Isnin, Ogos 01, 2016

Catatan Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri



Catatan ini adalah merujuk kepada entri ini , ditulis bagi mengenang penerbitan kembali versi sebelah kiri (tapi ini terbitan 2009)

Versi sebelah kanan Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri  saya ‘jumpa’ ketika mencari koleksi buku terbaru di DBP pada suatu hari tahun 2006. Ia terletak di celah-celah buku diskaun, dijual pada harga RM1 senaskhah. Boleh jadi saya orang yang beruntung ketika itu, membeli beberapa naskhah untuk diri sendiri dan sebagai hadiah kepada kawan-kawan lain. Jika sudah wujud perkataan kolektor buku waktu itu, sudah pasti saya borong semua stok yang ada dan jual pada harga berganda-ganda sepuluh tahun kemudiannya.
Ada kisah yang menarik disebalik buku ini. Kisah ini tidak terdapat dalam cetakan yang baharu memasuki pasaran, juga pada cetakan sebelumnya. Cetakan terbaharu mengandungi pengenalan yang ditulis oleh Prof Emeritus Dr Asmah Haji Omar. Namun pada cetakan lama, pengenalan ditulis oleh Hamdan Hassan. Ia mempunyai kisah disebalik Risalah I, Risalah II dan Risalah III.

Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri  mengandungi dua bahagian yang dipanggil risalah, iaitu Risalah Kedua yang berjudul Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri (yang menjadi tajuk buku) dan Risalah Ketiga iaitu Kebajikan dan Kejahatan. Setiap risalah mengandungi empat bab. 

Menurut Hamdan, Risalah I (memang ditulis sebagai I, II dan III) telah diterbitkan pada 1952 oleh Jelutong Press, Pulau Pinang dalam tulisan jawi. Ia kemudian diterbitkan kembali oleh DBP dalam edisi rumi dengan tajuk Falsafah Takdir pada 1980. Namun, Risalah I yang membahaskan masalah pokok dalam memahami dan mengamalkan agama Islam telah menimbulkan kontroversi dan perbezaan pendapat di kalangan ulama, terutamanya di Perak. Akibatnya, Sultan Perak sendiri campurtangan dan mengharamkan Risalah I. Kesannya, Risalah II yang telah dirancang penerbitannya terpaksa dibatalkan oleh penerbitnya dan tidak sampai ke tangan pembaca hingga ke akhir hayat penulisnya. 
Sehingga kematiannya pada 1974, Za’ba tidak mahu memberitahu di mana dan siapa yang menyimpannya. Oleh itu, DBP dalam edisi rumi Risalah I (yang diterbitkan pada 1980) menyertakan pengumuman agar sesiapa yang menyimpan Risalah II dapat diketengahkan bagi untuk disajikan kepada pembaca dan peminat pemikiran Za’ba. 
Hasilnya, Risalah II diperolehi dari sebuah penerbit (menurut Hamdan, mungkin Sinaran Brothers, Pulau Pinang) lalu diserahkan terus kepada Ketua Pengarah DBP untuk diterbitkan. Tidak ada perubahan yang dibuat pada salinan itu kerana ia telah siap disunting dan menanti masa untuk dicetak, namun terhalang.
Za’ba ada menyebut ‘Risalah IV’ yang dicatat dalam kurungan kecil pada Risalah II, namun selepas semakan dibuat dengan anak Za’ba, Puan Zaharah, tiada salinan seumpama itu. Hamdan berpendapat mungkin Za’ba tersilap menulis Risalah III sebagai Risalah IV, namun dia tetap juga mengahrapkan agar ‘pada suatu masa kelak, kita akan dapat membaca Risalah ke-IV itu, jika memang betul-betul ada sebagaimana tertulis dalam catatan tersebut.’

Secara ringkasnya,  Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri  adalah kritikan Za’ba kepada sikap bangsa Melayu yang suka bergantung kepada orang lain akibat dari ketidakyakinan kepada diri sendiri hingga membawa kepada sikap pak turut dalam kefahaman terhadap agama. Tidak hairanlah dia menyarankan agar orang Melayu mempunyai sikap bergantung kepada diri sendiri dengan mempunyai ilmu pengetahuan dan saranan untuk berfikir bagi membawa pembaharuan terhadap kualiti hidup. Ya, lama sebelum Malay Dilemma atau Mitos Pribumi Malas, Za’ba sudah mengkritik bangsanya sendiri. Namun kritikan demi kritikan yang dibuat ini, berapa ramaikah yang sedar?


Tiada ulasan:

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...