Jumaat, Mei 20, 2016

Menafsir dan menterjemah Dondang Pembukaan

Zaim berkongsi rasa membaca Dondang Pembukaan oleh Muhammad Lutfi Ishak. Stataus asal dari FB:

--
Disember tahun lepas, @niknurfatehah menerusi akaun instagram ada menanyakan perihal rangkap keempat puisi pertama, Mimpi Anak Muda, karya Kekanda Muhammad Lutfi Ishak. Saya memuji usahanya yang galak, sedaya upaya cuba menebak keindahan makna yang telah berjaya disusun letak.
Cukuplah gambaran di atas meneteskan sedikit sebanyak keluasan makna puisi ini yang hingga ke hari ini belum selesai catitannya dalam memperihalkan puisi sulung dalam Dondang Pembukaan ini.

aku hidup kala lampau, telah kubina sebuah kota
terhindarlah kalian dari malapetaka
jika benar zaman berubah, ayuh runtuhkan kotaku
leburkan batu dan keluli, bangunkan kota baru - tapi
api kotaku api musa, jangan kauganti api firaun.
oh, api ini membakar namrud, menyelimuti Ibrahim

Keseluruhan rangkap ini memperihalkan sosok-sosok insan kersani yang disimbolkan menerusi watak Iqbal (huruf kecil memperihalkan keumuman individu pada watak yang khusus) memperingatkan ciri-ciri peradaban lampau yang kukuh berdiri atas dasar yang jelas dan ampuh.
Kaum "Iqbal" menyatakan segala usaha kudrat jasmani, emosi, rohani mahupun daya intelektual yang diusahakan bukanlah suatu yang nihil fungsi malah mereka amat sedar, apa yang telah dilakukan oleh mereka adalah pekerjaan yang amat besar terutama dalam memastikan generasi masa hadapan yakni kita bisa melangsungkan kehidupan dengan lebih baik dan lebih sempurna.

Malah lebih utama, untuk menyelamatkan generasi masa mereka dan juga masa hadapan daripada sebarang mara bahaya, luaran mahupun dalaman (akidah misalannya).

Kaum "Iqbal" sedar pekerjaan besar mereka ini semakin dicabar oleh gerak fikir dan tindak rancang pelbagai musuh khususnya anasir-anasir asing syaitani yang sejak dahulu lagi bermusuh dengan mereka (fahaman anti-agama misalan).

Lantas, Iqbal mengingatkan keutuhan hasil pekerjaan mereka dengan membina kota itu bertitik tolak dari wahyu (Taurat) dan bukan thoghut (anti-Taurat yakni Firaun). Wahyu itulah telah membakar kebatilan (Namrud) dan menjaga kebenaran (Ibrahim).

Sesuatu yang menarik, Nabi Allah Musa lahir bertahun-tahun selepas Nabi Allah Ibrahim. Jadi, bagaimana sesuatu yang lahir kemudian bisa menjaga sesuatu yang sudah lahir?

Hal ini, suatu lapikan makna yang berlapis daripada Kekanda Lutfi yang ingin melorongkan kita kepada makna kebenaran sejak azali sudah wujud. Ia datang dari Tuhan dan kembali kepada Tuhan - lantaran itu bukankah kita menemukan, semua anbiya' itu ternyata membawa kebenaran yang sama? Ketauhidan. Ketauhidan yang sebetulnya diwaris-wariskan - ya, hingga akhir zaman.

Lantas, mesej moral rangkap ini menyungging para anak muda yang beria-ia mengata "orang lama tidak betul", "ulama' dahulu apa tahu" - apakah perjuangan yang kamu rasa baharu ditemui manusia itu, adakah berdasarkan ketauhidan yang asal yang melorongkan kepada kebenaran yang tahan diuji zaman seraya bersifat kekal; ataukah nanti pendapatmu sendiri yang akan dikuburkan kebesaran zaman? Lihat sambungan rangkap ini yang menujah hakikat ini.

Demikianlah sedikit penjelasan dhaif daripada hamba yang perlu lebih banyak belajar.

Moga bermanfaat.

Tiada ulasan:

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...