Khamis, September 04, 2014

Jalan ke manuskrip yang masih tiada


Wacana Manuskrip Melayu: Katalog Baharu Manuskrip Dunia Melayu Dalam Koleksi British (A New Catalogue of Manuscripts from the Malay World in British Collections) hari ini bersama Dato' Dr Annabel Teh Gallop, Lead Curator, Southeast Asia, The British Library. Penguasaan bahasa Melayunya sedap didengar, perkongsian ilmunya sangat bermanfaat dan pengetahuan beliau dalam manuskrip Melayu bukan calang-calang hebatnya. Sangat gembira dapat bertemu beliau dan mendengar dapatan dari hasil kajian yang baharu disiapkan. Semoga nanti kan dapat berkunjung ke BL dan menuntut ilmu darinya. 

Bukan pertama kali mendengar nama Dr Annabel, malah blog dan tulisan beliau dalam laman web British Library yang memaparkan hasil kajian dan koleksi Melayu Nusantara yang terdapat di British Library sering menjadi rujukanku. Banyak bahan dan makalah beliau telah ku muatturun dari pelbagai laman web, kertas kerja beliau ku kumpulkan malah ku simpan sebagai satu koleksi bacaan bagi proses transliterasi yang ku lakukan terhadap manuskrip. 

Jadi apabila hari ini mendengar beliau berada di UKM bagi Wacana Manuskrip Melayu, ini sememangnya peluang yang sangat berharga. Membawa bersama misi KM-AJM iaitu memperkenalkan kami kepada beliau, perkongsian dan penemuan baharu dari TBL ini cukup hebat. Tulisan beliau mengenai wacana ini telah pun terdapat dalam laman web TBL dan boleh di baca di sini.

Dr Zawiyah selaku Pengerusi sempat menceritakan latar belakang beliau yang dikenali sejak puluhan tahun yang lalu ketika Dr Annabel masih baru di TBL tetapi mempunyai semangat yang kuat dalam mengkaji manuskrip Melayu. Beliau fasih berbahasa Melayu yang baik, tersusun, sopan dan teratur dan boleh juga membaca Jawi dengan baik. 

Hal seperti inilah yang sering membuatkan aku merasa teruja untuk menuntut ilmu dengan orang-orang hebat, berdampingan dengan ilmu yang ada pada mereka dan menimba pengalaman dalam merentasi lautan keilmuan. Bukanlah sekadar menumpang nama dan teruja dengan gahnya nama, tetapi menjadi seperti apa yang ada padanya dan menekuni khazanah yang kita tiada. Kita juga patut malu tidak punya pakar yang betul-betul boleh membahaskan manuskrip dengan baik seperti beliau.

Jauh disudut hatiku, aku mahu. Ya aku mahu ke sana. Menjadi pakar atau berdampingan dengan ilmu, itu adalah nikmat kesarjanaan yang tertinggi. Langkahan pertama ialah Ahad nanti. Insha-Allah, menekuni ilmu dengan penuh takzim.

Tiada ulasan:

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...