan untuk mengemas pasti menyebabkan saya membelek buku sebelum menyusunnya ke rak. Memang begitu kan ragam orang mengemas rak buku?

Sekianlah catatan hujung minggu yang lalu.

Tiada ulasan:

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...